Tuesday, April 05, 2011

TEPCO guna garam mandian untuk sekat kebocoran radiasi




Para pekerja yang memakai pakaian khas menyembur pelekat sintetik di loji nuklaer Fukushima Dai-ichi dalam usaha menyekat kebocoran radiasi daripada terus masuk ke dalam laut.


TOKYO - Para jurutera pengendali loji nuklear Fukushima Dai-ichi, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) menggunakan garam mandian dalam usaha terbaru mereka untuk mengesan satu kebocoran yang berlaku pada salah satu reaktornya.
Garam mandian itu digunakan bagi menghasilkan warna putih, sekali gus membantu mengesan punca kebocoran. TEPCO turut merancang memasang sejenis 'langsir' sebagai cubaan menghalang air beradiasi daripada terus memasuki laut. TEPCO bagaimanapun masih belum menyatakan apakah material yang akan digunakannya.
"Kami perlu menghalang penyebaran air tercemar daripada terus merebak ke laut secepat mungkin. Kami telah meminta TEPCO supaya bertindak pantas," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.
Edano turut memberi amaran bahawa radiasi terkumpul daripada kebocoran itu boleh memberi impak besar kepada Lautan Pasifik.
Pada hujung minggu lalu, mereka mencampurkan serbuk kayu dan surat khabar dengan polimer serta simen untuk menyekat kebocoran. Setakat ini, usaha tersebut gagal untuk menampal retakan pada satu pit konkrit pada reaktor No. 2 yang menyebabkan air mengandungi radioaktif masuk ke dalam laut.
Jepun menyatakan bahawa tiga daripada enam reaktor di loji terbabit secara keseluruhannya berada dalam keadaan stabil.
Dalam perkembangan lain, TEPCO mula membuang lebih 10,000 tan air yang mengandungi tahap radiasi rendah ke laut bagi menstabilkan loji tersebut. "Kami tiada pilihan, ini adalah langkah keselamatan," jelas Edano.
Tindakan itu diambil untuk menambah ruang penyimpanan yang semakin penuh dan menjejaskan usaha pembaikan. TEPCO menegaskan bahawa air yang tercemar itu tidak akan menjejaskan kehidupan marin. - Agensi

Lelaki meluncur di sisi jerung putih



CHRIS FALLOWS berdayung di sisi seekor jerung putih.



CAPE TOWN, Afrika Selatan - Seorang peluncur ombak, Chris Fallows berdayung menghampiri seekor jerung putih sambil berdiri di atas papan luncur bagi membuktikan pemangsa itu tidak seganas seperti yang digambarkan dalam filem Jaws, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, ramai peluncur ombak takut berbuat demikian kerana jerung putih dipercayai gemar menyerang peluncur ombak kerana mereka kelihatan seperti seekor penyu di permukaan laut.
Namun, bagi Fallows, 36, pendapat tersebut adalah tidak benar.
"Kebarangkalian untuk jerung putih menyerang manusia secara spontan adalah amat kecil," katanya.
Lelaki itu mengendalikan ekspedisi melihat ikan jerung di perairan di sini.
Namun, mereka yang tidak memiliki keseimbangan badan yang baik, dilarang meniru aksi tersebut. - Agensi

TV tertua di Britain dilelong




SET televisyen Marconi 702 yang berusia 75 tahun


LONDON - Set televisyen tertua di Britain yang dipasang pada 1936, akan dilelong pada harga bidaan bermula £5,000, (RM24,415), lapor sebuah akhbar semalam.
Set televisyen jenis Marconi 702 itu yang didatangkan dengan skrin berukuran 30.48 sentimeter, masih berfungsi dengan baik walaupun sudah beroperasi selama 75 tahun.
Ia dibeli pada harga bawah £100 (RM488) oleh seorang lelaki, G. B. Davis selepas tiga minggu siaran televisyen bermula di Britain.
Pada masa itu, cuma terdapat satu saluran di Britain yang bersiaran selama tiga jam setiap hari.
"Set ini dijual oleh keluarga pemilik asalnya (telah meninggal dunia) dan merupakan televisyen tertua di Britain yang masih berada dalam keadaan baik," kata pakar agensi lelongan Bonhams yang mengendalikan lelongan itu, Laurence Fisher. - Agensi

Kahwin lagi? Nanti dululah – Nana



NANA di samping permata hati tersayang, Muhammad Rayyan Nakhaie.


