Naza bantu rumah kebajikan
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kumpulan Naza berjaya mengumpul RM250,000 hasil jualan kereta keluarannya melalui program Promosi Ramadan bagi didermakan kepada lima rumah anak-anak yatim dan kebajikan di seluruh negara.
Melalui promosi yang diadakan pada Ogos dan September lalu itu, Naza berjaya mengutip sumbangan RM500 daripada 500 pembeli kereta baru di syarikat itu. (Gambar di muka 16)
Ketua Eksekutif Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin berkata, kempen jualan itu berjaya menarik pembeli untuk membeli kereta keluaran syarikat berkenaan di samping menderma untuk tujuan kebajikan.
"Setiap rumah kebajikan menerima RM50,000 bagi membantu mereka meneruskan operasi demi masyarakat," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Naza dan Penyampaian Sumbangan itu, di sini hari ini.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Hamimah Hamidon; Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Sultan Abdul Halim.
Pada majlis itu, lima rumah kebajikan iaitu Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang, Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (Persidam) Maahad Tahzib Wa Al-Taalim di Shah Alam, Selangor dan Rumah Tunas Harapan Payong di Negeri Sembilan.
Turut menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh SM Faisal itu adalah Rumah Seri Kenangan, Bedong di Kedah dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Kluang, Johor.