Friday, April 15, 2011

Remaja hidu pen marker ganti gam


hidayat.azmie@kosmo.com.my">




REMAJA kini melepaskan gian dengan menghidu pen marker.– Gambar hiasan


PUTRAJAYA – Tidak cukup menghidu gam dan minyak petrol, kini ada sebilangan remaja di negara ini melepaskan gian menghidu bahan alkohol dan bahan kimia yang terdapat di dalam dakwat pen penanda atau marker.
Teknik terbaharu itu didedahkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ekoran beberapa operasi pihaknya sejak kebelakangan ini.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Zuraidah Mohamed berkata, harga pen berkenaan yang jauh lebih murah selain mudah diperoleh di pasaran juga dipercayai menjadi punca ia pilihan utama remaja sebelum berjinak-jinak dengan dadah sebenar.
“Caranya, mereka menghidu kepala pen ini sekuat mungkin bagi mendapatkan kesan khayal yang maksimum dan tidak kisah jika hidung diwarnai dakwat sekalipun kerana yang penting mereka khayal,” ujarnya selepas Majlis Anugerah Cemerlang AADK 2010 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop di sini semalam.
Seramai 492 anggota dan pegawai AADK menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000.
Menurut Zuraidah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan terdapat peningkatan pengguna dadah di kalangan remaja terutamanya kes melibatkan bahan mengkhayalkan.

NATO setuju Gaddafi berundur




BEBERAPA pemberontak bersolat di sebuah gurun di pinggir bandar Ajdabiya, Libya semalam.


PARIS – Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menegaskan bahawa tujuan utama mereka di Libya adalah untuk menamatkan pemerintahan rejim Muammar Gaddafi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menyatakan dunia mesti meningkatkan sokongan kepada pemberontak Libya yang menentang kepimpinan Gaddafi. Usaha menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya menjadi agenda utama dalam mesyuarat dua hari menteri-menteri luar 28 buah negara anggota NATO.
Serangan udara selama tiga minggu yang dilihat gagal melemahkan tentera Gaddafi nyata memberi tekanan kepada tentera sekutu Barat.
Walaupun bersetuju Gaddafi mesti disingkirkan, mereka kurang pasti bagaimana untuk merealisasikannya.
Itali mencadangkan supaya kuasa Barat membekalkan senjata kepada kumpulan pemberontak.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero berkata, pihaknya menyifatkan tindakan NATO masih belum cukup.
Malah beliau menggesa negara-negara lain supaya mengenakan tindakan yang lebih berkesan dan pantas.
Kumpulan pemberontak pula meminta tentera AS untuk kembali memegang peranan lebih besar dalam kempen serangan udara.
Namun, pentadbiran Presiden Barack Obama dilihat berpegang dengan pelannya yang ingin kekal sebagai penyokong.
Jabatan Pertahanan AS menegaskan Washington telah menerbangkan 35 peratus misi tentera udaranya dalam tempoh 10 hari lepas.
“Memandangkan misi kita berterusan, perpaduan antara anggota NATO amat penting. Gaddafi sedang menguji kesungguhan kita.
“NATO perlu meningkatkan misi politik, diplomatik dan ekonomi untuk menekan dan menjatuhkan rejim Gaddafi,” kata Hillary.
Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen menegaskan pihaknya benar-benar terlibat dalam operasi-operasi untuk melindungi rakyat Libya selain mengambil apa jua langkah bagi menghalang serangan kejam dan sistematik tentera Gaddafi.
Dalam mesyuarat yang sama, NATO turut mengutarakan usaha-usaha untuk menyerahkan tanggungjawab keselamatan di Afghanistan kepada pihak berkuasa negara tersebut.
Pergolakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran kejayaan penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden Tunisia pada Januari lalu.
Pemberontakan itu juga mendapat ilham kejayaan para penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada Februari lalu.
Setakat ini, pertempuran masih berlaku melibatkan para pemberontak dengan tentera Gaddafi di Libya.
NATO kini mengambil kawalan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya daripada tentera bersekutu diketuai AS. – Agensi

Zeta-Jones dirawat di hospital mental



GAMBAR fail menunjukkan Michael Douglas and isterinya, Catherine Zeta-Jones di Hotel Beverly Hills, California pada 16 Januari lalu.



