Thursday, March 31, 2011

Bermuamalat dengan bukan Islam

Sikap dan akhlak yang ditunjukkan dalam bermuamalat boleh memikat orang bukan Islam kepada agama Islam. - Gambar hiasan


Islam adalah merupakan agama yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh alam. Apabila Nabi SAW dibangkitkan, baginda mengajar umatnya berakhlak mulia kepada semua manusia.
Dalam sejarah Islam, banyak situasi di mana Muslim mendapatkan khidmat bukan Islam dalam urusan mereka dan tidak kurang juga yang dilantik memegang jawatan tertentu kerajaan.
Secara asasnya, Islam membenarkan umatnya berurusan dengan orang bukan Islam khususnya dalam aspek yang berkaitan dengan muamalat. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Mumtahanah: 8)
Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan orang yang bukan Islam dalam keadaan prinsip-prinsip Islam dijaga. Umat Islam juga dilarang menimbulkan perselisihan dan mencetuskan permusuhan dengan orang yang bukan Islam.
Nabi SAW bersabda: Barang siapa menyakiti zimmi, maka dia telah menyakitiku. (riwayat Bukhari)
Sekiranya kita selusuri sirah nabi SAW, kita akan dapati baginda bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam urusan harian. Termasuk dalam hal ini apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan menjadi pemimpin utama negara Islam itu, antara dasar yang diperkenalkan ialah piagam Madinah atau lebih dikenali sebagai Sahifah Madinah.
Antara kandungan piagam itu adalah kerajaan Islam bertanggungjawab melindungi masyarakat sama ada Muslim atau bukan Muslim selagi mereka mematuhi Perlembagaan.
Jelas di sini bahawa nabi SAW mengiktiraf peranan orang bukan Islam dalam pembinaan sesebuah kerajaan. Demi menjaga keharmonian kaum dan agama, Nabi SAW bersikap toleransi dengan mendahulukan diplomasi terlebih dahulu dari peperangan.
Dalam menjayakan Hijrah baginda SAW, peranan orang bukan Islam telah digunakan untuk melancarkan perjalanan baginda dan Abu Bakar r.a. Beliau adalah Abdullah bin Uraiqith.
Nabi SAW menggunakan khidmat beliau sebagai penunjuk jalan kerana jalan yang dilalui oleh mereka bukan jalan biasa yang dilalui oleh masyarakat Mekah untuk bermusafir ke Madinah.
Tindakan Nabi SAW yang bekerjasama dengan Abdullah bin Uraiqith walaupun beliau tidak memeluk agama Islam dilihat penting untuk menjayakan cita-cita Hijrah. Berdasarkan peristiwa ini, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buty berpandangan, harus umat Islam meminta bantuan orang bukan Islam jika terdapat keperluan tertentu. (Dr. Said Ramadan al Buty, Fiqh Al Sirah, ms. 134).
Sistem kewangan Islam adalah bersifat universal yang merentasi sempadan agama. Ia bukan semata-mata untuk orang Islam malah untuk orang bukan Islam. Ini bertepatan dengan tujuan Nabi SAW diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. (rujuk al-Anbiya':107)
Dalam aspek muamalat, Nabi Muhammad SAW pernah berurusan dengan orang bukan Islam semasa hayatnya.Contohnya, nabi SAW bermuamalah dengan seorang Yahudi sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis; Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (riwayat Bukhari)

