Thursday, April 14, 2011

Dua beradik lecur dibedah, bapa kritikal



14/04/2011 5:17pm

ALOR SETAR – Dua beradik yang melecur ketika cuba menyelamatkan bapa mereka yang dipercayai membakar diri akibat kemurungan di rumahnya di Kampung Raut, Yan dekat sini pagi semalam akan menjalani pembedahan pemindahan kulit pada minggu depan.
Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, kedua-dua beradik itu, Amirul Hadi Zinol, 12 dan abangnya Badrul Amin Zinol, 14 akan menjalani pembedahan itu bagi menggantikan kulit yang telah terbakar.
Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran HSB sementara bapa mereka, Zinol Ismail, 51, yang membakar diri, dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemerhatian yang serius.
Zinol yang melecur 100 peratus yang kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran di HSB pada mulanya dihantar ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSB petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi semalam, Amirul Hadi dan Badrul Amin melecur di bahagian tangan dan kaki selepas cuba menyelamatkan bapa mereka yang cuba membakar diri. - Bernama

Penyelia asrama dituduh bunuh pelajar



14/04/2011 5:15pm

KANGAR — Seorang penyelia asrama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang murid berusia tujuh tahun pada 31 Mac lalu.
Hanif Mohd Ali, 26, dituduh membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee pada tarikh berkenaan antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Islam Al Furqan, Jejawi dekat sini.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Hanif mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan manakala tertuduh diwakili Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. — Bernama

Pistol Taser diguna lemahkan lelaki mengamuk



14/04/2011 5:15pm

KUALA LUMPUR — Polis terpaksa menembak seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman menggunakan pistol ‘Taser’ setelah dia mengamuk hampir lapan jam di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di Seri Rampai di sini awal hari ini.
Selepas pelbagai pendekatan untuk memujuknya gagal, seorang anggota polis melepaskan tembakan menggunakan pistol itu pada pukul 2.30 pagi bagi melemahkan lelaki itu sebelum dia ditahan.
Dalam kejadian itu, seorang penduduk menerima lima jahitan di kepala selepas dilempar kaca manakala beberapa anggota penyelamat cedera terkena serpihan kaca tingkap dan pinggan yang dilemparkan lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP, Zakaria Pagan yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. — Bernama

Pasangan AS batal saman JAIK, MAIK



14/04/2011 3:49pm

ALOR SETAR 14 April — Pasangan warga Amerika Syarikat (AS) yang memfailkan writ saman terhadap Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan kerajaan negeri Kedah kerana menyerbu kondominium mereka lima tahun lalu, hari ini menarik balik tindakan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun membuat keputusan membatalkan kes itu dalam kamar tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah bagi kos.
Randal K. Barnhart, 67, dan isterinya, Carole Joanne, 66, memfailkan writ saman itu pada 4 Jun 2008 terhadap JAIK, MAIK dan kerajaan negeri kerana mendakwa plaintif telah menceroboh dan menyerbu kediaman mereka, Kondominium Lagenda di Kuah, Langkawi tanpa sebab pada 14 Oktober 2006 kira-kira pukul 2 pagi.
Plaintif menamakan JAIK sebagai defendan pertama, MAIK (kedua) dan kerajaan negeri Kedah (ketiga).
Dalam saman itu, pasangan itu meminta pampasan sebanyak RM4,315 sebagai kos penerbangan mereka ke AS serta ganti rugi teladan atau kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Barnhart dan Joanne yang tidak hadir ke mahkamah hari ini diwakili peguam mereka Foong Chee Keen. — Bernama

