Wednesday, April 20, 2011

Dunia gajet digital Canon





PENERAJU teknologi pengimejan digital, Canon Marketing Malaysia (Canon) semakin giat melebar pengaruhnya di negara ini dengan kemunculan gajet terkini yang lebih bergaya terutama kepada golongan muda.
Kini, fenomena menggalas beg hitam dengan kamera tergantung di leher bukan sekadar alat perakam foto semata-mata bahkan, ia seperti fesyen terbaru golongan muda walau ke mana sahaja mereka pergi.
Tidak hairanlah di laman sosial terkemuka dunia Facebook sekalipun Canon berjaya mengumpul hampir 150,000 peminat setakat ini dan menjadikan ia satu platform interaktif untuk peminat mendapatkan maklumat terkini.
Sepanjang tahun lepas sahaja, produk terbaik seperti kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) masih menjadi pilihan berikutan peningkatan pasaran yang meluas sehingga 60 hingga 70 peratus.
Terangsang dengan perkembangan itu, Canon tidak membuang masa lantas mencari idea yang lebih kreatif agar fenomena itu tidak disia-siakan begitu sahaja.
Meskipun sudah 24 tahun jenama berkenaan menjadi teman setia peminatnya, namun kehendak dan cita rasa pengguna masih menjadi keutamaan mereka apatah lagi, kini banyak syarikat gergasi digital mula bersaing menawarkan produk terbaik masing-masing.
Menyedari sokongan yang diberikan pelanggan, Canon menganjurkan pameran yang diadakan secara tahunan bagi menghargai sokongan yang diberikan pengguna.
Pameran serta promosi secara besar-besaran bertemakan Eye On Canon berlangsung dari 23 hingga 27 Mac lalu di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Pengarah Produk Pengimejan Komunikasi Canon, Simon Wong memberitahu, pameran secara tahunan itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung memahami lebih banyak produk terbaru mereka di pasaran.
Menurut beliau, sebanyak 16 produk kamera baru diperkenalkan iaitu dua kamera DSLR, tujuh kamera kompak dan tujuh video digital pada harga yang berpatutan.
“Hanya satu syarikat yang memang berkuasa dalam bidang ini (produk digital) melalui penghasilan produk daripada kamera kompak, DSLR, perakam video digital dan pelbagai lensa kamera.
“Bagaimanapun, perkara paling penting bagi kami adalah memahami keperluan pelanggan yang menggunakan kamera dan video tanpa mengabaikan kualiti imej,” kata Simon yang ditemui Kosmo! ketika pameran berlangsung Mac lalu.
Dua DSLR baru

CANON terus mengekalkan penguasaan bagi produk DSLR terutama dengan pelancaran model terbaru EOS 1100D dan EOS 600D.


Pameran selama lima hari itu berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung malah, lebih menghangatkan suasana apabila dua lagi model popular DSLR iaitu EOS 1100D dan EOS 600D dilancarkan dengan tawaran ciri-ciri istimewa.
Selain pameran kamera, Canon turut mempromosikan produk lain seperti video kamera digital, pencetak, perkhidmatan servis kamera serta pendedahan kepada pelbagai aksesori kamera.
Dalam pada itu, bagi golongan muda, mereka bukan sahaja mahukan kamera yang bagus daripada aspek rakaman imej, bahkan menekankan kepada reka bentuk kamera.
Justeru jelas Simon, EOS 1100D disasarkan kepada golongan wanita dan remaja kerana reka bentuk dan warna lebih trendy dengan empat pilihan warna iaitu coklat, kelabu, merah dan hitam.
Sementara itu tambahnya, EOS 600D pula hadir dengan pengesan CMOS beresolusi 18 megapiksel dan agak canggih kerana skrin LCD boleh dipusingkan 270 darjah menjadikan ia mudah dikendalikan.
“Ini satu fungsi yang sangat digemari oleh orang ramai selepas kita melancarkan model DSLR 60D. Bagaimanapun model 60D masih ada di pasaran dan yang ini (600D) adalah tambahan daripada model sedia ada.
“Inilah peluang terbaik yang mana mereka boleh memahami bagaimana DSLR dan video digital Canon boleh disesuaikan kepada sesiapa yang ingin menggunakan DSLR untuk merakam gambar atau video berkualiti tinggi,” ujarnya.
Tukar beli kamera
Harga yang ditawarkan bagi kedua-dua DSLR itu amat berpatutan. EOS 1100D dijual pada harga RM1,999 manakala EOS 600D pada harga RM2,999.
Bahkan, pihak Canon menyasarkan jualan EOS 1100D sebanyak 3,000 hingga 3,500 unit sebulan manakala 2,500 unit sebulan bagi EOS 600D.
“Kedua-dua produk tersebut amat istimewa kerana Canon sangat mementingkan harga kurang daripada RM3,000 agar kami dapat mengukuhkan status nombor satu dalam bidang DSLR ini.
“Kami juga yakin, dengan pelancaran dua model ini, ia akan memantapkan lagi penguasaan pasaran kepada 50 peratus,” tuturnya.
Dalam pada itu, pameran tersebut juga menyediakan perkhidmatan tukar beli kamera, video digital ‘full HD’ terpakai pelbagai jenama sama ada yang telah rosak atau pun masih berfungsi bernilai sehingga RM1,000.
Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan berkenaan dan segala keistimewaan yang ditawarkan hanya ketika pameran berlangsung sahaja.
Sementara itu, Eksekutif Produk syarikat Tegas Broadcast dan Multimedia Sdn. Bhd., Wesley Ong memberitahu, pameran tersebut mendedahkan pelbagai aksesori menarik kepada pengunjung.
Katanya, rata-rata orang ramai sangat teruja dengan aksesori sokongan bagi gajet perakam seperti DSLR dan perakam video profesional.
“Kami banyak membekalkan aksesori dalam bidang penyiaran daripada alat sokongan DSLR sehingga kepada sistem audio.
“Walaupun harga aksesori ini agak mahal, tetapi bagi pengguna yang begitu serius dalam bidang penyiaran, mereka sanggup membelinya,” katanya.
Tambah Wesley, antara gajet yang menjadi perhatian ramai adalah sistem perakam video 3D yang menggunakan dua perakam video profesional untuk menghasilkan imej 3D yang dilihat secara langsung melalui kaca mata khas pada paparan televisyen.

