Sunday, April 03, 2011

Mancini bimbang disingkir

Mancini bimbang disingkir

NASIB Mancini di Eastlands dikatakan bergantung dengan keputusan yang dicapai oleh City musim ini.


LONDON - Roberto Mancini tidak pasti sama ada tugasnya sebagai pengurus di Manchester City masih selamat atau tidak sekiranya dia gagal menghadiahkan slot Liga Juara-Juara kepada kelab tersebut.
Slot ke kempen Eropah itu adalah syarat paling minimum yang ditetapkan oleh pemilik City, Khaldoon Al Mubarak selepas berbelanja besar membentuk skuad yang mampu memberi saingan dalam Liga Perdana England.
City kini menghuni tangga keempat, dengan kelebihan empat mata di hadapan pasukan yang menduduki tangga kelima, Tottenham.
Mancini berkata: "Saya masih ada kontrak tiga tahun. Saya tidak tahu sama ada kedudukan saya bergantung dengan misi untuk menduduki empat pasukan terbaik atau sebaliknya.
"Kami tidak mahu menamatkan saingan di tangga keempat, kami mahu memenangi tempat ketiga kalau boleh.
"Saya tidak tahu tentang masa depan saya ketika ini, seperti mana nasib yang dialami Craig Bellamy dan Emmanuel Adebayor.
"Kami ada ramai pemain yang dipinjamkan ke kelab lain dan akan pulang semula ke sini.
"Tetapi buat masa ini amat penting bagi kami mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Saya tidak pasti mengenai masa depan saya. Kamu tidak akan tahu tentang masa depan kerana semua benda boleh terjadi dalam kehidupan." - Agensi