Wednesday, April 06, 2011

06-April 2011 - 10.00 Cinema On 2 - The Devil Wears Prada

Hidup jangan terlalu mengejar dunia kerana semakin kita mengejar dunia maka dunia semakin kecil tetapi kejarlah akhirat kerana semakin kita mengejar akhirat maka akhirat semakin besar.

Miranda ugut Emily atau lebih tepatnya Andrea, kalau tidak mahu pergi ke Paris hujung minggi ini maka Miranda akan menghantar surat tatatertib kepada semua syarikat penerbitan supaya jangan ambil Emily bekerja.

Emily takut lalu menurut semua kehendak Miranda.

Akhirnya Emily rasa menyesal kerana terlalu mengejar dunia bersama Miranda.

Emily berhenti kerja dari Runway.

Emily pergi mencari kerja di sebuah syarikat penerbitan.

Ketua Editor syarikat penerbitan itu telah terima surat tatatertib Emily dan berkata, kalau saya tidak terima awak bekerja dengan saya maka saya bodoh, saya yakin awak telah melakukan sesuatu yang betul.

Kalau Allah telah tetapkan rezeki untuk kita maka walau semua makhluk menghalangnya tetapi Allah mahu kita dapatkan rezeki itu maka rezeki itu tetap akan datang.






Kerasnya hati Hindun



TANPA bercerita kisah wanita yang seorang ini, pengetahuan kita terhadap sejarah Islam seolah-olah tidak akan menjadi lengkap dan sempurna.
Hindun binti Utbah, sebagaimana yang diketahui umum mempunyai watak yang sangat protagonis dalam Perang Uhud yang bakal kita lalui kisahnya.
Sehingga beliau digelar sebagai pemakan hati, iaitu umpama manusia kanibal yang sanggup mengunyah anggota badan manusia yang lain semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri.
Namun sangat menarik jika kita dapat mengenali watak ini dengan lebih dekat melalui pelbagai pihak yang bercerita mengenai Hindun yang begitu memusuhi Islam sejak zaman jahiliah.
Namun kita tidak akan menemui sebarang kisah yang mendedahkan sama ada Hindun seorang wanita yang jelita atau cantik pada zamannya.
Tetapi yang sering diceritakan ialah mengenai jiwanya yang kental, seorang yang pintar berkata-kata, berpendirian tegas dan sangat berpengaruh terhadap kaumnya. Pendek kata dia menepati ciri-ciri wanita bangsawan walaupun menimbulkan pelbagai konflik.
Imam Ibnu Abdil Jarir menyifatkan Hindun sebagai: "Hindun adalah seorang wanita yang berjiwa besar dan memiliki kehormatan."
Nama sebenar wanita ini ialah Hindun binti Utbah bin Robiah bin Abdi Syams bin Abdi Manaf Al Umawiyah Al Qurasyiyah.
Ibunya bernama Shafiyyah binti Umayyah bin Haritsah bin Al Auqashi bin Murrah bin Hilal bin Falih bin Dzikwan bin Tsa'labah bin Bahtah bin Salim.
Hindun mempunyai dua adik beradik lelaki iaitu Abu Hudhayfah bin Utbah dan Al Walid bin Utbah.
Dia digambarkan sebagai seorang wanita Arab yang sangat luhur di kalangan wanita-wanita lain. Dia dikatakan seorang yang sangat fasih ketika berbicara, sangat berani, kuat, berjiwa besar, seorang yang berfikir atau berpandangan jauh dan penyair yang baik serta bijak.
Pendek kata, dengan sifat-sifatnya itu Hindun dipandang sebagai wanita yang mulia, sekali gus mengangkat nama dan nasab keturunannya untuk disegani dan dihormati oleh seluruh penduduk Arab terutama di zaman jahiliah.
Anaknya yang sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai pengasas Dinasti Umayyah iaitu Muawiyah bin Abu Suffian pernah menceritakan mengenai ibunya itu: "Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya di zaman jahiliah tetapi di dalam Islam, beliau menjadi seorang wanita yang mulia dan baik."
Sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, Hindun dikatakan pernah berkahwin dengan seorang pemuda bernama Al Fakih bin Mughirah Al Makhzumi sehingga melahirkan dua anak tetapi mereka kemudiannya bercerai.
Dalam hal ini Hindun berkata kepada orang tuanya: "Aku adalah wanita yang memiliki hak. Maka janganlah menikahkan aku lagi dengan seorang lelaki sebelum menawarkan dirinya kepada aku."
Lalu apabila dua orang lelaki datang meminangnya selepas itu, Hindun benar-benar memilih lelaki manakah yang terbaik untuk beliau jadikan suami.
Dia menolak lelaki pertama, iaitu seorang yang boleh dipengaruhi kerana kebodohannya walaupun dia dari kalangan keluarga terhormat.
Waima apa sekalipun yang Hindun akan lakukan kemudian hari, lelaki itu dikatakan akan tetap setia di samping Hindun.
"Kekurangan lelaki itu dapat dicukupkan (disempurnakan) dengan kecerdasanmu," kata bapa Hindun, Utbah.
Namun Hindun lebih memilih lelaki kedua yang meminangnya apabila mendapati lelaki itu menepati ciri-ciri yang dia kehendaki.
Antaranya, memiliki kehormatan yang tinggi, nasab dan kecerdasan yang tulin, sangat aktif pergerakannya, sangat berwibawa sehingga lelaki itu dikatakan dapat mengatur keluarganya sehingga seluruh anggota keluarga tunduk hormat terhadapnya
"Adapun lelaki pertama, dia adalah tuan yang akan lenyap kemuliaannya, akan membinasakan isterinya sendiri kerana akan hidup di bawah telunjuk isteri yang lebih berkuasa.
"Jika melahirkan keturunan, anak-anaknya pasti menjadi bodoh dan tidak mampu menunjukkan kehebatan.
"Maka jauhkan lelaki itu dariku dan tidak perlulah bapa memberitahu aku akan namanya.
"Sesungguhnya aku sangat tertarik dengan keperibadiannya dan dia boleh menjadi suami yang memiliki kemerdekaan yang sebenarnya di samping jika dilihat dari nasabnya maka tiada penghalang untuk kami berumahtangga.
"Tetapi siapakah lelaki itu wahai bapaku," tanya Hindun.
"Dia adalah Abu Suffian bin Harb," jawab Utbah.
Namun ada sumber sejarah lain yang cuba mempertikaikan keperibadian Hindun yang bangsawan itu dengan mengatakan wanita ini sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan ramai lelaki sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, salah seorang pembesar ternama Quraisy Mekah.
Dengan lain perkataan, mereka menuduh Hindun sebenarnya seorang pelacur, malah hamil hasil hubungan dengan Abu Suffian menyebabkan Hindun terpaksa memberikan rasuah yang besar terhadap pembesar itu bagi membolehkan mereka berkahwin.

