Sunday, April 03, 2011

Puduraya naik taraf setanding TBS-BTS

Puduraya naik taraf setanding TBS-BTS


WAJAH BARU. Hentian Puduraya akan beroperasi semula pada 16 April ini.


PUTRAJAYA – Hentian Puduraya yang akan beroperasi semula pada 16 April ini setanding dengan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Hentian Puduraya yang sedang dinaik taraf bakal memiliki pelbagai kemudahan seperti yang ada di TBS-BTS.
“Saya tidak kata Hentian Puduraya seperti lapangan terbang tetapi apa yang saya boleh jangka ia akan setanding dengan TBS-BTS,” katanya selepas majlis Pelepasan Inter Alumni Treasure Hunt anjuran Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) di sini semalam.
Kosmo! pada 2 Januari lalu melaporkan TBS-BTS disifatkan seperti terminal lapangan terbang kerana menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kelas pertama.
Raja Nong Chik berkata, meskipun kemudahan di Hentian Puduraya tidak 100 peratus seperti TBS-BTS, ia mampu memberi keselesaan tambahan kepada orang ramai.