6 militan ditembak mati
![]() |
Anggota polis Indonesia membawa seorang lelaki yang disyaki pengganas yang cedera di atas kereta sorong untuk dirawat di sebuah hospital di Medan, semalam. Pihak berkuasa Indonesia menembak mati enam pengganas dalam serbuan di Sumatera utara sejak beberapa hari lalu, termasuk dua semalam. - AP |
JAKARTA 3 Okt. - Pihak berkuasa Indonesia hari ini menembak mati enam lelaki yang disyaki pengganas dalam operasi yang dilancarkan di Serdang Bedagai, Sumatera Utara sejak beberapa hari lalu.
Salah seorang daripada mereka ditembak mati ketika berbalas tembak dengan pasukan polis dan tentera, manakala seorang lagi terbunuh setelah bom tangan yang cuba dilontarnya meledak setelah terjatuh berhampirannya.
Seorang lelaki juga dipercayai ahli kumpulan itu turut menyerah diri kepada polis.
Ketua Polis Serdang Bedagai, Eri Safari berkata, sehingga petang ini masih berlaku kejadian berbalas-balas tembakan antara pasukan keselamatan dengan anggota kumpulan itu.
Menurut beliau, lelaki yang menyerah diri itu dalam keadaan lemah setelah berhari-hari tidak makan dan berendam di dalam sungai.
Polis Sumatera Utara menganggarkan terdapat lapan lagi anggota kumpulan tersebut yang bersembunyi di ladang getah dan kelapa sawit dan semalam empat daripada mereka telah ditembak, manakala dua lagi ditangkap.
Kumpulan tersebut dipercayai turut terlibat dalam kejadian rompakan Bank CIMB Niaga di Medan pada 18 Ogos lalu dan menyerang Balai Polis Hamparan Perak di Deli Serdang pada 22 September lalu menyebabkan tiga anggota polis terbunuh.
Dalam rompakan di CIMB Niaga, yang melibatkan sekumpulan lebih 14 perompak itu seorang anggota tentera ditembak mati dan senjatanya dirampas.
Setakat ini pihak berkuasa telah merampas beberapa laras senjata M-16, AK-56, pistol buatan sendiri dan sejumlah peluru daripada kumpulan tersebut.
Polis Indonesia sebelum ini turut mengesyaki kumpulan itu telah menjalani latihan ketenteraan di kawasan hutan di Aceh sebelum melancar rompakan bagi mengumpul dana membiayai pergerakan tersebut.
Kumpulan itu dikatakan mengubah taktik daripada serangan bom berani mati kepada menembak individu yang dijadikan sasaran.
Sebelum ini Abu Bakar Basyir yang disyaki menyediakan dana dan melantik para pemimpin kumpulan itu telah ditangkap.
Abu Bakar seorang guru agama yang berpengaruh di Indonesia pernah didakwa terbabit dalam kegiatan pengganas tetapi akhirnya dibebaskan oleh mahkamah kerana tidak cukup bukti. - UTUSAN