ELS mantapkan penguasaan pelajar dalam BI
PETALING JAYA - Pusat Bahasa ELS Malaysia (ELS) membekalkan 50 buah majalah Just English Magazine dan lesen perisian 24/7 Online English yang sah selama enam bu-lan kepada setiap sekolah yang terpilih untuk membantu pelajar mempertingkat-kan penguasaan bahasa Inggeris (BI) mereka.
Naib Presiden Bahagian Operasinya, Robert Brander berkata, program kerjasama itu dilancarkan sempena ulang tahun ke-20 pusat bahasa ELS itu dan melibatkan pelajar di 60 sekolah menengah seluruh negara.
Menurutnya, sasaran program adalah untuk menyediakan bahan bacaan lengkap bagi membantu pelajar memantapkan tabiat membaca dan meningkatkan percakapan dalam BI melalui aktiviti yang terdapat di majalah dan Internet.
"Setiap pusat ELS bekerjasama dengan 10 buah sekolah sekitarnya melalui sumbangan Just English Magazine.
"Majalah yang mula diterbitkan pada Disember 2003 itu mempunyai pendekatan bacaan bergred untuk meningkatkan kemahiran membaca di kalangan pelajar," jelasnya.
Dalam proses tersebut, katanya, pembaca akan dapat meningkatkan keyakinan dan kelancaran membaca majalah yang mempunyai pelbagai topik yang meluas itu.
"Perisian atas talian 24/7 English pula diasaskan daripada bahan Cambridge University Press yang memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar secara sendiri dengan tahap kesesuaian masing-masing" ujar Brander.
Beliau memberitahu, perisian itu menyediakan model terbaik dan kesan yang cepat kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran bertutur dalam BI melalui latihan dalam pendengaran, perbendaharaan kata, tatabahasa, sebutan dan percakapan.
Selain itu, ELS Malaysia juga bekerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menyediakan pembelajaran percuma kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan di pusat-pusat bahasanya.
"ELS turut menyediakan biasiswa untuk memberi semangat kepada guru-guru BI," katanya.
Setakat ini, 40 sekolah telah menerima bantuan tersebut yang melibatkan Pusat ELS cawangan Bukit Bintang, Subang Jaya, KLCC dan Petaling Jaya.
Selebihnya, masing-masing 10 buah dari Pulau Pinang dan Johor Bahru akan menerimanya di Pusat Bahasa ELS cawangan negeri berkenaan tidak lama lagi.