Monday, October 04, 2010

BN Kelantan guna modul di Manek Urai

BN Kelantan guna modul di Manek Urai

BACHOK 3 Okt. - Barisan Nasional (BN) negeri akan menggunakan modul di Manek Urai pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang bakal diadakan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, modul dan gerak kerja serta kempen politik di Manek Urai adalah yang terbaik pernah dicapai oleh BN sebelum ini berbanding pilihan raya kecil lain yang pernah diadakan di negeri ini.
"Bagaimanapun ia perlu diubah suai sedikit mengikut keperluan dan lokasi setempat terutama di Galas yang berbeza dari segi latar belakang penduduknya," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata kepada pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Bachok (PPD) Tangok di sini, hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.
Pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas tipis 65 undi kepada calon Pas, Fauzi Abdullah berbanding majoriti yang di perolehi Pas pada pilihan raya Umum lepas sebanyak 1,352 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian untuk Pilihan Raya Kecil DUN Galas.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, antara perbezaan di DUN Galas adalah kewujudan pengundi masyarakat Orang Asli dan kaum Cina yang tidak terdapat di Manek Urai.
Katanya, ini bermakna tumpuan khusus akan diberi terutama di kawasan perkampungan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman Gua Musang.
"Selain itu, pengundi Galas juga tidak suka kehadiran petugas yang ramai sehingga mengganggu kehidupan mereka seharian dan kaedah untuk mengatasinya perlu dirangka mulai sekarang," katanya.
Beliau berkata, bagi membolehkan UMNO dan BN memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil itu, Konvensyen UMNO Kelantan yang dijadual pada 15 Oktober ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang ditunda ke tarikh lain.