E-mel untuk 18 juta rakyat




PROGRAM e-mel 1MY yang akan bermula Julai ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berkomunikasi dengan kerajaan menerusi Internet. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Kerajaan akan menyediakan e-mel percuma di bawah konsep 1Malaysia (1MY) kepada setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bagi melancarkan komunikasi secara langsung antara warga Malaysia dan kerajaan.
Perkhidmatan itu bermakna hampir 18 juta daripada 27.5 juta penduduk Malaysia akan menjadi pemilik akaun peribadi e-mel 1MY.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif itu juga diharap meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan komuniti perniagaan.
"Ia sebahagian daripada penyediaan pusat sehenti untuk perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan tambah nilai seperti rangkaian sosial, memeriksa bil secara online dan juga bayaran, serta pembangunan web bagi rakyat dan syarikat,'' kata beliau semasa mengumumkan projek pelaburan terkini di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Kris Dayanti mengaku hamil 4 bulan



KRIS Dayanti dan Raul pada majlis pernikahan mereka di Jakarta pada 20 Mac lalu.


JAKARTA – Penyanyi Kris Dayanti akhirnya mengaku dia telah hamil empat bulan dan terpaksa menerima hakikat itu biarpun dilempar dengan pelbagai kecaman oleh masyarakat Indonesia kerana mengandung anak luar nikah.
Mahu atau tidak, Kris, 36, dan suaminya, Raul Lemos, 40-an, menerima berita itu dengan rasa tanggungjawab selepas menyedari kesilapan mereka sebelum berkahwin.
“Kami sudah dewasa. Kami menerima berita ini (kehamilan) dengan rasa tanggungjawab,’’ jelas Kris yang kini berada di Bali bersama suaminya.
Kris bernikah dengan usahawan dari Timor Leste itu pada 20 Mac lalu.
Dalam teks khidmat pesanan ringkas (SMS), Kris memberitahu Kosmo!, dia pada mulanya tidak berniat menghebahkan secara terbuka berita kehamilan itu kerana ia perkara sensitif.
Namun Kris berpendapat, adalah lebih baik dia sendiri mengesahkan perkara itu daripada membiarkan ia keluar dari mulut orang lain.
“Benda ini (kehamilan) sudah terjadi. Kalau apa yang diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul cerita yang tidak betul seperti saya melakukan abortion (gugurkan kandungan) pula,” katanya.

Pencuri terdesak gali kubur



kubur mendiang Ah Chow di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua, Kajang yang digali pencuri semalam.


KAJANG – Bagaikan sudah terdesak, ada penjenayah sanggup masuk ke tanah perkuburan dan menggali kubur untuk mencuri barang-barang berharga yang ditanam bersama si mati.
Kejadian tersebut berlaku di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua di sini apabila sebuah kubur di situ menjadi sasaran penjenayah.
Jurucakap polis berkata, kejadian itu disedari penjaga tanah perkuburan itu pada pukul 8 pagi semalam apabila dia yang baru sampai ke situ untuk melakukan kerja-kerja rutinnya ternampak sebuah kubur di situ telah digali.
“Keranda Liew Ah Chow, 64, yang dikebumi pada 8 April lalu diselongkar tetapi mayat si mati tidak diusik,” kata beliau.
Menurut beliau, penjaga kubur itu kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada ahli keluarga si mati.
“Keluarga si mati yang memeriksa keranda itu mendapati semua barang berharga yang dimasukkan dalam keranda itu lesap.
“Antara barang-barang yang hilang seperti telefon bimbit, jam tangan, dua bentuk cincin dan wang tunai kira-kira RM101,” kata beliau.

