Natalie Portman mungkin heroin Superman
LOS ANGELES 3 Okt. - Aktres terkenal, Natalie Portman (gambar) mungkin dipanggil untuk menjadi heroin dalam filem terbaru Superman.
Wanita berusia 29 tahun itu dijangka menyertai aktres Kate Bosworth dan Teri Hatcher yang sebelum ini pernah memegang watak sebagai Lois Lane seorang wartawan, yang menjadi teman wanita Superman atau Clark Kent.
Pengarah terkenal, Darren Aronofsky mungkin diberi amanah untuk mengarah filem tersebut, lapor portal berita hiburan, contactmusic.
"Mereka mahukan Portman sejak siri terdahulu lagi. Kali ini mereka pasti akan dapat menggunakan khidmatnya dengan Darren bertindak sebagai pengarah.
"Namun, semuanya masih samar-samar kerana setakat ini tidak ada sebarang perjanjian bertulis," kata sumber, hari ini.
Aronofsky dan Portman, baru-baru ini bekerjasama menghasilkan filem triler, Black Swan yang menampilkan aktres itu memegang watak sebagai penari balet di New York.
Kerjaya Portman sebagai pelakon bermula apabila muncul buat kali pertama kali dalam filemThe Professional pada 1994 dan kemudian terus mengukir nama dalam lakonannya melalui filem aksi, Heat yang turut menampilkan beberapa pelakon hebat lain seperti Al Pacino dan Robert De Niro.
Dia kemudian terus popular melalui penampilannya dalam filem Beautiful Girls pada 1996 apabila Portman berjaya mencuri perhatian penonton walaupun ia turut dibintangi oleh seorang lagi pelakon wanita popular, Uma Thurman. - AGENSI