193 maut akibat kemalangan elektrik



14/04/2011 3:46pm

MELAKA — Sebanyak 193 orang terbunuh manakala 214 orang lagi cedera akibat kemalangan elektrik di seluruh negara bagi tempoh 2005 hingga tahun lepas.
Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli berkata, daripada jumlah yang maut itu, sebanyak 45.9 peratus melibatkan kontraktor diikuti penganggur (25.2 peratus), pelajar sekolah (14.2) dan bakinya seperti suri rumah.
"Kebanyakan mangsa berusia antara 21 dan 30 tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik Peringkat Negeri Melaka oleh Pengarah Pelajaran Melaka Juliah Leman di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah di Bukit Katil di sini, hari ini.
Rozimi berkata, antara punca kemalangan elektrik itu ialah pemasangan dan senggaraan yang tidak sempurna serta tidak mematuhi prosedur kerja yang selamat. — Bernama

Ulat bulu serang Bali




SEORANG petani menunjukkan ulat bulu yang berada di lengannya di Denpasar, Bali semalam.


DENPASAR - Sejumlah ulat bulu yang boleh menyebabkan kegatalan pada kulit menyerang Pulau Bali, Indonesia, kata seorang pegawai semalam.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pelancong yang terkena serangan ulat tersebut.
Ketua sebuah agensi pertanian di Bali, Made Putra Suryawan berkata, ulat bulu itu pada mulanya menyerang sebuah kampung pada Jumaat lalu dan ia kini menyerang enam buah daerah termasuk bandar Denpasar.
"Situasi kini berada dalam keadaan terkawal. Sejak Jumaat lalu, para pekerja telah menyembur ubat racun serangga dan membakar sampah di kawasan yang terjejas bagi menghalang penyebaran serangan haiwan itu," katanya.
Ribuan ulat bulu dilaporkan menyerang sebahagian wilayah di Pulau Jawa sejak dua minggu lalu.
Haiwan itu didapati menyerang ladang buah-buahan dan menceroboh kawasan penduduk. - AFP

Anak remukkan kereta bapa RM1.35 juta






BROKDORF, Jerman - Seorang remaja berusia 20 tahun hilang kawalan menyebabkan kereta sport bapanya yang berharga £275,000 (RM1.35 juta) remuk akibat terbabas di sebatang jalan raya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, remaja tersebut dan seorang penumpang wanita berumur 19 tahun hanya mengalami cedera ringan selepas kereta sport Gumpert Apollo itu terbabas baru-baru ini.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kereta itu remuk sepenuhnya dan hanya bahagian penumpang yang masih berada dalam keadaan baik."
Pihak berkuasa kini melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada remaja itu memandu dengan laju di kawasan yang mempunyai had kelajuan 80 kilometer sejam.
Kereta sport itu merupakan salah sebuah kereta yang paling laju di dunia.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.8 saat. - Agensi

Budak empat tahun hisap rokok dalam kereta api



LAMAN web Netease.com menunjukkan dua budak dipercayai berusia tiga dan empat tahun menghisap rokok di atas sebuah kereta api di China.



BEIJING - Satu klip video di sebuah laman web di China menunjukkan dua kanak-kanak dipercayai berusia tiga dan empat tahun ketawa semasa mereka merokok di dalam kereta api, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua budak itu berdiri di ruang yang kerap dikhaskan untuk penumpang yang merokok.
Dalam klip video tersebut, salah seorang budak itu menghembuskan rokok ke arah rakannya.
Klip video itu mencetuskan perdebatan terbaru mengenai amalan merokok di China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok dewasa.
Imej itu mencetuskan kemarahan daripada penonton yang melihat gelagat budak tersebut di laman Netease.com yang merupakan web portal terbesar di China.
Namun, tiada maklumat yang diberikan berhubung ibu bapa budak tersebut dan destinasi kereta api tersebut. - Agensi

