Thursday, April 07, 2011

Hati cerminan segala perbuatan


Oleh Nik Salida Nik Suhaila Nik Saleh

2011/04/07

Jauhi sifat mazmumah didik diri jadi Muslim bertakwa capai kejayaan dunia, akhirat 

RASULULLAH SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Jika niat buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niat baik, baiklah amalannya. Walaupun niat buruk dan amalan nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.
Hati cerminan kepada segala perbuatan. Setiap kali bertindak, hati kita mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan. Sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.
Justeru, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hati baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatan kelihatan baik, belum tentu hatinya baik. 

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati agar menjadi baik, contohnya puasa. Tujuan berpuasa ialah mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam. 

Takwa contoh kualiti hati. Orang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang bertakwa juga bersedekah ketika tiada mata melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat. 

Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti, sedangkan hati kasar dan keras tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 72 yang bermaksud: “Dan siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” 
Dalam Islam, ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati berpenyakit seperti disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” 

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatan itu kerana sering diulang dan menjadi biasa. 

Mereka menganggap apa yang mereka kerjakan adalah benar malah normal seperti firman Allah dalam surah al-An’aam, ayat 43 yang bermaksud: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka sudah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka kerjakan.” 
Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. 

Al-Quran menyebut sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal antara batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.” 

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu tentu sukar dilembutkan kerana sifat batu tidak akan lembut kecuali jika dihancurkan menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukar melembutkan hati seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas. Selepas itu, hati menjadi tertutup apabila tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. 

Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya dalam surah al-Muthaffifin, ayat 14 yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” 

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah sudah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom 

Tafsir Ayat: Zikrullah terapi terbaik ummah hadapi cabaran hidup


2011/04/07

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra’d, ayat 28) 

Hakikatnya ketenteraman hati sentiasa menjadi dambaan setiap insan. Tatkala persoalan hidup bertambah kompleks dan beban masalah seharian yang meningkat dari sehari ke sehari, ketenteraman hati menjadi semakin jauh dan sulit pula untuk digapai dan diperoleh setiap insan yang mengharapkannya.
Kebanyakan manusia hari ini berorientasikan kebendaan dan kepentingan peribadi masing-masing.
Bagaimana kompleksnya persoalan hidup yang melanda diri dan walau semakin berat masalah yang terpaksa ditanggung, apabila dihadapi dengan roh keimanan yang kental berserta amalan sentiasa mengingati Allah iaitu zikrullah, perwatakan, pergaulan dan ibadat, nescaya ketenteraman hati akan mewarnai keceriaan hidup sepanjang masa. 

Jelas daripada pengertian ayat di atas terapi bagi orang beriman agar hati mereka menjadi tenang tenteram dan tidak pula gundah-gulana dalam melayari bahtera mengharungi gelombang hidup yang membadai dengan memperbanyakkan zikrullah. Dengan kata lain, zikrullah hendaklah sentiasa mengingati Allah ketika suka mahupun duka, di sudut hati atau benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan. 

Mengenai fadilat dan keistimewaan zikrullah, Allah memerintahkan setiap Muslim sentiasa berzikir kepada-Nya seperti firman-Nya dalam surah Al Ahzab, ayat 41-42 bermaksud: “Wahai orang beriman (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya. Bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” 

Rasulullah tidak ketinggalan menggalakkan setiap Muslim merebut kesempatan hidup di dunia dengan memperbanyakkan zikrullah sebagai tiket memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan. 
Sabda Baginda yang bermaksud: “Apabila kamu melewati taman syurga, hendaklah kamu ikut sama menikmatinya.” Sahabat bertanya: “Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah?” Ujar Baginda: “Ialah perhimpunan zikir.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad) 

Berdasarkan nas suci itu, dapat disimpulkan amalan zikrullah amat digalakkan dalam Islam. Selain itu, zikrullah dianggap antara amalan menyerlahkan kesempurnaan identiti seseorang Muslim yang bertakwa dan juga sebahagian ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikrullah dan doa yang tidak putus kepada Allah. Pendek kata, zikrullah petanda kepada bertakhta iman di hati dan juga bebasnya Muslim daripada belenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela. 

Islam tidak menetapkan fesyen asalkan tutup aurat


Oleh Mohd Ali Muhamad Don 

2011/04/07

Kecantikan bukan pada fizikal sebaliknya ketinggian akhlak, budi pekerti jadi ukuran 

AKHIR-akhir ini pelbagai pihak tampil menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan mendedahkan aurat menerusi pelbagai nama yang dipromosikan. Ia nampaknya menarik perhatian segelintir gadis Melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan itu yang turut menawarkan habuan lumayan kepada pemenang.
Pada sudut pandang yang lain penampilan seksi segelintir selebriti tanah air juga semakin hangat diperkatakan. Begitu pula terdapat sesetengah filem yang seolah-olah cuba mengeksploitasi wanita dengan cara berpakaian yang tidak senonoh dan mencemarkan budaya dan adat ketimuran. Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat kalangan selebriti yang dinobatkan sebagai artis wanita paling seksi dan paling hangat di Malaysia.
Semua ini mencerminkan betapa hukum dan peraturan agama khususnya berkaitan perintah menutup aurat sudah tidak dipedulikan. Kemungkinan ada yang menganggap bahawa isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan dunia sudah maju zaman juga sudah berubah. 

Boleh jadi juga ada yang mengatakan ‘usah jaga tepi kain orang’ atau ia adalah hak peribadi lalu terpulang kepada kebebasan individu untuk membuat penampilan sesuka hati mereka. Namun begitu, setiap orang yang beriman sewajarnya memahami betapa kewajipan menutup aurat adalah hak Allah SWT yang akan dipertanggungjawabkan nanti. 

Ia juga adalah peraturan agama yang sesuai untuk dipraktikkan pada setiap masa dan keadaan. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyumbang kepada pelaksanaan ketetapan ini baik pada sudut pemerintah, masyarakat dan juga setiap individu Muslim. 

Lebih unik lagi syariat Islam tidak pernah mensyaratkan hanya pakaian tertentu yang wajib dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Malah syariat yang murni memberi kebebasan kepada pelbagai bangsa dan keturunan manusia untuk mengenakan apa saja pakaian yang sesuai dengan adat, budaya dan persekitaran mereka. Asasnya ialah menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan. 
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah menegur Asma yang berpakaian nipis, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma; “Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya”. 

Oleh itu, jika dengan hanya berpakaian nipis saja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini. 
Justeru, setiap individu Muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian masyarakat lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama yang sebenar. 

Lebih daripada itu, setiap Muslimah wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai-bagai kaedah yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang dituntut. 

Penulis sendiri berasa malu apabila ada individu bukan beragama Islam yang tidak mengerti peraturan syariat tetapi tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beragama. Malah dengan tegas saudara David Teoh seorang penerbit filem terkenal di Malaysia dipetik berkata, seksi bukan penanda aras yang akan menentukan sesebuah filem sama ada bermutu ataupun tidak. 

