Perompak tembak lutut suami
![]() |
BERMULA dengan berniaga emas dari rumah ke rumah pada tahun 1980-an, Normawarni kini memiliki beberapa buah kedai emas di Alor Setar, Kedah. |
SEBUT sahaja kedai emas, ingatan penduduk di utara Semenanjung terutama di Kedah pasti tertancap pada tauke kedai emas, Normawarni Mahmud, 56, atau lebih dikenali sebagai ‘Cik Ani Kedai Emas’.
Begitulah sinonimnya emas dan Normawarni yang merupakan pemilik Kedai Emas Normawarni dan Keluarga di pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah.
Walaupun dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Normawarni mencipta nama di Kedah melalui perniagaan emas sejak tahun 1987. Pada masa itu, beliau baru berusia 32 tahun.
“Bukan mudah nak berjaya lebih-lebih lagi di negeri orang. Tetapi berkat usaha dan kesungguhan, impian saya untuk membuka kedai emas sendiri tercapai,” kata Normawarni yang kini mempunyai sembilan orang cucu.
Emas Kelantan
Kata beliau, selain kerja keras untuk mengembangkan perniagaan, beliau amat mementingkan kualiti dan rekaan barang kemas supaya sentiasa menepati selera pelanggan.
“Boleh dikatakan barang kemas di kedai saya selari dengan perkembangan rekaan tukang emas di Kelantan,” ujarnya.
Menurutnya, barang kemas Kelantan diminati ramai kerana hasil pertukangannya halus selain mempunyai rekaan yang mengikut trend semasa.
“Ada orang kata kualiti emas Kelantan lebih bagus tetapi bagi saya sama sahaja kerana kualiti emas ini bergantung kepada jenis emas sama ada ia daripada jenis 916, 999 atau 750.
“Tidak kiralah emas itu datang dari mana sekali pun kerana kualitinya bergantung pada jenis emas, cuma buatan dan corak barang kemas membezakannya,” jelasnya.
Kata beliau, harga emas semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kini harganya sekitar RM153 segram berbanding RM35 pada awal 1980-an.
Ujar Normawarni, beliau telah didedahkan dengan perniagaan emas sejak berusia lingkungan 20-an lagi memandangkan ibunya juga menjalankan perniagaan barang kemas dari rumah ke rumah.

REKAAN emas Mawarni banyak dihasilkan tukang emas dari negeri Kelantan.
Menurut Normawarni, perniagaan emas dari rumah ke rumah sudah dimulakannya pada awal tahun 1980-an iaitu semasa suaminya menjadi Pegawai Daerah Maran, Pahang.
“Selepas berpindah ke Alor Setar, saya masih berniaga emas dari rumah ke rumah dari pagi hingga lewat petang. Mungkin terasa penat ke hulu dan ke hilir, timbullah keinginan untuk membuka kedai emas pula,” jelasnya.
Selain itu katanya, faktor keselamatan semasa menjual barang kemas dari rumah ke rumah juga menjadi antara sebab beliau terfikir untuk mencari premis perniagaan.
“Dulu saya keluar berniaga berseorangan dan terpaksa meninggalkan anak dengan pembantu rumah.
“Memang rasa takut kerana ada risiko dirompak atau diragut di tengah jalan tetapi kebiasaannya saya bawa barang kemas dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.
Ujarnya, peniaga barang kemas dari rumah ke rumah sudah berkurangan pada masa kini dan mungkin tiada langsung memandangkan banyak kedai emas dibuka di merata tempat.
Normawarni membuka kedai emas pertama di Wisma PKNK, Alor Setar pada tahun 1987. Beliau menyifatkan sambutan yang diterima daripada orang Kedah sangat bagus.
“Ia mungkin disebabkan kualiti emas 916 dan rekaan terkini barang kemas yang kami bawa terus dari Kelantan.
“Ketika itu, orang Kedah baru kenal dengan emas Kelantan. Apatah lagi emas yang banyak di pasaran pada masa itu adalah daripada jenis paun dan cepat pudar,” jelasnya yang berpindah ke premis yang lebih strategik iaitu di pusat beli-belah City Point, Alor Setar, dua tahun kemudian.
