assalamualaikum ...
Setelah YB Che Hashim Adun Galas meninggal dunia baru-baru ini (arkib 28/09/2010), maka bermulalah perang saudara antara PAS dan UMNO.
Bagi mereka yang berjiwa halus akan memandang bahawa peperangan ini adalah peperangan kalah mati yang akan memberikan kesan buruk kepada akhlak melayu di masa akan datang.
Pilihanraya dan politik melayu dan di Malaysia kita sebenarnya jika dipandang dengan teliti akan lebih menimbulkan bibit pendengkian daripada pemuafakatan, permusuhan daripada persaudaraan, pembongkaran daripada husnuz zan, penipuan daripada kebenaran dan macam-macam lagilah.
Setiap kali tiba musim pilihanraya, cubalah belek-belek Utusan Malaysia, Harakah, Metro, Berita Harian dan apa-apalah lagi yang mana boleh dikatakan banyak sekali bercanggah dengan nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah rendah dan menengah.
Di sekolah kita diajar berbaik sangka, tolong menolong, bermatlamat cemerlang untuk agama, bangsa dan negara tetapi apabila masuk sahaja alam Universiti dan alam pekerjaan maka nilai-nilai murni itu telah dilupakan tetapi telah disuburkan akhlak-akhlak mazmumah.
Adakah akhlak mahmudah menjadi sunat diamalkan ketika di sekolah manakala ketika sudah habis sekolah maka akhlak-akhlak mazmumah pula menjadi sunat diamalkan.
Budaya di Malaysia semakin hari semakin menular gejala sunat melakukan maksiat, seperti maksiat mengumpat, syak buruk, tidak tolong menolong, dengki, sombong, perpecahan sesama sendiri dan sebagainya.
Sunat melakukan maksiat ini akan nampak jelas ketika pilihanraya kecil dan umum.
Politik di Malaysia tidak mengajak ke arah kebaikan tetapi lebih kepada kerosakan.
Politik pemerintah mempertahankan pemerintahannya dengan apa cara sekalipun manakala politik pembangkang akan membangkang dengan apa cara sekalipun.
Samada PAS atau UMNO sama sahaja.
Kedua-duanya melakukan cara kotor dalam politik mereka.
PAS jangan marah kerana PAS tidak melambangkan politik Islam yang sebenar.
Jangan marahkan blogger wahai PAS atau UMNO tetapi kajilah segala perkara dengan kaedah-kaedah ilmu yang berkualiti dan bukannya pakai main hentam sahaja.
Kita kan ada kaedah-kaedah ilmu maka gunalah kaedah-kaedah itu wahai PAS dan UMNO.