Masyarakat Islam secara umumnya juga perlu memahami bahawa perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Berbagai-bagai perkara sumbang yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini menunjukkan bahawasanya sifat malu mula diangkat oleh Allah SWT sedikit demi sedikit menjelang hari kiamat. 

Sehubungan itu masyarakat Islam diajak menilai kecantikan bukan dengan fizikal dan gaya penampilan yang seksi lagi menggiurkan. Ia sesuatu yang tidak akan kekal lama dan sirna apabila tiba masanya. Adapun kecantikan akhlak dan budi pekerti mulia yang kekal tertanam dalam hati sanubari individu Muslim adalah sesuatu yang perlu diusahakan agar beroleh rahmat dan pengampunan daripada-Nya. 

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar Raya Johor Bahru 

Ummah digalak berdoa hadapi ujian kesusahan, kesenangan


Oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim

2011/04/07

MANUSIA dalam apa juga keadaan pasti akan berdoa dan bersyukur. Tidak kira berita gembira mahupun duka, seharusnya kita berserah kepada-Nya. Masyarakat dunia kebelakangan ini sering diuji. Ujian yang hadir akibat tindakan manusia dan juga takdir daripada-Nya. Bencana dan tragedi yang menimpa adalah ujian agar kita selalu ingat kepada-Nya. 

Di Malaysia, banjir yang melanda di beberapa negeri di Utara Semenanjung adalah salah satu daripadanya. Walaupun keadaan masih di bawah kawalan tetapi musibah ini adalah ujian yang amat besar kepada mangsa yang terbabit.
Kerugian yang dialami membabitkan wang ribuan ringgit, kehilangan harta benda, kepayahan kehidupan selepas banjir dan juga mungkin mengalami trauma di masa mendatang. Kesan psikologi rentetan kejadian banjir ini juga harus dipandang serius.
Rasa takut, bimbang dan terancam mungkin akan mengambil masa untuk hilang dalam diri mangsa banjir. Bersyukurlah kerana dugaan dan ujian ini tidak seteruk dan sedahsyat negara jiran kita di rantau ini dan berdoalah agar kita tidak ditimpa bencana sedemikian. 

Jika kita imbau mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Jepun baru-baru ini, kita amat terharu dengan berita yang dilaporkan. Antaranya ialah dianggarkan berbilion ringgit jumlah kerugian, ribuan nyawa yang menjadi korban, ratusan bangunan mengalami kemusnahan, puluhan negara yang menawarkan bantuan dan satu doa diungkapkan agar kejadian seumpama itu tidak berulang. 

Semua insan tidak kira bangsa, warga negara dan agama meratapi kesedihan yang melanda rakyat Jepun. Memetik salah satu tajuk berita di akhbar yang berbunyi ‘apabila alam tunjuk kehebatan, tiada kuasa manusia dapat menghalang’. Ungkapan ini sememangnya benar jika dihayati secara mendalam. 

Alam yang diciptakan untuk manusia menghuninya adalah suatu anugerah dari Pencipta. Dan harus diakui juga akan segala kebinasaan dan kejadian alam juga adalah ketentuan dan ujian-Nya ke atas nikmat yang diberikan selama ini kepada manusia. 
Semua itu adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan daripada terjadi. Tetapi bagaimana pula akan bencana yang terjadi atas dasar tindakan manusia itu sendiri? Jika kita bertanya khabar pada negara di Timur Tengah, kita dapat lihat bagaimana pertelingkahan politik yang berlaku atas dasar kerakusan perilaku manusia. 

Kekacauan politik di Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain dan juga Libya yang membawa kepada kesengsaraan rakyat dan kehilangan nyawa. Kuasa menjadi punca kepelbagaian penderitaan dan huru-hara. Manusia sendiri yang menciptanya (kuasa) dan manusia sendiri yang memusnahkannya. 

Ekoran konflik berkenaan, kita dapat lihat betapa pelajar Malaysia yang belajar di negara terbabit terpaksa dipanggil pulang demi keselamatan. Sekali lagi kita bersyukur dan berdoa tatkala mereka menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Harapan menggunung untuk menuntut ilmu di negara orang akhirnya diuji dengan cabaran yang getir ini. 

Ini adalah antara contoh kekalutan yang wujud di dunia ketika ini. Malah masyarakat dunia turut terkena tempias ekoran kejadian ini. Masyarakat dunia menyaksikan dan mengalami dua kejadian yang amat menyedihkan. Suka duka dirasai bersama atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan. 

Bagi masyarakat Malaysia, begitulah antara tiga keadaan atau tragedi yang membawa kepada satu tindakan. Emosi yang dirasai berbeza atas kejadian yang berlainan tetapi disusuli dengan tindakan yang sama iaitu bersyukur dan berdoa. 

Apa yang cuba dikupas adalah mengenai emosi seorang manusia apabila berdepan dengan sesuatu keadaan. Manusia dalam apa juga keadaan sama ada suka mahupun duka, ada susulan emosi dalam luahan perasaan yang berbeza. Suka apabila mendapat sesuatu yang diinginkan dan duka apabila gagal mengecapinya. 

Dua emosi dalam dua keadaan berlainan, tetapi memungkinkan seseorang insan itu mengambil langkah yang sama iaitu berdoa. Doa tanda kesyukuran dan doa agar dipermudahkan. Inilah suatu persamaan yang kekal dalam kedua-dua keadaan iaitu menyandarkan diri kepada-Nya kerana Dialah yang mencipta kedua-dua keadaan itu. 

Perkara yang mudah tetapi tidak semua secara sedar mengakui betapa hebatnya apa yang diucapkan hanya atas nama doa. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu”. 

Manusia sering kali berdoa hanya pada ketika mereka berasa lemah dan tidak mampu untuk menempuh cabaran, kesusahan atau dugaan yang menimpa dirinya. Secara fitrahnya apabila manusia berada dalam kesenangan, doa itu adalah perkara yang terakhir terlintas difikiran. 

Sedangkan ketika berada dalam kesenangan manusia sepatutnya lebih bersyukur dan berdoa agar kesenangan, kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT itu berpanjangan. Walaupun umum mengetahui bahawa doa itu adalah senjata bagi orang mukmin tetapi ia tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Kesusahan sering kali dianggap sebagai rintangan oleh-Nya dan kesenangan pula dianggap sebagai kejayaan individu. Walhal semuanya itu adalah dugaan dan ujian daripada-Nya sama ada kita ini sentiasa ingat dan taat pada perintah-Nya. 

