Lima lagi ditahan SPRM
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Selepas kira-kira 24 jam seorang pegawai Imigresen dan tujuh lagi ditahan kerana menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) di jeti Pulau Ketam, Selangor, kelmarin, lima lagi pegawai jabatan itu ditahan hari ini.
Kelima-lima mereka itu yang berusia 25 hingga 27 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa lokasi di Klang Selangor.
Sumber memberitahu, ada yang ditahan di rumah masing- masing manakala sebahagian lagi di jeti Pulau Ketam, antara pukul 10 pagi dan 6 petang.
"Kesemua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang pegawai Imigresen ditahan kerana menjadi dalang aktiviti membawa masuk PATI melalui jeti Pulau Ketam. Suspek ditahan di sekitar Klang, Selangor, bersama tujuh lagi yang dipercayai menjadi perantara kapten kapal.
Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui wang tunai kira-kira RM30,000 di rumah pegawai tersebut, manakala RM70,000 lagi dijumpai di pejabat salah seorang perantara yang ditahan.