Gila ranking
Oleh H FANSURI
Malam di pintu gerbang di Jalan Raja Muda Musa Kg Baru, ketika sedang menukang karya tulis, mengarang bebunga pena di medan selera Amir ini, asap hembusan shisha berperisa strawberi berkepulan dan bergumpalan menari-nari di udara. Ia kemudian berbaris di depan hidungnya dan berjuang dengan caranya yang tersendiri guna mencari laluan ke rongga pernafasan seorang anak muda di situ.
Ketika ini, wajah dinihari pagi masih juga tersembam ke dada langit kelam. Dan jarum jam sedang menuding ke angka tiga. Sebenarnya, asap shisha dan segala kebingitan suara anak-anak muda di sini yang berpadu dengan deruan angin malam di ibu kota ini bukan masalah besar untuk Hakim. Sebenarnya, laporan berita inilah yang lebih memeningkan kepalanya.
Matanya ligat berputar bagaikan jarum kipas yang tergantung di bawah bumbung zink. Hakim meneliti tiap-tiap bait laporan berita itu sebagai berikut:
Bakteria virus 'gila ranking' mula dikenal pasti
KUALA LUMPUR: "Kami sedang menyiasat jika virus E-Coli dan bakteria C-Seluar Dalam ini menjadi punca penyakit atau pun penyebab penularan wabak sawan 'gila ranking' mutakhir ini," kata seorang pengamal perubatan terkenal Universiti Kembayat Negara, Dato' Prof Madya Dr Haji Sulaiman Akhlaken.
Tambah beliau, kedua-dua virus dan bakteria tersebut berkemungkinan besar akan diwartakan sebagai musuh Kembayat Negara tahun depan jika saintis belum dapat menemui vaksin dan penawarnya.
"Pihak kami sedang berusaha keras sedaya upaya untuk membanteras sikap tipu daya dan fitnah tohmah yang dipercayai menjadi asam garam umat kita yang turut dipercayai menjadi sebab kepada kelahiran kedua-dua virus dan bakteria ini.
"Virus dan bakteria itu bukan hanya menyerang kita daripada sudut biologi, malah psikologi!" kata Sulaiman Akhlaken menekankan suaranya dalam suatu sidang media di sini, hari ini.
Hati Hakim mula bergoyang. Tunggul nafasnya bergoncang. Coli dan Seluar Dalam? E dan C mahu dinisbah kepada apa pula? Sungguh melampau-lampau kelucahan mutakhir ini. Setakat yang didengarnya, bom C10 saja yang ada kini. Jika ada bom Perancis yang baru dijual ke Kembayat Negara dengan huruf E untuk membunuh musuh negara, hal itu tiada pula Hakim tahu. Dia membaca laporan selanjutnya...
Ketika ditanya pemberita berhubung sebab-musabab manusia penguasa suka menipu dan membuat fitnah huru-hara, Dr Sulaiman Akhlaken mengangkat bahu sebagai tanda isyarat bahawa dia tidak tahu.
"Saya fikir rakyat ini perlu selak semua Qutul Qulub dan Al-Hikam Ibnu 'Athaillah Al-Askandari, juga Futuhat Makkiyyah, Fususul Hikam Ibnu 'Arabi," kata beliau lagi. "Kita semua mesti belajar merawat derita penyakit batin masing-masing... Amalan kesufian dan tasauf jangan sesekali ditinggalkan."
Menurut beliau, penyakit orang sasau, sawan (atau pesawan) 'gila ranking' sehingga ini belum ada kaedah penyembuhannya, dan perlu dikuarantinkan jika perlu.
"Atau, perlu digulingkan dalam suatu tindakan revolusi yang lebih merakyat, walau tindakan seperti membikin hati rakyat menjadi tersayat," kata beliau.
Heh! Laporan berita macam apa ini? Siap wartawan boleh tulis bahawa sumber angkat bahu sebagai tanda beliau tidak tahu. Sepanjang dia bergelumang dalam dunia penyiaran dan pemberitaan, laporan yang bersifat meleret-leret ini memang akan masuk bakul sampah! Kalau hidup di bawah Samad Ismail, teruklah wartawan ini dicarut dan dihamun maki.
"Kau mana tau!?" kata temannya. Ini amalan
new journalism atau kewartawanan baharu! Kata temannya sebelum ini. Hakim angkat bahu, mengalah.
"Dr Sulaimen Akhlaken?" hatinya berdesis. "Bidang kepakarannya apa? Harus disusun temu bual untuk mencungkil lagi virus bakteria E-Coli dan C-Seluar Dalam ini."
perubatan
Memang benar kata-kata pengamal perubatan jiwa itu. Nafsu syahwat mesti dilawan. Tapi sulit difikirkan dengan akal kepala bahawa virus bakteria yang menyerang secara biologi itu, kini berkembang lalu merebak menular ke daerah penyakit psikologi pula.
Nafsu ingin kekuasaan dan syahwat terhadap lawan jenis ini jika dilayan, ia tetap tidak akan pudar dan tidak akan habis jika terus dijamu. Nafsu syahwat memang liar dan ia perlu dikekang dan ditundukkan dengan iman dan taqwa.