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka 

Suami isteri masuk ICU makan cendawan racun


07/04/2011 3:48pm

ALOR SETAR 7 April - Sepasang suami isteri warga Thailand dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas memakan sejenis cendawan liar di Bukit Tangga, Changlun, 55 km dari sini semalam.
Thongthi Poi, 50, dan isterinya Boonma Gaeonin, 41, memungut cendawan itu di kebun getah tempat mereka bekerja sebagai penoreh.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Jitra dan kemudian dihantar ke HSB selepas tidak sedarkan diri. Keadaan mereka dilaporkan semakin pulih. - Bernama

Sekurang-kurangnya 15 mati, kapal migran tenggelam


07/04/2011 3:30am

ROM 7 April - Sekitar 130 hingga 250 orang dilaporkan hilang dan sekurang-kurangnya 15 oran dikatakan terkorban apabila bot yang membawa pelarian dari Libya ke selatan Sicily.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 47 orang termasuk seorang wanita yang sarat mengandung selepas bot yang penuh dengan penumpang itu hilang yang meninggalkan Libya dua hari lalu tenggelam pada pukul 4 pagi (10 pagi waktu tempatan).
Antara 15 hingga 20 mayat dilihat di dalam air setakat ini tetapi angin kuat dan laut yang bergelora membuatkan operasi mencari semakin susah. - REUTERS

Jepun guna hidrogen sekat radioaktif


07/04/2011 3:30am

TOKYO 7 April - Jepun mula mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor nuklear yang sudah lumpuh itu, memberi tumpuan kembali kepada usaha melawan bencana nuklear paling teruk di dunia dalam tempoh 25 tahun.
Para pekerja mula mengepam gas nitrogen di dalam reaktor nombor satu berikutan berita tentang usaha menghentikan air radioaktif dari loji lain bocor ke dalam laut.
“Ia sesuatu yang perlu untuk menyuntik gas nitrogen ke dalam loji itu dan membuang kandungan yang boleh menyebabkan letupan hidrogen,” ujar pegawai di Tokyo Electric Power (TEPCO). - REUTERS

Gempa bumi 5.8 magnitud gegar Indonesia


07/04/2011 1:26pm

JAKARTA 7 April - Satu gempa bumi bermagnitud 5.8 pada skala Richter berlaku di Pantai Indonesia tetapi tiada laporan kerosakan dan amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.
Gempa bumi itu melanda pada kedalaman 18 kilometer pada pukul 9.01 malam (10.01 malam waktu tempatan) sekitar 190 kilometer dari Sibolga, Pulau Sumatera, Indonesia, ujar Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang terletak di Hawaai mengatakan tiada amaran atau makluman yang dikeluarkan setakat ini. - AFP

Ruben terpesona kehebatan al-Quran



MANUSIA lebih mudah hilang pegangan dan pedoman hidup apabila ditimpa dengan pelbagai musibah pada satu masa. Namun mujur bagi Abu Bakar Ruben yang melihat musibah yang menimpa itu sebenarnya mengkehendaki beliau untuk lebih berfikir.
Kehilangan sahabat karib akibat ketagihan dadah, orang tuanya bercerai dan beliau sendiri menghadapi masalah kesempitan kewangan bertalu-talu dalam satu masa tidak menyebabkan Ruben mengambil jalan singkat hingga memudaratkan diri.
"Apabila ditimpa semua ini menyebabkan saya tertanya-tanya apakah sebenarnya makna dan tujuan hidup ini," soalnya.
Malah persoalan seperti itu turut menyebabkannya melihat dari perspektif agama kerana beliau sedar agama mampu memberikan makna dan kekuatan dalam hidup.
Ruben dibesarkan di Melbourne, Australia oleh orang tua yang tidak percayakan Tuhan.
"Semasa kecil, saya memang dibesarkan untuk menganut Kristian. Tetapi malangnya orang tua saya ateis, sehingga saya sendiri cenderung untuk memiliki pandangan ateis," ujarnya.
Lalu Kristian merupakan agama pertama yang beliau cuba pelajari. Kebetulan seorang teman mengundangnya menyertai perkhemahan agama itu.
"Mereka hanya bernyanyi. Suara mereka bagus sekali, tetapi saya bingung kerana tidak memahami sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.
"Mereka kemudiannya memberitahu bahawa Tuhan mencintai saya. Ia menyebabkan saya kehairanan kerana bagaimana mungkin tuhan mencintai saya sedangkan anjing yang saya pelihara pun tidak pernah menyayangi saya," katanya.
Ruben beralih pula kepada mazhab lain dalam Kristian iaitu Katholik dan Anglican Baptis.
Namun, sekali lagi beliau kecewa terutama apabila men dapati setiap paderi yang diajukan soalan akan memberi jawapan yang berbeza-beza pada satu topik-topik yang khusus.
Apabila beralih untuk mengenali agama Hindu, Ruben tidak mampu memahaminya walaupun agama itu turut melibatkan ketuhanan yang suci dan sebagainya.
Apabila menyedari nama Ruben itu berasal daripada Rubenstein, iaitu sebuah nama Yahudi, Ruben kemudiannya mencari apa yang boleh ditemui dalam agama Yahudi.
Malang sekali agama itu juga tidak dapat diterimanya kerana beliau sedar pasti ada diskriminasi apabila agama itu menjadi anutan bangsa Yahudi semata-mata.
Sehinggalah pada suatu hari, Ruben bertemu seorang temannya yang beragama Kristian yang bertanya mengenai apakah kesudahan pencariannya itu.
"Saya memberitahu hampir kesemua agama di dunia ini telah dicuba untuk dipercayai. Sama ada Kristian, Katholik, Hindu, Buddha, Anglican tetapi tiada satu pun yang menarik hati saya," katanya.
Lalu temannya bertanya lagi: "Bagaimana dengan Islam?"
Pertanyaan itu menyebabkan Ruben mencemuh: "Apa, Islam? Buat apa saya mengenali apatah lagi hendak menerima agama keganasan itu. Itu kerja gila."
Itu kata-kata yang keluar daripada mulut Ruben sedangkan bahasa dan tindak balas tubuhnya adalah berbeza.
"Saya tidak tahu mengapa dan apa yang menggerakkan saya. Yang jelas saya segera menyarungkan kasut, berpakaian rapi dan terus menuju ke sebuah masjid berhampiran tanpa tujuan yang pasti," katanya.
Sejurus masuk ke dalam masjid, perasaan Ruben bertukar menjadi cemas.
"Saya terfikir bahawa saya bakal mati di sini kerana saya satu-satunya yang berkulit putih di masjid ini. Pasti saya akan dilihat seperti seorang kafir yang layak dibunuh," katanya.
Saat itu juga keluar seorang lelaki berbangsa Arab, saiz badannya agak besar dengan jambang yang tebal dan berjubah putih.
Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Abu Hamzah, lelaki Arab itu menyapa Ruben dengan ramah. Malah meminta seorang lelaki yang lain supaya menghidangkan teh kepada Ruben sebagai tetamu.
"Sesuatu yang di luar dugaan. Tidak pernah saya bayangkan bakal mendapat layanan baik sebegini rupa," kata Ruben.
Lalu dalam pertemuan itu, Ruben bertanyakan kepada Abu Hamzah pelbagai persoalan mengenai kehidupan.
Termasuk mengenai temannya yang mati akibat ketagihan dadah, mengenai masa lalu dan masa akan datang dan bagaimana Islam dapat menjawab semua persoalan itu.
Lalu Abu Hamzah pun bangun mengambil senaskhah al-Quran dan membuka kitab itu dan menunjukkan sepotong ayat serta meminta Ruben membaca seraya berkata: "Ini jawapannya."
"Sungguh mengejutkan. Kepala saya bagai dihentak kuat apabila ia benar-benar satu jawapan yang tepat. Ini menyebabkan saya terus bertanyakan pelbagai hal yang lain mengenai Islam yang sering dimomok-momokkan oleh orang ramai.
"Ini termasuklah mengenai membela janggut dan jambang, mengapa perlu memakai hijab sehingga mengapa Islam benarkan beristeri empat dan sebagainya lagi.
"Saya fikir itu adalah pertanyaan-pertanyaan yang sukar untuk dijawab. Tetapi sungguh luar biasa, mereka selalu membuka al-Quran dan lalu memberikan kepada saya untuk dibaca.
"Dan pada malam itu saya ditemani senaskhah al-Quran yang saya baca tanpa henti," ujar Ruben.

