Sunday, April 03, 2011

Hamilton laung amaran

Hamilton laung amaran

LONDON - Lewis Hamilton sekali lagi melaungkan amaran dalam misi merampas gelaran juara dunia perlumbaan kereta Formula Satu (F1) musim ini.
Pemandu McLaren itu memberi peringatan kepada juara dunia 2010, Sebastian Vettel agar jangan mudah berasa 'selesa' selepas saingan musim 2011 ini telah pun membuka tirainya.
Begitupun, pemandu Britain yang menjuarai gelaran dunia 2008 itu mengakui pasukannya, McLaren mungkin terpaksa menanti sehingga beberapa perlumbaan lagi sebelum dapat menyaingi kepantasan jentera juara dunia dari pasukan Red Bull itu.
Vettel, 23, menjuarai saingan pembuka musim Grand Prix (GP) Australia minggu lepas, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pemandu yang perlu dikalahkan musim ini.
Menjelang GP Malaysia hujung minggu depan, Hamilton berkata: "Saya rasa saingan di Sepang akan bertambah sengit, namun seperti biasa saya meramalkan Red Bull akan mendominasi perlumbaan sekali lagi.
"Jentera mereka sangat pantas, jadi sukar untuk mengejar kedudukan Sebastian, tetapi saya yakin jentera kami pun cukup kompetitif dan mampu memperbaiki jurang masa dengan mereka dalam masa terdekat."
Hamilton menduduki tempat kedua di belakang Vettel pada perlumbaan di Melbourne di mana McLaren dikatakan meniru sistem ekzos Red Bull.
Situasi ini menguatkan lagi keyakinan Hamilton bahawa McLaren mampu menyaingi Red Bull musim ini, sekali gus merealisasikan misinya merampas kejuaraan dunia daripada Vettel.
"Saya tidak peduli apa mereka (Red Bull) kata, dalam perlumbaan pelbagai peningkatan boleh dilakukan walaupun ia dianggap seperti kami meniru mereka.
"Tetapi, saya ingatkan mereka bahawa kami semakin hampir mengejar kepantasan mereka dan sebaik saja kami berjaya membuat peningkatan yang diperlukan, gelaran dunia akan menjadi genggaman saya," kata Hamilton. - Agensi