Ab. Halim, Ketua Pilihan Raya Pas DUN Galas
GOMBAK 3 Okt. - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ab. Halim Ab. Rahman hari ini dipilih sebagai Ketua Pilihan Raya Pas untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat kepimpinan tertinggi Pas Pusat petang ini turut menetapkan komitmen bertanding di DUN Galas bagi mengekalkan kerusi yang disandang Allahyarham Chek Hashim Sulaima.
"Ab. Halim akan menjadi ketua di Galas untuk memimpin jentera parti dan insya-Allah, Pas boleh menang dengan bantuan ahli-ahli parti dari kawasan lain di Kelantan dan seluruh negara.
"Selain ketua pilihan raya dan komitmen Pas untuk mempertahankan kerusi DUN Galas, kami belum dapat menetapkan calon yang akan bertanding buat masa ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Pas Pusat di sini, hari ini.
Ditanya mengenai cadangan mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di DUN Galas, Abdul Hadi berkata, beliau bersependapat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggapnya satu tindakan yang tidak wajar.
"Tindakan ini seperti satu gejala dalam UMNO untuk merendah dan mencantas (individu tertentu) yang hanya memberi peluang kepada rakyat, terutamanya di Galas untuk tidak memberi kepercayaan kepada parti itu lagi kelak," katanya.