Monday, October 04, 2010

Musharraf mohon maaf

Musharraf mohon maaf

LONDON 3 Okt. - Bekas ketua tentera Pakistan, Prevez Musharraf (gambar) semalam memberikan ucapan sulung di hadapan beratus-ratus penyokongnya di Birmingham pada satu perhimpunan sempena pelancaran parti politik barunya, kelmarin.
Bekas pemimpin Pakistan itu berjanji kepada 1,500 penyokongnya yang berkumpul di Birmingham, England bahawa partinya akan bertanggungjawab kepada rakyat.
Beliau juga berjanji bahawa parti itu akan memperkenalkan struktur demokrasi tersendiri dan tidak akan mewariskan kuasanya.
Pada Jumaat lalu, Musharraf melancarkan parti baru yang dikenali sebagai Parti Liga Islam Seluruh Pakistan di sini.
Pada perhimpunan di Birmingham semalam, Musharraf diberi sambutan meriah oleh para penyokongnya di Dewan New Bingley yang berteriak dan melambai-lambaikan tangan mereka kepada bekas Presiden itu.
Sementara itu, di luar dewan, beratus-ratus anggota pertubuhan politik Islam, Hizb ut-Tahrir turut berkumpul mengadakan satu protes secara aman.
Sesetengahnya kelihatan memegang sepanduk yang ditulis "Pakistan memerlukan pemimpin bertanggungjawab".
"Ia (peringkat awal pemerintahan Musharraf) berjalan dengan baik. Musharraf berkata, di saat akhir tempoh pemerintahannya terdapat kesilapan dan beliau meminta maaf atas perkara itu," kata penggubal undang-undang Birmingham, Khalid Mahmood.
Musharraf berundur daripada jawatan presiden pada 2008 berikutan satu bantahan besar-besaran dan ancaman akan didakwa.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas pelancaran parti barunya itu, Musharraf berkata, beliau memohon maaf atas beberapa keputusan yang membawa kesan negatif ketika negaranya mengalami defisit sebanyak AS$175 juta (RM540juta).
Semasa memerintah Pakistan, beliau dikritik kerana gagal memperbaiki ekonomi Pakistan, selain tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan konflik politik yang melanda negara itu. - AP