NEW CANAAN - Pelakon terkenal, Catherine Zeta-Jones menjalani rawatan kemurungan di sebuah hospital mental di New Canaan, Connecticut, Amerika Syarikat pada Rabu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia dimasukkan ke hospital itu selepas menghadapi tekanan akibat suaminya yang merupakan aktor hebat, Michael Douglas bergelut untuk memulihkan penyakit kanser yang dihidapinya.
Aktres berusia 41 tahun itu dimasukkan ke Hospital Silver Hill di sini dan dia ditempatkan di wad pesakit yang mengalami masalah alkohol dan dadah.
Dia yang terkenal dengan filem The Mask of Zorro dirawat di hospital tersebut bersama 10 hingga 15 pesakit lain selama lima hari.
Bayaran rawatan di hospital itu ialah AS$1,258 (RM3,805) sehari.
Jurucakap aktres itu mengesahkan bahawa Zeta-Jones menerima rawatan kesihatan mental bagi membantu dirinya menghadapi trauma dalam kehidupan peribadi.
"Selepas bergelut dengan tekanan sejak beberapa tahun lepas, Zeta-Jones mengambil keputusan untuk menjalani rawatan mental selain tinggal di hospital selama beberapa hari.
"Keadaan aktres itu semakin baik dan dia tidak sabar untuk memulakan penggambaran dua filem baharu tidak lama lagi," jelas seorang jurucakap Zeta-Jones.
Pelakon kelahiran Wales itu melangsungkan perkahwinan dengan Douglas, 66, pada tahun 18 November 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Douglas disahkan menghidap kanser tahap keempat pada tahun lalu dan menjalani rawatan kemoterapi.
Doktor bagaimanapun memberitahu bahawa Douglas bebas daripada penyakit itu Januari lalu selepas melakukan rawatan selama enam bulan.
Menurut majalah National Enquirer, Douglas menemani isterinya itu semasa dia mendaftar masuk ke hospital tersebut dengan menggunakan nama Terrie Kirny.
Seorang saksi di hospital itu memberitahu majalah berkenaan bahawa Zeta-Jones kelihatan gembira semasa dia berada di hospital berkenaan.
Zeta-Jones dilihat menyertai pesakit lain makan, joging dan bermain poker sebelum tidur.
Satu sumber keluarga aktres itu menyatakan bahawa tekanan yang dihadapinya hampir tidak dapat ditanggungnya. - Agensi

Kereta dua bampar di jalan raya




SEORANG lelaki memandu sebuah kereta yang mempunyai dua bampar di Taizhou, China baru-baru ini.


BEIJING - Polis terkejut apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memandu kereta yang mengandungi dua bampar di sebatang jalan raya di Taizhou, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang anggota polis menahan pemandu kereta itu yang mendakwa dia memandu kenderaan tersebut kerana ia merupakan cara pengangkutan yang paling murah.
Lelaki tersebut diberikan amaran oleh polis supaya tidak mengulangi perbuatannya kerana tiada undang-undang di China yang melarang penggunaan kereta unik itu. - Agensi

Bas unik umpama limousin


Bas unik umpama limousin


BAS unik dipamerkan pada Pameran Dunia Persatuan Pengangkutan Antarabangsa di Dunia yang bermula 10 April hingga semalam.


DUBAI - Satu kumpulan pereka Belanda dari Universiti Delft TU termasuk bekas angkasawan negara itu, Wubbo Ockels berjaya mencipta bas unik yang bernilai AS$18.75 juta (RM56.70 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Bas unik itu umpama limousin tetapi ia mempunyai enam tayar dan boleh membawa 23 penumpang manakala panjang kenderaan tersebut adalah 4.57 meter.
Kenderaan tersebut boleh bergerak selaju 255 kilometer sejam, mempunyai 12 pintu, dijana dengan satu motor elektrik dan bateri litium polimer.
Bentuk luaran kenderaan itu yang aerodinamik membantu ia menggunakan bahan bakar dengan efisen.
Ketua jurutera reka bentuk bas itu ialah Antonia Terzi yang pernah bekerja dengan pasukan kereta lumba Formula Satu, BMW Williams.
Projek pembinaan bas itu mengambil masa selama tujuh tahun yang bermula pada 2004. - Agensi

Bruno bijak di pentas

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

BRUNO menunjukkan kebolehannya bertutur beberapa patah dalam bahasa Melayu.

SANTAI dan menghiburkan. Itu yang boleh disimpulkan daripada konsert sulung penyanyi kelahiran Hawaii, Bruno Mars yang berlangsung Ahad lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Meskipun persembahannya hanya bermula pada pukul 9 malam, tetapi sejak pukul 6 petang lagi peminat sudah berkampung di PWTC sekali gus membuktikan daya tarikan yang dimiliki jejaka berusia 25 tahun itu.

Bruno Mars atau nama sebenarnya Peter Gene Hernandez memulakan konsertnya dengan memperlihatkan skilnya bermain drum dan terus menghangatkan seluruh dewan dengan lagu The Other Side dan juga Top of The World.

