Monday, October 04, 2010

Rasuah: Majistret didapati bersalah

Rasuah: Majistret didapati bersalah

KOTA BHARU 3 Okt. - Seorang majistret dipenjara enam tahun dan denda RM40,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah pada Oktober lalu.
Mohd. Firdaus Ramlan, 28, yang baru dua tahun bertugas sebagai Majistret Mahkamah Kuala Krai dan Machang, didakwa menerima suapan berjumlah RM8,000 sebagai dorongan meringankan hukuman seorang pesalah yang terlibat dengan kes jenayah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada 11 Oktober lalu, kira-kira pukul 10.30 malam di Stesen Minyak Esso Machang, didakwa menerima suapan RM3,000 daripada Md. Shani Ishak melalui Cif Inspektor Kamarul Ahmad Kamadin sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Bagi kesalahan tersebut, Hakim Sabariah Othman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 atau 12 bulan penjara kepada tertuduh.
Untuk pertuduhan kedua pula, Mohd. Firdaus didakwa meminta suapan RM5,000 daripada Md. Shani sebagai dorongan melepaskannya dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan cagaran RM1,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Oktober lalu kira-kira pukul 9 pagi. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan denda RM25,000 atau 18 bulan penjara ke atas tertuduh bagi kesalahan tersebut.
Sabariah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula hari ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa dan Mohd. Josiendra Abu Senin manakala Mohd. Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.
Terdahulu, dalam pembelaan, Shukri memohon mahkamah mengambil kira hukuman yang dikenakan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh selain risiko kehilangan pekerjaan, sedangkan tertuduh masih menyara keluarga termasuk ibu dan nenek yang sakit.
Beliau juga memohon mahkamah menimbangkan kesihatan isteri anak guamnya, seorang pegawai undang-undang yang menghadapi gangguan mental sehingga mendapat rawatan di unit kesihatan psikiatri sejak kes tersebut disebut di mahkamah dan mendapat hebahan media.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman di negara ini.
Abdul Razak berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan kerana kesalahan tersebut serius ekoran tertuduh telah menyalahgunakan amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk kepentingan peribadi.
Beliau turut menegaskan, SPRM telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencegah rasuah dan sekiranya tidak disokong dengan tindakan mahkamah, apa yang dilakukan oleh SPRM selama ini menjadi sia-sia.
Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Beliau bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan dalam tempoh tiga bulan.