Thursday, April 21, 2011

Wanita guna tangan kanan milik penderma organ



EMILY FENNEL sebelum dia menerima tangan kanan milik penderma organ.



LOS ANGELES - Seorang wanita, Emily Fennel buat kali pertama kelmarin menunjukkan tangan kanan milik orang lain yang disambung menerusi satu pembedahan pemindahan transplan.
Sebelum ini, tangan kanannya kudung selepas dia terlibat dalam satu kemalangan kereta pada 2006.
Pada 5 Mac lalu, satu pasukan terdiri daripada 20 doktor, jururawat dan kakitangan sokongan melakukan pembedahan selama 14 jam 30 minit di Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA di sini bagi menyambung tangan tersebut.
"Saya berasa seperti ia tangan saya sendiri," katanya yang berusia 26 tahun.
Pembedahan itu diketuai Dr. Kodi Azari.
Fennell berharap dia akan kembali ke bandar Yuba pada bulan depan untuk bersama dengan seorang anak perempuannya yang berusia enam tahun dan meneruskan pemulihan di rumahnya. - Agensi

Replika cincin tunang Putera William laris



CINCIN sebenar Kate Middleton.



LONDON - Replika cincin pertunangan Kate Middleton yang akan berkahwin dengan pewaris kedua takhta Britain, Putera William mendapat permintaan tinggi dengan dijual pada harga £6 (RM29.67), lapor sebuah akhbar semalam.
Harga sebenar cincin pertunangan batu nilam 18 karat dan berlian itu kini bernilai £250,000 (RM1.23 juta) berbanding harga asalnya £28,000 (RM138,462) pada 1983 semasa bapa William, Putera Charles memberikan ia kepada bakal isterinya, Puteri Diana yang juga ibu William.
Replika cincin itu dikeluarkan oleh syarikat Debenhams ekoran permintaan tinggi daripada pelanggan dan ia menyatakan tidak mampu menghasilkan stok untuk simpanan peniaga dalam tempoh yang singkat.
William dan Middleton akan akan berkahwin pada 29 April ini. - Agensi

Polis buru dua lelaki lari dari mahkamah


21/04/2011 4:37pm

TEMERLOH - Polis percaya dua lelaki yang meloloskan diri dari Mahkamah Temerloh semalam masih berada di dalam daerah itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Noor Mansur berkata, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki berusia antara 35 dan 40 tahun terbabit termasuk melakukan sekatan di pintu masuk dan keluar daerah itu.
"Kesemua jalan keluar masuk bersempadan dengan daerah Temerloh dipantau dengan rapi bagi memberkas suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi semalam, dua lelaki terbabit yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian baja dua minggu lepas meloloskan diri melalui pintu belakang mahkamah ketika dibawa bagi mendapatkan perintah reman. - Bernama