Pemenang Anugerah Grammy menerusi kategori Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik itu bijak mengawal dan menarik perhatian penonton dengan menyanyikan lagu Billionaire secara akustik dan menghabiskan keseluruhan lagu itu dalam versi reggae bersama bandnya.

Sebelum meneruskan persembahannya, Bruno berkata pada penonton: "Bolehkan jika kita berseronok untuk tiga minit dan jamming?" Ia lantas membuatkan penonton yang duduk di barisan hadapan menjerit bagai terkena histeria.

Bruno yang tersenyum melihat situasi itu terus memetik gitar dan membuat persembahan tribute untuk Michael Jackson dengan lagu Billie Jean dan band Nivana dengan lagu Come As You Are.

Bruno menutup segmen tersebut dengan lagu-lagu daripada Jackson 5.

Bruno terus menawan penonton dengan barisan lagu popularnya seperti Marry You, The Lazy Song, Count On Me, Liquor Store Blues dan menyanyi dalam rentak perlahan lagu Nothing On You yang dirasakan cukup indah sekali.

Bruno memang tidak sukar untuk mencari penyanyi latar kerana sepanjang persembahan berlangsung, penonton memberi kerjasama yang baik.

Tanpa disuruh mereka dengan sendirinya akan mengiringi setiap barisan lagu-lagu Bruno, malah Bruno dan bandnya kelihatan cukup puas hati apabila penonton menurut sahaja apa yang diminta oleh Bruno.


MENYAMPAIKAN lagu-lagu popularnya, Bruno turut bermain gitar dalam persembahannya.

Membuat kejutan, Bruno menyanyikan lagu You Will Be Mine bersama pemuzik iringannya secara acapella, satu persembahan yang tidak dijangka.

Sempat meluahkan rasa syukurnya kata Bruno: "Sebelum ini kami hanya menyanyi di kelab dan juga majlis keramaian untuk mendapatkan wang tapi hari ini kami mampu menjelajah ke seluruh dunia.

"Terima kasih kepada semua peminat termasuk anda di Kuala Lumpur yang menjadikan mimpi kami sebagai satu kenyataan.

"Percayalah ini persembahan pertama tapi bukan yang terakhir kerana kami akan datang lagi tidak lama lagi."

Petikan gitar solo daripada Bruno membuatkan penonton bersorak, tanpa membuang masa dia terus menyanyikan terus lagu Grenade.

Bruno bijak mengambil hati peminat Malaysia dengan mengambil inisiatif belajar beberapa patah bahasa Melayu dan berkata: "Aku cinta padamu."

Perkataan itu diluahkan ketika dia melabuhkan tirai konsert dengan lagu popularnya Just The Way You Are.

Walaupun lampu pentas sudah dipadamkan dan barisan pemuzik iringan Philip Lawrence (vokal), Eric Hernandez (drum); Kenji Chan (gitar utama); Jared Artis (bass); dan Frederick (keyboard) sudah turun daripada pentas, penonton masih enggan melepas Bruno tanpa mengalunkan sebuah lagi lagu bonus.

Selepas penonton menjerit namanya, Bruno muncul dan menyanyikan lagu terakhir yang berjudul Runaway sambil menari bersama pemain gitar.

Ternyata peminatnya pulang dengan perasaan gembira dan puas hati.

Mana tidaknya, ramai peminatnya tidak dapat menyaksikan konsert yang diberi nama Doowops & Hooligans kerana kehabisan tiket hanya dalam masa seminggu.

Ditambah pula, kapasiti dewan itu hanya mampu memuatkan 3,000 penonton dalam satu-satu masa.

Rasanya, jika Bruno mengadakan konsert di Malaysia pada masa hadapan, lokasi yang lebih luas harus difikirkan oleh pihak penganjur bagi memberi peluang kepada semua peminat Bruno Mars untuk menikmati persembahannya.

Sebelum Bruno naik ke pentas, penyanyi tempatan Mizz Nina terlebih dahulu memanaskan pentas dengan lagu hitnya, What You Waiting For pada pukul 8.30 malam.

Corak persembahan bertenaga daripada Mizz Nina wajar dipuji, meskipun ia sekadar persembahan pembukaan.

Bieber teruja jadi pelakon

JUSTIN BIEBER berkata dia mahu meneruskan kerjaya lakonannya dan mahu muncul lebih banyak di layar perak.

Penyanyi yang pernah muncul dalam drama penyiasatan bersiri CSI: Crime Scene Investigation awal tahun ini telah jatuh cinta dengan dunia lakonan dan mahu lebih aktif berlakon selepas ini.