Hafaz al-Quran tugas murni



SATU-SATUNYA mukjizat Nabi Muhammad yang kekal hingga ke hari ini ialah al-Quran al-Karim. Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan dinar dan dirham, tetapi meninggalkan al-Quran dan sunnahnya.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku". (riwayat Imam Malik)
Generasi pertama Islam iaitu para sahabat ra menjaga al-Quran dengan sempurna. Mereka berusaha memahami makna al-Quran, membaca, menghafaz dan melakukan segala ajaran al-Quran.
Bagi menjamin generasi kemudian dapat menghayati al-Quran, mereka telah mengambil satu tindakan yang tepat dengan membukukan al-Quran.
Kehebatan al-Quran yang dijamin penjagaannya oleh Allah SWT telah terbukti dengan ramainya umat Islam menghafalnya.
Mereka menghafal al-Quran dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah bukan mengharap balasan atau ganjaran dari makhluk. Di mana sahaja ada umat Islam di situ akan ada kelas-kelas al-Quran atau kelas tahfiz al-Quran.
Satu kisah yang selalu diceritakan oleh seorang pengarang kitab-kitab Qiraat yang masyhur iaitu Sheikh Abdul Fattah al-Qadi dalam siri-siri ceramahnya berkaitan kelebihan al-Quran.
Beliau mengesahkan tentang seorang lelaki beragama nasrani yang mengajak kawannya yang beragama Islam menghadiri kelas pengajian kitab agama mereka.
Lalu kawannya yang beragama Islam bertanya apakah kelebihan kitab agama Nasrani ini? adakah ia dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan atau paling tidak pun pendeta mereka?
Lelaki Nasrani menjawab, kitab agama mereka tidak dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan mahupun pendeta tetapi hanya dibaca sahaja.
Penganut Islam menjawab, kalau begitulah keadaannya bagaimana aku boleh hadir mendengar kuliah agama kamu dan meninggalkan al-Quran sedangkan al-Quran dihafal oleh umat Islam dengan jumlah yang ramai di seluruh dunia bermula di peringkat kanak-kanak, orang dewasa dan alim ulamanya.
Di Malaysia, kelas menghafaz al-Quran yang pertama ditubuhkan pada tahun 1965 bertempat di Masjid Negara di bawah arahan almarhum Tunku Abdul Rahman.
Guru yang diamanahkan untuk mendidik generasi pertama menghafaz al-Quran di Malaysia ialah Datuk Mohamad Nor Ibrahim iaitu bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Bermula dari Masjid Negara pada 1965, pusat tahfiz al-Quran terus berkembang. Kini, setiap negeri di Malaysia mempunyai maahad tahfiz al-Quran yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Selain itu, pada hari ini juga banyak maahad tahfiz yang ditubuh dan diurus tadbir oleh pihak persendirian dan mendapat sokongan masyarakat setempat.
Sesungguhnya menghafaz al-Quran adalah satu tuntutan dalam Islam. Paling tidak pun, umat Islam hendaklah menghafaz surah-surah yang pendek untuk dibaca dalam sembahyang.
Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya walaupun sedikit al-Quran dan terselamat dari perumpamaan yang disabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya al-Quran seumpama rumah yang runtuh". (riwayat Termizi dan Ahmad)

Kembara cintai alam Perkim



Peserta menjawab soalan sebelum ke hentian seterusnya.


