Kecoh bawah umur didakwa hadir mesyuarat
KULIM 3 Okt. - Perang mulut hampir mencetuskan kekecohan pada pemilihan Parti Keadilan Nasional (PKR) Cabang Padang Serai yang berlangsung di sebuah kelab golf di sini hari ini.
Perang mulut tercetus pada kira-kira pukul 4.45 petang sebaik saja proses pengundian memilih ahli jawatankuasa baru cabang berkenaan selesai pada pukul 4.40 petang.
Sekumpulan ahli parti itu membuat bising dengan mendakwa mesyuarat Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang berkenaan yang sedang berlangsung tidak sah kerana dihadiri oleh remaja bawah umur.
Situasi itu menyebabkan ahli AMK yang selesai bermesyuarat tidak dapat keluar dari dewan tempat mesyuarat itu diadakan kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Seorang calon AJK Cabang, Sangkar Singgaram mendakwa pemilihan pada hari ini tidak telus dan dilakukan dengan menggunakan taktik kotor.
Seorang ahli parti, Sethuraman Ramiah berkata, beliau tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu yang tidak telus seperti yang dilaung-laungkan selama ini.
Mesyuarat AMK kemudian terpaksa diadakan semula dengan senarai ahli diperiksa dengan lebih teliti.
Ketua PKR Cabang Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, mana-mana ahli yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan hari ini boleh membuat aduan kepada parti termasuk ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur.
Pada pemilihan hari ini, Gobalakrishnan menghadapi persaingan tiga penjuru bagi Ketua PKR Cabang Padang Serai. Beliau ditentang oleh V. Sandrasekharan dan Shamsul Anuar Abdullah.