"Saya memang mahu meluaskan lagi kerjaya saya ke bidang lakonan. Lakonan merupakan pekerjaan yang saya suka lakukan," ujarnya.

Meskipun begitu, penyanyi berusia 17 tahun itu yang baru sahaja muncul dengan filem dokumentari Justin Bieber: Never Say Never yang menceritakan perjalanan hidupnya sebelum dan selepas bergelar penyanyi menjelaskan, dia sebenarnya tidak banyak menggunakan bakat lakonannya dalam filem itu kerana semua gerak-gerinya diarahkan oleh neneknya.

"Saya tidak banyak berlakon dalam Justin Bieber: Never Say Never kerana kebanyakan adegan diambil daripada video yang dirakam oleh ibu dan nenek saya. Seperti adegan mengemas bilik itu adalah tulen seperti mana yang diminta oleh nenek.

"Oleh itu, pada masa hadapan, saya mahukan sesuatu yang lebih dan mencabar bakat lakonan saya.

"Dengan itu, barulah saya boleh buktikan sama ada saya boleh berlakon atau tidak," tegasnya.

Walaupun mahu meluaskan kerjaya lakonannya, Bieber bagaimanapun masih lagi memberi sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian dan berharap dia dapat bergandingan dengan beberapa penyanyi idamannya.

"Saya teringin untuk berkolaborasi dengan Stevie Wonder atau Beyonce," ungkapnya.

Pelacur dalam video beri keterangan

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

GAMBAR Anwar pada Mac 2010.

KUALA LUMPUR – Siasatan terkini ke atas video seks yang pelakunya seorang lelaki mirip pemimpin parti pembangkang memasuki episod baru apabila polis mengesahkan telah merakamkan percakapan semua individu terlibat termasuk pelacur yang dikaitkan dalam kes tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, identiti pelaku dalam video seks berkenaan juga telah dikenal pasti selepas siasatan terperinci dilakukan oleh pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti pelaku dalam video seks itu kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis.

“Tidak kira di mana rakaman itu dirakam, yang penting kesahihan video itu penting. Imej itu tidak menggunakan teknik pertindihan.

“Identiti pelaku tersebut juga disahkan berdasarkan fakta-fakta yang kukuh,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini semalam.

Kosmo! pada 22 Mac lalu melaporkan tindakan sekumpulan tiga tokoh yang menamakan diri mereka sebagai Datuk T membuat pendedahan mengenai rakaman video seks seorang lelaki didakwa pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur dari China di sebuah hotel.

Kedai emas semakin lengang

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

KEADAAN salah sebuah kedai emas yang semakin kurang dikunjungi pelanggan di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Kenaikan harga emas menyebabkan para peniaga emas di sini berdepan dengan keperitan ekoran jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

Tinjauan Kosmo! petang semalam mendapati kebanyakan kedai emas yang beroperasi di bandar ini lengang dan kurang dikunjungi pelanggan.

Seorang penjual emas, Normalina Ahmad, 38, memberitahu, keadaan kini sangat jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu apabila kedai emas menjadi tumpuan ramai.

“Satu ketika dulu, 20 pelanggan datang membeli barang kemas setiap hari. Sekarang ini cuma tiga hingga empat pelanggan sehari dan kami lebih banyak duduk termenung di kedai.

“Ia bukan sahaja kerana harga emas naik, tapi juga disebabkan kaum wanita takut memakai barang kemas kerana bimbang diragut,” katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan harga emas diramal melambung tinggi dan bakal mencecah harga RM4,840 satu auns (28.3 gram) pada tahun ini.

Harga emas naik secara berterusan sejak 2001 dan mencapai paras tertinggi iaitu RM4,472.23 satu auns pada Januari lalu gara-gara kebimbangan pelabur terhadap kadar inflasi kejatuhan nilai dolar serta kekacauan di Asia Barat.

Seorang lagi peniaga kedai emas, Nani Ali, 36, berkata, walaupun harga emas naik namun ia tidak memberi keuntungan kepada peniaga komoditi itu.

“Apabila harga naik, orang tak mahu datang beli. Kebanyakan peniaga emas pening kepala dan kalau keadaan ini berterusan, mungkin ada yang terpaksa tutup kedai,” katanya.

Raja Petra akui terpedaya dengan janji Anwar

KUALA LUMPUR — Pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang kredibiliti dan terbukti gagal menunjukkan kepimpinan yang efektif sejak janjinya untuk pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 tidak menjadi kenyataan.