Saya ada alahan-Shahir






BIBIR Shahir disuntik botox! Itu antara berita hiburan artis tanah air yang boleh dikatakan agak panas hujung minggu lalu.
Shahir yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan juara program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8) atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawani.
Pakejnya sebagai artis boleh dikatakan lengkap. Dia berwajah tampan, penampilan yang menarik dipandang dan memiliki vokal ‘jantan’ khususnya menerusi lagu hitnya, Kebahagiaan Dalam Perpisahan.
Justeru, tidak menghairankan pemuda berusia 23 tahun itu baru-baru ini dinobatkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 2010 (ABP 2010) sekali gus tersenarai antara lima calon artis paling popular di Malaysia!
Lumrah menjadi seorang artis terkenal dan cukup dikenali ramai, ternyata dia juga sememangnya tidak dapat lari daripada dilanda gosip negatif seperti yang menimpa kebanyakan artis yang lain.
Bermula dengan kisah dia telah menghilangkan diri beberapa hari sebelum malam pertandingan Anugerah Juara Lagu 25 (AJL 25) pada 10 Januari lalu sehinggalah dia dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon cantik popular iaitu Rozita Che Wan, pemuda kelahiran Kampar, Perak itu tidak habis-habis dilanda gosip.
Terbaru, dia dikatakan cuba mengelak daripada dirakam fotonya pada majlis sidang media filem pertama lakonannya, Karak yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah, dia memberitahu Kosmo! yang turut berada pada sidang akhbar tersebut bahawa bibirnya itu bermasalah selepas memakai solekan untuk malam ABP 2010.
Sedangkan apabila Kosmo! bertanya kepada pihak urus setia ABP 2010, mereka memberitahu Shahir telah memaklumkan bahawa dia sudah mengalami masalah pada bibirnya itu sejak beberapa hari sebelum ABP 2010 berlangsung!
Impaknya, ada yang melabelkan Shahir sebagai artis yang semakin sombong dan mula meninggi diri.
Lebih malang, timbul pula gosip mendakwa bibirnya bermasalah akibat daripada melakukan suntikan botox!
Disebabkan Shahir masih mendiamkan diri daripada mengulas mengenai isu kontroversi tersebut, Kosmo! menuntut penjelasan dengan menghubungi sendiri Shahir.
Menurut Shahir, sememangnya pada masa itu bibirnya memang mengalami sedikit masalah kerana alahan memakai solekan terlalu lama pada wajahnya.
“Ramai yang tidak tahu sebenarnya saya memang ada alahan sehingga tidak boleh terlalu lama memakai solekan pada wajah. Kalau terlalu lama, saya akan mengalami bengkak di bibir.
“Biasanya kalau membuat sesi fotografi atau pun ketika mengadakan persembahan pentas, selepas selesai sahaja saya akan terus mencuci wajah saya,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Tambah Shahir, dia turut menafikan sekeras-kerasnya bibirnya mengalami masalah bengkak yang berpunca daripada solekan yang digunakan semasa ABP 2010 tempoh hari.

KESAL difitnah menyuntik botox di wajahnya, Shahir meminta pihak terbabit bersemuka dengan dirinya.