TOKOH astronomi lampau seperti Galileo Galilei, Isaac Newton dan Johannes Kepler mengakui bahawa penciptaan alam semesta sebenarnya telah dijadikan Allah hasil kajian dan pemerhatian mereka sendiri.
Penemuan paling menakjubkan dalam sejarah astronomi ini dilakukan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929. Setelah letupan itu berlaku, semua benda di alam semesta bergerak menjauhi masing-masing. Kesimpulannya, didapati alam semesta ini semakin mengembang.
Inilah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu difikirkan oleh manusia agar mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya kepada seluruh makhluk. Manusia yang sengaja menolak kebenaran yang telah ditunjukkan Allah SWT akan diazab dengan dahsyatnya di dalam neraka.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir itu dari azab neraka. (as-Sad: 27)
Oleh yang demikian, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Negara menganjurkan Program Kembara Menghayati Ciptaan Allah pada 27 Mac lalu di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, ia untuk melahirkan rasa kesyukuran dalam setiap diri peserta dan urus setia terhadap ciptaan Allah SWT di kawasan tersebut.
Selain itu, ia bagi mengeratkan ukhuwah di kalangan peserta agar berkenal-kenalan dengan rakan baru.
"Program itu turut mencorakkan konsep 'Islam Itu Persaudaraan' dengan melibatkan peserta daripada pelbagai kaum dan negara. Pertandingan ini berkonsepkan pertandingan penjelajahan atau explorace," kata beliau.
Seramai 350 orang menyertai program itu yang terdiri daripada saudara Muslim tempatan dan luar negara, pelajar Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya (PAUIAPJ), kakitangan pertubuhan dan masyarakat awam.
Pertandingan dimulai dengan sesi pendaftaran di ruang legar pejabat Islamic Outreach ABIM dan Masjid Negara.
Setiap kumpulan perlu diwakili seramai lima ahli. Terdapat 10 hentian yang perlu dilalui peserta untuk menjawab soalan yang disediakan.
Setelah itu, peserta diberi taklimat oleh Penyelaras Anjuran Bersama dari Islamic OutreachABIM, Latif Tozan.
Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun bersyukur kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Tujuan kita menganjurkan program ini adalah bagi manfaat semua pihak dalam usaha mencari keredaan Allah SWT," katanya.
Sebelum pertandingan dimulakan, Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno membacakan doa selamat agar setiap perjalanan program dirahmati dan dilindungi daripada kejadian yang tidak diingini.
Peserta kemudiannya dilepaskan mengikut kumpulan. Ia dilakukan oleh Abdul Hanif dan Azhar.
Di setiap perhentian, peserta dikehendaki menjawab soalan oleh penjaga perhentian. Ia berkisar dengan Islam seperti solat, wuduk, rukun iman dan Islam, hikmah penciptaan dan sebagainya.
Sambil peserta menjawab soalan di setiap perhentian, mereka turut menikmati keindahan alam di Taman Tasik Perdana. Ada di antara mereka mengambil gambar di kawasan yang cantik dan menarik.
Melalui kawasan ini secara tidak langsung menggambarkan kehebatan Maha Pencipta yang sebenar. Keunikan hutan hujan tropika di situ juga memberi satu sifat rendah diri selaku kemampuan manusia sebagai hamba-Nya.
Akhlak mulia ini membawa peserta agar lebih mensyukuri dan menghayati ciptaan Allah SWT agar tidak disia-siakan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya (riwayat at-Tirmizi)."
Setelah sampai ke garisan penamat, para peserta diberi masa berehat sementara menunggu ketibaan kumpulan lain.
Selepas semua peserta berkumpul, Latif Tozan memulakan permainan kuiz Islam. Kuiz ini menyentuh aspek asas-asas dan fardu ain mengenai Islam.
Majlis diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah saguhati dan pemenang Kembara Menghayati Ciptaan Allah kepada 22 kumpulan pemenang hadiah saguhati, pemenang tempat ketiga, kedua dan pertama.
Seorang peserta, Nor Amalin Kee, 23, gembira kerana dapat menambah ilmu melalui program itu.
"Bagaimanapun, saya berharap soalan itu dimudahkan selain disediakan dalam pelbagai bahasa untuk memudahkan Saudara Muslim," katanya yang memeluk Islam tahun lalu.
Peserta dari ASDAF Perkim, Tina Angah, 15, pula menyifatkan program ini bermanfaat dalam mengeratkan hubungan sesama saudara Islam.
"Saya berharap program seumpama ini diadakan lagi supaya dapat menarik minat khususnya saudara Muslim agar mengisi masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah," jelasnya yang berasal dari Kampung Orang Asli Balar, Gua Musang, Kelantan.

Apabila halal dan haram bercampur



DALAM dunia perniagaan hari ini, kita kerap berhadapan dengan situasi percampuran antara halal dan haram. Situasi ini menuntut kita mengetahui hukum mengenainya supaya harta yang kita perolehi bersih dari elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah.
Prinsip asas kepada situasi ini adalah: "Apabila bercampur halal dan haram, maka ia dikira haram."
Contohnya, institusi-institusi perbankan Islam berhadapan dengan masalah ini apabila terdapat pendeposit yang membuka akaun di institusi berkenaan bekerja di tempat yang haram seperti kelab malam atau premis perjudian.
Masalah ini juga dihadapi oleh pengendali takaful apabila terdapat pihak yang ingin menyertai pelan-pelan takaful bekerja di tempat yang haram atau syarikat-syarikat yang mempunyai aktiviti yang bercampur.
Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, kita juga tidak dapat lari daripada situasi ini.
Antaranya, apabila kenalan yang bekerja di tempat yang haram menjemput kita kenduri atau jamuan. Ataupun, kenalan kita tersebut memberikan hadiah kepada kita.
Apakah boleh kita menerima undangan dan hadiah tersebut? Bagaimana pula sekiranya duit yang digunakan itu adalah hasil rasuah atau judi?
Terdapat perbezaan hukum bergantung kepada realiti serta sifat keharaman itu.
Jika harta haram itu diperolehi dengan menggunakan kaedah yang halal, maka harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh pihak yang menerimanya.
Sebagai contoh, seseorang yang bekerja dengan syarikat yang menawarkan produk-produk riba, pendapatannya adalah haram. Namun, perolehan pendapatannya itu diusahakan melalui cara dan kaedah yang harus iaitu bekerja.
Maka jika individu tersebut memberi hartanya kepada pihak kedua dengan menggunakan urus niada yang halal seperti hadiah atau sedekah, maka pihak yang menerima harta berkenaan harus menggunakannya.
Ini kerana, harta haram tersebut dimiliki sendiri oleh pengusahanya dengan cara yang sah.
Imam Ibn Taimiah dalam Majmu' Fatawa mengistilahkan harta tersebut sebagai halal kerana pemilik meredai harta haram berkenaan berpindah milik kepada pihak yang mengusahakannya.
Ini bermakna, pekerja kilang arak layak mendapat gaji kerana ia berdasarkan usaha dan kerja yang dilakukan olehnya.
Dalam hal ini, pihak yang pertama tetap mendapat dosa kerana bekerja di tempat yang haram.
Namun, sesiapa yang diberi hadiah atau menerima jemputan kenduri daripada pekerja kilang arak berkenaan boleh mengambil dan menerimanya.
Dosa yang dilakukan oleh orang yang bekerja di tempat yang haram itu tidak terpalit kepada pihak yang kedua secara langsung.
Ini berdasarkan beberapa hujah. Antara dalil yang boleh menjadi rujukan adalah firman Allah SWT:
Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…(al-An'am: 164)
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a: Barirah telah diberikan daging. Rasulullah SAW datang dan bekas masakan berada di atas dapur. Lalu Nabi SAW dihidangkan dengan roti dan lauk yang telah sedia ada di rumah (tanpa hidangan daging tersebut). Rasulullah SAW bertanya, "Bukankah tadi aku melihat ada bekas masakan di atas dapur yang di dalamnya ada daging?" Mereka menjawab, "Ya, wahai Rasulullah. Daging itu ialah daging yang telah disedekahkan kepada Barirah. Kami merasa tidak senang untuk memberikan daging tersebut kepadamu (disebabkan Rasulullah tidak menerima sedekah). Lalu Baginda SAW menjawab, "Pemberiannya kepada Barirah adalah sedekah, dan pemberian Barirah kepada kita adalah hadiah". (riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa urusan pertama tiada kaitan dengan urusan kedua. Sekiranya pihak yang pertama memperolehi harta secara haram, dosa berkenaan tidak terkena kepada pihak kedua yang melakukan urusan secara halal dengan pihak yang pertama.
Mazhab Hanafi meletakkan kaedah perpindahan milik memestikan perubahan 'ain dari sudut hukum sekalipun 'ainnya adalah sama.