Mengakui turut menjadi mangsa janji Anwar itu, Raja Petra berkata, Ketua Pembangkang itu pernah memberi harapan palsu kepadanya semasa beliau dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting, Perak.

“Anwar datang ke mahkamah kerana ada dua kes yang berjalan serentak dan beritahu saya jangan susah (hati), tidak lama lagi awak akan keluar sebab kita akan bentuk kerajaan pada 16 September,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini.

Rakaman temu bual bahagian kedua itu disiarkan dalam Buletin Utama TV3 malam ini.

Raja Petra berkata, kegagalan pakatan pembangkang untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 seperti yang dijamin oleh Anwar telah melunturkan harapan pengundi yang menyokong pembangkang.

“Misalan sekarang pun sudah timbul soalan shadow kabinet. Anwar kata tidak perlu shadow kabinet.. tapi istilah shadow kabinet ialah seorang ahli pembangkang menjadi shadow kepada seorang ahli kabinet. Tidak semestinya shadow kabinet ialah kabinet yang bersedia untuk memerintah.

“Tetapi sekiranya shadow kabinet pun kita tidak mampu tubuh, macam mana nak perintah? Siapa ahli kabinet? Pengundi-pengundi ingin tahu,” katanya.

Tragedi ragut nyawa waktu subuh

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
berita@kosmo.com.my

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Viva yang dinaiki lima bakal jururawat selepas bertembung dengan sebuah lori tangki minyak hingga mengakibatkan tiga daripada mereka mati dalam kemalangan di Kampung Gerai, Besut semalam.

BESUT – Usaha lima bakal jururawat untuk lari daripada gangguan lelaki misteri yang menceroboh asrama mereka dengan bersiar-siar di Kuala Terengganu berakhir dengan kecelakaan apabila tiga daripada lima gadis itu maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak semalam.

Kejadian ngeri pukul 6 pagi di Kampung Gerai dekat sini itu menyebabkan pemandu kereta, Nordiana Mohd. Nor, 22, dari Kota Tinggi, Johor; Zur Iras Zakaria, 19 dan Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, masing-masing dari Kuala Terengganu, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi rakan mereka, Bazillah Abdullah, 19 dan Nur Adilah Mohd. Ghazali, 19, dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah.

Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua pelajar tahun dua kursus kejururawatan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Bachok, Kelantan itu dalam perjalanan pulang ke Asrama Muiz Dalam Rhu di Pasir Puteh.

Jarak antara asrama mereka dengan Kuala Terengganu kira-kira 135 kilometer.

Kesemua rakan karib itu dikatakan telah meminjam kereta rakan mereka pada pukul 9 malam kelmarin untuk bersiar-siar.

Sementara itu, seorang rakan mangsa, Nik Sharmila Nik Amram, 21, memberitahu, kesemua mangsa pergi ke Kuala Terengganu bagi menghilangkan tekanan selepas diganggu lelaki misteri di asrama.

Warden didakwa bunuh murid



HANIF diiring keluar dari mahkamah selepas tidak membuat sebarang pengakuan atas dakwaan membunuh Saiful Syazani di Mahkamah Majistret Kangar semalam.


KANGAR – Cubaan seorang peguam bela yang memohon untuk menghalang media daripada membuat liputan mengenai perbicaraan seorang ustaz yang menghadapi tuduhan membunuh seorang murid tidak mendapat reaksi Mahkamah Majistret di sini semalam.
Mohd. Fikri Abd. Rahim dan Zulmi Sabri mencadangkan perkara itu di hadapan Majistret Nurshida Abdul Rahim ketika prosiding pendakwaan terhadap Hanif Mohd. Ali, 26, yang dituduh membunuh murid tahun satu Sekolah Agama Rakyat di Jejawi dekat sini, Saiful Syazani Saiful Sopfidee (gambar kecil).
Sebaliknya, Nurshida memutuskan tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung permohonan kedua-dua peguam yang mewakili Hanif itu. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Hanif didakwa membunuh kanak-kanak tersebut di antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden asrama Putra di Sekolah Rendah Islam Al-Furan Jejawi dekat sini pada 31 Mac lalu. Bagaimanapun, dia tidak membuat sebarang pengakuan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum gantung sampai mati. Pendakwaan kes dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan.