Azab pemandu tersepit dua jam


BEBERAPA anggota bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan Juwanto (dua dari kanan) yang tersepit dalam kemalangan dekat Jelapang, Ipoh kelmarin.


IPOH - Seorang pemandu nyaris maut selepas bas ekspres yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan besi buruk di Kilometer 266, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Jelapang di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, Juwanto Jairot, 42, parah akibat tersepit besi yang menusuk bahagian depan bas berkenaan selama hampir dua jam.
Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, semasa kejadian bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang itu membawa 15 penumpang yang kebanyakannya pelajar universiti.
"Kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan terbabit mendaki bukit, iaitu beberapa kilometer dari Plaza Tol Jelapang.
"Bas itu gagal mengelak treler berkenaan lalu merempuhnya mengakibatkan sebahagian muatan besi masuk ke dalam bas," katanya di sini.
Ujarnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan Juwanto.
"Empat penumpang bas itu turut cedera," katanya.
Juwanto dan empat penumpang berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan.

Dua bersaudara edar dadah dihukum gantung


KHAIRUL NIZAN (kiri) dan Mohd. Azizi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.


ALOR SETAR - Dua lelaki bersaudara dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 938.3 gram, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim memerintahkan hukuman itu selepas menyabitkan Khairul Nizan Osman, 29, dan Mohd. Azizi Hashim, 28, atas pertuduhan mengedar sejumlah dadah tersebut.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang merupakan dua pupu didakwa mengedar kanabis seberat 938.30 gram di tepi Jalan Kampung Sungai Buloh, Tikam Batu, Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam, pada 27 Januari 2009.
Pertuduhan ke atas setiap tertuduh dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sebaik prosiding berakhir, beberapa ahli keluarga termasuk ibu kepada Khairul Nizan dan Mohd. Azizi dilihat menangis dan mereka saling berpelukan di dalam kamar mahkamah.

Penjaja jual rokok di luar sekolah




BEBERAPA orang pelajar membeli makanan ringan yang dijual oleh seorang penjaja di tepi pagar sebuah sekolah di Jalan Mariam, Muar semalam.


MUAR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta berbuat sesuatu terhadap penjaja-penjaja yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah di Jalan Ibrahim di sini yang didapati turut menjual rokok kepada pelajar.
Walaupun dijual secara tersembunyi, kegiatan tersebut difahamkan telah lama berlaku dan pihak sekolah tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan penjaja tersebut beroperasi di luar kawasan sekolah.
Menurut seorang bapa pelajar sekolah berkenaan yang enggan dikenali, beliau berharap PBT dapat menguatkuasakan larangan kepada penjaja di kawasan berhampiran sekolah tersebut.
"Saya memang terkejut apabila melihat beberapa penjaja di luar kawasan sekolah itu menjual rokok kepada pelajar dan saya harap, pihak terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya nampak beberapa pelajar membeli rokok daripada penjaja-penjaja ini dan terus menghisap tanpa ada rasa bersalah selepas waktu persekolahan," katanya.

Mangkuk tandas dilengkapi sistem bunyi



MANGKUK tandas yang dilengkapi dengan sistem bunyi dijual pada harga RM19,316.



NEW YORK - Sebuah mangkuk tandas yang dilengkapi sistem bunyi dan skrin sesentuh akan dijual pada harga AS$6,390 (RM19,316), lapor sebuah akhbar semalam.
Tandas itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS), Kohler yang diberi nama Numi.
Naib Presiden Pemasaran Kohler, Jim Lewis berkata: "Ia merupakan satu produk penciptaan yang tulen. Kami membayangkan sebuah tandas yang mewujudkan satu kategori dalam kualiti yang tersendiri."
Skrin sesentuh itu bertindak sebagai alat kawalan jauh dan mengawal ketinggian bunyi muzik dan dilengkapi alat pemain muzik MP3 serta pembunuh kuman.
Ia turut membolehkan pengguna mengawal suhu di bahagian tempat duduk mangkuk tersebut selain tekanan air dan mengandungi kemudahan memanaskan kaki. - Agensi

Misteri kenderaan bergerak sendiri



IMEJ yang disiarkan di stesen televisyen Metronews.com semalam menunjukkan sebuah kenderaan bergerak walaupun enjin sudah dimatikan di sebuah kawasan dikenali sebagai Jabal Magnet di Banyumas, Jawa Tengah.