'Disedarkan' oleh kisah Nabi Ibrahim

KISAH kecerdikan dan keberanian Nabi Ibrahim menghancurkan satu persatu patung-patung berhala raja Namrud dan meninggalkan patung yang paling besar sambil memegang kapak memang luar biasa.
Muslihat yang direncanakan oleh Nabi Ibrahim itu menimbulkan kemarahan Namrud. Lalu dia bertanyakan kepada Nabi Ibrahim. Ibrahim dengan cerdiknya menjawab: "Tanyakan saja pada berhala yang paling besar itu, barangkali dia yang menghancurkan patung-patung yang kecil itu."
Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, Namrud terdiam sambil memendam amarahnya. Bagaimana mungkin patung bisa berbicara. Jadi tidak mungkin dia akan menanyakan kepada patung itu.
Apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah demi membuktikan kekuasaan Allah SWT berbanding patung-patung berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Bagi kalangan anak-anak Islam, kisah yang penuh pengajaran itu sering diceritakan dan diperdengarkan kepada mereka.
Tetapi, siapa sangka ia juga turut terpahat dalam kotak fikiran, sekali gus menyedar dan menyentuh hati kecil Muhammad Farhan Tee Abdullah yang ketika itu masih di sekolah rendah.
Malah, kisah tersebut yang diceritakan oleh seorang ustaz di sekolah, menguatkan keyakinannya bahawa patung-patung berhala tidak membawa manfaat kepada manusia.
Muhammad Farhan yang kini merupakan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, minatnya kepada Islam bermula lebih awal. Ia semakin serius pada usia 10 tahun menerusi pergaulan dengan kawan-kawan sekampung.
Apatah lagi keluarga mereka adalah satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di perkampungan Melayu yang majoritinya berketurunan Jawa.
"Pada masa itu, saya ada mengikuti kelas Bahasa Arab pada sebelah petang di sekolah bersama kawan-kawan beragama Islam yang lain. Sayangnya, ia hanya diikuti selama beberapa minggu sahaja, sebelum ayah melarang sebaik dia mengetahuinya.
"Walaupun begitu, saya masih mengikuti kelas pengajian agama secara sembunyi-sembunyi walaupun kelas tersebut tidak wajib diikuti bagi pelajar bukan Islam," kata anak kepada pemilik kedai runcit itu.
Boleh dikatakan keseluruhan hidup Muhammad Farhan, 26, dikelilingi oleh masyarakat Melayu, sehinggakan dia lebih petah dan selesa berbahasa Melayu, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Dia pernah ditegur oleh ibu bapanya kerana enggan menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemesraan dan keakraban anak muda itu dengan Islam dan budaya masyarakat Melayu terbukti dengan kebolehan Muhammad Farhan menghafaz surah al-Fatihah.
Malah minat yang telah terpupuk semenjak di sekolah rendah itu semakin bersemarak ketika di sekolah menengah.
Lantas itu, semasa di tingkatan empat dan lima, Muhammad Farhan mengambil Tasauf Islam kerana diberitahu bahawa ia adalah mata pelajaran asas mengenai Islam dan tidak melibatkan wahyu Allah serta penulisan al-Quran.
Sehinggalah semakin menghampiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Farhan dipelawa menjadi anak angkat oleh seorang guru di sekolahnya.
Sejak sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, pergaulannya memang di kalangan pelajar Melayu dan kawan-kawan yang berlatarbelakang pendidikan agama yang baik.
"Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ini jugalah salah satu faktor yang membawa saya kepada Islam.