KEHILANGAN rakan baiknya, vokalis Spin, Achik dan bapa kepada cahaya matanya, pelakon Faizal Yusof dalam jurang tidak sampai setahun merupakan detik yang amat perit untuk ditelan oleh ibu tunggal ini.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) lebih kurang pukul 6 petang pada 18 April tahun lepas.
Faizal pula meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 tengah hari di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 1 Januari tahun ini akibat serangan jantung.
Biarpun begitu, pemilik nama Siti Nordiana Alias atau Nana tidak pernah luntur semangat.
Sebaliknya, dia tahu hidup perlu diteruskan demi untuk membesarkan satu-satunya zuriat yang ditatang bagai minyak yang penuh, Muhammad Rayyan Nakhaie, tiga tahun.
Tempoh 12 tahun berkecimpung dalam dunia seni tidak akan disia-siakan begitu sahaja, justeru, Nana nekad untuk membuat kemunculan semula selepas sepi tanpa sebarang produk hampir dua tahun.
Dengan itu, demi memberitahu umum bahawa dia masih lagi relevan dalam bidang seni suara, Nana bakal muncul dengan sebuah album baru bertajuk Semakin Jelas yang telah berada di pasaran sejak 14 Mac lalu.
“Hampir dua tahun saya tidak mempunyai produk selepas album duet kedua saya dengan arwah Achik iaitu Benang Emas terbitan FMC Music Sdn. Bhd. pada tahun 2007.
“Kemunculan album baru saya adalah untuk memberitahu peminat tentang perkembangan suara saya selepas sekian lama tidak muncul dengan album baru,” katanya yang ditemui semasa menghadiri sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini.
Hadir ditemani putera tunggalnya itu, Nana memberitahu, album solo keenamnya memuatkan lapan buah lagu termasuk dua buah lagu baru iaitu Semakin Jelas dan Tak Tahan di samping enam buah lagu yang belum pernah diperdengarkan lagi.
Album yang memakan masa hampir tiga bulan untuk disiapkan itu turut dimuatkan dengan dua buah lagu berirama pop tradisional dan sebuah lagi lagu duet bersama penyanyi irama Malaysia, Syura.
Bercerita tentang album tersebut, kata Nana ia merupakan pertaruhan terkini kariernya sebagai seorang penyanyi dan pelbagai perubahan yang telah dilakukan.
Penyanyi yang sering tampil dengan muzik bergenre balada itu turut memberikan kelainan dalam Semakin Jelas menerusi genre pop alternatif melalui lagi Tak Tahan.
Pendekatan mencuba genre yang berlainan perlu dilakukan untuk mengikut perkembangan aliran muzik semasa dan sebagai petanda bahawa Nana mampu menjadi seorang penghibur yang versatil.
“Saya berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baru agar dapat menerima dan membantu menyokong karier saya,” tuturnya.
Berbicara tentang kehidupan peribadi, penyanyi berusia 27 tahun itu memberitahu, sejak pemergian bekas suaminya, dia perlu terus berusaha gigih dalam kerjaya nyanyiannya agar masa depan anaknya terbela.
“Setakat ini, rezeki saya bertambah baik. Tawaran jemputan dan undangan nyanyian juga tidak menghampakan dan jadual saya juga agak padat sekarang.
“Keadaan sudah berbeza. Dulu arwah yang menanggung kos anak, tetapi kini saya yang perlu ambil alih. Saya mahu anak saya membesar dengan sempurna, cukup makan, cukup pakai dan segala-galanya,” ujar Nana yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor pendidikan di Unity College International, Petaling Jaya.
Puas berbicara soal karier, Nana diajukan pula persoalan jika dia sudah bersedia untuk mencari pengganti yang boleh membimbing diri dan juga anaknya.
Terdiam sejenak, Nana hanya tersenyum sebelum memberi reaksi.
“Nanti dululah. Jadual saya sedang padat. Selain itu, saya perlu fokus kepada anak saya terlebih dahulu,” ujar penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu dengan ringkas.

Kematian Saiful: Ustaz akui gagal kawal emosi


KANGAR – Seorang ustaz yang disyaki terbabit memukul Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Jejawi, Arau dekat sini sehingga meninggal dunia kelmarin sempat meminta maaf di atas perbuatannya baru-baru ini.
Menurut bapa angkat murid tersebut, Mohd. Zamri Shafie, 40, ustaz berkenaan datang menemuinya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Jumaat lalu bagi menyatakan kekesalan dan meminta maaf kerana memukul Saiful.
Katanya, ustaz berusia 27 tahun itu mengakui gagal mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan ketika menyoal siasat Saiful Syazani Saiful yang juga seorang anak yatim berhubung satu kes kecurian di sekolah tersebut.
“Dia (ustaz berkenaan) tidak sedar ketika memukul Saiful sehingga menyebabkan anak angkat saya cedera parah dan lebih malang meninggal dunia.
“Sedih dan terkilan apa yang terjadi, namun saya menerima permohonan maaf ustaz itu kerana menyifatkan dia seorang yang baik,” katanya.

