PM yakin rampas Pulau Pinang

NAJIB (duduk tiga dari kanan) bersarapan dengan orang ramai semasa melawat Medan Selera Pasar Awam Tun Sardon di Gelugor, George Town semalam.
GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum akan datang berikutan terdapat angin perubahan yang berlaku di negeri itu.
Katanya, dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang semalam banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa dan mereka mahukan perubahan.
“Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan,” katanya selepas Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di sini.
Najib berkata, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku di bawah pentadbiran BN.
Katanya, selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan 19 dimiliki DAP, sembilan (Parti Keadilan Rakyat), satu (Pas) dan 11 (BN).