"Terlintas juga di hati bahawa ini mungkin satu bentuk hidayah Allah di mana saya tidak terjebak dengan kawan-kawan yang sentiasa lara atau leka dengan perkara-perkara negatif.
"Yang menjadikan saya seorang pemilih mungkin disebabkan selepas kematian ayah, kami adik-beradik yang seramai enam orang telah dijaga oleh bapa saudara.
"Memandangkan dia seorang yang agak berdisiplin, tegas dan dikenali ramai di kampung tersebut, secara tidak langsung membuatkan saya lebih berhati-hati dengan siapa saya bercampur dan berkawan," jelasnya.
Malah akui anak kelima itu, pelawaan untuk dia bergelar Muslim, memang terlalu banyak.
Namun, ketika itu dia merasakan belum bersedia atau belum sampai seru. Lagipun, dia masih di bawah penjagaan orang tua.
Jadi, Muhammad Farhan merasakan belum masanya untuk dia memeluk Islam. Sehinggalah selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Waktu itu saya kerja sementara di kilang. Daripada situ barulah saya melihat realiti kehidupan. Saya amat kecewa apabila melihat ramai orang Islam tidak solat, sedangkan menerusi pergaulan saya sebelum ini, saya dikelilingi mereka yang baik-baik.
"Melihat keadaan itu, wujud pemberontakan dalaman sehinggalah datang satu lintasan gambaran, wajah seorang imam yang pernah saya kenali cuma tidak pernah berbual dengannya.
"Daripada situ, saya macam tersedar dan berhasrat untuk mencari Imam Haji Ismaun. Apabila saya temui beliau, saya luahkan hasrat hati untuk belajar ilmu agama dengannya secara mendalam," tambah beliau.
Muhammad Farhan berkata, pada masa itu, beliau bertekad untuk memeluk Islam pada usia 21 tahun.
"Bagaimanapun, baru seminggu belajar, ustaz menyarankan telah sampai waktunya untuk saya memeluk Islam," katanya yang menjadi serba salah tatkala diminta membuat pengislaman.
Setelah tiga hari berfikir, pada 24 Mei 2005, Muhammad Farhan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Kampung Gajah dengan Imam Ismaun sebagai saksi.
Kemudian mendaftar secara rasmi di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh. Umurnya ketika itu 20 tahun satu bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Seperkara luar biasa yang dialami oleh Muhammad Farhan sebaik bergelar Muslim, dia seperti mendapat ketenangan dalaman dan keseronokan dalam kehidupan kerana ada arah tujuan dan hala tuju.
Kalau sebelum Islam, katanya, hidup terasa kosong walaupun pada ketika diri sudah mengetahui tentang Islam.
Di samping itu, konsep ketuhanan dalam Islam telah disedari dan diakui Muhammad Farhan menjadi tarikan kuat yang mengikatnya kepada agama Islam.
Hidayah itu ditemui sejak kecil. Lebih-lebih lagi dia tidak pernah teringin menyembah Tuhan nenek moyangnya.
"Selain konsep ketuhanan, Islam adalah agama yang cukup lengkap. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan berbanding dengan fahaman-fahaman atau ajaran agama yang lain.
"Islam ada sistem sosial, politik, ekonomi, perkahwinan, kekeluargaan, hal-hal selepas kematian, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi," katanya.
Muhammad Farhan berkata, sembahyang adalah tanda terima kasih manusia kepada Tuhan.
"Perbuatan sujud pula, menunjukkan kehebatan Islam sehingga umatnya boleh bersujud kepada Allah.
"Sehingga masuk ke tingkatan enam, gambaran dan pemerhatian saya tentang Islam bertambah luas, apatah lagi saya tinggal berjauhan daripada keluarga," jelasnya.

