Monday, October 04, 2010

Kecacatan bukan halangan

Kecacatan bukan halangan

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Meskipun tangan dan jarinya tidak sempurna, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maisarah Zakaria @ Azahari, 25, tetap cekal menimba ilmu pengetahuan sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Pengurusan Ilmu Wahyu dan Warisan seperti insan normal yang lain.
Gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, layanan baik yang diterimanya di universiti berkenaan membuatkan dia tidak pernah berasa terasing.
"Saya rasa saya seperti insan sempurna yang lain kerana rakan-rakan dan pensyarah tidak pernah membeza-bezakan kami semua.
"Saya sangat teruja kerana berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan keputusan yang cemerlang. Saya tahu, ayah dan ibu pasti berbangga dengan saya," katanya ketika ditemui selepas Konvokesyen UIAM Ke-26 di Gombak, dekat sini hari ini.
Maisarah ialah salah seorang daripada empat pelajar kurang upaya (OKU) yang menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen selama tiga hari bermula semalam.
Pada konvokesyen UIAM kali ini, 4,334 graduan menerima ijazah masing-masing meliputi ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
Dalam pada itu, Maisarah turut menasihatkan golongan OKU agar tidak cepat berputus asa dan memanfaatkan peluang yang ada bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berjaya jika diberi peluang.
Sementara itu ibu Maisarah, Che Haizan Mat Jusioh, 64, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak sehingga menitiskan air mata melihat anak gadis istimewanya itu berjaya menamatkan pengajian.
"Saya memang risau membiarkan dia seorang diri di kampus tetapi saya percaya Maisarah mampu berdikari.
"Tiada apa yang menggembirakan saya selain melihat dia berjaya dunia dan akhirat," katanya.