Sunday, April 17, 2011

Fatine masih Islam




SAAT bahagia Fatine bersama suami, Ian Young berakhir baru-baru ini angkara orang ketiga.


KISAH anak Melayu ini pernah menggemparkan negara selepas dia nekad berhijrah ke Britain dan berkahwin dengan lelaki pilihannya di sana.
Apa yang membuatkan kisahnya menarik ialah nama asalnya Mohd. Fadzil Min Bahari sebelum ditukar kepada Fatine Young. Fatine dikatakan menjalani pembedahan menukar jantina semasa di sana.
Awal minggu ini, nama mak nyah kelahiran Kuala Lumpur ini disebut-sebut lagi dalam media tempatan, di Malaysia mahupun Britain.
Menurut laporan Daily Mail, Fatine, 38, kini telah meninggalkan suaminya, Ian James Young, 32, selepas dua minggu lelaki Inggeris itu bersusah payah mendapatkan hak untuk Fatine menetap di Britain.
“Isteri saya meninggalkan saya tanpa alasan selepas saya membelanjakan 12,000 pound sterling (RM59,061) bagi membantunya mendapatkan visa,” kata Ian.
Untuk mengetahui kesahihan berita tersebut, Jurnal menghubungi Fatine, Rabu lalu.
“Media di sini (Britain) banyak memutarbelitkan cerita. Malah ada pembohongan yang tidak masuk akal dilaporkan.
Halau
“Saya tidak pernah menyisihkan Ian, sebaliknya dia yang curang dan tak mengendahkan kebajikan saya.
“Makan minum saya pun dia tak ambil tahu. Cerita dalam akhbar itu tak betul dan berat sebelah,” ujar Fatine menerusi perbualan di Facebook.
Menceritakan kehidupan rumah tangganya, Fatine memberitahu, perkongsian hidup dengan Ian tidak seindah seperti yang orang sangka.
Cerita Fatine menjadi kontroversi setelah dia mengaku berkahwin dengan Ian yang juga pemilik sebuah syarikat penyelenggaraan hartanah di Britain dalam satu majlis sivil di Pejabat Pendaftar Derby pada Jun 2009.
Pada awal perkahwinan, pasangan homoseksual ini hidup bahagia namun menurut Fatine, lama-kelamaan Ian mula berubah lebih-lebih lagi selepas suaminya itu menjalin hubungan sulit dengan seorang perempuan lain.
“Ini bukan andaian atau spekulasi, saya sendiri tangkap mereka berdua di dalam rumah saya. Banyak kali dia halau saya dari rumah bila saya ungkit hubungannya dengan perempuan itu.
“Bayangkanlah betapa remuknya hati saya. Sudahlah nasib terkontang-kanting, kena halau pula dari rumah.
“Makan minum pun tak terjaga, kadang-kadang makan kadang-kadang tak. Bukan saya seorang yang tak makan, binatang peliharaan dia pun kelaparan sama.
“Kawan-kawan Melayu yang tinggal dekat Derby banyak membantu termasuk memberi saya makanan,” jelas Fatine yang bergaduh besar setiap kali soal orang ketiga dibangkitkan.
Sejurus perang mulut antara mereka malam itu, Ian keluar dari rumah. Kejadian itu membuatkan Fatine terfikir tiada gunanya lagi dia meneruskan perkahwinan itu.
“Keesokannya, saya pergi ke rumah ibu mertua dan menghantarkan anjing Ian. Sekurang-kurangnya ia ada tempat yang lebih selamat. Dua batu saya berjalan kaki kerana tidak ada duit walaupun sesen untuk menaiki teksi atau bas.
“Sampai di sana, saya cuba mengadu kepada ibu mertua tetapi dia macam tak mahu layan saya.
“Saya faham kerana macam mana keadaannya pun, ibu bapa pasti mahu menyebelahi anak mereka. Dan kerana itu, saya rasa itulah penamat hubungan kami,” cerita Fatine yang belum bercerai secara rasmi dengan Ian.
Selepas keluar dari rumah, Fatine menumpang di rumah kawan Melayunya di Woodville selama dua minggu sebelum datang ke Blackpool untuk memulakan hidup baru.
Cara hidup
“Sekarang saya tinggal bersama kawan dan masih mencari kerja tetap. Pada masa yang sama, saya menyediakan perkhidmatan mekap sebagai kerja sambilan tapi tidak banyak mendapat pelanggan.
“Selain itu, saya bekerja mencuci rumah orang dua kali dalam seminggu.
“Tak mengapalah, walaupun tak glamor janji ada rezeki,” ujarnya yang mendakwa ada menelefon ibunya di Kuala Lumpur sekali-sekala untuk bertanya khabar.
Kesal dengan laporan akhbar, Fatine tampil menyatakan kebenaran.
“Banyak akhbar, majalah dan televisyen di England menghubungi saya dan mahu saya membuat pengakuan. Malah banyak wang ditawarkan untuk cerita saya, maklumlah dekat sini ia sudah jadi isu hangat hingga menjadi topik perbualan di BBC Radio.
“Kalau ikutkan hati, saya nak ceritakan segala keburukan Ian seperti apa yang dia buat pada saya. Tapi atas nasihat pihak tertentu, saya tidak jadi membuat kenyataan media di sini.
“Saya bukan hendak tegakkan benang yang basah tetapi apa yang salah, sewajarnya diperbetulkan.
“Setakat ini semua akhbar di Britain melaporkan cerita dari sebelah pihak dan semua cerita itu pula telah diputarbelitkan.
“Misalnya, kos visa tak sampai 12,000 pound dan kami hanya memohon visa tiga kali, bukan lima kali seperti yang Ian dakwa.
“Selain itu, saya masih berhutang dengan peguam yang menguruskan hal visa saya.
“Daily Mail ada menyatakan yang saya sekarang tinggal di Manchester dan hidup atas elaun kerajaan. Itu sama sekali tidak betul.
“Saya masih tinggal di Blackpool, bagaimana saya boleh menuntut faedah penganggur di Manchester? Ia sama sekali tak masuk akal,” jelasnya yang percaya suaminya itu bercerita kepada media kerana wang.
Biarpun perasaannya tertekan, Fatine sedar dia tidak boleh cepat mengalah. Baginya, hidup perlu diteruskan.
“Saya tahu Ian menderita tetapi saya juga begitu. Saya berkorban segalanya hingga menjadi pelarian di negara asing. Selama ini saya berdiam diri sahaja.
“Saya juga tahu ramai yang mempertikaikan cara hidup dan agama saya.
“Saya ingin tegaskan saya masih lagi seorang Islam. Saya tidak menyesal dengan apa yang terjadi. Ini semua adalah lumrah kehidupan dan merupakan pengalaman hidup yang perlu kita pelajari sesuatu daripadanya.
“Tuhan masih sayangkan saya. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini,” Fatine mengakhiri perbualan yang berlangsung selama dua jam itu.