BANYUMAS, Indonesia - Fenomena kenderaan bergerak sendiri walaupun enjin sudah dimatikan berlaku di Jawa Tengah, lapor beberapa buah akhbar dan laporan stesen televisyen semalam.
Keajaiban alam itu berlaku di sebuah kawasan dikenali dengan nama Jabal Magnet di sini.
Stesen televisyen tempatan, Metrotvnews.com, melaporkan kawasan tersebut terletak di Jalan Raya Desa Limpakuwus, Banyumas.
Tinjauan oleh stesen televisyen berkenaan di lokasi semalam mendapati kereta tersebut mampu bergerak sendiri sejauh 50 meter dengan kelajuan 10 kilometer sejam.
Kejadian luar biasa itu disaksikan beratus-ratus penduduk setempat, malah ada yang membawa kenderaan untuk menguji sendiri kesahihan fenomena tersebut.
Satu pasukan ahli geologi Indonesia turut tiba di lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Ujian awal oleh pasukan ahli geologi Universiti Jeneral Sudirman Purwokerto gagal menemui medan magnet di bukit itu.
Namun, mereka mengesahkan batu-batan di sekitar lokasi itu mempunyai kandungan magnet yang agak tinggi.
Setelah ujian seterusnya yang melibatkan alat pengukur ketinggian dilakukan, pakar-pakar geologi berkenaan menyatakan, fenomena tersebut dipercayai berlaku kerana bentuk muka bumi sekitarnya yang berbukit.
Bagaimanapun, menurut mereka, satu kajian mendalam perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara itu. - Agensi

Gadis Turki Islam pertama berbogel untuk Playboy



KULIT depan majalah Palyboy yang menunjukkan Sila Sahin berbogel.



BERLIN - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.
Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.
Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.
"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.
"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.
Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.
"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.
Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.
Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.
Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.
Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.
Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.
Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.
"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.
"Tolonglah terima saya semula," tambahnya. - Agensi

Rekaan unik untuk semua suasana



Selendang denim campuran lycra menjadi trend wanita bertudung masa kini.


CANTIK lagi dia pakai tudung..." bisik seorang wanita kepada sahabatnya ketika memerhati gelagat seorang wanita tidak bertudung yang sedang mencuba-cuba tudung di Butik Hajra.
Potongan yang unik, menarik dan tersendiri pada kelasnya, mewujudkan rasa selesa dan yakin pada pemakainya.
Sebagai gedung tudung terbesar di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, butik tersebut telah berjaya menarik pelanggan bukan sahaja daripada golongan bertudung malah mereka yang baru mula terasa ingin bertudung.
Pengurusnya, Azman Abu Bakar berkata, koleksi tudung yang terdapat di Hajra dijual dengan harga yang berpatutan setanding dengan kualiti potongan dan fabrik yang digunakan.
"Kami sentiasa peka dengan perubahan fesyen, malah kami mempunyai pelbagai jenis tudung.
"Kualiti menjadi keutamaan apabila kami mempunyai tukang jahit sendiri yang terdiri dari rakyat tempatan, justeru mereka lebih memahami jahitan bagaimanakah yang memberi keselesaan dan sesuai dengan wajah pemakai.
"Untuk fabrik di Hajra pula kebanyakannya diimport, antara jenis yang sesuai untuk dibuat tudung adalah dari jenis lycra, sifon, kapas, sutera Thai, baldu, denim kapas dan setiap satunya ada rangkaian masing-masing dari harga paling rendah hinggalah yang paling berkualiti.
"Kreativiti kami juga tidak terhad dengan mencuba pelbagai elemen tambahan seperti aksesori pada tudung yang diimport khas dari Korea, Indonesia dan Jepun," jelas Azman yang juga bertindak sebagai pereka fesyen tudung di Hajra.
Menurut Azman, seminggu sekali pihaknya akan tampil dengan rekaan terbaru, malah mereka juga boleh dikatakan sebagai pencetus trend bertudung untuk wanita di tanah air.
Sejak beroperasi tiga tahun lalu, Hajra semakin memahami kehendak wanita, jadi mereka menghasilkan tudung yang bukan sahaja boleh dipakai dalam majlis formal malah apa juga bentuk majlis
Selain itu, yang membezakan Hajra dengan premis tudung lain ialah suasana yang selesa, tempat mencuba tudung yang luas dan tenang di samping layanan dari jurujual yang mesra dan ikhlas.
Kepada pembeli tetap, Hajra juga menawarkan kad keahlian dengan setiap pembelian RM250 ke atas. Kad tersebut juga melayakkan pelanggan membuat pembelian seterusnya dengan diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian melebihi RM50 ke atas.
"Kepada pemborong, anda dialu-alukan ke Hajra untuk mendapatkan tudung berkualiti pada harga yang lebih murah dari gedung lain," ujarnya mengakhiri bicara.