Al-Quran pandu saya - Ruben


Membaca al-Quran bukan sahaja menemukan Abu Bakar Ruben dengan pelbagai kisah tetapi beliau juga dapat merasakan seolah-olah ada yang memandu dirinya.
Beliau mendapati al-Quran bukan sahaja benar tetapi juga sangat diterima akal dan bersifat ilmiah.
Ia menyebabkannya merasa amat takjub bagaimana al-Quran menghuraikan proses penciptaan dan kelahiran manusia, pembiakan proses sel telur yang menciptakan gumpalan darah, tumbuh tulang, tiupan roh hingga akhirnya membentuk janin yang siap sedia untuk dilahirkan ke dunia.
"Inilah yang saya cari, ini yang saya perlukan," jelasnya.
Saat Ruben sedia hendak dilahirkan sebagai Islam beliau memerlukan satu petunjuk Allah bagi menguatkan lagi keputusannya.
"Saya sudah bersedia untuk melakukan lompatan besar. Tetapi saya tapi inginkan satu dorongan saja dari tuhan. Tak perlu besar, kecil sahaja pun sudah cukup," katanya.
Untuk itu Ruben melakukan 'dialog' dengan Tuhan.
"Tolonglah Allah satu (petunjuk) sahaja, tunjukkanlah kalau Engkau benar," pintanya sendirian sambil duduk diam di tengah-tengah satu ruang bilik dengan sebatang lilin yang bernyala.
Lama juga dia menunggu. Tetapi tidak satupun yang luar biasa yang terjadi.
"Terus terang saya katakan, saya sangat kecewa saat itu; Wahai Tuhan, engkau telah mensia-siakan satu-satunya peluang yang aku kehendaki," ujar Ruben yang akhirnya memutuskan untuk membuka al-Quran.
Tiba-tiba beliau terhenti pada ayat berikut: Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya). (an-Nahl: 12)
Membaca ayat itu menyebabkan Ruben tersedar.
"Betapa sombongnya saya menuntut tanda spesifik seperti yang saya mahu. Matahari dan semua ciptaan-Nya di muka bumi ini adalah satu petanda buat kita semua untuk menghayati dan mendapatkan pengajaran daripadanya," kata Ruben.
Selepas yakin dengan keputusannya, Ruben kembali berkunjung ke masjid. Setibanya di masjid, beliau terkejut apabila mendapati ia dipenuhi para jemaah kerana pada hari itu adalah malam pertama menyambut Ramadan.
Lalu Ruben menemui imam masjid bagi menyatakan niatnya memeluk Islam. Maka berlangsunglah satu majlis yang sangat bermakna apabila Ruben diminta mengucap dua kalimah syahadah.
Pada hari pertama Ramadan itu Ruben dengan rasmi menjadi Muslim. Sejurus selesai, beliau mengaku bagaikan satu beban yang besar dan berat telah ditarik dan terlepas keluar dari tubuhnya.
"Saya merasa sangat ringan," ujarnya.
Ditambah dengan sambutan teriakan dan takbir Allahu Akbar oleh para jemaah masjid menyebabkan Ruben benar-benar terharu dan sebak kegembiraan.

Wanita dan masjid



HADIS berkenaan memberi galakan kepada golongan wanita untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau-surau yang ada di muka bumi ini.
Lebih-lebih lagi, jika tujuan wanita ke masjid adalah untuk menuntut ilmu baik yang fardu ain atau pun fardu kifayah.
Demikian dijelaskan oleh Ketua Jabatan Siasah Syar'iyyah Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.
Beliau berkata, umumnya, kaum wanita dibolehkan keluar dari rumah mereka apabila ada keperluan yang sangat mendesak, demikian juga diharuskan bagi mereka pergi ke masjid.
"Cuma mereka (wanita) perlu menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangi-wangian dan tidak memakai perhiasan yang menimbulkan suara gemerincing," katanya.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bila salah seorang dari kalian (para wanita) ingin menghadiri solat di masjid maka janganlah ia menyentuh wangian. (riwayat Muslim)
Beliau berkata demikian pada Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Peranan Muslimah Dalam Mengimarahkan Institusi Masjid di perkarangan Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Mac lalu.
Moderator forum itu ialah selebriti televisyen Wardina Saffiyah manakala seorang lagi ahli panel ialah Pensyarah Institut Pendidikan (Pendidikan awal kanak-kanak) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penolong Profesor Dr. Mastura Badzis.
Forum yang bermula pukul 9.30 pagi itu adalah anjuran bersama Masjid An-Nur, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Turut hadir, Pegawai Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Hashim Mohamad dan Nazir Masjid An-Nur, Harun Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan taklimat tentang zakat harta oleh wakil LZS selama kira-kira 30 minit. LZS turut membuka kaunter zakat bergerak untuk membolehkan orang ramai mengemukakan pertanyaan tentang persoalan zakat.
Dr. Sharifah Hayaati menjelaskan, dalam pada itu memang ada hadis yang menyebut solat wanita di rumah mereka adalah lebih baik daripada di masjid.
Namun katanya, ia bukanlah larangan mutlak kepada wanita untuk berjemaah atau mengimarahkan masjid.
Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar bersabda Nabi SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu melarang wanita ke masjid Allah, dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka". (riwayat Abu Daud)
Satu lagi hadis yang berkaitan adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya aku berdiri untuk menunaikan solat dan berkeinginan untuk memanjangkan solat itu. Lalu aku mendengar tangisan bayi maka akupun memendekkan solatku kerana khuatir (tidak suka) memberatkan ibunya. (riwayat Bukhari)
"Dengan kata lain, wanita dibolehkan pergi ke masjid tetapi tidak dimestikan ke atas mereka.
"Ini bermakna kepergian mereka ke masjid adalah dibolehkan di sisi syarak dan mereka mendapat pahala berjemaah di masjid," tambahnya.
Sementara itu, Dr. Mastura menekankan pentingnya didikan ibu bapa lebih-lebih lagi para ibu dalam membentuk anak-anak agar rajin ke masjid.
Sebab itu, katanya, ada hadis yang menyebut: Setiap anak yang lahir itu adalah fitrah, maka ibu bapanya yang menentukan sama ada ia menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari).
"Hadis di atas menjelaskan bahawa tidak ada anak yang dilahirkan sebagai jahat. Yang silap adalah ibu bapa atau pengasuh yang menganggap seolah-olah anak itu jahat.
"Sebabnya, jahat itu bukan sifat seorang anak tetapi ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti persekitaran dan pendidikan ibu bapa," jelasnya.
Imam al-Ghazali misalnya berkata, setiap anak itu adalah permata. Mereka belajar melalui pemerhatian dan mudah meniru.
Berdasarkan teori imitation ini sesuatu itu menjadi kebiasaan kepada anak-anak.
Imam al-Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibu bapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibu bapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak.
"Sebab itu, kalau mahu anak kita solat di masjid, bapa terutamanya mesti juga menunjukkan contoh dengan solat berjemaah di masjid. Demikian juga dengan ibu.
"Barulah anak-anak juga mahu solat berjemaah di masjid. Jangan hanya pandai menyuruh anak solat ke masjid sedangkan bapa tidak pernah menjejak kaki ke masjid," tegasnya.
Dalam pada itu, Harun bersyukur kerana program yang dikhususkan untuk wanita itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Katanya, adalah dianggarkan 1,000 orang menyaksikan forum tersebut termasuk penduduk di kawasan Felda Bukit Cerakah dan Puncak Alam.
"Alhamdulillah, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PAID Kuala Selangor dan LSZ yang sudi menaja program hari ini," katanya.
Seorang jemaah, Saripah Saad berkata, tajuk yang dibincang pada forum itu dapat membuka mata kaum ibu khususnya tentang peranan secara tidak langsung mereka mengimarahkan masjid.
Katanya, kupasan tajuk oleh kedua-dua ahli panel membuktikan yang kaum wanita boleh memainkan 'peranan' mendidik anak-anak dan juga memujuk suami untuk solat berjemaah di masjid.
"Saya berharap program seumpama ini akan diadakan dari semasa ke semasa supaya umat Islam sentiasa diberi peringatan untuk kebaikan bersama," tambahnya.

