Monday, October 04, 2010

Sasar jual 80% produk mesra alam

Sasar jual 80% produk mesra alam

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. menyasarkan 80 peratus daripada jualannya merupakan produk mesra alam sekitar menjelang 2012, kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Penjenamaannya, Azizah Wahid.
"Sehingga ini, jualan produk penjimatan tenaga kami seperti pembalik penyejuk udara, peti air batu, televisyen plasma, diod pancaran cahaya dan telefon merupakan kira-kira 40 peratus," katanya selepas taklimat media pada Pameran dan Persidangan Produk Greentech dan Eko Malaysia (IGEM) yang akan diadakan dari 14 hingga 17 Oktober 2010.
Sejak tiga tahun lepas, katanya Panasonic komited membangunkan 200 model yang akan diklasifikasikan sebagai Produk Hijau "Superior" (produk yang mencapai prestasi alam sekitar kelas atas industri itu).
"Kini, kami telah membangunkan 395 daripada model sedemikian," katanya.
Azizah berkata, syarikat itu akan memperkenalkan penyelesaian tenaga diperbaharuinya yang pertama, Panel Solar, di IGEM itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia akan turut melancarkan pelbagai produk 'Penjimatan Tenaga' di pameran itu itu.
Pengurus Produk Kumpulan Pasukan Penyelesaian Profesional Audio Video Tan Chee Hon berkata, menjelang 2018, Panasonic Malaysia menyasarkan menjadi syarikat inovasi hijau nombor satu. - BERNAMA