Ketokohan Sheikh al-Ghazali


SHEIKH Muhammad Al-Ghazali lahir pada 22 September 1917 di perkampungan Naklal Inab, Itay Al-Barud, Buhairah, Mesir. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga agama yang juga terlibat dalam dunia perniagaan.
Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya dan sejak kecil sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir.
Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baru menjangkau 11 tahun, iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus daripada Fakulti Usuluddin pada tahun 1941.
Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya 'Abd. 'Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa (m. 1963M) dan Muhammad Ghallab.
Pada tahun 1937, beliau berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini.
Sejak itu, beliau bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil daripada Hasan al-Banna.
Pada tahun 1943, Muhammad Al-Ghazali menerima Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.
Beliau merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan daripada Hasan al-Banna.
Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah. Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.
Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul 'Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna.
Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Quran yang baik. Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang sukar, lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali ketika di dalam penjara Tur selalu meniupkan semangat perjuangan dengan mengatakan bahawa kematian Hasan al-Banna tidak bermakna pertentangan dengan musuh-musuh Allah dan umat Islam telah berakhir. Panji-panji Hasan al-Banna akan diteruskan oleh murid-muridnya dan dakwahnya tidak akan lenyap.
Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan 'Abd al-'Azim al-Zarqani r.h., guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin.
Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh daripada gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan 'Abd al-'Azim Bilal, guru pendidikan psikologi.
Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar. Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia.
Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat Subuh.
Dalam bidang ketamadunan, beliau mengarang buku bagi menjawab tuduhan-tuduhan golongan Barat terhadap Islam. Buku yang berjudul Min Huna Nabda' ditulisnya bagi menjawab persoalan yang mengatakan istana untuk istana, Allah untuk Allah dalam buku karangan Khalid Muhammad Khalid yang berjudul Min Huna Na'lam.
Beliau juga menulis buku yang menerangkan sosialisme, iaitu Haqiqat al-Qawmiyyah al-'Arabiyyah (Hakikat Nasionalisme Arab) bagi menjawab pandangan Barat terhadap nasionalisme.
Antara bukunya yang membicarakan perkara pertembungan tamadun ini adalah Mustaqbal al-Islam Kharij al-Ardih wa Kayfa Nufakkir fih (Masa Depan Islam di Luar Tanah Airnya dan Bagaimana Kita Berfikir Untuknya).
Beliau meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau dimakamkan di perkuburan al-Baqi', Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam putera Nabi SAW- Ibrahim, dan Malik bin Anas, iaitu lebih kurang 15 meter dari Masjid Nabawi. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid Nabawi.

Solat dalam sudut sains



Dr. Fatimah Ibahim memberi arahan kepada peserta dalam demonstrasi pergerakan solat di Selayang, Selangor, baru-baru ini.


HUKUM wajib solat adalah kepada setiap Muslim yang mukalaf. Solat perlu ditunaikan selepas Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa besar yang dinamakan Israk Mikraj.
Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah memerintahkan Rasulullah hanya bersolat lima kali sehari semalam, ia merupakan satu berita yang menakjubkan, di mana manusia diberi banyak keringanan.
Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad.
Namun, masih ramai umat Islam mengabaikan solat. Mereka anggap solat hanya membuang masa dan tidak memberi apa-apa manfaat.
Ini menyebabkan ramai yang memandang enteng solat sehingga mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengambil inisiatif merungkai persoalan solat melalui Program Sains Solat: Kebaikan Daripada Perspektif Sains'.
Ia diadakan pada 27 Februari 2011 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang, Selangor.
Menurut Penyelaras program, Muhammad Farhan Tee Abdullah, majlis yang mendapat kerjasama Perkim Cawangan Selayang Baru itu mengundang pakar penyelidik berkenaan tajuk program sebagai pembentang kertas kerja.
Beliau adalah Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.
Kata Muhammad Farhan, saudara Muslim kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Mereka hanya mengikut apa yang dilihat.
"Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bidaah," katanya.
Muhammad Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, perkara sedemikian menyebabkan saudara Muslim tidak khusyuk semasa solat kerana ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat.
Pandangan itu perlu diubah kerana menyembah Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.
"Allah adalah raja kepada segala Raja. Pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus.
"Ada banyak kelebihan daripada sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji," jelas Muhammad Farhan.
Pada program itu, Dr. Fatimah menggunakan multimedia dalam pembentangannya di hadapan 250 peserta yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam, saudara Muslim, guru-guru sekolah dan pelajar-pelajar sekolah.
Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.
Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat.
Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.
Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan.
Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.
Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud.
Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.
Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya.
Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah.
Perasmian dilakukan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Datuk Hasbullah L. Isa.
Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat.
Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan.
Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.
"Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya.
Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.
Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit.
Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit.
Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga.
Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.
Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan.
Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.
Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi.
Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.
Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala.
Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.
Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.
Selain itu sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan para peserta berinteraksi dengan Dr. Fatimah.

