Sunday, April 17, 2011

Minuman herba dapat sambutan



MELAKA 26 Julai - Apabila memperkatakan mengenai minuman tenaga, pasti ramai yang mengetahui isi kandungan yang digunakan adalah terdiri daripada isotonik dan beberapa bahan lain.
Terdapat sesetengah minuman tenaga menggunakan bahan pengawet yang tidak halal apabila mencampurkan alkohol sebagai pemberi tenaga.
Namun, satu kelainan yang ditonjolkan oleh syarikat bumiputera Damai Herbs Global Industries (Damai Herbs) berpengkalan di Telok Mas dekat sini.
Syarikat tersebut mengeluarkan sejenis minuman tenaga menggunakan kelebihan khasiat herba daripada kemunting Cina dan melada pahit.
Ia menjadi produk tenaga baru yang mendapat tempat di pasaran dan menjadi perbualan hangat bagi mereka yang gemar mengamalkan minuman tenaga tanpa perlu rasa sangsi atas isi kandungan yang digunakan.
Diadun menggunakan formula bunga kemunting Cina (Catharanthus roseus) dan bijian melada pahit (Java Brucea) mula dikomersialkan sejak Mac lalu.
Minuman tenaga yang dikenali sebagai Maxin khususnya memberi tenaga untuk lelaki dan wanita di samping minuman tonik herba Royal Zabran.
Formula yang digunakan sejak berzaman itu bukan sahaja bertujuan memberi tenaga kepada mereka yang meminumnya malah menjamin kesihatan yang lebih baik serta menangani pelbagai penyakit.
Penggunaan ramuan herba dalam minuman tenaga seperti kemunting cina dan melada pahit mempunyai khasiat tersendiri kerana ia mengandungi herba ramuan, minuman tenaga ini diperkayakan dengan vitamin C, B5, B6 dan B12.
Tidak hanya menggunakan dua herba tersebut sebaliknya ramuan itu dicampur dengan kacip fatimah, tongkat ali, madu dan jus kurma meningkatkan lagi kandungan tenaga dalam minuman tersebut.
Kemunting Cina dan melada pahit diekstrak dengan kaedah pengeringan dalam ketuhar dengan suhu kira-kira 100 darjah celsius dan rebusan yang mengambil masa lebih enam jam.
Selepas bahan tersebut dikeringkan ia akan direbus dengan kacip fatimah, tongkat ali, madu dan jus kurma dalam tempoh antara empat hingga lima jam.
Selepas itu, bahan tersebut telah diadunkan, air isotonik dicampur dan seterusnya dibotolkan selepas melalui ujian bagi memastikan ia tidak tercemar dan selamat untuk diminum.
Penggunaan kedua-dua herba tersebut mendapat kelulusan daripada Institut Sains Biologikal, Universiti Malaya (UM), Institut Kajiselidik Taiwan yang telah mengesahkan herba itu mampu memusnahkan bakteria yang menjadi penyebab kepada disentri ameoba.
Bukan sahaja memberikan tenaga, minuman herba yang dihasilkan oleh Damai Herbs mampu membantu menyembuhkan pelbagai penyakit, antaranya kencing manis dan darah tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Damai Herbs Zainal Shahrin Md Zin berkata, idea untuk menghasilkan minuman bertenaga itu berpunca daripada saranan empat rakan karibnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang minuman berkhasiat.
''Saya dan empat sahabat berpakat untuk menceburi bidang membuat minuman tenaga kerana kami masing-masing ada kepakaran tersendiri," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun baru lima bulan dikomersialkan, pihaknya telah menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menggemari air minuman Maxin ini.
Selain itu, sambutan daripada kedai-kedai runcit, farmasi dan stesen minyak terpilih seluruh negeri ini amat menggalakkan dan memaksa Damai Herbs mengeluarkan 10,000 botol seminggu.
Katanya, air tenaga Maxin mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan sijil Halal daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Menurut beliau lagi, selain khasiatnya sebagai pemberi tenaga menggunakan ramuan herba harga sebotol hanya RM2.50 (200ml) dan ia mampu dibeli oleh mana-mana golongan.
Selain harganya rendah, botolnya juga mesra pengguna dan menarik.
Menceritakan mengenai strategi pada masa hadapan, pihak Damai Herbs sudah menerima tempahan untuk mengeksport Maxin dan Royal Zabran untuk pasaran Dubai selewat-lewatnya akhir tahun ini.
''Ini adalah hasil kerjasama Damai Herbs dengan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia yang mahukan produk tempatan dikenali di mata dunia melalui herba-herba ramuan yang digunakan.
''Buat permulaan, kita akan menghantar lebih 200,000 tin minuman Maxin sebelum akhir tahun ini dan ketika ini kami masih dalam peringkat perbincangan untuk menentukan kuantiti penghantaran minuman tonik herba Royal Zabran," katanya.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, Zainal Shahrin berkata, Damai Herbs telah mengubah cara pembungkusan minuman tenaga Maxin daripada bentuk botol ke tin khas untuk pasaran luar negara.

