Kontrak urussisa pepejal di bawah Pusat mulai 2011
ARAU 3 Okt. - Mulai tahun depan, kontrak perkhidmatan tiga syarikat pelupusan sisa pepejal di Semenanjung akan diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menteri berkenaan, Datuk Chor Chee Heung berkata, tiga syarikat yang dimaksudkan itu ialah Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM), Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dan Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman).
Selama ini, kata beliau, kontrak perkhidmatan ketiga-tiga syarikat terlibat ditandatangani oleh Alam Flora, SWM dan E-Idaman dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri terlibat.
"E-Idaman bertanggungjawab melaksanakan pengurusan sisa pepejal di utara Semenanjung iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Alam Flora pula di kawasan tengah merangkumi Lembah Klang manakala SWM di selatan Semenanjung termasuk Johor," katanya ketika ditemui, di sini semalam.