Kepentingan cap mohor di dunia Islam



Cap Mohor Engku Biru
Kelantan
1910 Masihi / 1328 Hijrah


CAP mohor merupakan salah satu cara pengesahan yang dilakukan oleh individu dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tanda tangan.
Ia telah digunakan oleh tamadun terdahulu sejak zaman sebelum Islam lagi sebagai salah satu simbol kuasa. Dalam tamadun China, maharaja mempunyai beberapa jenis cap mohor.
Cap mohor diraja ini akan dikurniakan kepada beberapa pegawai empayar yang menjalankan perintah maharaja seperti jeneral yang mengetuai sesebuah pasukan tentera.
Dalam sejarah Islam, cap mohor telah digunakan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor.
Oleh itu, Rasulullah telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan 'Muhammaad Rasulullah' pada surat baginda.
Cap mohor direka dalam pelbagai bentuk dan gaya. Ia tidak mempunyai bentuk atau perkataan tertentu yang perlu digunakan. Ia terpulang kepada si pemilik untuk menentukan bentuk dan teks cap mohor yang dikehendaki. Dalam kebanyakan cap mohor yang dimiliki oleh pemerintah Islam, tulisan kaligrafi yang menunjukkan nama, gelaran dan tahun telah digunakan untuk cap mohor individu.
Teks bagi cap mohor selalunya diukir terbalik supaya ia meninggalkan kesan susunan teks yang betul selepas dicap di atas kertas dan boleh di baca.
Dalam bahasa Melayu perkataan cap dikatakan berasal dari perkataan India chapp, sementara mohor dipercayai berasal dari perkataan Parsi muhr. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud sesuatu yang telah dimeterai.
Terdapat dua bentuk cap mohor yang sering digunakan oleh pemerintah iaitu cap rasmi yang bersaiz lebih besar dan diletakkan dalam bekas khas dan disimpan oleh raja atau pegawai istana yang paling dipercayai seperti setiausaha istana.
Satu lagi jenis cap mohor yang dihasilkan ialah berbentuk cincin. Cap berbentuk cincin lebih bersifat persendirian dan boleh dibawa ke mana sahaja kerana ia dipakai oleh pemiliknya. Cap berbentuk cincin selalunya bersaiz lebih kecil dan dalam bentuk seperti bulat, bujur dan segi empat.
Cap mohor boleh dibuat daripada beberapa bahan berlainan seperti logam atau kayu dan batu permata berharga dan separa berharga.
Sewaktu zaman awal Islam, kebanyakan cap mohor diperbuat daripada batu permata berharga dan separa berharga seperti batu kristal, batu jed, batu garnet dan batu zamrud.
Batu-batu permata yang telah siap diukir dalam bentuk yang dikehendaki biasanya dijadikan sebagai batu cincin ataupun loket kepada sipemilik. Bagi logam, perak dan tembaga banyak digunakan sebagai cap mohor. Di dunia Melayu, kayu juga digunakan dalam pembuatan cap mohor.
Dalam zaman pertengahan Islam, selain raja, cap mohor juga banyak digunakan oleh para pembesar, penulis dan juga peniaga. Ini dapat dilihat di atas manuskrip Islam dan dokumen rasmi empayar Islam yang dipamerkan di muzium-muzium. Antara dokumen yang menggunakan cap mohor ialah dekri diraja, dokumen kerajaan seperti berkaitan dengan tanah dan wakaf, sijil perkahwinan, karya kaligrafi dan manuskrip.
Cap mohor mempunyai banyak fungsi dan ia dapat menjelaskan kepada penyelidik peranan yang dimiliki oleh pemiliknya. Jika cap mohor raja terletak di atas dekri, ia dilihat sebagai orang yang memiliki kuasa dan mengeluarkan perintah. Jika cap mohor digunakan dalam dokumen sewa beli, ia dilihat sebagai akuan bayaran oleh orang yang telah membayar dan orang yang menerima bayaran. Di atas sijil perkahwinan Iran, saksi selalunya meletakkan cap mohor mereka dengan rasa gembira sebagai saksi kepada satu ikatan perkahwinan. Tetapi jika perkahwinan tersebut gagal dan pasangan terpaksa bercerai, saksi yang meletakkan cap mohor mereka di atas sijil perkahwinan akan memadam atau mengoyakkan cap mohor mereka.
Bagi sesebuah manuskrip Islam, cap mohor dilihat sebagai tanda hak milik penulis ataupun pengarangnya. Ini banyak ditemui pada manuskrip dari Iran dan Turki. Kadangkala terdapat cap mohor di bahagian tepi teks manuskrip. Ia menunjukkan penambahan nota atau isi kandungan yang dilakukan oleh individu yang meletakkan cap mohornya di bawah nota tersebut.
Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, koleksi cap mohor batu separa berharga seperti batu karnelian, kristal dan jed dipamerkan di galeri mata wang manakala koleksi cap mohor Melayu terdapat di galeri Dunia Melayu.

Orang kafir tolak bukti



Segala yang berlaku di muka bumi ini adalah bukti kekuasaan Allah yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa atau kuasa selain-Nya. -Gambar hiasan


Firman Allah SWT

yang bermaksud:Orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.


Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata. Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus. Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepadanya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya. (al-Bayyinah: 1-8)

Mukadimah


Surah al-Bayyinah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah yang mengandungi lapan ayat dan ia diturunkan selepas surah al-Talaq.