Kencing kotor bukan tanda sakit buah pinggang


Soalan 1
alam Doktor,
Saya telah berkahwin selama enam bulan. Masalah saya disini, saya selalu dijangkiti kencing kotor secara kerap.
Saya telah membuat check up di klinik berdekatan dan beliau memberi saya 3 jenis ubat iaitupainkiller (Diclofenac Sodium 50mg), antibiotik (Ceturoxime 250mg) dan pelawas kencing (Ural Effervescent Granules). Kekerapan jangkitan ini selalu terjadi ketika saya datang bulan. Kitaran datang bulan saya normal dan teratur iaitu 22 hingga 23 hari. Doktor mengdiagnosi melalui simptom loya, sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan pundi kencing. Saya tidak mengalami kesakitan ketika membuang air kencing atau air besar cuma kesakitan yang dirasai ketika saya sedang duduk berehat dan sedang aktif seperti berjalan atau berlari. Saya cuma mengalami kencing berdarah pada kali pertama dijangkiti kencing kotor.
Jangkitan berikutnya tidak diikuti dengan darah kecuali sakit seperti yang saya jelaskan tadi.
Doktor yang merawat menasihatkan saya supaya minum air lebih, jangan menahan kencing dan cuci bahagian kemaluan selepas bersama suami. Persoalannya di sini, adakah saya berkemungkinan besar menghidapi masalah buah pinggang dan sekiranya saya mengandung, adakah ubat yang di beri oleh doktor yang merawat saya boleh menjejaskan kandungan saya?
n Lynn Kajang, Selangor.
Jawapan: Kebiasaannya, orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang kencing kotor. Kencing kotor biasanya terjadi akibat jangkitan kuman. Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kotor atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal. Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.
Pembedahan batu karang jejas kandungan?
Soalan 2
Doktor,
Saya berumur 35 tahun dan belum pernah mengandung. Pada Jun tahun lalu, saya menjalani pembedahan buang batu karang di dalam buah pinggang. Baru-baru ini doktor mengesahkan saya mengandung tiga bulan. Soalan saya, adakah kandungan saya akan mengalami masalah kesan daripada pembedahan itu?
Sue, Kuala Lumpur.
Jawapan: Anda tidak perlu risau kerana pembedahan batu karang pada bahagian buah pinggang itu tidak akan menjejaskan kandungan. Lagipun ia tidak menjejaskan fungsi buah pinggang anda. Seperti ibu-ibu mengandung yang lain, saya nasihatkan anda menjaga pemakanan dan kandungan seperti biasa.
Stres isteri panas baran
Soalan 3
Saya berumur 47 tahun dan isteri berusia 40 tahun. Kami telah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun dan mempunyai empat anak.
Anak yang sulung berumur 20 dan yang kecil 10 tahun. Baru-baru ini, saya perhatikan dia akan cepat marah dan perilakunya agak agresif. Perkara yang remeh-temeh akan menjadi isu pertengkaran. Selalunya saya akan mendiamkan diri daripada melayan kerenahnya. Lama-kelamaan kesabaran saya tercabar juga. Kadang-kala saya dan anak-anak berasa stres dengan keadaan ini. Di sini ingin saya mendapat penjelasan doktor, adakah keadaan isteri saya ini satu penyakit dan bolehkah ia diubati serta pada doktor bahagian manakah perlu saya membuat rujukan?
n Suami tertekan, Perak.
Jawapan: Berdasarkan cerita saudara, susah untuk saya kesan sama ada randa-tanda itu ada hubungan dengan penyakit. Sifat cepat naik marah dan agresif ada hubungannya dengan tanda-tanda menopaus. Kebiasaannya ia menyerang wanita berumur 45 tahun ke atas. Susah nak dikatakan sekiranya panas baran tersebut ada kaitan dengan tanda-tanda awal menopaus, Sebaiknya, bawa dia berjumpa pakar sakit puan. Sekiranya sifatnya tidak ada kaitan dengan menopaus, mungkin anda boleh membawa isteri berjumpa dengan kaunselor perkahwinan atau pakar psikiatri.

Terapi ozon bantu penyembuhan



Darah dikeluarkan untuk menjalani proses terapi ozon.


TERAPI ozon semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di negara ini yang mahu mencuba rawatan alternatif. Namun begitu masih ada berpandangan terapi ozon menyamai rawatan hemodialisis. Ini kerana kaedah serta mesin yang digunakan untuk terapi ozon kelihatan menyerupai mesin untuk rawatan pesakit buah pinggang. Hakikatnya - terapi ozon dan hemodialisis adalah rawatan yang berbeza.
Dr. Nik Baizura Sabiamad ketika ditanya tentang terapi ozon menjelaskan lebih lanjut perihal rawatan tersebut. Penasihat Perubatan Ozone Medical & Rejuvenation Specialist Centre itu memberitahu kaedah terapi ozon yang ditawarkan di situ adalah Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO). Kaedah tersebut diperkenalkan pada 1999 di mana darah pesakit dikeluarkan kemudian disaring lalu dialirkan udara ozon-oksigen.
Tempoh rawatan yang memakan masa sejam itu secara keseluruhannya akan melibatkan satu per tiga daripada keseluruhan darah dalam tubuh seseorang dikeluar dan disaring sebelum dialirkan ozon-oksigen.
Proses tersebut menurut Dr. Nik Baizura dibuat secara beransur di mana sebanyak 30 mililiter darah dikeluarkan setiap minit menghasilkan 1800 mililiter sepanjang sejam proses rawatan dijalankan.
Melalui kaedah EBOO, darah akan dialir keluar ke satu penapis di mana kuman, sel-sel kanser, kolesterol, toksin dan sebagainya akan ditapis. Selepas itu barulah proses oksigenasi dan ozonasi bermula. Darah yang telah disaring dialir semula ke dalam badan pesakit.
Dr. Nik Baizura yang berkelulusan doktor perubatan memberitahu, setiap pesakit yang mahu menjalani terapi ozon akan menjalani pelbagai pemeriksaan awal untuk menentukan tahap kesihatan.
Pemeriksaan tersebut juga bertujuan melihat apa sebenarnya masalah yang dihadapi pesakit.
Sejak dibuka lebih dua tahun lalu, pusat tersebut telah berjaya 'menunaikan' harapan banyak pesakit yang menderitai pelbagai jenis penyakit.
''Ada pesakit kencing manis, lumpuh, gout dan darah tinggi yang setakat ini semakin menunjukkan perubahan memberangsangkan,'' kata Dr. Nik Baizura. Paling penting menurut beliau, matlamat utama rawatan ozon yang ditawarkan di pusat itu bertujuan mengurangkan penggantungan pesakit terhadap ubat-ubatan.
''Alhamdulillah matlamat kami mencapai sasaran serta dapat meringankan beban pesakit supaya mereka dapat menjalani kehidupan baru,'' katanya.
Bapa Dr. Nik Baizura bekas penembak negara Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang bergantung kepada insulin untuk mengawal tahap gula turut beralih kepada rawatan ozon. Perubahan ketara dialami tokoh sukan itu. Beliau kini aktif bersenam seperti biasa termasuk mengelilingi Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi sebanyak enam kali.
Bagi Farah Aina, melihat ibunya Habibah Mohd. Amin, 52, ceria menjalani kehidupan harian selepas sembuh daripada penyakit yang dideritai sejak setahun lalu cukup membahagiakan dirinya.
''Ibu mengalami bengkak pada kaki dan tangan yang sangat serius. Beliau tidak boleh bergerak dan akhirnya terpaksa menggunakan kerusi roda.
''Kini tidak lagi, perubahan ketara selepas menjalani tiga kali rawatan, ibu kini kembali aktif tetapi meneruskan terapi untuk menyelesaikan sisa-sisa penyakit,'' katanya.
Menurut Dr. Nik Baizura, pesakit digalakkan menjalani tiga kali rawatan iaitu sekali seminggu di peringkat awal terapi. Terapi ozon bukan saja untuk golongan berpenyakit tetapi juga sesuai kepada mereka yang sihat.

