Fokus pendekatan 4P
TARIKH 13 September lalu mencatatkan satu lagi sejarah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila TAN SRI ISMAIL OMAR (gambar) dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baru. Ismail, 57, dilantik sebagai KPN kesembilan menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang bersara setelah 41 tahun berkhidmat dalam PDRM.
Seperti KPN terdahulu, Ismail juga mempunyai visi, misi dan sasaran untuk memastikan PDRM tetap unggul sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat serta negara ini.
Tidak menghairankan sekiranya ada persoalan bermain di fikiran Ismail tatkala diberikan amanah untuk menerajui pasukan polis, sebuah organisasi yang sentiasa dipantau mutu perkhidmatannya oleh rakyat, malah kerap menjadi sasaran kritikan pihak tertentu.
Setelah 21 hari memegang jawatan tersebut, wartawan Utusan Malaysia, ANGELINA SINYANG berpeluang menemu bual Ismail buat pertama kali di pejabatnya di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
Seperti KPN terdahulu, Ismail juga mempunyai visi, misi dan sasaran untuk memastikan PDRM tetap unggul sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat serta negara ini.
Tidak menghairankan sekiranya ada persoalan bermain di fikiran Ismail tatkala diberikan amanah untuk menerajui pasukan polis, sebuah organisasi yang sentiasa dipantau mutu perkhidmatannya oleh rakyat, malah kerap menjadi sasaran kritikan pihak tertentu.
Setelah 21 hari memegang jawatan tersebut, wartawan Utusan Malaysia, ANGELINA SINYANG berpeluang menemu bual Ismail buat pertama kali di pejabatnya di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
WARTAWAN: Apa perasaan Tan Sri dan perancangan-perancangan yang diatur sebaik sahaja diberikan kepercayaan menyandang jawatan KPN?
ISMAIL: Terlebih dahulu, saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana memperkenankan pelantikan saya sebagai KPN.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menyokong saya menyandang jawatan yang penting ini.
Soalan pertama saya yang ditanya kepada diri saya sebaik saja disahkan jawatan KPN ialah apakah yang patut saya buat kepada masyarakat iaitu semua rakyat Malaysia tidak kiralah sama ada orang Sabah, Sarawak, India atau Cina. Apa yang patut saya lakukan kepada rakyat Malaysia?
Kedua, bagaimana saya nak tingkatkan imej pasukan polis lebih tinggi berbanding sebelum ini. Pada saya, dua soalan ini penting kerana pertama saya menyedari bahawa masyarakat dan dunia sudah berubah di mana-mana. Saya sedar bahawa perkembangan dunia begitu kuat dalam soal ekonomi, sosial dan politik, malah keadaan cuaca pun sudah banyak berubah.
Semua ini bagi saya ada kesannya kepada tindakan manusia itu sendiri, dunia dan mengakibatkan manusia itu bertindak balas.
Salah satu lagi perkembangan yang saya tidak boleh lupakan adalah kemajuan teknologi maklumat (IT) begitu pantas sehingga kemajuan IT menyebabkan cara kita bekerja dan gaya hidup berubah.
Saya lihat PDRM hari ini yang dipertanggungjawab untuk menentukan keamanan dan kesejahteraan negara memang telah lama memainkan peranan tersebut, malah ia sudah dilaksanakan oleh KPN terdahulu daripada saya.
Saya percaya ketua-ketua saya yang terdahulu (bekas-bekas KPN), semuanya ketua-ketua yang hebat seperti Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Sebab itu, saya rasa kalau saya menerajui PDRM saya mesti meletakkan diri saya di kemahiran lebih tinggi berbanding dahulu.
Kalau pasukan polis itu sendiri tidak boleh berubah daripada arus perubahan dan kehendak masyarakat dan alam ini, maka saya takut pasukan kita akan sentiasa berada di bawah.
Ini yang saya bimbangkan, inilah tugas berat yang menjadi tanggungjawab dan amanah saya. Saya akan menjadikan dua perkara ini sebagai fokus utama.
Selain itu, saya memulakan jawatan saya dengan memperingatkan pegawai saya tentang slogan yang pernah saya nyatakan sebelum ini iaitu saya akan bekerja berpaksikan kepada undang-undang dan memberi perkhidmatan terbaik untuk menentukan kesejahteraan rakyat.
Itulah pandangan komprehensif saya sebagai KPN iaitu untuk membantu mentadbir negara kita kerana tugas polis antara lain ialah membantu negara mencapai kemajuan.
Dalam menghadapi cabaran ini, saya lihat dari dalaman saya iaitu merujuk kepada PDRM itu, saya masih perlu memperkukuhkan PDRM sebagai organisasi berwibawa dan profesional berbanding masa-masa terdahulu.
Di sini, saya merujuk kepada tiga aspek penting iaitu fizikal, mental dan kerohanian di mana saya rasa ia elemen penting perlu ada untuk memperkukuhkan PDRM.
Sebagai contoh, dalam aspek fizikal, anggota polis perlu mempunyai kesihatan yang baik dan kemas berpakaian bagi menunjukkan pegawai atau anggota terbabit bersedia untuk bekerja.Aspek mental pula berkaitan dengan ilmiah iaitu anggota polis mesti tahu apa yang berlaku di dunia ketika ini. Ia melibatkan anggota semua peringkat terutama peringkat konstabel yang kebanyakannya masuk menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi mereka, saya akan menekankan latihan lanjutan yang diberikan kepada mereka mestilah mempunyai elemen atau ciri-ciri pengetahuan tambahan iaitu mereka harus memahami budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ini kerana jika tidak faham budaya, ia boleh membantutkan perkhidmatan kita (polis).