Ajal dihempap motosikal ibu


ORANG ramai melihat keadaan motosikal dan mayat Mohd. Danial yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kubang Kerian, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Tindakan seorang ibu yang membawa dua anaknya menunggang motosikal untuk membeli nasi kukus pada waktu malam mengundang padah apabila salah seorang kanak-kanak itu maut dalam kejadian di Jalan Kubang Kerian, dekat sini kelmarin.
Lebih menyedihkan apabila kepala Mohd. Danial Zamri, 5, pecah akibat dihempap motosikal yang ditunggang ibunya selepas tiga beranak itu tercampak sebaik bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama dalam kejadian pukul 8.45 malam tersebut.
Dalam kejadian itu, ibu kanak-kanak tersebut, Rinawati Lilianita Mohd. Idris, 25, dan adik Mohd. Danial, Mohd. Zarif Hakimi, 3, cedera dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Ketika kejadian, mereka dari arah Kubang Kerian ke Binjai.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, selepas bergesel, ketiga-tiga beranak tercampak dengan Mohd. Danial dihempap motosikal tersebut lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, polis telah mengambil keterangan pemandu lori berusia 46 tahun dari Jerteh, Terengganu untuk membantu siasatan.

Safee mahu pulang tabur bakti


SAFEE (kiri) bersedia menyarung jersi skuad kebangsaan bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2014 sekiranya dipanggil oleh jurulatih, K. Rajagobal.


BIARPUN semakin mencipta nama bersama kelab Pelita Jaya di Indonesia, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali tetap mahu pulang membantu Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2014.
Selepas beraksi lima perlawanan bersama Pelita Jaya pada saingan Liga Super Indonesia (ISL) bermula 5 Mac lalu, Safee, 27, sudah berjaya meledak empat gol dan membantu pasukannya mencatat tiga kemenangan daripada lima perlawanan.
Lebih menarik, Pelita Jaya yang sebelum kehadiran Safee hanya berjaya mengutip 10 mata daripada 14 perlawanan tetapi selepas kehadiran Safee, Pelita Jaya sudah mengumpul sembilan mata dan tidak lagi menghuni tangga tercorot ISL.
Menurut Safee, dia kini cukup gembira kerana bebanan dan harapan tinggi membantu kelab itu berjaya dilaksanakan dengan baik setakat ini tetapi pada masa yang sama tetap rindu untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Memang gembira kerana empat gol saya setakat ini berjaya menghadiahkan tiga kemenangan kepada Pelita Jaya. Ia terhasil dengan bantuan rakan-rakan dan tidaklah saya sendirian menanggung beban.
“Tentang tugasan skuad kebangsaan, jika dipanggil jurulatih (K. Rajagobal), memang saya sentiasa bersedia untuk pulang menyarung jersi kebangsaan Malaysia menentang Taiwan (29 Jun dan 3 Julai) pada aksi Kelayakan Piala Dunia.
“Tetapi ia tertakluk kepada jadual pasukan dan saya rasa perkara ini saya serahkan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan Pelita Jaya untuk membincangkannya,” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malam kelmarin, Safee menjaringkan gol keempat peribadinya ketika Pelita Jaya menewaskan Persijap 2-0 di Stadium Singaper bangsa, Karawang menerusi satu sepakan gunting menarik pada minit ke-10.
Masih ada baki sembilan lagi perlawanan yang perlu diharungi Safee dan Pelita Jaya untuk saingan ISL musim ini tetapi bekas penyerang Selangor itu tidak dapat diturunkan pada aksi seterusnya menentang Persela, Rabu depan.
“Semalam (kelmarin) saya menerima kad kuning kedua dan akan digantung satu perlawanan. Memang kecewa.
“Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik apabila bertemu Deltras pada 16 April ini,” jelas Safee.