Jom sertai bengkel di Kuantan



SEORANG pesakit mencuba rawatan laser untuk muka semasa bengkel bersama dr. rushmini di kuala lumpur.



BAGI penduduk di pantai timur, ini peluang yang ditunggu-tunggu. Dr. Rushmini Maris Ismail akan menemui anda semua di Kuantan, Pahang. Bertindak sebagai tuan rumah dan penganjur bersama, Dr. Shaharom Sulaiman dari Thalia Clinic tampil dalam bengkel ketiga selepas yang pertama di Kuala Lumpur Mac lalu.
Bengkel kali menampilkan tema berbeza. Bukan lagi cantik sihat tetapi Kecantikan dan Anti Penuaan. Bagaimanapun, intipatinya masih menyentuh perihal sihat lantaran menurut Dr. Shaharom hanya dengan kesihatan yang baik maka berlangsunglah proses anti penuaan.
''Bagaimana mungkin kita bercakap tentang kecantikan dan anti penuaan jika tubuh serta minda kita tidak sihat.
Asas
''Kita semua mesti ingat asas penting - minda sihat melahirkan tubuh yang sihat,'' katanya yang berterima kasih kepada M2, sisipan Ahad Mingguan Malaysia kerana meneruskan kerjasama untuk menjayakan bengkel sehari itu.
Menurut Dr. Shaharom, beliau dan Dr. Rushmini akan memperkatakan tentang kecantikan dan kesihatan secara menyeluruh.
Daripada situ lahirlah 'Kecantikan Untuk Semua Luar dan Dalam'. Bukan sekadar ceramah, bengkel yang dianjur bersama Marissa Esthetik serta syarikat farmaseutikal, Aptomed Sdn. Bhd. menawarkan lebih daripada itu.
Syarikat produk kecantikan mineral KISS, penjagaan kulit NeoAsia (M, SkinMedica, NeoStrata & Heliocare turut mengambil bahagian memberi panduan kepada peserta tentang tatacara menjaga wajah.
Tentunya ramai yang mahu melihat demonstrasi rawatan laser, chemical peeling, radio frequency dan kaedah melangsingkan badan - semuanya ada semasa bengkel. Jika ada keinginan mahu mencuba tiada siapa menghalang. Pakar menunggu anda di sana untuk memberikan rawatan percubaan. Jika anda berminat, apa kata hubungi Thalia Clinic 09-5164777 untuk maklumat lanjut. Bengkel akan berlangsung pada 14 Mei 2010 dari 8.30 pagi hingga 5 petang bertempat di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang. Bayaran penyertaan adalah sebanyak RM250. Tunggu pelbagai cenderahati dari pihak penaja.

Piramid jadi panduan



Pengambilan makanan harian mengikut keperluan dan bukannya berasaskan selera.


PEMAKANAN yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.
Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.
Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.
Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.
Karbohidrat
Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.
Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.
Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.
Protein
Asas binaan tulang, darah dan otot.
Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.
Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).
Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).
Lemak
Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.
Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.
Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.
Vitamin dan mineral
Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.
Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.
Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.
Air
Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.
Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).
Amalkan asas pemakanan sihat
Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.
Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.
Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:
l Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.
l Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.
l Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.
l Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.
l Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.
Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.
PENULIS ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).

Fahami apa itu sedut lemak



Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua.