Sedekah pintu barakah

KALA memandu dari Bulatan Pahang menuju Ke Jalan Kuching di ibu kota, sekali-sekala cuba alihkan pandangan ke sebelah kiri jalan. Di atas sebuah bangunan di situ, ada sebuah papan besar yang menempatkan sebuah iklan. Ilustrasinya mudah, ada sekaki payung yang besar dengan tulisan berbunyi: 'Bentengilah harta anda dengan zakat.'
Sebenarnya, kalimah tersebut adalah daripada sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang berbunyi: "Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa (riwayat al-Baihaqi)."
Konotasinya mudah, untuk menjaga harta dan memastikan ia selamat, maka sedekahkan harta itu. Hakikatnya, zakat juga adalah sedekah, yakni sedekah yang wajib. Menahan harta daripada disedekahkan pula, adalah lawan kepada kehendak hadis tersebut.
Dalam erti kata lain, sikap enggan berzakat dan bersedekah, adalah punca rosaknya harta.
Memang ada orang yang khuatir dengan bersedekah atau berzakat, maka hartanya akan menyusut. Makin banyak diberi sedekah, semakin banyak pula hartanya beralih tangan.
Jika memberi seringgit dua tidak mengapa, bagaimana pula jika jumlahnya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit.
Pernah terjadi, setelah penulis membantu mengira zakat seseorang, tiba-tiba dia minta tangguh menunaikannya. Alasannya mungkin tidak cukup wang. Tetapi, rasionalnya jika sudah tahu mahu mengira zakat, jika sudah sedar hartanya banyak, maka siapkanlah wang dengan jumlah yang sesuai. Masakan minta dikira zakatnya sedang wang masih tiada.
Pernah terjadi, seorang hamba Allah yang pada awalnya beria-ia mahu menunaikan zakat. Alih-alih setelah mengetahui jumlah zakatnya agak besar, mulalah berubah rona wajahnya. Mula terketar-ketar suara dan tangannya.
Rupa-rupanya, si dia merasa terkejut dengan zakat yang perlu dilunaskan. Fikirnya hanya beberapa puluh ringgit; tidak disangka jumlahnya setinggi bukit.
Syaitan dan iblis memang sentiasa membisik-bisikkan perasaan sayang kepada harta. Syaitan tahu, jeratnya selalu mengena. Maka, tatkala si hamba yang berharta mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, mulalah si Iblis berbisik.
Kata Iblis: "Kamu pun susah juga, gaji kamu kecil sahaja, masakan sudah kena berzakat". Bisikan lain pula bunyinya mungkin begini: "Anak dan isteri kamu masih memerlukan wang itu, baik disimpan, manalah tahu nanti kamu pula yang tidak berkecukupan".
Sesungguhnya bisikan sang Iblis datang dalam pelbagai cara dan rupa. Allah SWT sudah pun menegaskan hal ini agar kita mengambil sikap waspada.
Firman Allah yang bermaksud: Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.(al-Israk: 64)
Sering terjadi, bisikan ini bertali arus datangnya dan sukar sekali untuk menepisnya. Selalu juga bisikan para iblis dan syaitan ini mempunyai tahap rasional yang tinggi, menyebabkan kita terfikir berkali-kali sebelum memberi. Pernah juga seorang pembayar yang sudah pun berada di hadapan kaunter zakat; tetapi hampir-hampir tidak jadi mengeluarkan zakat dek kerana halusnya desakan para syaitan ini.
Manusia mungkin lupa atau mungkin tidak sedar, bahawasanya kita dan seluruh kepunyaan kita, adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki kita agar berzakat, berinfak dan bersedekah, maka pastilah Allah SWT tidak menyuruhnya dengan sesia. Pasti ada manfaat di sebaliknya.
Ia menjadi rahsia Allah SWT yang hanya dapat kita kesani dan rasai natijahnya apabila amalan bersedekah dan berzakat itu sudah menjadi satu kelaziman pada diri. Ibarat manisnya gula, hanya dapat dimengerti oleh orang yang pernah merasai dan bukannya oleh orang yang hanya asyik berteori tentang manisnya gula.
Maka, lestarikanlah amalan bersedekah agar ia menjadi tradisi yang berakar umbi dalam kehidupan. Anak-anak kita wajar dididik agar suka memberi, kerana pastinya ia adalah kaedah terbaik melentur nurani mereka menjadi manusia berakhlak mulia.
Lagi pun, Rasulullah SAW juga sudah berjanji, bahawa orang yang suka bersedekah sama sekali tidak akan rugi. Bahkan Allah SWT sudah menjamin kehidupan mereka, bahkan menjadi punca datangnya kemuliaan di sisi manusia.
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (riwayat Muslim). Wallahu a'lam.

Kejadian alam asas pemantapan iman

keindahan dan kepelbagaian flora serta fauna adalah bukti bumi ini ada penciptanya iaitu Allah SWT.


