Monday, October 04, 2010

Asem jangka tangani iklim global

Asem jangka tangani iklim global

BRUSSELS 3 Okt. - Pemimpin Asia dan Eropah akan memulakan sidang kemuncak di Brussels esok berkaitan isu perubahan iklim dan perdagangan, namun ia dijangka diselubungi masalah pertikaian sempadan antara Jepun dan China.
Ketua-ketua negara dan kerajaan daripada 48 negara anggota Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia- Eropah (Asem) akan bersidang selama dua hari, diikuti dengan rundingan berasingan antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Korea Selatan diikuti dengan China pada Rabu ini.
Namun, tumpuan akan diberikan kepada Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan rakan sejawatan dari Jepun, Naoto Kan yang dijangka akan menggunakan sidang kemuncak itu untuk bersemuka bagi mengurangkan ketegangan yang timbul akibat insiden maritim berhampiran rangkaian pulau yang menjadi rebutan antara kedua-dua negara.
Hubungan antara kedua-dua negara yang merupakan kuasa ekonomi Asia itu bertambah parah sejak timbul pertikaian tentang penahanan seorang kapten bot nelayan China oleh Jepun pada 8 September lalu dekat rangkaian pulau di perairan Laut China Timur yang dipanggil Senkaku oleh Jepun dan Diaoyu oleh China.
Jepun membebaskan kapten itu, namun ketegangan terus berlaku dengan Beijing menangguhkan semula rundingan peringkat tinggi. Dalam apa yang dilihat sebagai langkah perdamaian, Tokyo memberi pembayang bahawa niat Kan ke Brussels adalah untuk bertemu dengan Jiabao.
Bagi EU, sidang kemuncak ini adalah peluang bagi kesatuan yang dianggotai 27 negara itu merapatkan hubungan dengan Asia dan kembali memainkan peranan sebagai kuasa besar dunia, kata penganalisis.
"Tiada satupun cabaran utama Eropah yang boleh ditangani tanpa pertalian lebih dekat dengan Asia.
"EU perlu menggunakan pertemuan ini untuk memberi isyarat yang ia bukan menjadi semakin 'tidak penting' di pentas dunia seperti mana yang didakwa beberapa negara Asia," kata eksekutif kanan program dalam badan pemikir Pusat Polisi Eropah, Shada Islam. - AFP