LIPOSUCTION atau bahasa pasarnya sedut lemak adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit. Untuk memahami apa itu liposuction, kita mesti memahami kulit, lemak badan dan struktur-struktur lemak.
Kulit bukan sahaja menjadi penutup badan malah ia adalah organ terbesar pada tubuh badan. Fungsi kulit di antaranya menghalang kita menjadi dehidrasi, menghalang organisme memasuki badan dan pelindung kepada cahaya ultraviolet matahari. Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis danhypodermis. Epidermis dan dermis merupakan lapisan di mana kelenjar sebum, melanocyte,saraf, rambut tumbuh dan deria sentuh berada.
Lapisan yang terlibat dalam liposuction adalah hypodermis iaitu tempat lapisan lemak subkutan berada. Walaupun terdapat bahagian badan yang lain tempat menyimpan lemak seperti dalam rongga perut dan di sekitar organ dalaman, tetapi di hypodermislah di mana 50 peratus daripada jumlah ke semua lemak badan tersimpan. Fungsi lemak di hypodermisadalah sebagai penebat , insulasi dan penyimpan tenaga.
Fungsi sel lemak adalah untuk menyimpan bahan kimia lipid yang menyediakan tenaga untuk tubuh. Tenaga ini disimpan sebagai lemak dalam sel lemak. Sebenarnya lemak secara terus-menerus dimasukkan ke dalam dan dibawa keluar daripada setiap sel lemak. Apabila pengunaan tenaga lebih sedikit daripada penyimpanan tenaga, maka ketidakseimbangan boleh berlaku. Secara umumnya jika anda makan terlalu banyak tetapi terlalu sedikit menggunakan tenaga, lemak terkumpul. Kegemukan juga boleh terjadi apabila proses mengeluarkan lemak dari sel lemak terganggu seperti ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Ada tiga lapisan lemak pada tubuh iaitu dua lapisan lemak pada kulit dan satu lapisan lemak di dalam tubuh badan yang dikenali lemak viscera. Lapisan lemak pertama adalah lapisan yang membentuk selulit jika berlebihan. Lapisan lemak kedua dipisahkan oleh sejenis lapisan yang dikenali sebagai fascia dari lapisan lemak pertama.
Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua. Oleh itu, masalah selulit juga boleh dirawat dengan kaedah liposuction.
Secara dasarnya, lemak disimpan di tubuh dalam dua bentuk utama. Pertama adalah bentukgynoid. Ia merujuk kepada pengumpulan lemak di bahagian bawah badan, pinggul, paha dan punggung dan memberi bentuk pir. Bentuk kedua adalah android di mana lemak lebih tertumpu berkumpul di bahagian atas badan dan memberi bentuk epal. Namun begitu ia bukanlah satu kemestian sebaliknya hanyalah sebagai panduan sahaja.
Orang yang mempunyai badan berbentuk epal selalunya mempunyai masalah lapisan lemakvisceral (lapisan ketiga) yang tebal. Mereka biasanya berperut buncit. Penjagaan diet dan senaman sangat penting untuk mengurangkan lapisan lemak viscera. Namun begitu masalah hormon atau ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan peningkatan lapisan lemakvisceral (lemak dalam perut).
Peratusan lemak di dalam tubuh berubah-ubah dan dipengaruhi oleh hormon seperti insulin , estrogen dan testosteron. Apa yang anda perlu tahu apabila mencapai akil baligh, jumlah sel lemak dalam badan akan tetap dan tidak bertambah kecuali jika anda menjadi tersangat gemuk. Selepas akil baligh, sel lemak hanya akan bertambah jika berat badan anda menjadi 200 peratus daripada berat badan ideal. Oleh itu peningkatan dan penurunan berat badan anda sekarang adalah kerana sel lemak itu mengempis atau mengembang. Oleh itu, satu cara untuk membuang sel lemak secara kekal adalah dengan melakukan liposuction.
Sedut lemak adalah prosedur membuang sel lemak. Sel lemak akan hilang buat selama-lamanya selepas disedut. Namun begitu, jika anda tidak menjaga pemakanan atau melakukan senaman, sel-sel lemak yang tertinggal boleh mengembang dan menyebabkan berat badan anda bertambah.
Ingin diperjelaskan bahawa, sedut lemak bukanlah jalan termudah untuk menghilangkan berat badan atau sebagai jalan untuk membuang lemak dengan cepat. Jalan yang terbaik dan paling selamat adalah dengan menjaga diet dan senaman di samping memperbetulkan ketidakseimbangan hormon. Menjaga makan dan senaman boleh memperbetulkan fungsi badan dan menghilangkan berat badan.
Namun begitu, jika anda telah menjaga pemakanan yang sihat dan betul, telah memperbetulkan hormon dan bersenam tetapi masih juga terdapat lapisan lemak di bahagian perut, saddlebags, dada,lengan atau paha maka liposuction boleh membantu.
Kini terdapat pelbagai kaedah liposuction yang selamat seperti laser liposuction, power assisted liposuction, vaser liposuction, body jet liposuction dan sebagainya. Setiap satu prosedur mempunyai kelebihan masing-masing. Namun begitu, yang paling penting adalah kemahiran dan pengalaman doktor yang melakukannya.

Asid lemak untuk wanita


Soalan: Saya telah mengamalkan pengambilan minyak evening primrose (EPO) sejak lebih daripada setahun yang lalu. Saya dapat rasai perubahan pada kelembapan kulit dan saya terfikir untuk diberikan kepada ibu. Apakah pengambilannya turut memberi kebaikan kepada ibu yang sudah berusia 52 tahun ?
Jawapan
Kegunaan minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi. Pada kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan asid gamma-linolenik (GLA).
Kandungannya yang kaya dengan GLA ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja, malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.
Keajaiban dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini semakin berkembang dan lebih dikenali.
Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.
Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.
Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.
Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.
Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.
Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

Partisipasi


partisipasibp perihal atau perbuatan ikut serta dlm sesuatu kegiatan dsb, penyertaan: tindakan itu memerlukan ~ oleh semua lapisan masyarakat.Kamus Dewan Edisi Empat