Bencana alam yang melanda Jepun baru-baru ini menyemai titik keinsafan bahawa apabila Allah telah menetapkan sesuatu kejadian alam berlaku, maka tiada siapa pun yang dapat mengekangnya.
Bandar yang dibina bertahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hampir menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila dilanda gempa bumi dan gelombang tsunami yang kuat.
Pun begitu, dalam keadaan ramai rakyat Jepun yang masih trauma dengan kejadian itu, semangat meneruskan kehidupan seperti biasa dan bangkit daripada musibah ini adalah luar biasa.
Mereka tidak terus menerus bersedih atas kejadian itu, bahkan saintis jepun mengambil langkah segera mengkaji kejadian tersebut agar pencegahan awal atau sistem amaran awal dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Sikap ini memberi makna bahawa mereka sangat memandang tinggi keperluan mengkaji hubungan alam dengan manusia. Menginsafi sikap mereka, orang Islam seharusnya insaf bahawa ilmu kejadian alam sebenarnya adalah ilmu daripada Allah yang terkandung hikmah.
Penerokaan ilmu yang tidak terbatas melalui akal yang terbatas menuntut keyakinan besar kepada kebesaran Allah.
Sesuatu yang tidak diketahui oleh akal tidak bermakna ia tidak ada. Keyakinan manusia bahawa Allah itu Maha Perkasa memberikan asas iman dalam diri manusia.
Memahami keterbatasan manusia
Segala usaha manusia untuk mengetahui kebesaran Allah melalui alat tidaklah salah kerana al-Quran memberikan asas bahawa penerokaan langit dan bumi hanya boleh berlaku dengan alat, kemudahan atau teknologi.
Surah Al-Alaq memberikan asas ilmu, sains dan teknologi yang amat nyata kepada orang-orang Islam. Ayat ke 3-5 memberikan pedoman mengenai pentingnya qalam iaitu alat atau teknologi yang merintis penerokaan ilmu.
Ia merupakan alat dan teknologi bagi mengetahui sedikit mengenai rahsia kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada daya cipta-Nya terhadap alam ini.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa alam ini telah ditundukkan Allah untuk keperluan manusia, agar manusia beribadat kepada Allah secara lebih sempurna (Ibrahim: 32)
Penerokaan terhadap alam bumi dan alam angkasa lepas memberikan manusia ilmu dan maklumat. Daripada ilmu dan maklumat menjadikan manusia lebih rasional memahami makna alam dan kejadian.
Inilah asas ulul-albab yang terdapat di dalam Al Quran dan pendekatan tadabbur yang mendorong manusia mengkaji, berfikir, menyelidik dan akhirnya mendidik mereka menjadi orang-orang yang bertakwa.
Surah ali-'Imran ayat 190 misalnya menyebutkan bahawa hikmah kejadian penciptaan langit dan bumi serta putaran siang dan malam terhadap orang-orang yang berakal dan berfikir.
Allah juga memberi asas pedoman kepada manusia supaya sentiasa mengkaji dan berfikir tentang kejadian alam. Namun begitu, sering al-Quran mengingatkan manusia bahawa manusia adalah bahagian kecil dari alam yang sangat luas ini supaya manusia selalu melihat dan mengamati alam tersebut untuk mengetahui rahsia-rahsia yang tersimpan di dalamnya (al-Mukmin: 57) . Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan.
Maurice Bucaille, dalam bukunya bertajuk Al-Quran dan Sains Moden menceritakan dengan banyak tentang keakraban kitab al-Quran dalam dunia sains moden.
Beliau menyebut tentang sebuah kitab yang mampu menceritakan kejadian-kejadian sains yang hanya diteroka pada zaman moden. Walaupun al-Quran bukan kitab saintifik, tetapi pedoman-pedoman saintifik di dalamnya memandu tradisi keilmuan berkembang dengan mengambil kira faktor keinsanan, sains dan teknologi supaya manusia menjadi lebih manusiawi.
Keserakahan
Alam ini terlalu luas untuk dikaji dan keupayaan manusia mengkaji alam amat terbatas. Keterbatasan itu memadai untuk manusia memahami makna hidup dan kehidupan. Kehidupan akan lebih bermakna sekiranya pedoman agama dijadikan landasan.
Sekiranya manusia memberi fokus kepada aspek fizik semata-mata maka manusia akan hanya terdorong untuk mengkaji fenomena dan bukan hikmah fenomena tersebut.
Justeru penerokaan sains dan penghasilan teknologi tidak saja memberi manfaat tetapi melahirkan kebimbangan terhadap nasib manusia.