Zakat amanah Allah



BERBICARA tentang zakat, maka ia mempunyai perkaitan yang amat erat dengan sifat amanah. Hakikatnya, zakat itu memang amanah yang dititipkan Allah SWT kepada seluruh manusia.
Menunaikan amanah zakat bermakna melestarikan amanah Allah; mengingkarinya bermakna menyanggah hukum Allah.
Jika solat dinaqalkan sebagai penghubung antara manusia dengan Khalik-Nya, maka zakat bersifat dwi-fungsi. Ia menghubungkan manusia dengan Tuhan dan juga sesama insan.
Menyinggung amanah zakat, maka terdapat sekurang-kurangnya tiga aspek amanah yang terlibat di dalamnya. Pertama, amanah kepada pembayar atau muzakki. Kedua, amanah kepada amilin atau para pengurus zakat.
Ketiga, amanah kepada mustahiq atau para penerima zakat yang dipanggil asnaf. Penulisan ini akan cuba menyoroti dan menilai ketiga-tiga aspek amanah ini.
Pertama, bagi amanah kepada para muzakki, wajib dikeluarkan zakat apabila segala syarat wajib zakat sudah ada pada diri dan harta yang kita miliki. Adalah haram jika dengan sengaja meninggalkan kewajipan zakat.
Dalam erti kata lain, orang yang dengan sengaja melarikan dirinya daripada kewajipan zakat, boleh dikategorikan sebagai individu tidak beramanah.
Jika kita membaca sejarah, maka golongan yang enggan menunaikan zakat dengan sengaja pada zaman Abu Bakar as-Siddiq telah diperangi oleh baginda.
Abu Bakar dengan tegas menganggap golongan yang ingkar bayar zakat itu sudah terkeluar daripada ajaran Islam.
Mereka disama tarafkan dengan kelompok nabi-nabi palsu dan hukuman yang layak ke atas mereka adalah diperangi, hingga mereka kembali tunduk kepada hukum Allah.
Dalam konteks hari ini, mereka yang sengaja meninggalkan kewajipan berzakat tidak diperangi. Malah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) hanya mengambil pendekatan berdakwah secara diplomasi dan menyampaikan informasi yang lebih persuasif sifatnya.
Apa yang lebih utama, masyarakat Islam hendaklah menginsafi bahawa meminggirkan zakat bererti sudah melanggar amanah. Orang yang tidak amanah pasti dimurkai Allah.
Keduanya adalah amanah kepada para petugas zakat atau disebut golongan amilin. Paraamilin sebenarnya adalah istimewa di sisi Islam. Sejak zaman nabi lagi, mereka yang dipilih oleh baginda Rasulullah menjadi amilin adalah orang yang sangat amanah dan bijaksana.
Mereka mesti amanah, kerana tugas mereka bermain dengan harta. Terhakisnya sifat amanah bererti terancamlah harta zakat kepada pelbagai bentuk penyelewengan.
Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya yang masyhur Fiqh az-Zakah ada menyimpulkan, antara lain para amil itu mestilah dilantik dalam kalangan orang yang kuat keimanannya, berilmu terutamanya dalam fikah zakat dan mampu menanggung amanah harta dengan tahap akauntabiliti yang tinggi.
Ini kerana, apabila wang zakat sudah diberikan kepada pihak amil, maka terlepaslah sudah beban di pundak para muzakki. Kala itu, yang bertanggungjawab seratus peratus ke atas harta zakat itu adalah para amil yang diamanahkan untuk mengelolakannya secara betul dan telus.
Kegagalan para amil atau pengurus zakat dalam menanggung amanah ini, bermakna berdosalah mereka di sisi Allah SWT.
Daripada Anas bin Malik r.a. beliau melaporkan, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya?" Rasulullah SAW menjawab: "Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahalanya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya". (riwayat Ahmad di dalam Nailul Authar: 2,028).
Amanah yang terakhir adalah kepada kalangan mustahiq atau penerima zakat. Mereka ini walaupun berada di mata terakhir rantaian zakat; namun masih terikat dengan sifat amanah.
Mereka wajib menjaga amanah harta zakat yang telah diberikan kepada mereka, dengan tidak menyalahgunakannya ke lorong-lorong yang salah di sisi syariat. Jika tidak, mereka masih dikira berdosa di sisi Allah SWT.

