Monday, October 04, 2010

Iran tahan pengintip

Iran tahan pengintip

TEHERAN 3 Okt. - Iran menahan beberapa individu yang dipercayai terlibat mengintip fasiliti nuklearnya, kata Menteri Perisikan Iran, Heydar Moslehi, semalam.
Mengulas tentang kempen perang siber yang dilancarkan musuh terhadap Iran, beliau berkata, kementeriannya mampu mengesan sebarang tindakan sabotaj dengan segera dan mengambil langkah sewajarnya bagi menggagalkan usaha tersebut.
"Kami sering berhadapan aktiviti 'merosakkan' yang dilakukan melalui intipan dan kami juga telah menahan beberapa pengintip nuklear bagi menyekat tindakan yang boleh mendatangkan bahaya daripada pihak musuh," kata menteri itu seperti yang dipetik laman web Press TV.
Laporan itu bagaimanapun tidak memberi sebarang maklumat, sama ada penahanan tersebut mempunyai kaitan dengan sejenis virus yang Iran dakwa telah menjangkiti komputer di loji nuklear Bushehr, yang masih belum beroperasi.
Berdasarkan laporan yang dipetik Press TV daripada agensi berita Mehr, Moslehi berkata, musuh telah menghantar 'cecacing elektronik' melalui Internet untuk melemahkan aktiviti nuklear Iran.
Katanya, Iran juga mampu menangkis serangan seperti itu.
Segelintir pakar percaya, virus Stuxnet sengaja dicipta untuk sabotaj program nuklear Iran, yang disyaki negara-negara Barat dibangunkan untuk menghasilkan bom atom, satu dakwaan yang disangkal republik Islam berkenaan.
Pegawai Iran berkata, virus tersebut menjangkiti komputer peribadi kakitangan, tetapi tidak menjejaskan operasi loji Bushehr.
Tidak lama selepas serangan virus itu dilaporkan, Iran mengumumkan operasi loji tersebut akan ditangguh beberapa bulan lagi.
Barat yang diketuai Washington mengenakan sekatan lebih berat ke atas Iran bagi mendesak negara ini membuktikan aktiviti nuklearnya dilakukan bagi tujuan keamanan. - Reuters