Nelayan tuntut hak milik rumah



SEBAHAGIAN nelayan menunjukkan surat tuntutan tunggakan sewa beli rumah di Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 700 keluarga yang terlibat dalam Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini menuntut hak milik rumah dan tanah bagi memastikan nasib mereka terbela selepas berpindah ke situ tujuh tahun lalu.
Mereka bimbang dikenakan tindakan termasuk mengosongkan rumah apabila kerajaan negeri mengeluarkan notis peringatan menjelaskan tunggakan dan sewa beli rumah yang mencecah sehingga RM7,500 setiap keluarga.
Bagaimanapun menurut penduduk, mereka tidak mampu menjelaskan bayaran itu kerana sebahagian besar penghuni di situ adalah nelayan yang memperoleh pendapatan sekitar RM450 sebulan.
Wakil penduduk, Ismail Bakar (gambar kecil), 47, berkata, mereka wajar mendapat hak milik rumah dan tanah kerana diarah berpindah ke situ pada 2004 dalam usaha kerajaan mewujudkan penempatan baru nelayan yang lebih tersusun dan terancang.
Katanya, ketika itu, penduduk dijanjikan hak milik dan pampasan ganti rugi tetapi masih belum mendapatnya sehingga kini.

Bapa kritikal, sukar bernafas


ALOR SETAR – Seorang lelaki yang bertindak membakar diri sehingga menyebabkannya terbakar 100 peratus dalam kejadian di rumahnya di Kampung Ruat, Yan dekat sini pada pagi kelmarin masih belum sedarkan diri dan sukar bernafas.
Zinol Ismail, (gambar) 51, seorang petani dilaporkan masih kritikal dan tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Yan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada petang kelmarin.
Sementara, dua anak lelaki Zinol iaitu Badrul Amin, 14, dan Amirul Hadi, 12, yang turut melecur ketika cuba menyelamatkan bapanya itu kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Kebakaran HSB.
Isteri Zinol, Salma Saad, 47, memberitahu, suaminya masih tidak sedarkan diri dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Melihat keadaan suami yang semakin lemah dengan badan membengkak, saya hanya mampu berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, dua anak lelakinya yang turut melecur kini dalam keadaan stabil tetapi mengalami demam dan muntah-muntah.
“Badrul Amin dan Amirul Hadi juga menangis kerana menahan pedih akibat melecur daripada bahagian kaki sehingga tangan dan Amirul Hadi juga beberapa kali diserang lelah.
“Saya berharap mereka berdua sempuh cepat bagi membolehkan mereka menjalani peperiksaan tidak lama lagi,” ujarnya.

Menyekat akses laman porno






KETIKA Indonesia masih bergelut dengan masalah sosial yang meruncing akibat gejala penyebaran kandungan pornografi di kalangan remajanya, Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto pantas mencipta satu lagi episod memalukan negara berkenaan dengan gelagatnya menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Jumaat lalu.
Lebih memalukan rakyat Indonesia kerana Arifinto merupakan antara individu yang bertanggungjawab meluluskan undang-undang antipornografi di Indonesia sejak tahun 2008. Pengkritik Indonesia lantas menggelarnya sebagai manusia hipokrit dan mahu dia dihukum di bawah undang-undang yang sama.
Jika dilihat rentetan kes membabitkan penyebaran kandungan pornografi di Indonesia, keberkesanan undang-undang antipornografinya seolah-olah pincang dan longgar, lebih-lebih lagi tanpa sekatan media yang menyalurkan kandungan pornografi secara menyeluruh.
Sejak sekian lama masalah sosial seperti pelacuran, pengguguran janin, seks luar nikah dan sebagainya semakin berleluasa di Indonesia, ia seperti dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan tegas oleh pihak yang bertanggungjawab.
Titik kemunculan penerbitan berunsur lucah di Indonesia dilihat sebagai kesan kejatuhan bekas Presiden Suharto pada tahun 1999 selepas satu demi satu majalah yang menjual cerita-cerita dan gambar-gambar berunsur seks memasuki pasaran Indonesia sejurus itu.
Bagaimanapun, kemunculan majalah-majalah itu tidak mencetuskan kontroversi besar di negara yang mempunyai lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.

INDONESIA dipercayai negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.