Sebaliknya, dia memberitahu bahawa semasa acara tersebut dia sememangnya memakai solekan terlalu lama sepanjang majlis berkenaan berlangsung selama beberapa jam dan ia tidak ada kena-mengena langsung dengan alat solek yang digunakan.
“Memang saya akui pada mulanya saya menolak bergambar kerana berasa kurang selesa.
“Setelah diyakinkan bahawa bibir saya yang bengkak itu tidak jelas kelihatan dalam gambar, akhirnya barulah saya bersetuju,” ujarnya.
Dosa
Sementara itu, dia turut meluahkan rasa kesalnya apabila ada segelintir pihak yang telah menuduhnya telah membuat suntikan botox di bibir gara-gara alahan yang dialaminya itu.
Menurutnya, orang yang menyebarkan cerita tidak benar berkenaan adalah pihak yang tidak mengetahui keadaan sebenar tentang situasi yang dilaluinya itu.
“Pada saya, ia merupakan satu fitnah yang cukup berat apabila saya dituduh membuat suntikan bibir untuk kelihatan lebih menarik. Lagipun ia bukan melibatkan saya seorang sahaja tetapi turut melibatkan maruah keluarga.
“Seharusnya orang yang menyebarkan fitnah itu tahu tentang dosa yang diterima. Biarpun berasa sangat kesal, namun saya sedia memaafkan pihak terbabit sekiranya datang sendiri berjumpa dengan saya,” tegasnya mengenai perkara tersebut.
Menurutnya lagi, dengan penjelasan yang diberikan itu dia meminta agar para peminat dan pihak media tidak salah sangka dengan apa yang telah berlaku dan berharap terus mendapat sokongan kepada perjalanan kariernya.
Kanser hati
Pastinya ramai yang sedia maklum dengan kenyataan Shahir beberapa bulan lalu mengenai dirinya yang disyaki menghidap penyakit kanser hati hingga dia terpaksa menghilangkan diri buat seketika.
Menurutnya, penyakit tersebut mula dikesan sewaktu dia menjalani ujian darah di sebuah hospital swasta dan mendapati bahagian hatinya mengalami masalah.
Bagaimanapun, apabila menjalani pemeriksaan yang sama di hospital yang lain, penyakit yang dilaluinya itu masih lagi belum sampai ke tahap yang serius.
Ketika diajukan tentang tahap kesihatannya ketika ini, Shahir memberitahu bahawa sekarang ini dia berada dalam keadaan yang sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit yang serius.
“Alhamdulillah, sewaktu menjalani pemeriksaan sebelum ini, doktor ada memberitahu kepada saya supaya tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan kesihatan diri saya.
“Cuma doktor memberi pesanan supaya saya membuat pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali. Apapun saya tetap gembira kerana dapat menjalankan aktiviti seni seperti biasa,” ujarnya.
Menurutnya, ketika ini dia masih
lagi dalam pemantauan doktor dan kini dia lebih mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Hilang selepas hias kelas




Roslinda mencari anaknya yang tidak pulang.


PUTRAJAYA - Seorang pelajar perempuan, Nur Atiqah Tajuddin, 16, dari Presint 9, yang ke sekolah pada petang Jumaat lalu kononnya untuk menghias kelas di sekolahnya tidak pulang ke rumah.
Ibunya Roslinda Karim, 46, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang belajar di tingkatan tiga ketika pulang ke rumah pada waktu tengah hari sebelum kembali ke tempat kerja di sebuah kementerian di sini pada pukul 2 petang.
"Selepas Nur Atiqah tidak pulang ke rumah petang itu, saya hubungi rakannya yang sama-sama ke sekolah dan diberitahu anak saya sudah keluar dari sekolah dan ke perhentian bas berhampiran untuk bertemu seorang lagi rakan perempuannya berusia 12 tahun yang dilaporkan turut hilang," kata Roslinda di sini semalam.
Roslinda berkata, Nur Atiqah, anak keempat daripada enam beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1) tidak membawa telefon bimbit dan sebarang dokumen pengenalan diri.
Cubaan Roslinda menghubungi rakan Nur Atiqah yang hilang bersamanya rakannya hampir seminggu lalu juga gagal apabila telefon bimbit itu dijawab oleh individu tidak dikenali.

Tiga beranak melecur terbakar



ZINOL yang melecur dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Tidak diketahui apa puncanya seorang lelaki dari Kampung Raut, Yan dekat sini yang didakwa mengalami kemurungan bertindak membakar diri sehingga menyebabkan dua anak lelakinya yang cuba membantunya turut melecur.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi semalam, mangsa seorang pesawah, Zinol Ismail, 51, melecur di seluruh bahagian badannya dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Dua anak mangsa yang turut melecur ialah Badrul Amin Zinol, 14, dan adiknya, Amirul Hadi, 12. Badrul Amin melecur 44 peratus bahagian badan manakala Amirul Hadi melecur 32 peratus. Kedua-dua remaja itu melecur di bahagian kaki sehingga tangan.
Amirul Hadi dan Badrul Hadi dirawat di HSB dan mereka berada dalam keadaan stabil.
Mengimbau sebelum kejadian itu, isteri Zinol, Salma Saad, 47, berkata, sebelum kejadian suaminya yang sebelum ini selalu menghantar anak kelimanya, Nurul Ain Farhana, 9, ke sekolah meminta supaya dia yang menghantar Nurul Ain ke sekolah semalam.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana suami mengadu letih dan mahu tidur,” ceritanya semasa ditemui di rumah di HSB di sini semalam.
Sebaik pulang dari menghantar Nurul Ain, Salma memberitahu, dia terkejut apabila ternampak suaminya terbaring di atas katil dengan hanya memakai kain pelikat dengan bahagian belakangnya masih ada sedikit api.
“Suami saya tidak mengerang kesakitan sebaliknya tidak membenarkan saya masuk ke dalam bilik.
“Saya terus menghampirinya dan terkejut melihat keseluruhan badannya melecur manakala tangannya dalam keadaan kejang,” kata Salma lagi.

