Najib tiba di Brussels untuk sidang kemuncak Asem
04/10/2010 3:00am
BRUSSELS 4 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini petang semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (Asem) ke-8 yang bermula Isnin ini.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Brussels pada kira-kira 5.30 petang (11.30 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Najib disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Hussein Haniff dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan isteri Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad menyambut Najib dan Rosmah semasa tiba di Conrad Hotel, tempat perdana menteri menginap sepanjang lawatannya ke sini.
Dengan tema “Quality of Life: Achieving Greater Well-being and More Dignity for All Citizens” (Kualiti Kehidupan: Mencapai Kebajikan Lebih Luas dan Digniti Lebih Besar bagi Semua Rakyat), sidang itu membincangkan isu-isu seperti tadbir urus ekonomi global, pembangunan lestari, hak asasi manusia, bantuan bencana, penghadan senjata, keganasan dan jenayah terancang.
Juga dalam agenda, isu hubungan rakyat dengan rakyat dan masa depan Asem. – BERNAMA