Monday, October 04, 2010

Semarakkan 1Malaysia yang benar

Semarakkan 1Malaysia yang benar

APABILA timbul keraguan di kalangan tokoh-tokoh tertentu dan kekeliruan rakyat tentang gagasan 1Malaysia, ternyata konsep dan falsafahnya belum mendapat kefahaman menyeluruh. Di sana sini, kita mendengar pelbagai penerangan dan pandangan mengenainya, tetapi agak meleset dari segi tafsiran maksudnya. Kadangkala sifat penerangan itu seperti mendukung konsep 'Malaysian Malaysia' tajaan pembangkang.
Hal sedemikian boleh saja terjadi mungkin kerana dijaja puak tertentu yang 'ada udang di sebalik batu' atau konsepnya tidak digarap secara mendalam. Selagi gagasan ini tidak diberikan penafsiran yang betul, maka semakin lama gagasan 1Malaysia itu akan jauh menyimpang daripada matlamat asalnya bagi kewujudan sebuah negara bangsa dan perpaduan negara berasaskan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian'.
Gagasan 1Malaysia adalah suatu kesinambungan yang menyirati gagasan dan wawasan sebelumnya buat Malaysia melangkah ke status sebuah negara maju pada 2020. Juga suatu penerusan ke arah mencapai matlamat perpaduan negara, matlamat asal sejak kemerdekaan 1957 sebagaimana dukungan Perdana-Perdana Menteri terdahulu. Maka itulah dijelaskan bahawa 1Malaysia akan terlaksana melalui penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasinya.
Teras-teras perpaduan itu bersandarkan tiga prinsip yakni prinsip penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; prinsip kenegaraan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan prinsip keadilan sosial. Rakyat perlu menerima hakikat kepelbagaian mereka. Perpaduan dan kesatuan bangsa terbentuk atas perkongsian nilai-nilai hidup bersama dalam berbangsa dan bernegara. Nilai-nilai aspirasi itu adalah adunan nilai-nilai budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, integriti serta nilai-nilai tambahan lain sebagai pengikat kesatuan. Malaysia akan dibangunkan secara seimbang antara pembangunan ekonomi atau fizikal dengan pembangunan kebudayaan yang bersifat spiritual.
Perlembagaan itu menjadi pedoman pembentukan dasar dan strategi pembangunan negara dan pembinaan bangsa. Ada prinsip-prinsip kenegaraan, di samping kebebasan rakyat dalam kehidupan kaum atau etnik sendiri. Tahap-tahapnya mesti dilihat dalam konteks falsafah Perlembagaan tadi. Nampaknya pemahaman antara rasmi dan tidak rasmi atau antara yang kebangsaan dengan kekauman perlu dipertingkatkan lagi. Kecenderungan kesamarataan akan hanya membawa konflik dan perlawanan antara hak-hak negara dengan kekauman tadi.
Misalnya, segala urusan komunikasi rasmi hendaklah dilakukan dalam bahasa kebangsaan bukan dengan tiga empat bahasa. Peranan bahasa kebangsaan itu meliputi semua bidang termasuk pendidikan dan pembudayaan sains dan teknologi. Penggunaan bahasa negara tidak wajar dicampuradukkan segala bahasa dalam konteks yang satu. Begitu juga urusan istiadat diraja, sifatnya menggambarkan tradisi Kesultanan Melayu atau acara-acara lain yang harus mengambil kira pedoman Islam sebagai agama negara dan begitulah seterusnya. Jadi, ada aras-aras atau batas antara kebangsaan dengan budaya kekauman atau kesukuan itu. Jika hal ini gagal dihayati, maka keperibadian Malaysia dan 1Malaysia tidak akan kelihatan nyata.
1Malaysia itu sedang diaplikasikan kepada semua bidang kehidupan. Maka dengan berpaut kepada semangat slogan 'Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Perdana Menteri dengan serentak menggerakkan Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE), dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Dalam hal ini, semua peringkat kepemimpinan yakni kerajaan, perkhidmatan awam, swasta dan organisasi perlu memahami, menghayati dan membawa pendekatan yang benar, bukannya caca merba.
Mereka perlu memahami aspirasi 1Malaysia itu dari segi konsep, semangat dan slogannya. Dasar-dasar negara sejak kemerdekaan dan faktor sejarah perlu difahami. Malaysia terbentuk atas kesinambungan sejarah dan sistem-sistem kehidupan bangsa yang unik dan tidak sama dengan negara-negara lain. Falsafah konsep Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu sendiri menjadi bukti sifat-sifat kenegaraannya.
Gagasan 1Malaysia mengutamakan rakyat di setiap pelosok tanah air. Dalam erti kata lain, tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kata Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri dan mencetuskan gagasan 1Malaysia pada 3 April 2009: "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita… ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera, asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil… Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama".
Rakyat perlu memahami bahawa 1Malaysia itu akan menyatupadukan kemajmukan mereka sebagai sumber kekuatan; menerima realiti tetapi tidak lari dari Perlembagaan Persekutuan. Usaha merobek atau tindakan mengubahnya akan hanya memusnahkan jati diri keMalaysiaan itu. Di bawah 1Malaysia, setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan. Warganegara Malaysia jangan terlalu taksub terhadap tuntutan kaum sampai melupakan tanggungjawab sebagai warga seperti digariskan Perlembagaan. Sebagai satu bangsa Malaysia, nilai kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) mesti digerakkan. Kita hanya ada satu negara dan bernaung di bawah satu ketua negara. Kita mahukan perpaduan, jati diri dan keseimbangan kehidupan.
Dalam konteks realiti kepelbagaian kita dari segi kaum, agama dan budaya, memang ada batas-batas tertentu amalannya tetapi kita tetap menjunjung dasar-dasar kehidupan dalam konteks sebuah negara kebangsaan (nation state).
Persoalan besar sekarang adalah permainan politik yang keterlaluan di gelanggang perkauman sehingga aspirasi kehidupan berbangsa dan bernegara terlepas dari pegangan prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Banyak hak-hak negara diperlekehkan dan tuntutan politik yang melampaui garis hak-hak kenegaraan. Kesedaran dan keinsafan semua sedang ditunggu.
Datuk A Aziz Deraman
Mantan Ketua Pengarah DBP/Mantan Ketua Pengarah Kebudayaan ialah AJK Gapena