Pelakon video seks juga perlu didakwa - Perkasa


KUALA LUMPUR 19 April - Pihak berkuasa digesa supaya jangan membuat pendakwaan terpilih dengan hanya memberi fokus kepada pihak yang memiliki dan mendedahkan rakaman video seks, yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang
Sebaliknya, pendakwaan juga perlu dilakukan terhadap 'pelakon' dalam video seks tersebut kerana jelas, hubungan seks melibat seorang lelaki yang mirip pemimpin pembangkang itu memang berlaku, selain polis juga sudah mempunyai bukti lengkap mengenai identiti lelaki tersebut.
Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya memberi layanan yang berbeza.
"Kita bukan mempersoalkan kewibawaan pihak berkuasa dan Jabatan Peguam Negara dalam hal ini tetapi, berdasarkan kenyataan polis, seolah-olah hanya trio 'Datuk T' sahaja yang bakal didakwa di mahkamah kerana kesalahan memiliki dan menyebarkan video seks.
"Bagaimana pula dengan orang yang melakukan hubungan seks? Kenapa sehingga kini tiada usaha serius untuk menghadap orang ini ke Mahkamah Syariah? Kalau begini keadaannya, tidak hairan jika tiada lagi orang ramai berani tampil untuk mendedahkan mengenai aktiviti seks selepas ini.
"Kalau begini mana-mana pemimpin bebas melanggan pelacur selepas ini dan tidak perlu bimbang jika aksi mereka dirakam, kerana pihak berkuasa hanya akan mendakwa mereka yang mendedahkannya," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bahawa, trio 'Datuk T' mungkin berdepan dengan pendakwaan jika Peguam Negara memutuskan untuk berbuat demikian.

Sifat munafik terbongkar



MUNGKINKAH pedang Rasulullah ini yang diserahkan kepada Abu Dujanah untuk mengalahkan musuh? (Antara pedang Rasulullah yang tersimpan di Muzium Topkapi, Turki).


DISAAT-saat akhir, perang hanya menanti saat dan ketika untuk meletus, 1,000 tentera pihak Islam cuba digugat kekuatan mereka dengan 300 orang daripada mereka keluar barisan. Ia diketuai oleh bapa munafik, Abdullah bin Ubay.
Disifatkan sebagai satu tindakan yang sangat khianat namun Abdullah memberi alasan tindakannya itu disebabkan Rasulullah tidak menghargai dengan pendapat baginda sendiri yang merancang peperangan itu berlangsung dalam Kota Madinah sahaja.
"Malah Muhammad setuju pula dengan pendapat orang lain lalu kami tidak tahu mengapa mesti membunuh diri kami sendiri hari ini," kata Abdullah.
Tentu Abdullah hanya sekadar memberi alasan kerana sebenarnya kita tahu bahawa menarik diri di saat yang genting itu adalah sengaja untuk mencipta kekacauan dan keresahan dalam pasukan tentera Islam itu sendiri.
Dengan itu akan lebih ramai meninggalkan medan perang kerana tidak mahu mati dengan sia-sia sehingga sisa anggota tentera yang tinggal akan terus hilang kekuatan dan sebaliknya akan meningkatkan semangat di pihak musuh untuk mengalahkan tentera Islam.
Jika hanya kerana tidak setuju dengan perang di luar kota Madinah itu dijadikan alasan tentulah sejak awal-awal lagi Abdullah dan para pengikut munafik yang lain sudah boleh bertindak untuk menarik diri.
Namun kerana sifat kemunafikannya yang tebal itu beliau bertindak belot yang kononnya akan mengembalikan atau mencerahkan semula harapannya untuk menjadi pemimpin di Madinah.
Benar, tidak cukup 300 kalangan pengikut yang munafik itu sahaja yang khianat. Ini kerana pengkhianatan itu turut memberikan kesan kepada dua kumpulan lain, iaitu masing-masing dari Bani Haritsah yang bersama dengan suku Aus dan Bani Salamah yang bersama dengan suku Khazraj turut ingin menarik diri di saat akhir itu kerana ketakutan.
Bagaimanapun, Allah mengembalikan semangat kedua-dua kumpulan ini yang agak tergugat keberanian mereka dek tindakan Abdullah dan para pengikutnya itu.
Ini apabila Allah menurunkan ayat yang bermaksud: Ingatlah ketika dua golongan dari kamu ingin (mundur) kerana takut, pada hal Allah adalah Penolong bagi kedua-dua golongan itu. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang beriman itu bertawakal. (ali-'Imran: 122)
Sementara itu, Abdullah bin Haram pula, iaitu bapa Jabir bin Abdullah cuba menahan mereka yang belot itu supaya kembali semua ke medan perang dan sama-sama meneruskan perjuangan mengalahkan pihak musuh.
Abdullah mencela mereka dan merayu untuk kembali bergabung.
"Marilah berperang di jalan Allah atau sekurang-kurangnya pertahankanlah negerimu ini daripada ditawan oleh pihak musuh," kata Abdullah.
Namun belot sudah menjadi sifat orang yang munafik bahawa mereka suka menikam musuh dari belakang di sebalik muka baik yang mereka tunjukkan.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud; Dan supaya Allah SWT mengetahui siapa orang-orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: "Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankan (dirimu)". Mereka berkata: "Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan tentu kami mengikuti kamu.
"Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya". Dan Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan. (ali-'Imran: 167)
Walaupun bagai satu tamparan yang cukup hebat apabila baginda kehilangan hampir 300 anggota tentera, namun untuk baginda menyerah tidak sekali-kali!
Maka tinggallah bilangan 700 orang sahaja di pihak Islam yang pada bila-bila masa sahaja lagi akan bertempur dengan seramai 3,000 anggota tentera di pihak musuh.
Lalu baginda segera mengatur semula strategi serangan dan pertahanan untuk peperangan ini.
"Jangan kalian mula menyerang sebelum kami perintahkan menyerang," kata Nabi Muhammad.
Baginda bertekad meneruskan peperangan walaupun dalam aspek jumlah anggota tentera yang bakal bertempur benar-benar tidak seimbang, yang telah boleh ditentukan pihak mana yang mampu menang dengan mudah.
Kali ini baginda memastikan kedudukan pasukan tenteranya berada dalam kedudukan yang strategik bagi memudahkan serangan terhadap musuh.

