Balu tentera dapat rumah
![]() |
MOHD. Isa Jaafar (lima dari kiri) beramah mesra dengan Saliah Mohamed yang menerima rumah baru di Kampung Sungai Kelat, Muar, Johor, semalam. |
MUAR 2 April - Seramai 25 pegawai dan anggota tentera berganding bahu membina sebuah rumah untuk seorang balu tentera di Kampung Sungai Kelat, Sungai Balang, dekat sini sejak 21 Mac lalu.
Projek Jiwa Murni itu dijalankan untuk membantu Saliah Mohamed, 60, balu Allahyarham Lans Koperal Jaafar Mohamad yang meninggal dunia pada 2003. Saliah kini tinggal bersama anak dan cucunya.
Menurut Ketua Projek, Leftenan Wan Mohd. Hanafiah Wan Hassan, pegawai dan anggota yang terlibat dalam projek itu adalah daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja serta Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tujuh Briged Kem Mahkota Kluang.
"Rumah yang menelan belanja RM25,300 itu mula dibina 21 Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 April ini.
"Kesemua pegawai dan anggota yang terlibat mempunyai kemahiran masing-masing daripada tukang kayu, elektrik serta tukang paip dan kami menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti supaya penerima dapat menikmati kehidupan di rumah yang lebih selesa," katanya selepas majlis perasmian pembinaan rumah itu hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Dr. Robia Kosai yang turut dihadiri Timbalan Panglima Tujuh Briged, Kolonel Mohd. Isa Jaafar serta Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Sungai Balang, Mejar (B) Othman Ma'an.
Sementara itu, Saliah bersyukur atas keprihatinan pasukan keselamatan itu membantu ibu tunggal sepertinya untuk memiliki sebuah rumah yang selesa bersama keluarga.
"Saya gembira dan amat terharu. Sebenarnya saya tidak menyangka akan menerima rumah baru ini dan bersyukur kerana ia banyak meringankan beban keluarga kami," katanya yang tinggal di rumah yang sudah usang yang terletak berhampiran tapak rumah barunya.