Monday, October 04, 2010

Jangan sukarkan pelabur - MIDA

Jangan sukarkan pelabur - MIDA

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) menggesa agensi kerajaan supaya tidak mengenakan pelbagai lesen 'tambahan' selain yang dikeluarkan oleh agensi itu.
Lesen-lesen yang dianggap 'aksesori' hanya menyukarkan pelabur asing kerana mereka terpaksa melalui beberapa proses saringan untuk beroperasi di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Jalilah Baba (gambar) berkata, hal ini berbeza dengan negara jiran yang memudahkan proses pelaburan asing ke negara masing-masing dan tidak mengenakan banyak lesen perdagangan.
"Di Thailand, contohnya, agensi kerajaan mereka tidak memanggilnya sebagai lesen tetapi syarat kelulusan perniagaan untuk para pelabur asing yang memulakan operasi perniagaan masing-masing,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perbincangan meja bulat bersama industri peralatan perubatan di Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI), Daniael Lim di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Lim berkata, AMMI memohon kerajaan supaya memberi insentif kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta elaun pelaburan semula kepada peserta industri perubatan.
Katanya, insentif tersebut perlu memandangkan sebanyak 26 ahli AMMI telah membelanjakan RM29.5 juta pada tahun lalu untuk R&D, peningkatan 70 peratus berbanding tahun 2008.
"Ahli-ahli AMMI amat aktif dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan menggunakan teknologi terkini,'' ujarnya.
AMMI yang ditubuhkan pada 1989 yang mana ahlinya terdiri daripada pengeluar barangan perubatan seperti seperti sarung tangan, kondom, jarum, peralatan pembedahan, implan dan penyuntik ubat.
Secara kolektif, ahli-ahli AMMI menjana perolehan sebanyak RM4.3 bilion pada tahun lalu dan memberi peluang pekerjaan kepada 18,000 orang.
Kira-kira 82 peratus produk keluaran barangan ahli-ahli AMMI dieksport ke luar negara manakala selebihnya untuk pasaran domestik.