Barangkali, sebentar lagi hujan akan turun. Hatinya berbisik, sangat dingin darahku saat ini, dinginnya menumbuk sehingga ke sumsum tulang, demikian keras dinginnya sehingga meninju ke sasaran daerah jantung Hakim.
Hujan malam pun turun, mengisar derita kayangan yang lama bergumpalan dari dada langit muram. Hujan rintik yang bermula sesaat dua dengan drama pentas renyai-renyai itu, kini berakhir dengan lebat membuka cerita derita lama.
Hakim berlari terus, di balik curahan rintik hujan yang semakin melebat. Begitu pun, dia tetap tidak lupa membayar harga segelas teh ais yang baru dipesannya tadi.
Seorang gadis remaja di meja sebelahnya masih sempat mengirim senyum yang mencairkan kejantanannya. Hakim tidak sempat bercinta lagi. Esok akan tersembul lagi bidadari yang keras senyumnya. Dan senyum bidadari esok lusa akan menjadi lebih hangat, seterik buah kepanasan matahari yang selalu ranum dalam mematangkan bumi dengan kehangatannya. Dan alam akan jadi segar, bangkit tumbuh mendewasa dengan sebab matahari yang mengirim kehangatan cinta bertalu-talu ke wajah dunia itu.
Cinta akan datang dan pergi seperti baju yang dipakainya dan ditanggal dan dipakainya semula apabila ada keperluan.
"Selamat tinggal bidadari malam, esok ada pekerjaan yang perlu kanda lakukan," hatinya berdoa supaya jodohnya dipertemukan lagi dengan memanjang pengharapan bersama angan-angan cintanya yang diterbangkan angin malam.
editor
Pagi ini, editor akhbar
Belasah Daily, Haji Abdul Wahub bangun dengan akal kepalanya rusuh bercampur resah yang menari-nari di ruang matanya. Pada fikirannya, tidak sewajarnya berita Dr Sulaiman Akhlaken itu disiarkan oleh syarikat penyiaran
Warta Keramat.
"Mana ada orang percaya bahawa virus biologi boleh berubah dan berkembang sehingga menyerang ke ruang daerah psikologi!" desis hatinya. Pintunya diketuk. Hakim, wartawannya baru masuk dengan kelewatan yang seperti biasa. Nak dibuang wartawan itu terasa sayang. Hanya wartawan itulah sahaja yang boleh diharapkannya walaupun dia bengap! Tapi, budak wartawan itu masih boleh ditunjuk arah.
"Begini Hakim," dia berdehem membersihkan kerongkongnya selepas baru 'pekena' secawan teh panas dengan roti canai yang cebisannya masih terlihat melekat di pinggir bibirnya. "Aku nak hang interviu Dr Sulaiman Akhlak."
"Ya saya dah tonton temu bual itu semalam tuan haji!" pintas Hakim, matanya berpinar-pinar, riang kesukaan. Dia berfikir semoga-moga tugasan pagi itu akan menjadi miliknya dan bukan rakan-rakan wartawan lain yang masih tidur berdengkur lagi.
"Bongok! Bengap!" suara Haji Abdul Wahub berdesing seperti mesin-gun. Suara garaunya membikin mata Hakim terbelalak. Bagaikan ada sebutir bom C-10 yang baru meletup dari danau hatinya. Hati Hakim itu suci. Dalam hatinya ada taman.
"Biarlah aku cakap habis dulu!"
"Ya, baik tuan haji, dipersilakan bercakap dengan penuh hormat..."
"Baik, aku nak kau temu bual dia. Dan ini semua adalah deretan persoalan yang aku nak kau tanya dia," kata sang editor itu, sambil menyerahkan sehelai kertas yang memuatkan sederet pertanyaan sendiri. "Kalau kau gatai mulut nak tanya, soalan kau tu boleh ditanya selepas habis semua soalan aku tu. Faham!"
Dr Sulaiman Akhlaken menarik kerusinya perlahan-lahan lalu mempersilakan wartawan
Belasah Daily itu duduk di kerusi di depannya. Hakim rasa teruja kerana kini dia sedang berdepan dengan seorang pensyarah dan pengamal perubatan yang berani mendedahkan kewujudan E-Coli dan E-Seluar Dalam di hadapan khalayak itu. Dia ingin bertanya juga, adakah kedua-dua virus bakteria ini juga yang menjadi sebab wujudnya telur tiruan di pasaran itu.
"Oh! Telur tiruan itu tercipta secara evolusi, dan bukannya secara revolusi," kata Dr Sulaiman ketika menjawab soalan awal Hakim itu. "Evolusi itu tiada pencipta, sedangkan revolusi itu ada penciptanya. Contohnya, alam buana, bumi dunia ini tercipta secara revolusi, ada Sang Pencipta dan bukan evolusi, iaitu terjadi dengan sendirinya, tiada pencipta."
