Filem yang cukup ‘cun’
FILEM Cun menawarkan hiburan bergelak ketawa semata-mata. Biarpun lawak yang diketengahkan itu seperti biasa kedengaran dalam kehidupannya harian. Tapi kaedah penyampaian menyebabkan Cun kelihatan ‘cantik’ sekali.
Rentetan babak yang digarap kemas dan secara spontan kadang kala menyebabkan khalayak hanyut dalam cetusan yang disampaikan pemain.
Bermula dari awal filem ditayangkan sehingga saat akhir sejam setengah kemudian, setiap watak yang diperkenalkan mewujudkan perkaitan antara satu sama lain.
Mengemukakan plot cinta antara dua darjat sebagai ramuan utama, Cun menepati kebanyakan filem komersial yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pawagam. Maklumlah, ‘pelaris utama’ filem ini adalah Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Elai dan Ning Baizura yang punya kelompok peminat tersendiri.
Apabila seorang wanita yang punya karier stabil sebagai pengacara program sensasi, Meletops di bandar iaitu Luna, tiba-tiba jatuh cinta dengan pemuda kampung, Atan.
Semuanya berlaku selepas mengetahui kehidupan di kampung lebih tenang dan tidak bergelombang dengan penyakit hasad dengki.
Sementara Tom, pembantu Luna (lakonan Faezah Elai) yang kemudiannya berjaya menghidu kehadiran cinta antara Luna dan Maya. Biarpun sebelum ini dia turut menyimpan hati dengan Atan. Seperti yang berlaku dalam aliran filem komersial lain, Cun mencurahkan elemen humor yang memikat hati penonton hingga ke penghujung tayangan.
Apabila orang bandar seperti Luna berkelakuan seperti rusa masuk kampung, segala-galanya kekok sama ada ke sawah, mandi air telaga dan menggunakan tandas di luar rumah.
Begitu juga saat Luna berkomunikasi dengan Kembang, kerbau kesayangan Manis (lakonan Nadia Nissa). Manis adalah adik Atan yang merupakan gadis istimewa selepas kematian dua ibu bapanya.
Watak Tok Chah (Kartina Aziz) yang sangat menjaga hati ahli keluarganya juga tidak boleh diketepikan. Sebagai orang tua, dia cukup prihatin dengan masalah di kalangan ahli keluarganya.
Biarpun diserang dengan penerbit rancangan Meletops, Candy (Ning Baizura) yang tiba-tiba ingin ‘menculik’ Luna di kampung Tom.
Paparan sinematografi yang disampaikan dan jalinan tema sejagat menjadikan filem ini begitu senang untuk ditonton. Panorama di kampung yang serba hijau cukup menyegarkan. Ditambah pula bila melihat Kembang bermekap, memang mengundang hilai ketawa.
Bersesuaian dengan genre komedi romantik, Cun hadir sebagai sebuah filem sesuai untuk paparan sekeluarga. Itu juga harapan pengarah filemnya, Osman Ali berbanding dua filem yang pernah dihasilkan sebelum ini iaitu Anak Halal dan Puaka Tebing Biru.
‘‘Saya mahu Cun penuh dengan warna warni. Ada suka duka dan macam-macam perasaan di dalamnya. Sebab itu, setiap karektor yang diperkenalkan punya kekuatan masing-masing,’’ katanya.
Ditanya tentang cabaran ketika menyiapkan filem tersebut, anak kelahiran Langkawi, Kedah memberitahu dia berdepan dengan masalah menyesuaikan dengan suasana kampung.
Apabila ada adegan melibatkan komunikasi dengan Kembang dan masalah cuaca sewaktu penggambaran dijalankan.
Filem Cun berada di 51 pawagam termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei sejak 31 Mac lalu.