Sedangkan pendapat Yahya bin Salam ia daripada surah Makiyyah. Ini juga pendapat Abu Soleh yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya adalah: Sesungguhnya ayat lam yakunillazina... dan seterusnya seolah-olah menjadi sebab al-Quran ini diturunkan.

Ia seolah-oleh diungkapkan begini: "Kami turunkan al-Quran ini kerana orang kafir itu tetap berada dalam kekafiran, sekalipun telah datang seorang Rasul yang membacakan lembaran-lembaran yang suci kepada mereka".

Tafsiran ayat


Firman Allah SWT: Orang-orang kafir iaitu ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata.


Ibn al-Jauzi berkata: Mereka adalah golongan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala yang mengingkari kerasulan serta kenabian Muhammad SAW, sekali-kali tidak akan melepaskan kekafiran mereka. Mereka sanggup menggadaikan kebenaran hingga Rasulullah SAW diutuskan.

Firman Allah SWT: (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.


Al-Maraghi berkata: Al-Bayyinah itu adalah Nabi Muhammad SAW yang membacakan lembaran-lembaran al-Quran kepada mereka, yang bersih dari campur tangan manusia, bersih daripada kesesatan, bersih daripada pemalsuan dan memancarkan cahaya kebenaran.

Selain itu, al-Quran juga mengandungi kebenaran sebagaimana yang terdapat dalam kitab para Nabi yang sebelumnya seperti kitab Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi SAW diutus, tingkah laku mereka semua berubah. Segolongan dari mereka mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan mempercayai bahawa agama yang mereka ikuti dahulu sesat dan batil.

Sebahagian yang lain beriman kepada Baginda, tetapi tetap meragukan kebenaran ajaran-ajaran yang dibawanya, atau percaya bahawa Rasulullah SAW sendiri juga tidak benar. Sehingga mereka terus menentang, bersikap sombong dan tetap memegang tradisi nenek moyang daripada mengikut Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.


Berkenaan al-Bayyinah atau bukti yang nyata ada tiga pendapat:

i. Rasulullah SAW. Inilah pendapat
kebanyakan ulama.
ii. Al-Quran. Inilah pendapat Abu
al-'Aliyah.
iii. Apa yang terdapat dalam kitab
mereka berkenaan kenabian. Inilah
pendapat al-Mawardi.

Asal agama Allah itu satu sahaja, dan semua dasar-dasarnya mudah dan tidak membawa kepada berpecah-belah dan perselisihan mengenai dasar-dasar itu dan tabiatnya yang mudah.

Orang kafir setelah datang kepada mereka bukti yang jelas adalah sejahat-jahat makhluk. Golongan yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah sebaik-baik makhluk.

Sebab itulah balasan yang diterima oleh kedua-dua golongan tersebut berbeza sama sekali.

Memberi zakat kepada orang kaya


Soalan:


Dalam sebuah hadis, ada seorang sahabat nabi yang telah bersedekah dan sedekahnya telah diterima oleh orang kaya. Sungguh pun demikian, malaikat telah mendoakan kepada lelaki itu, mudah-mudahan sedekahnya akan menginsafkan si kaya agar dia juga turut bersedekah.

Jadi, apakah hukumnya jika seseorang itu memberi zakat kepada orang kaya. Adakah sah zakatnya? Bagaimana pula amalan di Selangor khususnya?

Jawapan:


Terima kasih kerana bertanya. Memang benar, ada sebuah hadis yang menyatakan kisah sedemikian. Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Muslim dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Walau bagaimanapun, kita hendaklah membezakan di antara sedekah dan zakat. Berdasarkan maksud hadis, sedekah di dalam kisah ini lebih merujuk kepada sedekah sunat dan bukannya zakat.

Sementara itu, sedekah umumnya adalah sunat; sedangkan zakat adalah amalan fardu atau wajib. Menurut fuqaha', amal ibadah hendaklah menepati syarat dan rukunnya, baharulah amal ibadah itu dikira sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Jika rukun dan syarat sahnya tidak dipatuhi, maka ia membawa kepada implikasi batal ataufasid (rosak) di sisi Allah SWT.

Menyentuh isu zakat, rukunnya adalah niat menunaikan zakat dan keduanya berlaku perpindahan milik harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada asnaf zakat (mustahiq).

Oleh itu, jika harta zakat itu tidak sampai kepada salah satu daripada lapan asnaf, ia membawa kepada tidak sahnya zakat tersebut.

Berbalik kepada persoalan utama, bolehkah zakat diberikan kepada orang-orang kaya? Adakah orang kaya termasuk ke dalam asnaf zakat? Hal ini memang menjadi perdebatan umum dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, lazimnya sedekah dan zakat memang sering dikaitkan dengan fakir dan miskin.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada menukilkan sebuah hadis yang mafhumnya: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja". (riwayat Abu Daud)

Sayid Sabiq di dalam kitabnya Anasir Kekuatan Di Dalam Islam, ada menukilkan sebuah kisah Nabi SAW dengan seorang pemuda Ansar yang diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.

Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu berkerja; dengan suka meminta-minta.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga ada membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang-orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan kondisi diri mereka.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran yang mafhumnya: "Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu."

Para fuqaha' misalnya Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka.

Ini kerana, masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan; melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.

Amil misalnya, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan para asnaf lainnya.

Mualaf boleh mendapat zakat, justeru ia bertujuan melunakkan hatinya agar lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat, kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir dan miskin kerana hutangnya.

Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori yang diizinkan ini.

Walau bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih patut diutamakan. Hal ini sesuai dengan penyusunan Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu zakat itu hendaklah terlebih dahulu diagihkan kepada fakir dan miskin, sebelum diikuti oleh lain-lain asnaf zakat yang lapan. Wallahu a'lam.