Wah! Ini suatu bahan fikiran baharu! Dia menurunkan buah fikiran Dr Sulaiman lagi. Setiap anak-anak itu dilahirkan secara revolusi (fitrah), bukan evolusi sehinggalah ibu bapa mereka yang meliberalkan, mensosialiskan dan mengkapitaliskan mereka.
"Ok, ini
off the record ya? Jangan siarkan dalam laporan awak ya? Sebenarnya, telur tiruan itu wujud, tetapi sistem kekuasaan Kembayat Negara ini dikuasai oleh saudagar kapitalis dan kita pada hakikatnya mengamalkan demokrasi Plutokrasi. Bangsawan dan para pembesarnya adalah saudagar dan jawatan mereka ini boleh dibeli. Jika jawatan pun mereka boleh beli, ini bererti jawatan itu juga mereka boleh menjualnya.
"Telur tiruan itu ada di pasaran, tapi selepas disogok dengan Dollar Euro dan Shikel mata wang Israel, maka ratu dan syahbandar mengisytiharkan bahawa telur itu tidak wujud di pasaran," kata pensyarah yang pengalamannya dimasinkan oleh garam tipu helah bersalut fitnah pembesar di negara itu.
"Prof, pening kepala saya prof," keluh Hakim, "Syahbandar itu kata begitu, si pegawai ini pula beri fatwa begini, jadi kita terus kepada formula dan pelan tindakan sahaja ya Prof."
"Boleh! Kebetulan pula, kami menemukan vaksin dan penawarnya sekali gus," kata Dr Sulaiman. "Mungkin awak boleh siar hal ini dalam
Belasah Daily... Errr.... biar betul nama akhbar awak ni?
Belasah Daily?"
"Ya Prof,
Belasah Daily... kalau nak dimelayukan ertinya
Belasah Tiap-Tiap Hari..."
"Oh, jadi kerja awak selama ni tak ada lainlah ya? Kerja belasah fikiran rakyat tiap-tiap hari, menabur umpat fitnah dan keji!?"
akhbar
"Err.. tapi bentuk laporan kami ini ternyata lebih "hadhari" dan "glokal" Prof jika dibanding dengan pihak akhbar lain."
"Ah! Apa-apalah alasan awak tu. Kita terus kepada penemuan terbaru saya yang mungkin awak boleh laporkan kepada Haji Abdul Wahub tu."
"Eh! Tuan kenal editor saya tu??"
"Apa pula saya tak kenal? Jiran sebelah rumah saya saja tu. Baiklah, bahawa bagi menawar racun E-Coli dan C-Seluar Dalam ini, maka laporan makmal kami yang berpusat di Pornthepkurn Rd, Ayutthaya sudah mendedahkan nama formula vaksin itu sebagai E-Reformasi dan E-Revolusi," kata Dr Sulaiman dengan senyum lebar dan perut boroinya yang mewah dengan daging berlemak itu.
Senyum si pensyarah yang berkilat wajah selepas dicukur tanpa misai dan janggut berjambang itu mengingatkannya kepada rupa wajah Haji Abdul Wahub dalam keadaan bermisai dan berjambang. Cuma, editornya tidak pula berbadan gempal atau perut boroi. Editornya dari Kedah dan loghatnya lebih pekat utara.
"Jadi, untuk yang terakhirnya, saya nak tanya - formula vaksin E-Reformasi dan E-Revolusi itu di mana kita nak dapatkannya ya Prof? Bilakah ia akan ada di pasaran?" tanya Hakim, menamatkan temu bualnya itu.
Dr Sulaiman tersenyum lagi, lalu berkata, "Kami akan pasarkan ia di
facebook, twitter dan
youtube. Dan, menurut kajian kami, jika kita kerap berlatih
facebook, twitter dan
youtube, maka ia akan menjadi terapi menawarkan racun lalu vaksin itu akan melompat keluar dari
facebook, twitter ke dalam jiwa dan roh umat."
Aduh! Hakim garu-garu kepala lagi. Bagaimanakah
Belasah Daily mahu menjual berita dan cerita semacam ini? Dunia makin hampir kepada kiamat. Apa pun boleh berlaku dan terjadi.
Dalam perjalanan pulang ke pejabat, di ruang matanya tersembul wajah Haji Abdul Wahab yang memekik melolong bagaikan polong dan puaka hantu raya yang menagih laporan berita daripadanya. Malam ini tarikh ajal,
deadline. 'Lead', kepala berita bagaimana pula yang mesti aku tulis susun?
"E-Reformasi, E-Revolusi penawar E-Coli, E-Seluar Dalam ditemui pakar di Pornthepkurn Rd, Ayutthaya? Eh! Bolehkah tajuk berita macam tu?" akal fikiran Hakim berputar bagaikan radar yang mencerap jawapan daripada wahyu Tuhan di langit tinggi.
Atau, adakah Dr Sulaiman Akhlaken itu sendiri sudah terkena tempias penyakit 'gila ranking' universiti? Hatinya dirundung cemas memikirkan semua ini bersendirian tanpa belaian bidadari cantik di sisinya.