Menghitung hari cari penumpang ke-100 juta
KUALA LUMPUR 3 Okt. - AirAsia Bhd. (AirAsia) dijangka menerima penumpang ke-100 juta pada minggu ini, setelah beroperasi lebih dari lapan tahun.
Kini syarikat penerbangan tambang murah itu giat memantau sistem tempahan bagi mencari penumpang yang ke-100 juta dan penumpang bertuah itu akan menerima hadiah sebagai kejutan.
Ketua Komersial Serantaunya, Kathleen Tan berkata, berdasarkan peningkatan bilangan pesawat serta penambahan laluan baru, pihaknya dijangka mampu menarik penumpang ke-200 juta dalam tempoh yang lebih singkat daripada apa yang dicapainya untuk penumpang yang ke-100 juta.
''Mungkin dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut beliau, berbanding syarikat penerbangan lain yang telah lama beroperasi , pencapaian tersebut adalah baik dan ia dilakukan dalam masa yang singkat.
Tambah Tan, selain menawarkan tambang yang kompetitif, destinasi yang ditawarkan serta perkhidmatan yang baik turut menyumbang sebagai faktor penumpang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.
Malah kini, AirAsia di Malaysia, Indonesia dan Thailand serta AirAsia X telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk, sebelum mereka terbang ke destinasi lain.
Tan berkata, AirAsia juga telah mengubah tabiat perbelanjaan serta gaya pengembaraan dan masyarakat di negara ini lebih kerap melancong selain mereka mula melancong pada usia yang lebih muda.
Sehubungan itu, beliau menjangka lebih dari enam peratus penduduk negara ini telah terbang berdasarkan kini AirAsia membawa 15 juta penumpang setahun.
Pada awal penubuhan AirAsia, dianggarkan hanya enam peratus penduduk Malaysia telah menggunakan perkhidmatan udara.
Sementara itu, Tan berkata, destinasi China kini merupakan salah satu destinasi popular di kalangan orang Melayu.
''Dulu orang Melayu tidak pergi ke China kerana beranggapan sukar mendapat makanan halal dan sukar jumpa masjid namun kini semua anggapan itu telah berubah.
''Ini kerana China mempunyai umat Islam antara yang terbesar di dunia," ujarnya.
Kini AirAsia menawarlan lebih 200 penerbangan ke China setiap minggu.