Kaki judi bola dicekup



06/04/2011 6:11pm

SEREMBAN - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan judi pertaruhan keputusan Liga Super Perdana dan Liga Sepanyol, dalam satu serbuan di Kampung Seri Parit Lukut, Port Dickson pada Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Hamdan Majid berkata, ketiga-tiga lelaki itu didapati sedang sibuk membuat transaksi perjudian ketika tempat mereka diserbu pada kira-kira pukul 11.25 malam.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 19 dan 31 tahun, dipercayai mengambil pertaruhan secara on line dengan menggunakan laman web khas.
"Polis turut merampas sebuah komputer, mesin kira dan sebuah telefon yang digunakan untuk mengambil pertaruhan. Jika ada pemenang di kalangan pelanggan mereka, duit akan dimasukkan terus melalui transaksi akaun internet,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Hamdan berkata, polis percaya kumpulan ini boleh mendapat keuntungan sehingga RM5,000 setiap perlawanan. - Bernama

55 PATI larikan diri ditahan semula



06/04/2011 2:49pm

SEREMBAN – Seramai 55 orang daripada 109 pendatang tanpa izin yang melarikan diri daripada Depot Tahanan Imigresen Lenggeng pada malam Isnin lepas berjaya ditahan semula sehingga tengah hari tadi.
Menurut jurucakap depot itu, 32 daripada mereka diberkas antara 6 petang semalam dan tengah hari tadi manakala 32 ditahan tidak lama selepas mereka melarikan diri.
"Mereka yang melarikan diri itu mungkin sudah sampai ke kawasan Broga, Jelebu dan Beranang,” katanya.
Majoriti yang melarikan diri itu adalah warga negara Myanmar yang bertindak membakar blok tahanan mereka sebelum merempuh pagar sebelum lari ke satu kawasan kelapa sawit. - Bernama

Denggi: Satu kes kematian di Selangor



06/04/2011 2:48pm

KUALA LUMPUR – Sebanyak 336 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 27 Mac hingga 2 April iaitu peningkatan 35 kes berbanding 301 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itu melibatkan seorang wanita berusia 43 tahun dari Selangor yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Akaun di sebuah syarikat swasta.
"Penyiasatan mendapati lokaliti kediaman kes adalah kawasan wabak denggi dengan kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi. Pembiakan yang dijumpai adalah di dalam premis kediaman dan di tanah lapang, di mana pemilik premis kediaman itu sudah dikenakan kompaun RM500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata terdapat tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu lepas iaiatu Terengganu meningkat kepada 14 kes, Selangor (sembilan), Johor (lapan), Kelantan (tujuh), Perak (enam), Negeri Sembilan (tiga) dan Pahang (satu).
Dr Hasan berkata sepanjang minggu lepas, 49 lokaliti wabak dikesan di 15 daerah yang dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu empat merupakan lokaliti panas.
Menurutnya “Kawasan panas” di Selangor ialah di Seksyen 4 Bandar Rinching, Hulu Langat, Taman Nirwana manakala kawasan panas lain ialah di Kuala Lumpur iaitu Rumah Kediaman Angkatan Tentera (RKAT) Ampat Tin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di Jalan Peel di sini.
Bagi kes penyakit Chikungunya, dua kes dilapor bagi tempoh 27 Mac hingga 2 April berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.
Kedua-dua kes itu masing-masing berlaku di Selangor dan Pahang menjadikan kes terkumpul bagi penyakit itu ialah 13 kes.
Jumlah kes itu turun 97 peratus berbanding dengan 508 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama

Tentera Gaddafi masih kuat




SEORANG pemberontak Libya lari ke arah sebuah ambulans ketika peluru artileri tentera Gaddafi meletup beberapa meter di depannya dekat Brega, Libya semalam.


BREGA - Pihak pemberontak terpaksa berundur dari bandar minyak ini selepas mereka menjadi sasaran bedilan roket dan artileri tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam walaupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum ini melaporkan ia telah memusnahkan hampir satu pertiga senjata berat Gaddafi.
Tentera pemberontak berjaya menawan bandar ini kelmarin dengan dibantu serangan udara NATO tetapi bedilan bertubi-tubi meriam dan roket ke atas mereka menandakan keupayaan tentera Gaddafi masih tidak terjejas.
"Situasi sekarang amat teruk. Kami tidak dapat menandingi senjata tentera Gaddafi," kata seorang pejuang pemberontak, Kamal Mughrabi, 64.
"Jika jet-jet NATO tidak kembali menyerang mereka, kami terpaksa berundur dan terus berundur," tambahnya.
Cubaan pemberontak membedil roket dan mortar ke arah tentera pemerintah menerima serangan balas sengit yang memaksa tentera pemberontak berundur ke bandar Adabiya yang terletak berpuluh-puluh kilometer dari sini.
Pada awal semalam, bagaimanapun, satu serangan udara dilancarkan ke atas konvoi lapan kenderaan tentera pemerintah yang sedang mara ke arah kedudukan pemberontak, kata pegawai tentera pemberontak, Abdel-Basset Abibi yang memetik laporan pasukan peninjaunya.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai NATO, Brigedier Jeneral Mark Van Uhm semalam menyatakan, mereka telah memusnahkan 30 peratus senjata Gaddafi.
Setakat kelmarin sahaja, katanya, NATO melancarkan 14 serangan ke atas sasaran di darat di serata Libya dengan memusnahkan sejumlah radar, depot simpanan peluru, kereta perisai dan kenderaan pelancar roket.
Kebangkitan rakyat Libya menentang pemerintahan 42 tahun Gaddafi bermula pada 15 Februari lalu berpunca daripada kegagalan pemimpin itu melaksanakan pembaharuan demokrasi dan hak asasi manusia dan membanteras rasuah. - Agensi