Jaminan modal dan untung



Mana-mana pelaburan yang menjamin keuntungan tetap adalah haram dalam Islam kerana ia mengandungi unsur-unsur gharar. - Gambar hiasan


Sebuah syarikat yang kukuh bukan sahaja perlu mempunyai strategi yang tepat dan komitmen yang jitu, tetapi ia juga memerlukan dana yang tinggi.
Ini kerana, kos operasi sesebuah syarikat dewasa ini menjadi semakin tinggi. Ditambah pula dengan persaingan yang agak sengit kerana biasanya terdapat banyak syarikat yang melakukan urusniaga yang sama.
Justeru, syarikat-syarikat ini perlu bersaing untuk menarik pengguna supaya berminat menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Mereka juga perlu bersaing mendapatkan modal bagi menggerakkan operasi dan pengurusan syarikat.
Terdapat pelbagai kaedah dan strategi yang digunakan oleh para peniaga atau syarikat dalam menarik dana pelaburan atau modal untuk menggerakkan operasi perniagaan mereka. Antaranya ialah dengan menjamin modal dan keuntungan (capital and profit guaranteed) kepada modal yang disumbangkan oleh pelabur.
Ini bermakna, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk tujuan pelaburan, maka pemodal tersebut tidak perlu berhadapan dengan risiko rugi atau untung kerana pihak syarikat menjamin modal dan memberi pulangan keuntungan dalam jangkamasa yang telah dipersetujui bersama.
Jaminan ini mungkin dalam bentuk peratusan tertentu seperti keuntungan sebanyak 10% dari modal setiap tahun atau dalam bentuk jumlah yang spesifik seperti RM5,000 setahun.
Sebagai pelabur, tentunya kita akan tertarik dengan tawaran ini. Bukan sahaja wang modal yang kita sumbangkan itu tidak lupus, bahkan kita akan mendapat keuntungan yang dijamin tanpa berhadapan dengan risiko rugi dan untung.
Namun, sebagai pelabur, di samping kita perlu melihat sejauhmana pelaburan itu dapat mencapai keuntungan, kita juga perlu melihat adakah operasinya juga mematuhi syariah.
Lebih-lebih lagi apabila syarikat tersebut menawarkan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Ini memerlukan pemerhatian dan sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk memberikan modal.
Dalam kontrak mudharabah, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk dilaburkan di sesebuah syarikat, sebenarnya dia telah dianggap sebagai pemodal (rabbul mal). Manakala syarikat yang menguruskan modal tersebut untuk perniagaan mereka dianggap sebagai pekerja (mudharib).
Oleh sebab itu, setiap operasi perniagaan tersebut perlu mengikut disiplin yang telah ditetapkan iaitu dengan menjaga rukun dan syarat-syarat kontrak mudharabah.
Jaminan modal dan keuntungan dalam pelaburan sebenarnya telah dibahaskan oleh para ulama yang muktabar. Keempat-empat mazhab yang utama berpandangan unsur jaminan boleh membatalkan aqad pelaburan sama ada menggunakan konsep mudharabah atau musyarakah.
Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjawab persoalan ini dengan menyatakan: "Kata Ibn Munzir, ahli-ahli ilmu sebagaimana yang kami ketahui telah bersepakat menyatakan bahawa terbatal qirad (mudharabah) apabila salah satu pihak atau kedua-duanya menetapkan sejumlah dirham yang dimaklumi," (rujuk al-Mughni, jil. 5, ms 648).
Ibn Abidin pula berkata: "Bahawa keuntungan antara kedua-dua pihak hendaklah meluas (flexible). Kalau ditetapkan satu kadar, maka rosaklah (aqad mudharabah itu). (rujuk Hasyiah Ibn Abidin 'ala al-Dur al-Mukhtar, jil 5, ms 648).
Maka, para ulama bersetuju mengemukakan sebuah kaedah fiqh yang diambil daripada hadis yang berbunyi: Al-ghunm bi al-ghurm (profit is by taking risk).
Ia bermaksud, bagi mendapat sesuatu keuntungan, pelaburan tersebut mestilah mempunyai risiko rugi dan untung. Dengan risiko inilah yang menyebabkan kedua-dua belah pihak iaitu pemodal dan syarikat berhak memperolehi keuntungan sekiranya ada.
Melalui kaedah ini, kita dapat fahami bahawa sebenarnya jaminan modal dan untung adalah bercanggah dengan syariah Islam.