Gagal hadapi tekanan



TATKALA dibuka pautan Wikipedia mengenai kes bunuh diri, terbentang senarai panjang nama-nama mereka yang menamatkan riwayat hidup dengan cara sedemikian.
Bukan calang-calang orang. Antaranya, pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler yang mengambil jalan singkat dengan cara menembak mulut untuk melindungi diri daripada ditangkap tentera Soviet pada tahun 1945.
Tidak ketinggalan ahli politik Amerika, R.Budd Dwyer, mengambil langkah yang sama ketika sidang media diadakan pada 1987.
Sekadar memberi dua contoh yang menjadi ingatan masyarakat, sebenarnya terlalu banyak untuk disenaraikan. Tidak keterlaluan andai dikatakan hampir setiap hari ia berlaku. Sama ada mengambil jalan drastik seperti menembak, menggantung, terjun dari tempat tinggi atau dengan mengambil ubat serta dadah berlebihan, tujuannya cuma satu - mati!
Sungguh tragik sehingga terbayang juga bagaimana mereka yang waras sampai mampu mengambil langkah sedemikian.
Pakar Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah berkata, tindakan membunuh diri merupakan satu keputusan dinamik dengan niat untuk menamatkan hidup yang berpunca daripada beberapa sebab.
"Bunuh diri di kalangan mereka yang waras biasanya bertujuan melarikan diri daripada masalah yang ditanggung.
"Justeru dengan tindakan sedemikian, mereka tidak perlu lagi memikirkan penyelesaian dan berhadapan dengan perasaan malu berikutan masalah tersebut," kata beliau.
Berbeza dengan mereka yang mengalami masalah mental, si pelaku biasanya sedar dan nekad dengan tindakan yang diambil.
Namun kata, pelaku juga mungkin mempunyai masalah berkaitan mental seperti kemurungan yang kadangkala tidak disedari menyebabkan mereka boleh melakukan tindakan sebegini.
Masalah
Tekanan sosial seperti masalah dengan kerja, keluarga atau peribadi merupakan punca utama seseorang individu mengambil jalan singkat dengan membunuh diri, kata Dr. Nor Hamidah.
"Biasanya melibatkan masalah besar dalam hidup atau boleh juga dipanggil tekanan akut membuatkan seseorang itu nekad untuk menamatkan riwayat hidup," katanya.
Jelas beliau lagi, kadangkala si pelaku tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan. Dalam keadaan yang amat terdesak, satu keputusan drastik sudah cukup untuk menghentikan segala-galanya.
"Terdapat juga kes si pelaku kelihatan seperti tiada masalah namun sebenarnya mengalami tekanan hidup yang sangat terdesak," katanya.
Lantaran masalah yang ditanggung sukar diatasi, dalam masa yang singkat fikiran mereka boleh melangkaui prinsip sehingga melakukan satu perkara akhir iaitu dengan cara membunuh diri.
Sebagai contoh beberapa peristiwa di kalangan ahli politik di Jepun yang terlibat dengan skandal atau mengalami kekalahan.
Jalan paling singkat mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan melarikan diri daripada menanggung malu adalah dengan membunuh diri. Biasanya bila terjadi keadaan begini, kes tersebut ditutup.
Simptom
Jelas Dr. Nor Hamidah, mood mereka yang mengambil jalan singkat untuk membunuh diri biasanya boleh dikesan oleh orang yang terdekat.
"Ada yang memberi petunjuk jelas, seperti melalui kata-kata atau nota. Ada juga yang tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi kita tahu bahawa dia sedang menanggung tekanan yang tinggi," kata beliau.
Jelasnya, melalui keadaan seperti menyendiri, tidak banyak bercakap dan gelisah sudah menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah.
Bagi Dr. Nor Hamidah, masalah merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua individu. Terpulang pada bagaimana cara kita menangani, ia boleh menjadi masalah paling serius hingga membawa kepada tindakan membunuh diri.
"Masyarakat sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyekat tindakan akhir ini daripada berlaku. Jika merasai sesuatu kelainan pada orang terdekat seperti ahli keluarga, bawa mereka berjumpa pakar untuk mendapatkan penyelesaian," kata beliau.
Bagi mereka yang mungkin sedang melihat seseorang individu cuba untuk membunuh diri atau melakukan perkara yang menjurus ke arah itu, lakukan sesuatu sebelum terlambat.
"Seandainya kita tidak yakin untuk membantu, dapatkan bantuan luar seperti pihak berkuasa dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tidak menjadi penonton atau merelakan sahaja kejadian tersebut berlaku," kata beliau lagi.

HRW dakwa Libya guna bom berangkai


TRIPOLI 16 April - Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) menuduh tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan bom berangkai di bandar Misrata yang dikuasai oleh pemberontak.
Bagaimanapun, kerajaan Libya menafikan tindakan berkenaan.
HRW dalam satu kenyataan berkata, tentera kerajaan melancarkan bom berangkai yang diharamkan di lebih 100 negara ke kawasan perumahan di Misrata, mengakibatkan risiko tinggi kecederaan dan kematian kepada orang awam.
Kumpulan itu berkata, ia mendapati sekurang-kurangnya tiga letupan bom berangkai dilancarkan di kawasan perumahan el-Shawahda pada waktu malam, kelmarin.
"Para penyelidik menemui saki-baki satu bom berangkai dan saksi-saksi turut mengesahkan penggunaan bom tersebut,'' kata kumpulan itu dalam laman webnya.
HRW memberitahu, bom berangkai itu adalah jenis bom mortar MAT-120 120 mm keluaran Sepanyol yang meletup di udara dan boleh membebaskan 21 bom kecil di kawasan yang luas.
Badan itu berkata, pihaknya tidak dapat memastikan jika terdapat orang awam di Misrata cedera atau terbunuh akibat penggunaan senjata itu.
Jurucakap kerajaan Libya, Ibrahim menafikan dakwaan tersebut.
"Selepas menggunakan bom ini, bukti penggunaannya tidak akan hilang dalam tempoh yang singkat. Kami tahu masyarakat antarabangsa sedang melihat negara ini. Jadi kami tidak akan berbuat demikian,'' katanya.
HRW berkata, lebih 100 negara telah mengharamkan penggunaan bom berangkai namun Libya bukan sebuah daripada negara itu. - Reuters

Kontroversi video cara bunuh diri


LONDON 16 April - Satu dokumentari tentang cara untuk membunuh diri atau eutanasia oleh seorang doktor yang menggelarkan dirinya sebagai 'Doktor Kematian' dilapor telah dipertontonkan kepada pelajar-pelajar sekolah di United Kingdom (UK).
Dalam dokumentari berdurasi 20 minit yang ditonton pelajar seawal umur 14 hingga 18 tahun itu, Dr. Philip Nitschke turut menunjukkan bagaimana dia melakukan suntikan maut ke atas pesakit-pesakit yang tidak mampu lagi menanggung penderitaan mereka.
Dalam dokumentari itu, seorang bekas doktor yang menyokong eutanasia, Michael Irwin turut menjelaskan mengapa dia 'berbesar hati' untuk membantu sekurang-kurangnya sembilan pesakit menamatkan riwayat mereka di klinik Digitas, Switzerland.
Video itu dihasilkan oleh syarikat yang menerbitkan dokumentari pembelajaran ke seluruh UK, Classroom Video yang beribu pejabat di Bristol.
Penerbitan dokumentari tersebut bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk ketua gereja yang menyifatkan ia sebagai 'galakan untuk membunuh diri'.
Phyllis Bowman yang menyertai kempen Hak untuk Hidup berkata, video ekstrem tersebut boleh mempengaruhi golongan muda untuk membunuh diri.
"Tiada salahnya untuk membincangkan isu eutanasia namun menghasilkan video tersebut adalah tidak wajar," katanya.
Kumpulan Dignity in Dying juga mengecam penampilan Dr. Nitschke dalam video tersebut.
Menurut jurucakap kumpulan itu, mereka menggalakkan perbincangan mengenai eutanasia namun tidak mempengaruhi sesiapa untuk menamatkan riwayat hidup mereka. - Agensi

