Monday, October 04, 2010

Kekusutan ekonomi jadi fokus

Kekusutan ekonomi jadi fokus

BRUSSELS 3 Okt. - Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) Kelapan yang bermula di sini esok dilihat dapat merapatkan jurang perbezaan pandangan antara pemimpin dua benua itu sekaligus mencari jalan menangani kemelut politik dan ekonomi global.
Kali ini giliran benua Eropah menganjurkan sidang kemuncak dua hari, dua tahun sekali itu. Sidang ketujuh diadakan di Beijing, China, yang antara isu utamanya juga menyentuh aspek kekusutan ekonomi dunia.
Walaupun sidang ini merupakan dialog tidak formal dan tidak mengikat dari segi undang-undang, namun ia dilihat platform terbaik untuk pemimpin-pemimpin Asia dan Eropah berbincang.
Sejak sidang ini bermula pada tahun 1996 di Bangkok, Thailand, Malaysia tidak pernah ketinggalan menyertainya secara aktif.
Kali ini, giliran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri mengetuai delegasi negara buat pertama kalinya ke sidang tersebut.
Najib yang tiba di Brussels, Belgium petang ini, sudah pasti akan menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pelbagai isu antarabangsa membabitkan politik dan ekonomi.
Sebelum ini, Perdana Menteri hadir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York antara lain, Najib dalam ucapan sulungnya menegaskan pentingnya masyarakat dunia mengetepikan fahaman ektremis atau melampau dan mengamalkan konsep kesederhanaan sejagat bagi melahirkan dunia aman, selamat dan adil.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN dan Amerika Syarikat pula , Najib menegaskan tentang perlunya diperbetulkan pandangan takut tentang Islam atau Islamophobia yang menular di kalangan masyarakat negara kuasa besar dunia itu.
Kemuncaknya, ada usaha pihak-pihak tertentu hendak membakar al-Quran sempena memperingati tragedi 11 September 2001.
Sementara itu, tema pada sidang Asem kelapan ialah Kualiti Kehidupan, Ke Arah Meningkatkan Kesejahteraan dan Martabat Semua Rakyat.
Pelbagai isu akan dibincangkan dalam Asem ini. Antaranya ialah pengurusan kewangan dan ekonomi global yang lebih efektif, pembangunan mampan, masalah lanun di laut, menentang keganasan dan jenayah terancang, sistem pengawalan dan pelucutan senjata.
Turut disentuh juga isu-isu global, hubungan antara masyarakat Eropah dan Asia serta hala tuju Asem.
Selain itu, forum perniagaan Asia - Eropah, mesyuarat kerjasama Parlimen Asia dan forum rakyat Asia Eropah juga berlangsung serentak.
Sepanjang lawatan kerja Najib itu, beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat dari Asia dan Eropah untuk membincangkan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama.
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucapan semasa perbincangan topik mengenai tadbir urus ekonomi dan kewangan esok. - Utusan