Kempen Obama RM3.02 bilion




BARACK OBAMA berjalan menuju ke sebuah kereta di Washington D.C pada Ahad lalu untuk bermain golf.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin secara rasminya mengumumkan beliau akan bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya 2012 dengan dana AS$1 bilion (RM3.02 bilion) akan digunakan bagi berkempen, lapor sebuah akhbar semalam.
Obama membuat pengumuman tersebut melalui emel dan rakaman video yang dihantar kepada para penyokong secara dalam talian.
Mengulas mengenai bajet kempen politik 2012 Obama, seorang pengarah firma perunding AS, Michael Malbin berkata, walaupun bajet yang diperlukan untuk kempen pilihan raya kali agak besar, jumlah itu bukan sesuatu yang mustahil.
"Dana tersebut tidak sukar kerana dalam kempen pilihan raya 2008, dana yang dikumpulkan oleh Obama mencecah AS$750 juta (RM2.2 bilion) ," katanya.
Pada pilihan raya kali ini, Obama akan mengekalkan dasar pentadbirannya yang sedia ada di samping berjanji akan menangani beberapa isu penting seperti pembangunan tenaga dan reformasi dalam sistem imigresen negara.
"Kita tidak boleh bergerak ke belakang. Kita perlu mengekalkan pencapaian sedia ada dan membawanya ke peringkat lebih baik," kata Obama dalam satu ucapan kepada parta penyokongnya kelmarin.
Presiden berusia 49 tahun itu akan menggunakan logo kempen yang hampir sama dengan logo yang digunakan dalam pilihan raya 2008 untuk kempen terbarunya.
Logo kempen pilihan raya 2008 Obama yang direka oleh firma Sender LLC, menampilkan imej matahari menyingsing di langit biru yang simbolik kepada 'era baru', jalur merah putih mewakili negeri-negeri AS dengan semua simbol itu diletakkan dalam huruf O iaitu singkatan namanya.
Logo kali ini memiliki tema serupa, tetapi huruf O tersebut berada dalam barisan nombor 2012.
Obama yang mewakili Parti Demokrat, dipilih Presiden AS ke-44 pada 2009, selepas beliau menewaskan calon Parti Republikan, Senator John McCain dalam pilihan raya presiden 2008.
- Agensi

Panggilan telefon bimbit pertama 38 tahun lalu



MARTIN COOPER membuat panggilan telefon bimbit pertama di dunia di New York pada 3 April 1975.



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Panggilan telefon bimbit pertama di dunia dibuat pada 3 April, 38 tahun lalu oleh seorang pengurus besar firma Motorola, Martin Cooper di pusat bandar di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Cooper, yang pada masa itu berusia 44 tahun, keluar bersiar-siar dengan membawa telefon bimbit prototaip Motorola Dyna-TAC sambil diperhatikan orang ramai yang terkejut melihat gajet yang dibawanya.
"Semasa saya bersiar-siar jalan, penduduk New York yang begitu sofistikated kagum melihat seseorang berjalan sambil bercakap di telefon.
"Anda perlu ingat ketika itu tahun 1973, tiada lagi telefon tanpa kod apatah lagi telefon selular (bimbit)," kata Cooper yang kini berusia 82 tahun.
Menurutnya, orang pertama yang dihubungi dengan menggunakan telefon bimbit itu ialah ketua unit penyelidikan firma telefon Bell, Dr. Joel S Engel yang juga saingannya, sebelum dia menghubungi beberapa wartawan.
"Saya menelefon Engel untuk memberitahunya bahawa kami telah mengatasi Bell dalam perlumbaan untuk menghasilkan telefon bimbit pertama di dunia," katanya.
Cooper kemudian membenarkan wartawan-wartawan tersebut membuat panggilan mereka sebagai bukti bahawa mereka bukan ditipu dan dia bukan berjenaka.
Telefon bimbit Dyna-TAC yang seberat 0.6 kilogram berada dalam pasaran 10 tahun kemudian iaitu pada 1983, dan dijual pada harga mencecah AS$3,500 (RM10,592). - Agensi

Bintang sukan dedah rahsia rambut unik




TROY POLAMALU memiliki rambut yang unik.


PITTSBURG, Amerika Syarikat - Seorang pemain bola sepak Amerika, Troy Polamalu berusia 29 tahun mendedahkan rahsia rambut uniknya yang memiliki nilai insurans sebanyak AS$1 juta (RM3.02 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Menurutnya, dia mula menyimpan rambut unik itu semasa di zaman pembelajarannya di kolej dan ia kini menjadi sebahagian daripada identitinya.
Polamalu berkata, semasa musim sukan bola sepak, dia syampu rambutnya selang sehari.
"Namun, semasa musim sukan itu berakhir, saya hanya membasuh rambut saya sekali seminggu tetapi saya menggunakan perapi rambut pada setiap hari," katanya.
Menurutnya, dia mempunyai rambut yang lebih panjang daripada isterinya.
"Isteri saya tidak terlalu gembira dengan rambut ini," katanya. - Agensi

Juruterbang tidak dapat melihat semasa mendarat




MUNCUNG pesawat United Airlines hampir mengenai rumput di Lapangan Terbang Louis Armstrong di Kenner, Amerika Syarikat kelmarin.


KENNER, Amerika Syarikat (AS) - Juruterbang-juruterbang sebuah pesawat penumpang United Airlines bertindak berani dengan mendaratkan pesawat itu walaupun kokpit dipenuhi dengan asap kelmarin.
Pesawat yang membawa 109 penumpang itu mengalami masalah selepas 20 minit berlepas menyebabkan ia terpaksa berpatah balik dan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Louis Armstrong di sini.
Tindakan juruterbang itu menyebabkan muncung pesawat hampir mengenai rumput di tepi landasan selepas ia terbabas menyebabkan roda terbenam ke dalam tanah.
Dalam kejadian itu, terdapat beberapa penumpang mengalami cedera ringan.
Menurut kru pesawat, brek antigelincir kapal terbang tersebut tidak berfungsi.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan yang merupakan agensi mengawal peraturan penerbangan di AS melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian. - Agensi