Dirompak
Normawarni merupakan wanita bumiputera pertama membuka kedai emas di dalam pusat beli-belah di Kedah.
Selepas 13 tahun berniaga emas di Negeri Jelapang Padi, banyak dugaan yang telah ditempuhinya. Kedai emas beliau pernah dirompak sebanyak dua kali masing-masing pada tahun 2000 dan 2003.
Musibah pertama berlaku apabila kedai emasnya dirompak empat penjenayah bertopeng dan bersenjatakan pistol pada tahun 2000 menyebabkannya kerugian kira-kira RM800,000.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, beliau, suami dan beberapa pekerja baru membuka kedai emas sebelum empat lelaki bertopeng meluru masuk dengan pistol sambil mengarahkan mereka supaya tidak menjerit atau melawan.
“Penjenayah suruh kami diam dan saya yang berada di kaunter hanya tunduk dan membiarkan penjenayah mengambil barang kemas kerana takut ditembak.
![]() |
MAWARNI terpilih sebagai salah seorang finalis Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2009. |
“Dalam masa kurang seminit, penjenayah melarikan diri dengan sejumlah barang kemas. Suami saya yang sempat membaling kerusi kepada salah seorang penjenayah telah ditembak di bahagian lutut,” ceritanya.
Katanya, mujur suaminya hanya terkena satu daripada lima das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit.
“Walaupun trauma, saya kuatkan semangat dan hanya tutup kedai sehari kerana tidak mahu pelanggan yang mahu membeli barang kecewa,” katanya sambil memberitahu perompak itu masih bebas sehingga hari ini.
Kosong
Ekoran kejadian itu, beliau membuka sebuah lagi kedai emas di Star Parade, Alor Setar selepas menyedari keperluan adanya satu lagi premis sekiranya satu ditutup akibat masalah tertentu.
Kata Normawarni, belum hilang perasaan trauma akibat dirompak, satu lagi musibah berlaku tiga tahun kemudian apabila kedainya dipecah masuk, dipercayai angkara orang dalam melibatkan kerugian RM1 juta
“Kejadian kali kedua ini meninggalkan kesan paling teruk kerana ia melibatkan kerugian paling banyak. Hampir kesemua perhiasan emas di dalam kedai lesap dilarikan penjenayah,” ujarnya.
Tidak berhenti setakat itu, musibah melanda lagi apabila seorang pekerjanya mencuri barang kemas bernilai lebih RM50,000.
“Namun, semua kejadian itu tidak pernah menyebabkan saya patah hati untuk berniaga lagi,” katanya.
Ditanya tentang kualiti emas sekarang yang dikatakan kosong berbanding emas dahulu yang lebih padu dan berat, menurut beliau, tukang emas terpaksa menghasilkan perhiasan emas seperti itu kerana harga emas yang kian meningkat.
“Barang kemas sekarang ringan dan kosong kerana ada pelanggan yang mahu gelang besar dengan harga murah, jadi tukang emas terpaksa kurangkan berat emas untuk hasilkan sesuatu perhiasan yang besar,” jelasnya yang bergerak setapak lagi dengan menjalankan perniagaan tudung, pakaian dan aksesori wanita menerusi Zinni Group Sdn. Bhd. pada tahun 1998.
Tidak sekadar memiliki beberapa premis jualan di Alor Setar dan Sungai Petani, Zinni Group juga mempunyai sebuah kilang membuat tudung di Batu 2, Jalan Langgar, Alor Setar yang mampu mengeluarkan lebih 250 helai tudung sehari.
Melihat kepada jatuh bangun insan bernama Normawarni, tidak hairanlah beliau terpilih sebagai salah seorang finalis dalam Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan (NWEA) 2009.
Selain itu, dua premisnya iaitu Zinni Wholesale and Retail dan Kedai Emas Normawarni mendapat Anugerah Harga Patut pada tahun 2007 dan 2008.