Bapa selamatkan nyawa 2 anak




EIKRAM bersama dua anaknya melihat keadaan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Tindakan pantas seorang bapa yang bergegas membawa dua anak lelakinya keluar dari rumah berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Dusun Muda di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, Eikram Ibrahim, 39, sedang tidur bersama dua anaknya apabila dia dikejutkan oleh jeritan jiran-jiran yang memberitahu rumahnya terbakar.
Dia yang kematian isteri kira-kira setahun lalu kemudian mendukung kedua-dua anak lelakinya, Amirul Eikram, 2, dan Amirul Hakim, 4, untuk menyelamatkan diri.
“Pada mulanya saya cuba keluar melalui pintu hadapan rumah namun api sudah marak menyebabkan saya gagal berbuat demikian.
“Mujurlah pada masa itu saya tidak panik dan berjaya keluar melalui pintu dapur rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurut Eikram, sebaik sahaja keluar dari rumah, api sudah marak dan dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga.
“Walaupun kini tinggal sehelai sepinggang, tetapi saya bersyukur kerana saya dan dua anak lelaki terselamat dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Pakistan mahu tiru Pengasih




AINULLAH (kiri) bersama Nasir (tengah) dan penyelaras rombongan Pakistan, Hamad Yap (kanan) semasa melawat rumah Pengasih di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Pelbagai kaedah rawatan pemulihan penagihan dadah yang terbukti berkesan yang diamalkan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) akan diadaptasi di Pakistan.
Presidennya, Datuk Mohd. Yunus Pathi berkata, Pakistan berminat mempelajari pendekatan motivasi yang dilakukan pihaknya terutama untuk membendung penagih dadah baru.
"Itu merupakan kaedah yang digunakan oleh Pengasih. Kita mengadakan motivasi bertujuan untuk berkongsi ilmu mengenai kehidupan sihat bukan terus fokus kepada dadah.
"Penceramah perlu bijak menggunakan psikologi. Mereka didedahkan akibat penyalahgunaan dadah dengan menampilkan bekas penagih yang sudah insaf untuk berkongsi pengalaman," katanya ketika ditemui selepas lawatan sambil kerja oleh empat pegawai Kementerian Kesihatan dan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) Pakistan di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Kerajaan Baluchistan, Pakistan, Ainullah Shams dan Pengarah Besar Kesihatannya, Amanullah Khan serta Pengurus HIV/AIDS kerajaan itu, Dr. Nasir Khan.
Menurut Yunus, remaja berusia 13 hingga 16 tahun merupakan sasaran terbaik untuk mengetengahkan mereka dengan pendidikan berhubung penyalahgunaan dadah.

