BISIK-BISIK
PARTI Keadilan Rakyat atau PKR hanyalah satu nama yang kini tidak menggambarkan sifatnya yang sebenar.
Ia jelas terbukti semasa proses pemilihan parti itu sekarang yang memperlihatkan banyak berlaku tipu muslihat dan keganasan bagi memenangkan pihak-pihak tertentu.
Rakyat sedang memerhati dengan penuh teliti perkembangan haru-biru parti itu.
Mereka mulai sedar sekarang, itulah jenis parti - dianggotai oleh para penunjuk perasaan jalanan, yang sanggup merosakkan harta benda awam demi orang yang mereka puja. Anwar Ibrahim nampaknya dalam suasana sekarang tidak bersuara langsung.
Mungkin beliau sudah menjangka itulah akhirnya yang terjadi kepada partinya.
Beliau sendiri tidak adil apabila mempunyai mata airnya sendiri untuk menentukan jawatan tertinggi, sehinggakan mengetepikan keadilan. Itulah jadinya jika parti itu ditubuhkan tanpa asas perjuangan dan falsafah yang jelas.
Yang jelas, parti itu hanya memperjuangkan falsafah Anwar bin Ibrahim, tidak lebih daripada itu.
Sebagai rakyat yang matang dan telah melihat banyak proses demokrasi berlaku, PKR bukanlah sebuah parti yang mempunyai hala tuju yang jelas.
Rakyat sepatutnya tidak boleh memperjudikan anak cucu mereka hanya berasaskan kepada sikap kasihan kepada Anwar. Orang macam Anwar ini akan datang dan pergi.
Jika kita sayangkan agama, bangsa dan tanah air, maka fikirlah secara jujur dan rasional.
Kuasa di tangan anda. Salah percaturan akan hancurlah apa yang dibina lebih 53 tahun ini. Perlembagaan yang menjadi tonggak negara ini pun bisa tumbang.
Awang - Nilai baik dan buruk