Monday, October 04, 2010

AS:Hati-hati lawat Eropah

AS:Hati-hati lawat Eropah

WASHINGTON 3 Okt. - Amerika Syarikat (AS) sedang menimbangkan untuk mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya berhati-hati melancong ke Eropah, kata seorang pegawai selepas maklumat perisikan mendedahkan kemungkinan berlakunya serangan al-Qaeda.
"Kami memikirkan untuk mengeluarkan amaran perjalanan ke Eropah. Ia bertujuan memberi amaran kepada warga AS agar berhati-hati. Amaran akan dikeluarkan seawal-awal esok (hari ini waktu Malaysia)," kata seorang pegawai AS.
Seorang lagi pegawai AS berkata, AS terus memberi tumpuan kepada rancangan al-Qaeda untuk menyerang negara ini, sekutu dan kepentingannya dan akan terus berusaha untuk menggagalkan rancangan pengganas.
Media pada minggu lalu melaporkan agensi perisikan barat telah mendedahkan rancangan al-Qaeda untuk menyerang Britain, Perancis, Jerman dan AS.
Laporan itu menyatakan sepasukan militan lengkap bersenjata akan melancarkan serangan ala-komando untuk menawan dan membunuh tebusan Barat dengan cara serupa dengan serangan ke atas dua buah hotel mewah di Mumbai dua tahun lalu, di mana 10 lelaki bersenjata membunuh 166 orang dan mencederakan 300 yang lain.
Seorang pegawai AS pada Rabu lalu secara sulit mengesahkan laporan tersebut tanpa menyatakan waktu dan tempat serangan berkenaan akan dilancarkan.
Akhbar mingguan Jerman, Der Spiegel semalam melaporkan rancangan al-Qaeda untuk melancarkan serangan ala-Mumbai ke atas bandar-bandar raya Eropah dan ia merupakan rancangan pemimpin nombor tiga rangkaian pengganas itu yang turut mendapat sokongan Osama bin Laden. - AFP