Mutiara tabioka bubble tea





CUACA panas pada petang itu membuatkan kios jualan Cup Bon Rolling Ice yang dimiliki oleh Md. Muzammil Mazlan, 31, dikunjungi ramai pelanggan. Masing-masing memesan minuman kegemaran bubble mereka.
Ada yang memilih perisa tiramisu, durian belanda dan jambu batu, yogurt dan banyak lagi perasa enak yang mampu menghilangkan dahaga sewaktu menyedut minuman istimewa itu buat kali pertama.
Beroperasi di Kasturi Walk, Pasar Seni, kios jualan tersebut berjaya menarik perhatian masyarakat terutama golongan muda yang sememangnya menggemari minuman tersebut.
Menurut Muzammil, minuman bubble amat popular di Taiwan, Korea dan Singapura. Justeru, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai perniagaan francais minuman tersebut di bawah kendalian Cup Bon Rolling Ice.
Penggemar setia
“Saya merupakan salah seorang penggemar setia minuman bubble. Apabila selalu menikmatinya, tiba-tiba terlintas di fikiran untuk menceburi francais dalam jualan minuman ini.
“Berbekalkan modal sebanyak RM30,000, saya berjaya memiliki kios jualan di Kasturi Walk yang baru dilancarkan sejak bulan Februari lalu. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujar Muzammil bumiputera pertama yang membuka kios jualan minuman bubble di bawah jenama Cup Bon Rolling Ice.
Terdapat enam jenis minuman bubble yang ditawarkan oleh kios Muzammil iaitu Pure Green Tea & Black Series, Rolling Ice Series, Milk Tea Series, Snow Ice Series, Yobon Series dan Coffee Series.
Minuman tersebut dijual pada harga di antara RM4.50 hingga RM5.50 secawan. Namun, menariknya daripada enam jenis tersebut, ia boleh divariasikan kepada 28 perisa termasuk buah-buahan.

SEKUMPULAN remaja seronok menikmati minuman Bubble di kios Kasturi Walk.


Tambah Muzammil, antara minuman yang sering dipesan pelanggan adalah perasa tiramisu daripada Coffee Series yang cukup lazat dinikmati ketika cuaca panas.
“Selalunya pelanggan yang sudah mencuba minuman ini, pasti akan datang untuk menikmatinya buat kali kedua dan seterusnya menjadi pelanggan tetap di kiosk kami,” jelas bekas kontraktor itu ketika ditemui di kiosnya baru-baru ini.
Memberi kepuasan
Sementara itu, seorang pelanggan, Rizam Abdul Razak, 41, memberitahu, minuman bubble mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia memberi kepuasan kepada peminumnya.
“Segelas minuman ini boleh mengenyangkan dan memberi tenaga disebabkan sagu mutiara (pearl tabioka) yang terdapat di dalamnya. Selain itu, saya hanya minum sedikit air suam selepas menikmati minuman bubble,” kata Rizam.
Sagu mutiara yang diperbuat daripada ubi kayu digunakan sebagai bahan tambahan untuk minuman tersbeut. Selepas dimasak ia akan mengembang dan tenggelam ke dasar sekali gus dilihat sebagai gelembung hitam yang sangat menarik.
Disebabkan itulah orang menggelarnya sebagai minuman bubble (gelembung).
Bagi Syuhada Lamry, 20, pula minuman tersebut mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding minuman biasa. Sehubungan itu, tidak hairanlah jika ia mampu menarik perhatian masyarakat khususnya golongan remaja.
“Sekurang-kurangnya saya akan membeli minuman bubble dua kali seminggu jika keluar ke mana-mana. Tambahan pula cuaca panas terik, sudah tentu ia begitu berharga ketika dinikmati,” tutur Syuhada sambil menyedut minuman bubble yang baru dibeli.
Untuk maklumat lanjut mengenai minuman ini, layari laman web www.cupbon.com.

Karnival IT dibanjiri telefon tiruan


05/04/2011 6:25pm

PORT DICKSON - Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli telefon bimbit di tapak-tapak karnival menjual peralatan komputer dan elektronik di seluruh negara berikutan ada peniaga dikesan menjual telefon bimbit tiruan.
Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson Yusuf Bakar berkata, perbuatan itu dikesan selepas pasukannya merampas 143 unit telefon bimbit tiruan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di Dataran Rembau minggu lepas.
Rampasan yang dibuat itu melibatkan 10 tapak gerai di karnival itu, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
"Mereka akan menayangkan telefon bimbit yang asli di ruang pameran gerai mereka tetapi selepas pembeli bersetuju dengan harga tawaran, mereka akan membuat keadaan seperti kelam kabut sebelum menukarkan telefon asli itu dengan telefon tiruan yang disimpan di bawah kaunter,” katanya.
Modus operandi para peniaga di tapak karnival ini turut dikesan di Senawang sebelum ini dan beliau percaya peniaga terbabit mempunyai rangkaian di seluruh negara. - Bernama

Kanak-kanak perempuan diculik?


05/04/2011 5:35pm

KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan hilang dipercayai diculik lewat petang semalam ketika bersama kakak iparnya, 23, dan seorang saudaranya berusia 10 tahun, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, kejadian itu berlaku di sebuah kedai telefon bimbit milik ibu kanak-kanak itu di Jalan Kuantan-Gambang berhampiran dengan sebuah pasar raya kira-kira 7 petang.
Bercakap kepada pemberita Narenasagaran meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak berkenaan, Nur Hafiqah Zarissya Mohd Nawawi, menghubungi polis di talian            09-5751999      . - Bernama