Larangan menyebar perbuatan maksiat



SETIAP manusia secara fitrahnya ingin menjaga maruah dan nama baiknya. Sebab itu manusia tidak suka perbuatan keji dan maksiat yang dilakukannya diketahui orang ramai.
Oleh itu, perbuatan keji dan maksiat biasanya dibuat secara sembunyi. Oleh kerana maruah diri adalah salah satu perkara yang menjadi keutamaan atau daruriyat, maka Islam mengharamkan zina dan semua bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan maruah diri.
Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji dan hina dalam Islam. Ia dikategorikan sebagai dosa besar atau al-kaba'ir.
Larangan terhadap zina dalam Islam bukan setakat melakukan zina tetapi termasuk semua perbuatan yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan. (al-Israk: 32)
Menurut Imam Al-Qurtubi, zina dikatakan seburuk-buruk jalan kerana ia perbuatan yang membawa pelakunya ke neraka jahanam.
Ini menunjukkan kejinya perbuatan zina dalam pandangan Islam. Oleh kerana kejinya perbuatan itu, maka Islam telah menetapkan hukuman yang amat berat kepada penzina.
Firman Allah yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (an-Nur: 2)
Ayat di atas merujuk kepada penzina lelaki atau perempuan yang belum berkahwin (ghayr muhson). Adapun, hukuman bagi penzina yang telah berkahwin (muhson) adalah rejam dengan batu seperti yang telah dijatuhkan oleh Rasulullah SAW ke atas Ma'iz al-Aslami dan wanita daripada kabilah al-Ghamidiyah.
Sekali imbas, hukuman ke atas penzina baik yang belum berkahwin atau telah berkahwin kelihatan keras dan berat. Hukuman ke atas penzina yang telah berkahwin misalnya adalah direjam sampai mati di khalayak ramai, seolah-olah penzina sama seperti pembunuh.
Hukuman ini dikritik oleh Barat dan tidak kurang juga orang Islam yang tidak faham dan tidak mengerti tujuan hukuman tersebut dijatuhkan.
Jika diteliti dengan penuh insaf akan kesan dan akibat jenayah zina kepada diri wanita, anak luar nikah yang dilahirkan dan masyarakat umum, memang ada kaitan rapat antara perzinaan dan pembunuhan.
Dengan lain perkataan penzina adalah pembunuh yang kejam. Jenayah zina adalah perbuatan membunuh keturunan. Ia menghilangkan garis keturunan dan mencampurkan hubungan darah (nasab).
Kebanyakan penzina akan membunuh dengan menggugurkan anak-anak luar nikah yang dikandung sebelum dilahirkan bagi menutup perbuatan keji yang mereka lakukan.
Jika anak-anak zina itu tidak berjaya dibunuh sejak dalam kandungan dan lahir, maka anak-anak itu akan ditanam hidup-hidup, ditinggalkan di atas tangga masjid, dicampak ke dalam tong sampah atau dibuang di tepi jalan yang kadang-kadang menjadi makanan anjing.
Jika anak-anak yang tidak bersalah itu masih juga terselamat daripada pembunuhan kejam itu dan hidup seperti manusia lain, pada hakikatnya perasaan dan maruah anak itu dibunuh secara tidak sedar.
Dia akan terseksa sepanjang hayat apabila mengetahui dia sebenarnya adalah anak zina. Pihak kerajaan atau persendirian pula perlu menyediakan pusat-pusat pemulihan bagi menjaga anak-anak yang terbuang ini. Itulah akibat dan kesan perbuatan zina.
Dengan itu, wajarlah hukuman berat yang setimpal dengan pembunuhan dikenakan ke atas penzina.

Islam agama yang damai



ISLAM bermaksud selamat atau sejahtera. Ia juga membawa konotasi akan penyerahan diri kepada Allah, tunduk dan patuh kepada syariat yang ditentukannya. Oleh itu, pada prinsipnya agama Islam bukan agama kekerasan, ia adalah agama yang menganjurkan perdamaian dan keamanan.
Namun ada orang Islam sendiri yang mencalarkan sifat agama Islam dan imej kaum Muslimin itu sendiri dengan menganggap bahawa kekerasan adalah penyelesaian terbaik bagi menentang bentuk penjajahan daripada Barat.
Jihad yang diperlihatkan dalam bentuk keganasan bom dan senjata menjadi salah satu masalah genting yang kini semakin menjadi-jadi, seolah-olah umat Islam tidak mempunyai alternatif untuk mengatasinya.
Fobia terhadap Islam
Faktor sosio-politik-ekonomi dan budaya bagi sesetengah umat yang terhimpit menyebabkan tercetusnya kebangkitan sebegini. Kes Palestin, Iraq, Afghanistan, Iran dan Sudan bukanlah kes-kes terpencil. Kes-kes tersebut wujud daripada dendam tersembunyi salibiyah oleh kuasa-kuasa sekular.
Meskipun rejim Barat mengaitkan Islam sebagai suatu fobia (Islamophobia), namun tidak semua orang Barat berpandangan demikian. Agama Islam semakin menjadi agama yang subur di Eropah.
Tidak mustahil jika dakwah umat Islam mengambil jalan bijaksana, Islam bakal mendapat tempat di hati mereka. Jika kekuatan rohaniah yang diimbangi dengan keunggulan sains dan teknologi yang Islami, ia bakal menjawab keperluan umat manusia pada masa depan.
Jika Islam itu dikaitkan dengan keganasan, adalah sesuatu yang mustahil untuk orang Barat mendatangi Andalusia suatu ketika dahulu dan menterjemahkan kitab-kita besar Islam ke dalam bahasa Latin dan Ibrani.
Jika memang sifatnya Islam itu kekerasan tidak mungkin ilmu Islam yang mendukung peradaban boleh menjadikan Eropah maju dan berperadaban.
Globalisasi tidak sekadar suatu agenda politik-ekonomi-budaya tetapi membawa faham anti agama. Faham liberal dan sekular Barat bertujuan menjadikan umat Islam hidup dan membangun tanpa agama.
Umat Islam harus peka dan sedar daripada tipu daya kebendaan dan hawa nafsu. Remaja Islam tidak harus membiarkan dirinya dibakar oleh gelombang kebudayaan Barat, tetapi harus dilatih menghargai tradisi bangsa dan agamanya yang positif dan dalam masa yang sama mampu mengolah perubahan dan pembangunan berdasarkan acuan sendiri.
Justeru, ilmu yang bersifat individu dan ilmu sosial harus dikuatkan. Kurikulum, metodologi pengajaran dan pembelajaran harus mengambil pendekatan pembaharuan dalam situasi dan keadaan yang pantas berubah. Integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan adalah agenda terbaik yang harus menjadi agenda utama umat.
Di saat ini faktor yang sangat penting harus dibangunkan ialah faktor sumber daya manusia. Perubahan yang mengambil tempat, zaman dan peradaban pun merujuk kepada kualiti sumber daya manusia.
Sekiranya sumber daya manusia memiliki kualiti ilmu yang bersifat individu dan ilmu sosial, pembinaan peradaban baru umat manusia akan berpihak kepada Islam.
Pengalaman penjajahan begitu lama, aliran ritual dan spiritual yang tidak jernih membelenggu pemikiran umat dalam pemahaman sempit terhadap perubahan.
Umat Islam berada di suatu persimpangan ritual dan spiritual yang rendah dengan keinginan maju dan berubah yang tinggi, menyebabkan mereka mencari-cari formula terbaik untuk maju.
Lantas ada yang menggunakan tradisi liberal dan pluralis Barat yang didukung oleh para orientalis dan menolak etika keilmuan Islam yang mendukung ijtihad.
Oleh itu, remaja Islam perlu kembali kepada disiplin akal, disiplin hati, dan disiplin amal. Disiplin kepada ilmu terutama ilmu-ilmu yang bersifat berbanding daripada sumber lain harus jelas. Disiplin terhadap upaya berfikir yang berdasar disiplin ilmiah Islami haruslah teguh. Daripada situ bakal lahir pemikiran yang maju dan dinamis tetapi tidak bertentangan dengan Islam.
Masalah sosial, ekonomi, dan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang kini menerpa sebahagian besar kaum Muslimin antara lain disebabkan lunturnya semangat jihad dalam pembangunan sumber daya manusia.
Sementara itu, kegemilangan peradaban yang pernah diraih kaum Muslimin antara lain dibantu oleh semangat keilmuan yang tinggi dan mendapat dukungan pemerintah atau kerajaan.

