Sunday, April 03, 2011

Bunuh jiran, warga emas dihukum digantung sampai mati

03/04/2011 1:07pm

ALOR SETAR 3 April – Pertelingkahan dua jiran kira-kira tujuh tahun lalu berakhir hukuman gantung sampai mati seorang warga emas kerana membunuh jirannya dengan sebilah pisau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani A. Rahim hari ini menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Lee Chin Hua, 68, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ketika memberi keterangan membela diri sebelum ini.

Tertuduh yang berbaju T dan berseluar putih dilihat tenang sebaik mendengar hukuman tersebut dibacakan.

Zamani dalam penghakiman lisannya berkata, keterangan tertuduh ketika membela diri termasuk tujuh saksi jelas bercanggah dengan keterangan saksi-saksi pendakwa dan bahan bukti dalam kes tersebut.

Beliau antaranya menolak keterangan Chin Hua mengatakan bahawa dia menggunakan pisau tersebut untuk mempertahankan diri daripada dicederakan oleh si mati namun tiada laporan kecederaan ke atasnya.

''Keterangan saksi mengatakan bahawa tertuduh mengeluarkan sebilah pisau yang tersemat di dalam bajunya dan kata-kata, 'Kau mesti mati hari ini' jelas membuktikan tertuduh berniat untuk membunuh si mati,'' kata Zamani.

Chin Hua, disabitkan kesalahan membunuh Loh Futt Keong, 25, seorang peniaga di rumah bernombor 340, Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 21 November 2004.

Dalam pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. - Utusan