Seminar al-Quran Kaedah al-Hadi


TIMANG tinggi-tinggi sampai cucur atap, Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab". Pantun nasihat seperti ini dialunkan sejak zaman berzaman, sebagai warisan nenek moyang kita bangsa Melayu, khususnya ketika si ibu mendodoikan anaknya dalam buaian.
Secara tidak langsung, pantun nasihat ini memperlihatkan harapan yang tinggi menggunung daripada setiap ibu bapa sejak dahulu lagi, supaya anak-anak mereka dapat membaca al-Quran seawal mungkin.
Apakah belajar al-Quran itu susah? Sehubungan ini, Allah SWT juga telah menegaskan di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: …dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran itu untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pengajaran… (al-Qamar: 13)
Ayat ini jelas menyatakan bahawa al-Quran itu merupakan suatu pelajaran yang senang dan telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia mempelajarinya.
Namun begitu tidak ramai yang menyahut seruan Allah SWT untuk mencari kaedah pengajaran yang sesuai dan seumpamanya.
Satu program kaedah pembelajaran al-Quran yang dinamakan 'Kaedah al-Hadi Dalam Masalah Tarqiq (nipis) dan Tafkhim (tebal)' oleh Imam Masjid Negara, Amru Alhaz Adnan al-hafiz. Ia diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 9 April 2011.
Program ini bertujuan mendedahkan masyarakat Islam tentang kaedah bacaan yang betul seperti yang diajarkan oleh Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad SAW.
Ia adalah inisiatif Persatuan Kebajikan Kakitangan Masjid Negara sebagai satu sumbangan ilmiah kepada masyarakat muslim tentang peri-pentingnya membaca al-Quran dan kaedah bacaan yang betul.
Kaedah al-Hadi dalam masalah tarqiq dan tafkhim
1. Mendedahkan kesilapan-kesilapan sebutan yang lazim dilakukan oleh masyarakat melayu atau bangsa bukan Arab dalam melafazkan sebutan huruf al-Quran.
2. Mengenal huruf yang tarqiq dan tafkhim serta mempelajari teknik-teknik untuk membezakan sebutan kedua-duanya.
3. Mempelajari cara dan teknik menyebut sesuatu huruf al-quran mengikut al-Sout (suara) yang tepat melalui praktikal dan musyafahah.
Kaedah al-Hadi adalah satu kaedah yang cuba disusun sebagai manual dan panduan asas kepada pembaca al-Quran untuk menyebut sesuatu huruf al-Quran itu dengan sebutan yang tepat berdasarkan teknik dan cara bukaan mulut.
Kaedah bukaan mulut itu berbeza, bergantung kepada situasi huruf al-Quran yang ingin dibaca. Kelemahan dalam teknik bukaan mulut itu menyebabkan banyak berlaku kesilapan terutama pada huruf yang sepatutnya dibaca nipis tetapi dibaca dengan bunyi tebal dan dalam beberapa keadaan ia jelas merubah huruf dan seterusnya makna.
Ulama tajwid banyak menulis hal yang berkaitan dengan perkara ini, tetapi tanpa kaedah khusus dan teknik secara praktikal atau musyafahah kesilapan ini hampir mustahil tidak berlaku.

Proses tashih al-Quran



al-Quran yang hendak dicetak di Malaysia mestilah mendapat kebenaran Kementerian Dalam Negeri. -Gambar hiasan