LED 3D mampu milik untuk semua




SEORANG model Samsung Malaysia memakai cermin mata 3D terbaharu pada majlis pelancaran televisyen terbaharu di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung Malaysia) memperkenalkan rangkaian televisyen LED tiga dimensi (3D) terbaharunya yang menawarkan lebih banyak pilihan dan memberi lebih kawalan kepada pengguna untuk mengakses dan melihat kandungan dalam televisyen berkenaan.
Produk terbaharu itu dilengkapi dengan pelbagai teknologi terbaharu seperti teknologi Smart TV yang membolehkan pengguna melayari Internet, laman sosial dan memuat turun pelbagai aplikasi daripada Samsung Apps.
Dalam masa yang sama, televisyen terbaharu itu boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar malah mereka boleh menyaksikan kandungan televisyen berkenaan menerusi telefon tersebut di mana-mana mereka berada di dalam rumah menerusi sambungan WiFi.
Pengarah Pemasaran Samsung Malaysia, Jimmy Tan berkata, pihaknya berkeyakinan terhadap potensi jualan bagi televisyen berkenaan kerana ia ditawarkan pada harga berpatutan.
“Pada tahun lalu, Samsung Malaysia menguasai sehingga 92 peratus daripada pasaran televisyen 3D dan kami mengharapkan prestasi tersebut akan lebih baik pada tahun ini.
“Kami berharap melalui pelancaran produk terbaharu ini, pasaran televisyen 3D akan dapat diperluaskan bukan sahaja kepada golongan tertentu seperti tahun lalu tetapi juga kepada semua golongan terutama bagi golongan berpendapatan sederhana,” katanya pada majlis pelancaran produk terbaharu itu di sini semalam.

Dulu bercahaya, kini bersalji






“SAYA suka melihat kartun Dora dan apabila diberi peluang untuk berjumpa, saya berasa amat teruja dan gembira. Saya mahu mengambil gambar bersama Dora,” demikian petah bicara seorang kanak-kanak, Diyana Abdul Zainal, 8, yang ditemui bersama-sama ibu bapa dan adiknya di Dataran I-City, Shah Alam, Selangor. Di situ, Dora The Explorer membuat persembahan khas untuk kanak-kanak.
Dia yang sibuk menonton persembahan bersama lebih 300 kanak-kanak lain juga tidak ketinggalan menyertai pelbagai aktiviti yang turut disediakan pada hari itu seperti pertandingan mewarna, pertandingan makan aiskrim, menonton filem, kuiz bersama Dora The Explorer, teka-teki, pertandingan minum Root Beer dan sebagainya.
Bagi orang dewasa, mereka dilihat beratur panjang untuk membeli tiket ke SnoWalk di samping ada yang menunggu di pintu masuk SnoWalk menanti taburan salji yang dijanjikan oleh pihak pengurusan I-City.
Menjadi tarikan terbaru, I-City terus memperlihatkan pelbagai perkembangan sebagai salah satu destinasi pelancongan dengan inovasi baru.
Daripada hanya sebuah lokasi komersial, kepada lokasi bercahaya dengan dekorasi pelbagai arca berlampu kepada gerai-gerai permainan, aktiviti menunggang kuda, tempat makan, pameran-pameran dan sebagainya, kini I-City lebih daripada hanya sebuah tapak pelancongan bercahaya.
Habiskan RM10 juta
Pemilik bandar cahaya digital, I-Berhad, mengambil satu lagi langkah besar apabila melabur RM10 juta bagi menambah nilai pelancongan di tempat itu dengan membuka SnoWalk, satu tempat di mana anda berpeluang merasai musim sejuk dalam tempat tertutup!
Pelaburan yang besar itu diyakini bakal membuahkan hasil apabila ia menjadi satu-satunya lokasi di Lembang Klang yang menawarkan pengalaman Antartik kepada penduduk hutan hujan tropika.
Dengan keluasan 4,645 meter persegi, SnoWalk yang menjadi destinasi tarikan I-City itu menawarkan pengalaman sejuk pada suhu 5 darjah Celsius.
“Setiap pengunjung yang datang ke sini pasti akan teruja dengan SnoWalk memandangkan ia bukan sekadar tempat yang disejukkan tetapi, mempunyai semua fasiliti permainan musim sejuk termasuk rumah ais, gelongsor ais, bebola salji, arca ais dan pengangkutan kereta api ais,” kata Pengarah I-City, Monica Ong. Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran taburan salji di SnoWalk mahu semua orang merasai pengalaman di pusat salji itu.