Hanya beberapa tahun sejak kebelakangan ini, terutama apabila video seks artis Ariel Peterpan dengan dua artis wanita iaitu Luna Maya dan Cut Tari tersebar. Ia menjadi tajuk-tajuk berita utama Indonesia dan negara-negara jirannya, rakyat Indonesia mula membuka mata.
Apatah lagi, gelagat Arifinto yang memalukan institusi undang-undang dan pemerintah Indonesia baru-baru ini, peletakan jawatan malah penegasannya yang tidak sengaja mengakses e-mel kandungan lucah melalui komputer tabletnya itu menambah kebimbangan rakyat mengenai keberkesanan undang-undang antipornografi negara berkenaan.
Laman web lucah
Terdahulu, Menteri Penerangan Indonesia, Tifatul Sembiring berkata, beliau akan merangka undang-undang baru bagi menangani masalah itu yang telah menghina negara.
"Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2007 mendapati, sebanyak 97 peratus pelajar sekolah menengah di Indonesia pernah mengakses laman web lucah," ujarnya.
Menurut data daripada Associated Press (AP), Indonesia merupakan negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.
Kajian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Menentang Pornografi di Indonesia pula mendapati, remaja di antara umur 14 hingga 19 tahun paling banyak mencari kandungan pornografi dalam bentuk video cakera padat (DVD), cakera video digital (VCD) atau buku komik.
Dalam pada itu, kajian Universitas Islam Indonesia pula menyatakan kira-kira 90.7 peratus kes penderaan seksual dan rogol di Indonesia dilakukan oleh remaja dan 68.2 peratus remaja mengaku pernah melakukan hubungan seks.

GELAGAT Arifinto menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat dikatakan memalukan pemerintah Indonesia.


Masalah itu dikatakan berlarutan akibat kelonggaran undang-undang berkaitan dan tiada pendidikan sosial khas kepada remaja mengenai bahaya pornografi serta tiada sekatan menyeluruh ke atas media yang mengandungi elemen pornografi.
Undang-undang pornografi telah wujud di Indonesia sejak tahun 2008 tetapi pelaksanaannya dilihat kurang tegas. Penyebaran pornografi dalam pelbagai bentuk dilarang tetapi mereka yang melanggar undang-undang hanya dikenakan denda maksimum yang rendah.
Disebabkan itu, masih ada segelintir rakyat Indonesia yang masih menyebarkan kandungan pornografi kerana mereka yakin faedah yang mereka dapati lebih lumayan berbanding hukuman yang dikenakan.
Terlepas hukuman
Contohnya, dalam kes Budi Han, suspek utama dalam kes penyebaran gambar bogel dan video melalui Internet dan VCD beberapa pelakon Indonesia, seperti Sarah Azhari, Rachel Maryam, and Femmy Permatasari pada tahun 2003 tidak dikenakan hukuman penjara kerana polis tidak menemui VCD asalnya.
Polis juga bersetuju melepaskannya daripada sebarang hukuman walaupun dia didapati bersalah pada masa itu.
Masalah implementasi undang-undang antipornografi Indonesia turut dicacatkan oleh sejumlah kumpulan penentang di Indonesia yang membantah undang-undang pornografi di Indonesia atas alasan ia menyekat kebebasan beragama seperti ia menyekat pelbagai etnik budaya mengamalkan aktiviti tradisi mereka.
Undang-undang berkenaan mendefinisikan pornografi sebagai sesuatu yang bersifat ketelanjangan. Justeru, bantahan dibuat dengan mengemukakan beberapa alasan antaranya ia bakal menimbulkan isu mengenai pemakaian wanita Jawa Barat ketika melakukan tarian japongan dan wanita yang mengamalkan pakaian seperti berkemban di Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Bagaimanapun, apabila video seks yang melibatkan ketiga-tiga artis Indonesia iaitu Ariel Peterpan, Luna Maya dan Cut Tari tersebar, ia mula menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap pengaruhnya kepada orang ramai khususnya golongan muda.
Jika sebelum ini pejuang hak asasi manusia dan kebebasan media massa sering membantah sebarang tindakan pemerintah untuk menyekat pengedaran bahan yang tidak sesuai melalui Internet dan sebagainya, tetapi kini mereka juga yang melahirkan rasa bimbang mengenai pengedaran bahan sedemikian tanpa kawalan.
Lantaran itu pemerintah Indonesia memutuskan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal pengedaran bahan di Internet supaya kesan negatifnya dapat dikurangkan kepada masyarakat.
Tahun lalu pemerintah Indonesia mengumumkan sekatan ke atas empat juta laman porno di Internet setelah menerima desakan masyarakat secara berterusan berhubung perkara itu sebagai usaha melindungi golongan remaja daripada pengaruh pornografi.
Sekatan akses itu meliputi semua laman yang mengandungi bahan pornografi seperti aksi persenggamaan normal mahupun yang di luar tabie, aksi bogel, penampilan visual alat kelamin dan simbol-simbol pornografi.
Menteri Komunikasi dan Informatika Tifatul Sembiring berkata, langkah itu selaras dengan kehendak undang-undang antipornografi Indonesia yang diluluskan pada 30 Oktober 2008.
"Pada masa ini, kira-kira 90 peratus laman porno sedang disekat aksesnya, kami akan melakukannya berperingkat-peringkat sehingga semuanya disekat," katanya pada sidang akhbar di Jakarta tahun lalu.
Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia misalnya telah menyatakan bahawa penyebaran video porno artis popular dan selebriti Indonesia Ariel, Luna Maya dan Cut Tari telah mendorong penontonnya memperkosa 33 orang kanak-kanak.
"Sekatan akses itu akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ramadan, selagi undang-undang antipornografi berkuat kuasa," katanya.
Sekatan itu akan membabitkan semua kata kunci dalam pencarian yang boleh dikaitan dengan seks seperti 'bogel' dan seumpamanya.
Namun, ekoran gelagat Arifinto minggu lalu, timbul persoalan apakah sekatan yang dijalankan itu signifikan ke atas masyarakat Indonesia apabila kandungan-kandungan pornografi masih boleh dicapai dengan mudah.
Populasi tertinggi
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor. Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar berpendapat, kegagalan Indonesia mengawal penyebaran kandungan pornografi adalah disebabkan status negara berkenaan sebagai antara negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia.
"Walaupun undang-undang diwujudkan, sukar mengawal penyebaran maklumat di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 200 juta dan pada masa yang sama mempunyai sistem maklumat yang canggih," katanya.
Menurut Jas Laile, Indonesia boleh dianggap sebagai negara yang liberal, baik dari segi agama, pengamalan budaya dan pemecahan etnik yang terlalu banyak.
"Tidak seperti di Malaysia, dalam perlembagaan termaktub bahawa Melayu itu muslim tetapi di Indonesia adalah sebaliknya.
"Kebebasan yang mereka miliki merupakan peluang yang luas untuk pengaruh negatif seperti pornografi meresap masuk ke dalam masyarakat mereka sehingga sukar dikawal oleh kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, keberkesanan pelaksanaan undang-undang boleh diperbaiki sekiranya kerajaan bersikap lebih tegas seperti negara-negara maju yang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah pornografi secara menyeluruh.
"Masalah penyebaran pornografi berlaku di semua negara, tidak terkecuali Malaysia. Selain undang-undang yang tegas, menjadi tanggungjawab individu, ibu bapa dan masyarakat itu sendiri untuk mempunyai kesedaran mengenai bahaya pornografi.
"Sekiranya kerajaan itu sendiri sukar mengawal penyebaran pornografi, pengawalan sepatutnya bermula di rumah. Ibu bapa harus memantau aktiviti anak-anak setiap kali mereka menggunakan komputer," katanya.

