Sunday, April 03, 2011

Nora selesa bertudung

Nora selesa bertudung

NORA selesa dengan imej bertudung dan sopan.


HATI wanitanya tersentuh tatkala masyarakat mempertikaikan tentang pemakaian hijab di kepalanya. Terutama selepas siaran ulangan rancangan bual bicara Kongsi Rasa, Kongsi Rahsia di siaran TV9 baru-baru ini.

Semasa rancangan yang telah dirakam sekitar tahun 2006-2007, Nora belum lagi bertudung.

Segalanya berpunca dari perkataan ‘siaran langsung’ yang masih tertera di tepi kaca televisyen. Walaupun siaran ulangan, hakikatnya Nora tetap menerima kesan buruk selepas rancangan itu diulang siar.

‘‘Ada orang menghampiri saya dan mengeluarkan kata-kata kurang manis seolah-olah saya tak serius memakai tudung. Saya jadi tak sedap hati.

‘‘Saya nak jelaskan sebenarnya saya mula memakai tudung pada 2008. Sewaktu program itu berjalan, saya masih belum bertudung,’’ jelasnya.

Nora mengakui meminta kerjasama pihak stesen televisyen tidak menyiarkan ulangan program itu tetapi belum ada sebarang tindakan.

Bagaimanapun, lembaran sedih itu bertukar teruja saat ditanya bagaimana Nora terbuka hati untuk memakai jilbab. Wanita ini menerangkan bahawa niat untuk tujuan tersebut sudah lama ada.

Namun, hatinya sering bercampur aduk. Banyak perkara yang perlu difikirkan kerana Nora tak mahu dikata hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya, tarikh 26 Julai 2008, termakbul juga niat murninya itu.

‘‘Melihat anak-anak membesar membuatkan saya sering terfikir, adakah saya contoh terbaik kepada mereka. Saya perlu berhijrah. Jadi buat permulaan, langkah bertudung ini mampu menjadikan saya lebih insaf terhadap diri sendiri.

‘‘Saya juga yakin, Allah akan membantu hamba-Nya yang ingin dekat bersama-Nya. Itu sudah pasti. Saya bertuah kerana suami (Johan Nawawi) turut menyokong niat murni saya,’’ katanya tersenyum riang.

Dalam imej yang lebih sopan, rezeki Nora tidak berkurang. Malah penyanyi yang diiktiraf sebagai antara wanita bervokal mantap ini melahirkan rasa syukur kerana namanya kekal dalam persada nyanyian.

Ini bermakna, bertudung tidak pernah menyekat ruang dan peluang Nora untuk terus meraih rezeki dalam bidang seni suara yang selama ini menjadi sumber pendapatan utamanya.