Satu lagi perkara penting yang saya lihat ialah aspek kerohanian. Tidak kisahlah jika anggota polis itu beragama Islam, Buddha, Sikh atau Kristian. Anggota polis kena ada kekuatan dalaman kerana ia diperlukan sebab tekanan kerja amat berat. Tanpa kekuatan dalaman, kita tidak boleh mengawal minda.
Saya juga mahu memastikan usaha mengurangkan jenayah yang dimasukkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) diteruskan.
Saya nak rakyat Malaysia rasa betul-betul seronok jika jenayah dapat dikurangkan. Jika ini menjadi kenyataan, maka rakyat boleh tidur lena, rasa selamat bila berjalan dan tidak perlu risau terhadap keselamatan anak-anak. Kita juga mahu pelabur luar dan pelancong berasa selamat berada di negara ini.
Saya juga mahu menekankan pendekatan 4P kepada anggota untuk menjalankan tugas iaituProtective (melindungi), Performance (Kualiti Kerja), Proactive (Proaktif) dan People (Rakyat). Saya ada sasaran iaitu nak lihat mulai hari ini sampai 1 Disember ini, berapa banyak yang kita boleh capai dalam 4P ini.
Kita juga kena mendekatkan diri dengan remaja sebab saya sedih melihat kes berlaku dua hari lalu di Sentul di mana pegawai saya mati semasa mengejar mat rempit dan beberapa kes sama yang berlaku di Terengganu dan Kedah sebelum ini.
Fenomena budaya generasi muda melanggar dan tidak menghormati undang-undang seolah-olah seperti murid tidak dengar cakap guru atau anak tidak dengar nasihat ibu bapa. Kenapa mereka membenci polis yang sepatutnya melindungi mereka?
Sebelum ini, reputasi PDRM terjejas teruk sehinggakan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM diwujudkan. Bagaimana Tan Sri mahu memulihkan kembali imej polis?
Pertama, saya ingin maklumkan bahawa semua teguran suruhanjaya tersebut terhadap PDRM sudah 90 peratus kita berikan maklum balas. Masalahnya ialah saya lihat persepsi masyarakat terhadap polis tidak berubah. Jadi, saya akan cuba mengubah supaya masyarakat boleh melihat polis dari persepsi sebagai pelindung.
Ini kerana realitinya, polis berada dalam keadaan baik berbanding tahun-tahun yang sudah. Sebagai contoh, PDRM masih diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan tugas pengaman di Afrika dan Timor Leste, sekali gus menunjukkan PDRM berada dalam satu keadaan yang baik.
Polis tidak dapat lari daripada terlibat dalam salah laku semasa berkhidmat. Adakah ia menunjukkan perintah tetap KPN tidak dipatuhi? Terbaru, pegawai dan anggota polis terlibat dalam kes curi dadah yang dijadikan bahan bukti di Kuantan, Pahang.
Saya akui kita masih ada kambing hitam dalam pasukan, namun kita juga ada rekod-rekod polis yang sudah dituduh di mahkamah dan dibuang kerja kerana melakukan kesalahan semasa bertugas.
Ini menunjukkan perintah tetap KPN dilaksanakan dengan baik, cuma terdapat segelintir warga PDRM yang gagal melaksanakan perintah tersebut.
Namun, satu kes berlaku di Pahang ini seolah-olah menggambarkan PDRM gagal melaksanakan perintah tersebut, sedangkan banyak lagi kebaikan polis yang orang tidak pernah ceritakan.
Sebagai contoh, polis bekerja siang malam menolak rasuah tapi tidak didedahkan. Jadi, janganlah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Bagaimana pula maklum balas dan pandangan komuniti kaum India dan Cina terhadap polis?
Maklum balas mereka baik sekali. Kita sering bertemu dengan komuniti Cina dan India, malah sering dijemput turun padang untuk bekerjasama menjalankan aktiviti membanteras jenayah bersama mereka.
Pendekatan diambil Tan Sri yang mahu pegawai dan anggota turun padang akan melibatkan penggunaan banyak tenaga. Tidakkah ia membebankan PDRM yang mempunyai jumlah keanggotaan yang terhad?
Kita ada rancangan mahu menambah keanggotaan seramai 150,000 orang dalam masa terdekat. Ia sedang berjalan lancar, malah sekarang PDRM mempunyai 70,000 anggota.
Saya juga sedar, cara mendapatkan maklum balas daripada masyarakat kena ubah sikit. Sebab itu, saya buka pusat media dan laman sosial Facebook (FB) saya bagi membolehkan kita mendekatkan diri dengan masyarakat.
Sebagai orang yang sibuk, adakah Tan Sri mempunyai masa untuk memeriksa pesanan yang dihantar masyarakat melalui FB ini?
Saya ada pasukan saya untuk bantu periksa FB tersebut. Kalau saya sendiri memang tidak cukup masa kerana dalam sehari sahaja, saya menerima 700 pesanan.
Bagaimana pula kualiti pelatih yang keluar dari pusat latihan polis setelah tempoh latihan disingkatkan kepada tiga bulan?
Kita memendekkan tempoh latihan kepada tiga bulan bukan untuk suka-suka tetapi bagi memenuhi jumlah keanggotaan seperti permintaan. Kualiti latihan tidak terjejas.
Situasi politik di Malaysia tidak stabil sejak kebelakangan ini. Adakah wujud 'tangan ghaib' yang mempengaruhi tindakan polis?
Dalam polis tidak ada campur tangan politik. Bagi saya, kalau berlaku satu insiden, saya akan lihat ia seperti ini iaitu adakah ia melibatkan jenayah atau tidak.
Jika ini berlaku, maka keputusan akan diambil harus berbalik kepada undang-undang. Sesuatu berlaku, kena rujuk kepada undang-undang dan saya akan tanya apa bidang kuasa saya.