PADA hari ini al-Quran dicetak dan boleh dikatakan setiap negara Islam mempunyai percetakan sendiri seperti Mesir, Libya, Lebanon, Malaysia dan lain-lain.
Negara yang paling banyak mengeluarkan Mushaf al-Quran ialah Arab Saudi melalui Percetakan Malik Fahd di Madinah al-Munawarah.
Menurut Dr. Muhammad al-Habsy, sejak ditubuhkan percetakan al-Malik Fahd telah mencetak al-Quran lebih daripada 100 juta naskhah.
Mushaf Madinah dicetak dengan penyeliaan yang amat teliti dan pengawasan di setiap proses percetakan oleh sekumpulan tenaga kerja yang mahir.
Ramai yang terkeliru dengan menganggap bahawa tulisan Mushaf Madinah dihasilkan daripada kecanggihan komputer kerana susun atur kalimahnya yang kemas dan bentuk hurufnya yang sama.
Tetapi sebenarnya ia adalah hasil tulisan seorang tokoh khat terkenal yang berasal dari Syria iaitu Sheikh Uthman Taha.
Mushaf Madinah mempunyai beberapa kelebihan, antaranya ialah tulisan khatnya mempunyai seni yang tinggi dengan mengambil kira keselesaan pembaca.
Selain itu, jawatakuasa penyemak dan pentashih adalah yang berwibawa dan pakar dalam bidang ilmu al-Quran.
Mengetuai lajnah penyemakan itu adalah Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari, bekas dekan fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah dan Khatib Masjid Quba.
Dalam satu temuramah, beliau menyatakan sebelum Mushaf Madinah dicetak, lebih 100 kali semakan dilakukan oleh sekumpulan ulama dalam bidang al-Quran, tafsir dan bahasa Arab.
Nama-nama penyemak disenaraikan di helaan akhir mushaf dan tertera nama-nama seperti Sheikh Amir Ibn al-Sayyid Uthman, Dr. Abdul Azim Ibn Ali al-Syinawi, Sheikh Dr. Mahmud Sibawaih al-Badawi, Sheikh Mahmud Abdul Kaliq Jadu, Sheikh Abdul Fattah Ibn al-Sayyid Ajami al-Mirsafi dan lain-lain.
Semua mereka ini adalah ulama yang berasal dari Mesir, mempunyai penulisan yang banyak dalam bidang al-Quran dan berkhidmat sebagai pengajar di Fakulti al-Quran, Universiti Islam madinah.
Nama pertama dan teratas ialah Sheikh Amir Ibn al-Sayyid Uthman. Jawatan beliau ialah Syeikh Qurra di Negara Mesir.
Walaupun beliau memegang jawatan Syeikh Qurra Mesir selepas meninggalnya Sheikh Mahmud Khalil al-Husari tetapi Sheikh Khali Husari adalah salah seorang muridnya.
Antara muridnya juga adalah Sheikh Qurra Masjid Nabi sekarang ini iaitu Sheikh Ibrahim Akhdar al-Qayyim.
Walaupun kita tidak perlu mengingati nama-nama besar dalam bidang al-Quran ini, tetapi perlu diingat mereka telah memberi sumbangan yang amat besar kepada penyebaran al-Quran ke seluruh pelosok dunia pada hari ini.
Saban tahun, setiap kali jemaah haji pulang ke tanah air, selain dari membawa pulang haji yang mabrur dan air zamzam, mereka juga dihadiahkan senaskhah Mushaf Madinah.
Di Malaysia, al-Quran yang hendak dicetak mestilah mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri.
Melalui Unit Kawalan al-Quran, satu Jawatankuasa lajnah akan menyemak seluruh al-Quran dengan mengenal pasti kesalahan yang terdapat.
Jika kesalahan tersebut boleh diperbetulkan dan hanya bersifat teknikal semata-mata, naskhah al-Quran itu diizin untuk dicetak selepas diperbetulkan semua kesalahan.
Justeru al-Quran yang dicetak di Malaysia telah melalui satu proses semakan yang teliti dari pihak Lajnah Tashih al-Quran yang memastikan tiada kesalahan dan semua nas al-Quran adalah betul dan tepat.

Gantian MyKad kini boleh dilakukan secara online


20/04/2011 2:30pm

PUTRAJAYA 20 April - Orang ramai yang ingin memohon gantian MyKad kini boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Menurutnya perkhidmatan itu memberi alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan gantian MyKad tanpa perlu ke kaunter sekali gus mengurangkan kesesakan di ibu pejabat JPN atau cawangannya.
"Tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dilakukan ialah gantian MyKad disebabkan cip dan kad rosak, gantian MyKad biasa dan gantian MyKad hilang yang tidak melebihi lima kali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 341 kakitangan JPN di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim. - Bernama

E-mel 1Malaysia tidak guna wang awam - Najib


20/04/2011 3:02pm

KUALA LUMPUR 20 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan bahawa projek e-mel 1Malaysia yang diumumkan semalam merupakan inisiatif sukarela sektor swasta dan tidak membabitkan wang awam.
"Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa e-mel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Ia tidak membabitkan wang awam dan keseluruhannya adalah sukarela,” kata Najib dalam Twitternya awal hari ini.
Najib mengumumkan inisiatif itu pada laporan kemajuan terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Putrajaya semalam yang merupakan satu daripada tujuh projek baru dalam ETP.
Di bawah inisiatif itu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan diberikan satu akaun e-mel rasmi yang unik. - Bernama