Taylor Lautner kagumi kekasih



LOS ANGELES 16 April - Bintang Twilight, Taylor Lautner mengakui dia mengagumi kekasihnya, Lily Collins, anak kepada penyanyi Phil Collins.
Aktor tersebut menjelaskan, Lily berjaya mencuri hatinya ketika mereka berlakon bersama dalam filemAbduction.
"Saya tidak berapa mengenalinya (Lily) malah hanya pernah bertemu dengannya beberapa kali sahaja namun dia berjaya menambat hati saya. Dia sangat hebat.
"Lily seorang pelakon yang berbakat dan setiap kali saya mengalami kesukaran dengan watak sebagai Nathan, dia sentiasa memberikan sokongan," kata Lautner.
Aktor itu turut mendedahkan mereka berasa selesa dan mudah untuk melakonkan adegan romantik.
"Bagi melakonkan adegan romantik, ia bergantung kepada pasangan dan bagaimana anda menghayatinya kerana kadang-kadang ia boleh menjadi sesuatu yang pelik.
"Namun sekiranya anda benar-benar bijak menghayati watak yang diberikan, tidak kira apa jua masalah, anda pasti dapat lakukannya," ujar Lautner. - Agensi

Nikki Reed bercinta dengan peserta Idol


LOS ANGELES 16 April - Tersingkir dari rancangan realiti American Idol baru-baru ini mungkin merupakan mimpi buruk buat seorang daripada pesertanya, Paul McDonald.
Namun, mimpi buruknya berkesudahan baik apabila McDonald kini dilapor sedang hangat menjalinkan hubungan cinta dengan aktres filem Twilight Saga, Nikki Reed.
Bekas peserta American Idol itu mengesahkan dia dan Reed kini sedang bercinta kepada pengacara rancangan Access Hollywood, Billy Bush.
Pasangan tersebut bertemu semasa McDonald membuat persembahan ketika dia masih dalam pertandingan American Idol.
Penyanyi itu bagaimanapun menjelaskan hubungan mereka masih di peringkat awal dan Reed banyak membantunya ketika dia di dalam pertandingan.
"Dia sangat hebat dan sentiasa menyokong saya," kata McDonald.
Kesibukan menjadi penghalang buat pasangan kekasih itu untuk mengadakan temu janji apabila McDonald sibuk dengan persediaan jelajah American Idol manakala Reed pula dengan penggambaran filem Twilight Saga - Breaking Dawn: Part II.
"Walaupun kami sibuk dengan karier masing-masing namun kami berusaha untuk meluangkan masa bersama," ujar McDonald. - Agensi

10 kereta terpantas di dunia





DEMAM Formula Satu baru sahaja berlalu apabila Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah untuk perlumbaan kedua musim 2001 yang dijuarai oleh pelumba Red Bull, Sebastian Vettel.
Sememangnya memiliki kereta terlaju adalah idaman kebanyakan daripada kita tetapi harganya yang menjadi penghalang dan pengeluarannya juga adalah terhad.
Jika hendak dinilai kereta paling laju di dunia, sebenarnya terdapat pelbagai jenis kereta yang berjaya mencapai status itu tetapi ia lebih kepada kereta prototaip atau kereta ujian.
Pada tahun 1970, ujian jentera Blueframe yang menggunakan kuasa roket berjaya mencapai kelajuan 1,000 kilometer sejam (km/j).
Kira-kira 27 tahun selepas itu, jentera kipas turbo buatan Britain iaitu Thrust SSC memecahkan rekod dengan kelajuan 1,223 km/j, sekaligus menjadi kenderaan darat pertama yang mencapai kelajuan supersonik (kelajuan bunyi).
Tahun ini, sebuah lagi jentera keluaran Britain yang diberi nama Bloodhound SSC akan berusaha mencapai kelajuan sehingga 1,600 km/j.
Bagaimanapun, ruangan Tekno minggu ini menyenaraikan 10 kereta terpantas di dunia yang boleh dipandu secara sah di jalan raya, bukannya kereta konsep, kereta lumba atau kereta yang telah diubahsuai.
Menurut laman web http://www.thesupercars.org, 10 buah kereta terlaju di dunia 2010-2011 ialah:

Nabil keji orang gemuk?



Nabil



KALAU ada yang kata Nabil dah tak popular, anda memang silap. Pelawak yang dicungkil bakat melalui program Raja Lawak tu masih berbisa sampai sekarang, cuma mungkin dah tak banyak ceritanya yang keluar sejak kebelakangan ini.
Syed tahu ramai yang minat gila dengan pelawak ini. Kalau buat lawak tu, memang boleh pecah perut dibuatnya. Kalau tak percaya baik peminat tonton Maharaja Lawak yang sedang bersiaran sekarang ni.
Tapi kali ini Syed bukan nak bercerita hal siapa yang lagi lawak atau siapa yang tak lawak tetapi cerita tentang minggu setiausaha yang dijayakan oleh Nabil bersama dengan Sharifah Shahira dan Anuar Zain baru-baru ini.
Bukan apa, ada beberapa tetamu yang hadir kurang senang dengan lawak jenaka yang Nabil dah buat. Lawak tu memang lawak tetapi tak berapa nak sensitif dengan orang yang ada dalam majlis tersebut.
Kalau mengikut aduan peminat yang hadir banyak kali juga Nabil sebut pasal silikon dan usik orang yang berbadan besar dengan perkataan gemuk. Ramai yang suka tapi ramai juga yang pura-pura suka.
Mungkin Nabil terlepas pandang soal ini. Syed tak rasa Nabil bertujuan lukakan hati mereka walaupun ramai yang mengadu hal yang sama pada Syed. Tak mengapalah, ini pun hal kecil sahaja.
Syed pasti Nabil memang cukup profesional melayan peminatnya. Insiden-insiden macam ni memang sukar untuk dielakkan. Kalau tidak dah lama dia kena baling dengan telur busuk. Jangan marah ya Nabil.
Syed: Kadang-kadang jer lawak.