Safee terus mencipta nama sebagai pemusnah




SAFEE (kanan) terus mempamerkan sengatnya sebagai peledak berbisa sejak menyertai Pelita Jaya 5 Mac lalu.


PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali terus menampilkan aksi cemerlang apabila meledak satu gol ketika membantu Pelita Jaya mengikat Persela 1-1 pada aksi Liga Super Indonesia (ISL) kelmarin.
Pada aksi di Stadium Lamongan, Surajaya, Jawa Timur itu, Pelita Jaya terpaksa beraksi 10 pemain setelah Juan Ramirez dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan seawal minit ke-27.
Namun ia tidak menghalang Safee untuk merembat masuk gol pendahuluan Pelita Jaya pada minit ke-50 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Gustavo Fabian Lopez pada minit ke-71.
Perlawanan kelmarin merupakan aksi keenam Safee bersama Pelita Jaya sejak 5 Mac lalu dan apa yang menariknya, penyerang berusia 27 tahun itu sudah pun mengumpul sebanyak lima gol peribadi.
Biarpun hanya beraksi sebaik tirai saingan pusingan kedua ISL bermula, Safee semakin hampir menjengah masuk dalam senarai 10 penjaring terbanyak ISL yang kini dikuasai Boaz Salossa dari Persipura dengan 20 gol.
Ia diikuti Edward Wilson (Semen Padang) dengan 14 gol, Kenji Adachihara (Bontang) 11 gol, Marcio da Silva (Deltras) 10 gol, Bambang Pamungkas (Persija) 9 gol, Cristiano Figueiredo (Deltras), Foday Boakay Eddy (Persiwa) dan Julio Venegas (Persisam) dengan 8 gol manakala Herman Dzumafo Epandi (PSPS) dan Keith Gumbs (Sriwijaya) 7 gol.
Selepas menduduki tangga tercorot daripada 15 pasukan pada permulaan pusingan kedua ISL, Pelita Jaya kini sudah naik ke tangga ke-13 dengan 20 mata, tambahan 10 mata sejak kehadiran Safee.
Aksi Safee bersama Pelita Jaya seterusnya selepas ini ialah bertemu pasukan di tangga ke-11, Deltras di gelanggang lawan malam esok.