Malaysia eksport 12 juta ayam ke Oman



Nor Mohamed Yakcop menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian pembekalan ayam di Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 6 April - Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi negara Islam pertama yang akan mengeksport daging ayam proses ke Oman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, sebanyak 12 juta ekor ayam dengan nilai eksport kira-kira RM120 juta setahun akan dibekalkan di bawah Program Rantaian Bekalan Halalan Toyyiban.
Katanya, ini merupakan langkah permulaan sebelum produk halal tempatan melebarkan sayapnya ke negara Arab yang lain.
"Kita ada 57 negara yang menjadi anggota Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) tetapi perdagangan kita dengan negara-negara ini tidak sampai 10 peratus pun.
"Ini bermaksud 90 peratus dagangan kita ialah dengan negara luar OIC dan kita masih mempunyai banyak ruang serta peluang untuk tingkatkan dagangan dengan negara anggota OIC," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara syarikat Mutiara Bernas Sdn. Bhd. dan Global Food Solutions LLC dari Oman.
Menerusi perjanjian itu, Mutiara Bernas akan membekalkan ayam kepada Global Food Solutions selama 10 tahun berdasarkan Standard Malaysia (MS) 2400:2010 (MS 2400) yang berasaskan prinsip Halalan-Toyyiban (HT).
Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, keadaan politik semasa di negara Asia Barat dan Afrika Utara yang masih belum menentu tidak akan memberi kesan kepada eksport Malaysia.
"Permintaan akan kekal stabil kerana manusia perlu makan dan harga daging di sana telah naik sehingga 400 peratus dan mereka perlu mencari sumber protein yang lain iaitu ayam," katanya.

Bakal pengantin rentung




Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan pasangan kekasih yang rentung di Kempas, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 6 April - Hajat sepasang kekasih melangsungkan majlis perkahwinan pada Jun ini tidak kesampaian apabila kedua-duanya rentung setelah kereta Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebuah lori sembilan tan di Kilometer 2.8 Jalan Kempas, Kempas, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pukul 11.15 malam, mangsa, Norhisham Wahab, 34, dan tunangnya, Rafidah Khairodin (gambar), 27, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, ketika kejadian kereta yang dinaiki mangsa berada di Jalan Permatang Lima sebelum cuba masuk simpang ke Jalan Kempas di sini.
Beliau berkata, sebaik sahaja kereta mangsa memasuki jalan berkenaan, kenderaan tersebut terus dirempuh oleh lori itu dari arah belakang sebelum diseret sejauh 90 meter dan terbakar.
"Kedua-dua mangsa tersepit dan dipercayai gagal keluar daripada kereta yang sedang marak terbakar.
"Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Larkin yang sampai ke tempat kejadian tidak lama kemudian berjaya mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ruslan berkata, pemandu lori berkenaan yang terus ke Balai Polis Trafik Taman Ungku Aminah sejurus kejadian telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih disiasat.
Sementara itu, kakak Rafidah, Sulasteri Khairodin, 31, berkata, ketika kejadian, adiknya yang tinggal di Kampung Permatang di Kempas keluar makan malam bersama Norhisham.
"Dia (Rafidah) yang bekerja sebagai kerani akauntan memang gembira untuk melangsungkan majlis persandingan pada Jun ini setelah bertunang tahun lalu.
"Tak sangka pula perkara begini berlaku kerana segala persiapan untuk majlis pernikahannya sudah siap," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Kulaijaya, hari ini.
Ibu Norhisham, Fatimah Kamin, 59, yang berada di lokasi sama berkata, anaknya yang bekerja di kedai perabot di sini tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali banyak mendiamkan diri sejak akhir-akhir ini akibat diserang demam campak.
"Tak sangka pula jadi begini kerana segala persiapan untuk majlis perkahwinannya pada Jun ini sudah hampir siap dibuat. Bagaimanapun, saya sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya lagi.
Jenazah Norhisham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi manakala jenazah Rafidah dikebumikan di Kampung Permatang, Kempas petang ini.

Awas telur tiruan di pasaran – CAP




Perbezaan telur tiruan (kanan) dan telur asli. – BERNAMA



PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di Malaysia supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.
Pagi kelmarin, seorang pengguna datang ke pejabat CAP bersama sedulang telur yang agak luar biasa bentuknya. Menurut beliau, apabila dimasak, telur itu tidak berbau seperti telur biasa dan tidak mempunyai sebarang rasa. Oleh kerana beliau berasa ragu-ragu dengan kandungan telur yang dibelinya itu, beliau membawa telur-telur tersebut ke pejabat CAP dan terus membuat aduan mengenainya.
Selepas diperiksa, kami mendapati memang benar telur-telur tersebut mempunyai bentuk yang berbeza daripada biasa. Ia besar dan bila dipecahkan tidak kelihatan pusat telur (chalazae - bahan legap yang biasanya terdapat pada putih telur, membendung kuning telur pada bahagian tengah telur). Telur-telur itu juga tidak berbau seperti telur biasa.
Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.
Mengikut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.
Kuning telur dihasilkan hanya dengan mencampurkan pewarna makanan kuning lemon ke dalam adunannya.
Kalsium klorida ditambah ke dalam adunan telur dan kemudian ke dalam acuan untuk menghasilkan membran telur. Cangkerang telur diperbuat dengan lilin parafin, serbuk gypsum, kalsium karbonat dan bahan-bahan lain.
Pada amnya bahan-bahan ini adalah penambah makanan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama. Oleh itu telur tiruan hanya mempunyai sedikit atau tidak langsung berkhasiat berbanding telur sebenar.