Maut tersepit antara dua lori



MUAR 16 April - Seorang pemandu treler maut selepas kepalanya tersepit antara kenderaannya itu dan sebuah lori tanah yang baru dinaikkan di sebuah tapak pembinaan berhampiran Laluan Pintas Muar, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, mangsa, Yeo Chuan Kuan, 32, sedang bekerja seorang diri bagi menaikkan lori tanah di atas treler berkenaan.
Namun difahamkan semasa Chuan Kuan berada di belakang lori tanah tersebut, kenderaan itu tiba-tiba berundur lalu menghimpit kepalanya.
Berikutan itu, kepala mangsa hancur dan mayatnya hanya disedari oleh seorang pekerja jengkaut di tapak pembinaan berkenaan yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Muar.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang diketuai Pegawai Operasi Kanannya, Ismail Mahmud dikejarkan ke tempat kejadian tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia semasa pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi tersebut.
Mayat Chuan Kuan dikeluarkan oleh pasukan itu pukul 7.20 petang dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk dibedah siasat.

Kera cederakan kanak-kanak ditembak


JASIN 16 April - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menembak mati kera jantan liar yang dipercayai mencederakan seorang kanak-kanak berusia 15 bulan dan pengasuhnya ketika mereka sedang tidur di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, di sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Abd. Rahim Othman berkata, sepasukan enam anggotanya memburu haiwan itu sejak awal pagi sebelum berjaya menembak mati tiga ekor kera jantan kira-kira pukul 3 petang.
"Kita percaya, salah seekor merupakan kera jantan yang menyerang dan mencederakan seorang pengasuh dan bayi semalam. Ia ditembak kira-kira 700 meter dari rumah pengasuh terbabit," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kanak-kanak malang itu, Siti Hajar Abdul Razak menerima hampir 30 jahitan di bahagian muka akibat diserang seekor kera liar ketika tidur di rumah pengasuhnya, Rokiah Abdul Rahman, 59.
Kejadian yang kali pertama berlaku di kampung terbabit turut menyebabkan Rokiah cedera di kedua-dua belah tangannya akibat digigit haiwan itu.
Mengulas lanjut, Abd. Rahim berkata, pihaknya akan melakukan operasi memburu kera liar dan memasang perangkap di kawasan kampung terbabit dari semasa ke semasa.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui terdapat kera liar di kawasan terbabit dan mula kerap diganggu haiwan itu sejak enam bulan lalu.

Waran tangkap: Sibuk alasan Norman, Memey


KUALA LUMPUR 16 April - Pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey Suhaiza mendakwa bukan sengaja tidak hadir perbicaraan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam sehingga dikenakan waran tangkap, sebaliknya kesibukan menjalani penggambaran menyebabkan mereka tidak sempat berbuat demikian.
Menurut Norman, 35, apa yang berlaku adalah di luar perancangannya dan meminta maaf kerana telah menyusahkan pelbagai pihak.
"Apa daya saya kerana masa tidak mengizinkan saya sampai cepat. Saya ingat selepas siaran langsung di TV3 pagi semalam, saya sempat ke mahkamah. Dalam keadaan mengantuk kerana sebelum itu penggambaran drama Keranamu Laila habis lewat, saya tetap memandu ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon berkata, dia bukan sengaja mencari alasan tapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan ini merupakan kali pertama dia dan Memey tidak hadir perbicaraan sejak kes khalwat mereka mula dibicarakan tiga tahun lalu.
Sementara itu Memey, 23, berkata, sejak seminggu lalu dia berada di sebuah kampung di Bahau, Negeri Sembilan menjalani penggambaran telefilem Fatimah Labuci.
Katanya, jika penggambaran telefilem arahan MP Roslin itu dibuat di sekitar ibu kota, sudah pasti dia akan mencuri masa untuk ke mahkamah.
"Saya harap orang tidak salah faham. Waran itu hanya peringatan dan ini adalah kali pertama saya tidak hadir. Lagipun saya sudah maklumkan perkara itu kepada peguam," katanya.
"Awal-awal lagi saya beritahu peguam yang saya ada penggambaran pada tarikh berkenaan dan akan cuba hadir. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan pengarah dan penerbit, saya tidak diberi pelepasan kerana ia akan mengganggu jadual penggambaran," katanya.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi berkata, dia berada dalam dilema kerana tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan dan pada waktu sama terpaksa menyelesaikan masalah peribadi.
"Tengoklah nanti apa yang berlaku pada saya. Jika saya pergi semalam,
penggambaran tergendala dan akan menyusahkan banyak pihak. Bila saya tidak pergi, keluar pula waran tangkap. Saya bukan sengaja hendak menimbulkan masalah, saya tidak hadir kerana bersebab dan sudah memaklumkannya sedari awal lagi," katanya.
Kedua-dua pelakon itu dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di sebuah pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi 30 Oktober 2008.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pasangan itu juga diarahkan oleh Hakim Syarie, Salehan Yatim memfailkan hujahan balas pada 20 Mei ini sebelum pihak pendakwaan memfailkan jawapan selewat-lewatnya pada 20 Jun ini dan mahkamah akan membuat keputusan pada 29 Julai depan.
Pelakon itu yang sibuk menjalani penggambaran drama Keranamu Laila di Banting memberitahu, dia sebenarnya sudah sampai ke kawasan mahkamah semalam, namun terlewat dan dimaklumkan oleh wakil peguam bahawa hakim sudah mengeluarkan waran tangkap.

Tentera Gaddafi guna bom berangkai




BARISAN pejuang pemberontak mara dari bandar Adabiyah kelmarin untuk menawan bandar Brega daripada tentera Muammar Gaddafi


TRIPOLI - Beberapa letupan kuat menggegarkan bandar Misrata semalam selepas tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membedil bandar berkenaan dengan menggunakan bom berangkai.
Misrata merupakan satu-satunya bandar di barat Libya yang masih dikuasai oleh pemberontak.
Penggunaan bom berangkai yang diharamkan undang-undang antarabangsa dalam serangan ke atas Misrata dilaporkan oleh Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beberapa tentera pemberontak yang turut mengesahkan dakwaan HRW berkata, bom terbabit meletup di udara dan membebaskan banyak bom kecil untuk membunuh ramai orang dalam lingkungan kawasan yang agak luas.
"Malam semalam, bom-bom kecil jatuh seperti hujan," kata seorang penduduk bandar itu, Hazam Abu Zaid yang mengangkat senjata untuk mempertahankan kejiranannya.
Bom berangkai diharamkan oleh para diplomat dari lebih 100 negara dalam satu perjanjian antarabangsa di Dublin, Ireland 2008 kerana ia mengancam nyawa orang awam.
Sementara itu, di timur Libya, bunyi bedilan meriam kedengaran selepas pihak pemberontak di bandar Adabiyah mara ke Brega selepas bandar minyak itu dibom jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Mid-range map of Al%20Adabiyah
Objektif tentera pemberontak kini adalah untuk menawan kembali Brega yang terletak sekitar 80 kilometer dari Adabiyah. Beberapa laporan setakat ini menyatakan, pemberontak telah sampai di pinggir bandar berkenaan dan bertempur dengan tentera Gaddafi.
Dalam perkembangan berkaitan Presiden AS, Barack Obama kelmarin mengakui pertempuran yang memasuki minggu ketiga kini menemui jalan buntu, tetapi yakin NATO akhirnya akan dapat menyingkirkan Gaddafi. - Agensi

