Sunday, April 03, 2011

Import telur burung Indonesia

Import telur burung Indonesia




DARI jauh, bangunan seperti kotak setinggi tiga tingkat itu begitu menarik perhatian sementelah ia dicat warna putih dan tersergam di kawasan lapang di Kulim, Kedah. Sesekali terdengar suara kicauan burung memecah kesunyian di sekitarnya.
Sebaik sahaja memasuki bangunan seluas 1,200 meter persegi itu, mata tertancap pada banyak pasangan burung walit berwarna hitam pekat yang sedang mengerjakan sesuatu.
Pasangan burung itu duduk rapat-rapat sehingga bahu berlaga bahu manakala dada mereka tersandar pada tiang kayu.
Kepala mereka yang kecil pula digerakkan ke kiri dan ke kanan seperti orang sedang bertahlil.
“Burung walit jantan dan betina itu sepakat membuat sarang sebagai persediaan untuk bertelur dan menetaskan anak.
“Bahu mereka tersandar pada kayu kerana burung walit tidak memiliki kaki yang kuat untuk menampung berat badan mereka.
Air liur
“Burung ini membuat sarang dengan mengeluarkan air liur sambil mengerakkan kepala ke kiri dan ke kanan sehingga membentuk sarang yang seakan-akan sampan,” cerita Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan Aeroswift, Hazellina Ismail, 43.
Difahamkan, pasangan burung walit akan mengambil masa selama 40 hingga 42 hari untuk menyiapkan sarang mereka.
Aeroswift menurut Hazellina merupakan sebuah syarikat bumiputera yang terlibat dalam penternakan dan pengeluaran produk burung walit secara intensif di negara ini sejak tahun 2005.

SARANG burung walit dipercayai memiliki banyak kebaikan untuk kesihatan manusia.


Wanita itu juga memberitahu, fasiliti yang perlu diadakan untuk teknologi terbaru pembiakan burung walit termasuklah penggunaan sistem inkubator untuk penetasan telur, penyediaan makanan iaitu serangga kepada burung walit dan sistem bersangkar.
Ditanya kenapa beliau memilih bidang tersebut sementelah ia sering dimonopoli kaum lelaki, graduan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau sememangnya wanita yang sukakan cabaran.
“Saya suka mencuba sesuatu yang baru terutama pekerjaan yang tidak ramai wanita terlibat. Lebih-lebih lagi bidang ini sering dimonopoli oleh kaum Cina.
“Disebabkan itu, saya ingin membuktikan kaum bumiputera juga mampu berjaya dalam bidang ini,” katanya yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang burung walit.
Hazellina juga terlibat dalam bidang ini atas faktor suaminya, Khairil Sani Wong Abdullah.
“Keluarga suami memang mengusahakan perniagaan sarang burung walit sejak tiga generasi yang lalu.
“Selepas berkahwin, secara tidak langsung saya turut terlibat apatah lagi pulangannya lumayan.
“Ia merupakan perniagaan yang istimewa,” katanya yang telah berkahwin selama 19 tahun dengan Khairil yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeroswift.
Menurut Hazellina, sebelum ini perniagaan burung walit milik keluarga suaminya hanya dibuat secara kecil-kecilan.
Lama-kelamaan, perniagaan tersebut semakin maju sehinggakan hasil sarang burung itu dieksport ke negara seperti China.
Pada tahun 2005, Hazellina dan Khairil merancang untuk menubuhkan Aeroswift iaitu syarikat yang memfokuskan hasil jualan sarang burung walit.
Anak walit
Walaupun enggan mendedahkan kos sebenar projek sarang burung tersebut, Hazellina memberitahu projek burung walit itu mempunyai fasiliti yang serba lengkap.
LEBIH 1,000 biji telur sedang menunggu giliran untuk ditetaskan.


Menyentuh keistimewaan burung walit, Hazellina memberitahu, air liur burung tersebut sangat istimewa kerana ia akan mengeras sebaik sahaja terdedah kepada udara.
“Malah, sarang yang terhasil melalui air liurnya mampu memberi pelbagai khasiat kepada manusia,” katanya.
Dalam setahun, seekor burung walit betina boleh bertelur sebanyak tiga kali dengan menghasilkan dua atau tiga biji telur pada setiap kali bertelur.
“Anak burung walit yang baru menetas masih buta pada 20 hari pertama namun mereka sudah boleh makan serangga pada umur tujuh hingga sembilan hari.
“Anak burung walit hanya berukuran lebih kurang dua sentimeter dan mempunyai kulit yang begitu nipis.
“Sehinggakan kalau kita lihat mereka makan, gumpalan serangga tersebut akan kelihatan di kerongkong anak burung walit tersebut,” cerita Hazellina.
Hazellina berkata, pada hari kesepuluh tompok-tompok kehitaman mula tumbuh pada kulit anak walit.
“Penjagaan anak walit sama seperti menjaga seorang bayi. Pekerja rumah burung Aeroswift di Kulim misalnya perlu mensteril terlebih dahulu makanan anak burung selain menggunakan sarung tangan semasa member makan,” kata Hazellina sambil memberitahu, sehingga hujung minggu ini terdapat lebih 300 ekor anak burung walit di Aeroswift dan lebih kurang 1,000 biji telur walit sedang dalam proses pengeraman.
Ujarnya, proses pengeraman itu adalah satu proses yang berterusan dan beliau menyasarkan sebanyak 3,000 ekor burung walit akan berada di Aeroswift.
Mempunyai sarang berwarna kuning keemasan, Hazellina berkata, sarang burung daripada keluarga Aerodramus itu dipercayai mempunyai khasiat kesihatan yang tinggi.
Mengupas lebih lanjut, Hazellina berkata, burung yang berukuran 15 sm itu bersifat pembersih dan tidak akan membuang najis di dalam sarang.
Sarang
Sarang burung dikatakan lebih banyak khasiatnya jika burung tersebut sihat dan memakan serangga yang tidak tercemar. Sarang burung walit mengandungi enzim yang tinggi dan boleh meningkatkan daya tahan terhadap penyakit.

PUSAT pemeliharaan burung walit di Kulim Kedah ini menjadi peneraju konsep penternakan burung walit secara intensif di Malaysia.


“Sarang burung ini juga sangat kaya dengan asid sialik yang banyak membantu perkembangan neurologi dan daya intelek bayi.
“Zat kolagennya juga dapat melancarkan pembuluh darah, meningkatkan selera makan serta memperbaiki saluran pencernaan.
“Selain itu, pengambilan sarang burung walit oleh wanita hamil mampu mengurangkan rasa sakit ketika bersalin, memperkuat paru-paru bayi yang dikandung serta mempercepatkan proses penyembuhan selepas bersalin,” ujarnya.
Sebelum ini, sarang burung walit sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Cina.
Sarang burung itu mula ditemui di Gua Niah, Sarawak pada tahun 1878 sebelum diusahakan secara besar-besaran dengan memberi keuntungan yang tinggi.
Tidak keterlaluan jika digelarkan sebagai ratu burung walit, Hazellina memberitahu, habitat sarang burung walit hanya terdapat di Asia Tenggara. Ia paling banyak ditemui di Indonesia iaitu sebanyak 60 peratus, diikuti Thailand (20 peratus) dan Malaysia hanya tujuh peratus sahaja.
“Indonesia terlebih dahulu telah memasuki industri ini sejak sekian lama dan memang kami mempunyai jaringan di sana untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.
“Memang pihak pengurusan pernah menghantar wakil kami ke sana untuk meninjau perkembangan industri ini di sana,” kata Hazellina lagi.