Perbezaan telur ayam asli (kanan) dan tiruan selepas direbus. – Bernama


Cara mengenal telur tiruan:
1. Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.
2. Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.
3. Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.
4. Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.
5. Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
6. Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
7. Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
8. Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Telur adalah sumber protein yang murah dan dimakan oleh penduduk Malaysia. Memandangkan ia merupakan makanan kegemaran ramai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera berhubung isu telur tiruan ini.
Tambahan pula, telur tiruan mungkin mengandungi gelatin yang haram dimakan oleh orang Islam.
S. M. MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

Gula tambahan punca anak obes



David Ross (tengah) bersama selebriti, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot dan Jeann Wong (kanan) pada pelancaran susu Anmum Essential Baru Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


GOLONGAN kanak-kanak memerlukan pemakanan untuk tujuan iaitu tenaga, pertumbuhan fizikal yang sempurna dan perkembangan mental.
Justeru, piramid panduan pemakanan menyarankan seorang kanak-kanak berusia antara dua hingga 10 tahun perlu menikmati lima kumpulan hidangan iaitu bijian, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging dan protein, tenusu serta minyak, gula dan garam dalam kadar tepat, seimbang serta dipelbagaikan.
Bagaimanapun, Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam berkata, trend pemakanan semasa kanak-kanak di negara ini menunjukkan masalah kegemukan atau obesiti di kalangan golongan kecil itu semakin bertambah iaitu 5.4 peratus daripada kira-kira 21,249 orang kanak-kanak yang direkodkan.
Masalah itu, katanya, berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula dan lemak tinggi seperti aiskrim, donut manis, agar-agar, mufin, burger, coklat, roti krim, gula-gula, bijirin sarapan, biskut serta minuman berkarbonat.
Jelasnya, seseorang kanak-kanak sepatutnya diberi lebih banyak hidangan mengandungi sumber gula semulajadi yang turut dikenali sebagai glukosa, fruktosa dan laktosa seperti susu segar, buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Namun, kebanyakan ibu bapa di negara ini dilihat membiarkan anak-anak menikmati hidangan mengandungi gula tambahan atau turut dikenali Sirap Jagung Solid, Sukrosa dan Sirap Glukosa Solid dalam kadar tinggi.
"Keadaan negatif ini bukan sahaja mengakibatkan anak-anak mengalami obesiti tetapi juga gigi rosak, kekurangan nutrien dan lebih teruk, penyakit kencing manis.
"Setiap hari kanak-kanak hanya memerlukan lima hingga enam sudu teh gula manakala dewasa, tidak melebihi 10 sudu teh gula.
"Namun kebanyakan individu bagi kedua-dua golongan itu didapati mengambil sehingga 24 sudu teh gula," kata Indra.
Beliau memberitahu demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Generasi Sihat, Kesedaran Pengambilan Gula dalam Nutrisi Kanak-Kanak sempena Pelancaran Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Indra, bagi mengatasi dan membendung obesiti kanak-kanak, ibu bapa adalah golongan utama yang perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak-anak
Katanya, ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam bagi membantu mereka mengetahui sajian terbaik untuk anak-anak.
Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menikmati atau menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak-anak.
Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan.
Sementara itu Pengurus Besar Fonterra Brands Malaysia, David Ross, memberitahu, Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan adalah hasil usaha syarikat berkenaan yang sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan rumusan keluarannya.
Produk terbaru keluaran Fonterra itu adalah susu untuk tumbesaran kanak-kanak yang pertama tanpa gula tambahan diperkenalkan di pasaran negara ini.
Ia mengandungi lebih 100 peratus nutrien penting untuk otak iaitu Asid Dokosaheksanoik (DHA) dan Gangliosida (GA) yang mampu membantu memaksimumkan hubungan sel-sel otak bagi mempercepatkan pembelajaran.

Tidur yang berkualiti



RAMAI di kalangan mereka yang bekerjaya dilihat tidak begitu mementingkan soal tidur. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu bahawa tidur yang mencukupi dan berkualiti akan membuatkan kita lebih bertenaga dan ceria untuk memulakan hari yang baik.
Senario tidak mengendahkan tidur bukanlah satu situasi yang pelik. Disebabkan itu juga ada di kalangan mereka menghidap penyakit susah tidur atau insomnia.
Setiap individu dinasihatkan mendapatkan tidur serta rehat yang secukupnya iaitu antara tujuh hingga sembilan jam sehari.
Menurut Pakar Terapi Hipnotik, Julian Leicester, tidur juga seharusnya diseimbangkan agar badan dan minda tidak mempunyai tekanan.
Katanya, seseorang yang tidurnya berkualiti akan mendapat kesihatan yang lebih baik. Jiwanya akan terasa bahagia serta kecergasan fizikal dan mindanya akan bertambah daripada mereka sentiasa terasa letih sepanjang masa.
''Sekiranya anda bangun dengan badan yang cergas serta minda yang lapang, itu bermakna anda mendapat tidur yang berkualiti.
''Jika sebaliknya, itu menandakan anda tidak mendapat tidur yang berkualiti, di mana sama ada anda tidak mendapat tidur yang secukupnya ataupun tidur anda terganggu.
''Untuk itu sebelum tidur, anda perlu memastikan bahawa minda dan badan berada dalam keadaan tenang dan rehat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada masa yang sama, tambah beliau, gabungan bilik tidur yang sunyi selain tilam dan bantal yang sesuai juga memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan tidur berkualiti yang diingini.
Menurut Julian, tidur yang berkualiti mampu memberikan kesan menakjubkan seperti membantu meningkatkan kecekapan kerja, menggalakkan pemulihan tubuh, meningkatkan daya ingatan, penumpuan, daya kreatif dan kesejahteraan emosi.
Dalam pada itu, tambahnya lagi, kita juga seharusnya membuat undang-undang dalam bilik tidur bagi memberi keselesaan apabila tiba waktu tidur.
Untuk itu Julian memberikan beberapa tip seperti jangan jadikan bilik tidur sebagai pejabat, jangan letakkan televisyen atau radio serta jangan letakkan jam dinding.
Semua itu boleh mengganggu tidur dan secara tidak langsung akan menjadikan tidur tidak berkualiti.
Berbicara mengenai gabungan bantal dan tilam, jelas Julian, kedua-duanya mampu menjadikan malam masa yang ditunggu-tunggu.
Kedua-duanya juga merupakan salah satu kelengkapan paling penting yang sering diabaikan untuk mendapat tidur berkualiti.
Hakikatnya, ramai antara kita mengambil mudah tentang kualiti bantal dan tilam serta tidak sanggup melabur bagi memperoleh sesuatu yang penting dalam hidup kita.
Akibat penggunaan bantal dan tilam yang tidak berkualiti, rungutan seperti tidur tidak nyenyak, badan terasa letih dan sakit tulang belakang sering kedengaran.
Memang diakui, tidur yang terganggu boleh memberi pengaruh besar kepada aktiviti seharian.
''Untuk mendapat tidur yang lena, pilihlah tilam dan bantal yang dapat memberi keselesaan dan sokongan pada leher serta tulang belakang.
''Bantal dan tilam sepatutnya tidak terlalu keras atau lembut kerana sekiranya keras atau lembut ia boleh mencederakan leher serta belakang anda.
''Satu cara yang baik untuk merangsang tidur adalah menukar cadar baru selain memastikan bilik tidur cantik kemas dan bersih,'' katanya lagi.
Bagaimanapun Julian turut menasihati orang ramai agar mengelak minum kopi atau sebarang minuman yang mengandungi kafein dan pastikan perut tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang sebelum tidur.
Ia adalah untuk mengelakkan anda daripada berjaga sepanjang malam.