Hubungan antara manusia dengan alam sentiasa berubah, seiring perkembangan teknologi, informasi dan industrialisasi.
Perang Dunia Pertama dan Kedua memperlihatkan bagaimana bumi dan manusia dirosakkan oleh keserakahan kuasa-kuasa yang menguasai teknologi terhadap kuasa yang belum menguasai teknologi.
Perubahan dan evolusi dalam bidang sains dan teknologi memberi impak yang mendalam dalam perlumbaan menjadi yang terhebat.
Perubahan dalam tradisi Islam sebaliknya berlaku dalam dua cara.
Pertama yang bersifat bentuk atau zahiriah, ia seperti teknologi yang fungsinya adalah mekanistik, manakala yang satu lagi adalah isi (substance) yang menggambarkan perubahan dalaman dan berada dalam keadaan fitrah.
Yang fitrah adalah sesuatu yang serasi dalam kehidupan, berbuat baik umpamanya adalah sesuatu yang fitrah, memberi manfaat, berlaku adil dan amanah juga adalah sesuatu yang fitrah.
Justeru, yang fitrah itu adalah inti sebenar dalam kehidupan, tidak kira walau apa jua anutan seseorang.
Sebagai contoh, perubahan mengambil kira bagaimana teknologi dilihat sebagai alat dan bukan matlamat. Perubahan yang berlaku ialah bagaimana teknologi dan alat diberikan asas dan nilai agama supaya nilai-nilai yang fitrah menjadi manfaat kepada manusia.
Komputer misalnya, bersifat mekanistik, lalu perisian dan programnya memberi makna sama ada mampu meningkat akal budi ataupun sebaliknya.
Manusia kadangkala kehilangan kearifan pada alam dan lingkungannya. Dengan makin berkembangnya ilmu pengetahuan dan teknologi, perlu kita akui secara jujur bahawa atas nama 'penalaran dan logik', secara sedar atau tidak kita telah mengikis budaya warisan luhur dalam memahami alam dan lingkungannya.
Teknologi digunakan untuk menakluk dan merosakkan alam. Manusia tidak lagi bergantung pada alam tetapi menguasai alam dengan dilandasi keserakahan.
Sekarang ini kuasa besar menggunakan justifikasi yang menolak peradaban manusia lalu menggunakan teknologi persenjataan canggih bagi meranapkan sesebuah negara atau sekelompok manusia yang dibenci supaya melutut kepadanya. Keadaan ini membuktikan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan dan etika sudah tidak lagi jadi pertimbangan.
Amat penting bagi seorang remaja memahami bahawa tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini mempunyai had dan batasnya tersendiri.
Kejadian alam yang sempurna yang telah diciptakan untuk manusia dan isinya ini adalah untuk dinikmati secara adil dan saksama agar manusia sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.
Di dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah menjelaskan tentang golongan yang diberi nikmat dan kemudiannya tidak bersyukur atas pemberian Tuhan: Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).
Justeru, sebagai remaja Islam, kita seharusnya berusaha meningkatkan ilmu dan membangunkan potensi diri seiring dengan syariat Islam.

Elia Suhana masih isteri Sultan Ismail


ADA sesuatu yang mencuit hati Elia Suhana ketika berbual dengan peguamnya Fakhrul Azman (kiri) di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - "Syukur Alhamdulillah, saya masih lagi isteri baginda. Mahkamah dah buat keputusan dan itulah kebenaran yang mahkamah sahkan. Saya doakan kesejahteraan dan kebahagiaan baginda."
Demikian kata Elia Suhana Ahmad, 32, setelah Mahkamah Rayuan Syariah di sini, semalam membatalkan permohonan Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 5 Disember lalu, menolak permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap Elia Suhana yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.
Keputusan itu bererti, Elia Suhana kekal sebagai isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.
Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang bersidang semalam, dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Datuk Daud Muhammad bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Datuk Dr. Johari Mat, membatalkan permohonan Nik Rorhana selaku perayu selepas gagal hadir di mahkamah.

Rama-rama dengan penuh keindahannya

Tuhan maha kaya