Trak guna kayu api ganti petrol




TRAK El kamina yang menggunakan kayu api sebagai bahan bakar.


HELSINKI - Tidak tahan dibebani harga petrol yang melambung tinggi, seorang lelaki di Finland mengubah suai sebuah trak pikap miliknya bagi membolehkan kenderaan itu bergerak dengan menggunakan kuasa kayu api, lapor sebuah akhbar semalam.
Setelah mengalami pengubahsuaian, enjin V6 trak jenis Chevrolet milik Juha Sipila kini dijana asap daripada dapur kayu api yang dipasang di belakang trak tersebut.
Pada kapasiti penuh, dapur tersebut boleh diisi dengan kayu api yang mencukupi untuk menggerakkan trak itu sejauh 1,280 kilometer.
Lelaki itu mendakwa, traknya boleh mencapai kelajuan maksimum 144 kilometer sejam dan dia menamakan kenderaannya El Kamina yang bermaksud dapur dalam bahasa Finland.
Teknologi dapur kayu itu yang pertama kali digunakan pada kenderaan semasa kekurangan bekalan petrol ketika Perang Dunia Kedua, didapati lebih mesra alam berbanding enjin petrol atau diesel. - Agensi

Kasut bertatah 2,200 butir berlian




KASUT House of Borgezie ini dihiasi dengan 2,200 butir berlian.


LONDON, Britain - Sepasang kasut tumit tinggi berharga £140,000 (RM691,029) dipercayai termahal di dunia, dipamerkan di gedung kasut House of Borgezie di sini kelmarin.
Kasut buatan tangan itu diperbuat daripada emas padu dan dihiasi 2,200 butir berlian dengan berat keseluruhan 30 karat.
Setakat ini, masih belum ada pelanggan yang membeli kasut berkenaan yang dihasilkan oleh pereka barang kemas Britain, Christopher Michael Shellis, sejak ia dipamerkan untuk jualan lebih lima bulan lalu.
"Kasut ini ibarat harta karun yang dipakai di kaki. Setakat ini, kami menerima banyak pertanyaan tetapi tiada urusniaga yang konkrit," kata Shellis. - Agensi

Skandal kereta Awal, Scha



AWAL (kanan) dan Scha.



PENGACARA Awal Ashaari dan Scha Alyahya minggu lepas tersedak sebaik membaca gosip sentap Diva minggu lepas. Pasangan kekasih itu sebelum ini didakwa memberi dan menerima sebuah kereta mewah tetapi mereka menafikan sensasi itu. Awal beria-ria menafikan gosip itu di Facebook dan portal hiburan Internet. Begitu juga si Awan Dania, dia meluahkan perasaan menerusi Twitter sambil menyindir Diva supaya selidik dahulu sebelum bercakap.
Elok juga Diva kemukakan hasil forensik plat WSC4. Setahu Diva, nombor plat cantik kereta baru Scha sekarang rupa-rupanya dibeli sebelum ini bersama teman tapi mesranya suatu ketika dahulu iaitu si ‘Abang F’. Itu belum masuk bab tak bayar saman trafik yang melambatkan proses jual beli.
Letihlah bercakap hal artis yang sedang hangat bercinta nih, usik sikit melenting bukan main lagi. Masa tengah baik, ada yang sampai buka akaun bersama bahkan beli rumah letak nama bersama.
Bila dah berantakan, barulah semua terbongkar. Teguran ini tak ditujukan pada sesiapa tau. Diva sekadar menyampaikan, ada banyak lagi maklumat, tapi Diva fikirkan juga privasi kalian.

Diva:Diva: Suka kongsi cerita.

Loloq versi Hasnol



HASNOL RAHMAT



LAPANG dada dan Diva berkenan sungguh apabila penganjur Konsert Untukmu Loloq yang berlangsung dari 22 hingga 24 April ini memilih aktor berkarakter Hasnol Rahmat sebagai pembawa watak Loloq.
Bukan disebabkan Hasnol juga kelahiran Singapura tetapi hubungan jiwa dan raga antara Hasnol dan Loloq sangat dekat. Bukan setahun dua tetapi lebih 10 tahun mereka berkawan. Kalau nak tahu, Hasnol pernah terlibat sebagai pelakon untuk satu sketsa arahan Loloq sekitar tahun 1999. Ketika itu, Hasnol belum terkenal, tapi mungkin sebab dia agak sesuatu di mata Loloq, dia dipilih sebagai pelakon untuk mengisi sketsa pendek untuk Konsert Gembala M. Nasir di Singapura.
Kata Hasnol, dia bukan mahu jadi Loloq tapi hanya melakonkan karakter-karakter yang pernah Loloq lalui sepanjang bergelar penulis lirik. Dengarnya isteri arwah, Hariah sendiri tergamam bila lihat wajah Hasnol setelah disolek untuk watak berkenaan. Diva tak nak komen lebih-lebih, tapi pembaca lihatlah sendiri. Comelnya Loloq versi Hasnol!

Diva: Bukan main lagi Remy Ishak, dah pandai sambut hari jadi besar-besaran macam hero Bollywood. Semepan hari lahirnya pada 23 April nanti, Remy akan buat sambutan di Bora Ombak, pukul 2 petang tetapi tetamu dikenakan bayaran RM70. Apa-apa hal, hubungi 016-2320999.