Palestin, Israel perlu terus rundingan
KAHERAH 3 Okt. - Utusan damai Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell berharap, Palestin akan meneruskan rundingan damai dengan Israel, walaupun Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) semalam menggesa Presiden Mahmoud Abbas menarik diri daripada rundingan, kata
"Di sebalik wujud perbezaan, kedua-dua pihak (Israel-Palestin) diharap dapat meneruskan perbincangan dalam usaha mengukuhkan keadaan agar mereka boleh meneruskan rundingan langsung," katanya kepada pemberita selepas bertemu Presiden Mesir, Hosni Mubarak, di sini hari ini.
Mitchell tiba di Kaherah, semalam sebagai sebahagian kunjungan ke Asia Barat bagi menyelamatkan proses rundingan damai berkenaan.
Rundingan yang diusahakan AS itu bermula pada 2 September lalu, namun berada di ambang kegagalan selepas Israel enggan melanjutkan tempoh pembekuan selama 10 bulan ke atas pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang berakhir minggu lalu.
PLO semalam menggesa Abbas menarik diri daripada rundingan damai itu berikutan tindakan Israel yang tetap meneruskan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Dalam usaha memecah kebuntuan, Mitchell bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis kelmarin, diikuti Abbas di Ramallah pada hari yang sama, sebelum melakukan kunjungan ke negara-negara Arab dengan harapan pemimpin rantau itu dapat meyakinkan pemimpin Palestin untuk meneruskan rundingan damai dengan Israel.
Kunjungannya dimulakan dengan melawat Qatar disusuli Mesir sebelum dijangka bertemu Raja Abdullah di Jordan, hari ini.
Semalam, jurucakap Abbas - Nabil Abu Rudeina berkata, pihaknya tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan langsung dengan Israel jika ia meneruskan pembinaan penempatan haram di atas tanah Palestin yang dijajah, yang juga lokasi di mana penduduk Palestin mahu menubuhkan negara Palestin.
Rudeina berkata demikian selepas selesai pertemuan dengan jawatankuasa eksekutif PLO di Ramallah.
Abbas menegaskan bahawa beliau akan menarik diri daripada rundingan itu jika pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi tidak dilanjutkan, tetapi Netanyahu bertegas rundingan perlu diteruskan.
Penduduk Palestin berkata, perkembangan pembinaan penempatan haram di kawasan Palestin yang dijajah Israel sejak 1967, akan membuatkan penubuhan negara Palestin menjadi mustahil.
Kira-kira 500,000 orang Yahudi tinggal di kawasan tersebut yang dituntut sebagai negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin. - AFP