PENGALAMAN bermain salji pasti mengujakan terutamanya buat si cilik.


Pada hari pembukaan taburan salji di SnoWalk, Monica memberitahu, pihaknya percaya, sasaran mereka untuk mendapatkan kehadiran 8,000 orang pengunjung sehari akan tercapai terutama pada hari minggu.
“Ini kerana pada hari Ahad dan cuti umum, kami akan menerima kira-kira 5,000 hingga 6,000 orang pengunjung. Dengan kedatangan karakter kartun popular seperti Dora The Explorer ia menjadi tarikan untuk memikat pengunjung cilik,” kata Monica lagi.
I-City berkerjasama dengan saluran televisyen Nickelodeon SEA untuk membawa ikon kartun Dora The Explorer serta SpongeBob SquarePants pada bulan November nanti sebagai strategi untuk menarik lebih ramai pengunjung berkeluarga ke situ.
Kanak-kanak dilihat sangat gembira apabila mereka didedahkan dengan karakter kartun kegemaran. Mereka juga dihiburkan dengan lagu, permainan, kuiz dan sesi bergambar untuk 30 keluarga bertuah.
Walaupun dibuka enam tahun yang lalu sebagai bandar raya digital, populariti I-City yang mengutamakan penggunaan teknologi secara inovatif dikembang baru-baru ini dengan pelbagai intipati yang menarik.
Memberi sentuhan berbeza terhadap SnoWalk agar tampil unik berbanding taman tema bersalji lain, sebuah arca ais LED seberat 100 tan dibina di situ dengan tenaga kerja seramai 30 orang dari Harbin, China selama dua bulan.
Apa yang pasti, langkah yang diambil pihak pengurusan I-City menjadikan lokasi itu sebagai satu tarikan pelancongan bukan dibuat secara ala kadar.
I-City pada masa yang sama mahu menjadi pendidik, penghibur dan tempat rekreasi seisi keluarga.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakamkan foto bersama arca-arca unik diperbuat daripada ais di SnoWalk.


“Dengan pelaburan yang banyak, saya berpendapat, bayaran masuk ke SnoWalk iaitu RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak berbaloi. Kami juga menawarkan baju sejuk kepada pengunjung yang masuk,” kata Monica.
Seluruh teknologi bagi SnoWalk, kecuali taburan salji, dibina pada bulan Mac lalu dengan kerjasama dengan Pusat Sains Negara.
Pihak I-City berjanji akan memasang lebih banyak peralatan untuk tarikan pengunjung. Sebagai cabang Pusat Sains Negara, SnoWalk akan dibekalkan dengan pelbagai imej pendidikan dan pendedahan terhadap sains dan teknologi.
Malahan, Kosmo! juga diberitahu, pengunjung ke Pusat Sains Negara akan turut diberikan diskaun masuk ke SnoWalk sebagai menggalak lebih ramai orang mengunjungi SnoWalk.
“Taburan salji yang menjadi satu-satunya pengalaman pertama di Asia Tenggara ini dihasilkan oleh sebuah syarikat Korea, Barskorea di Icheon. Kelebihan kami memilih syarikat tersebut ialah kerana ia mempunyai teknologi yang canggih dan mesra alam,” ungkap wanita itu.
Terang Monica lagi, mesin penyejuk akan menapis air sejuk kepada 15 darjah Celsius dan air itu akan dibekukan kepada -35 darjah Celsius menggunakan gas mesra alam. Kesemua 16 drum salji yang dipasang akan melepaskan ais itu dalam bentuk salji yang lembut iaitu hampir sama dengan tekstur sebenar salji.
“Air yang diproses membentuk salji menggunakan air bersih yang boleh diminum. Memandangkan segala proses pembuatan itu mesra alam dan pengguna, pengunjung boleh cuba merasai salji itu. Ia tidak membahayakan atau memudaratkan tubuh,” kata Monica dengan yakin.