Sunday, April 17, 2011

Kuarters kolonial terakhir



KUARTERS Jalan Cochrane merupakan kediaman kakitangan kerajaan gaya kolonial terakhir di Kuala Lumpur.


BAU sejarah masih dapat dihidu tatkala menyusuri Jalan Cochrane, Kuala Lumpur walaupun persekitarannya sedang pesat membangun.
Jika melalui jujukan bangunan dari Jalan Jejaka langsung ke Jalan Cochrane, sebelah kiri bahu jalannya masih tersergam utuh deretan rumah teres setingkat dan dua tingkat sehingga ke penghujung jalan.
Reka bentuk yang bercirikan bangunan kolonial ini kebanyakannya masih dipulihara oleh penghuni yang mendiaminya sejak Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan lagi.
Warna cat pada rumah dua tingkat hampir keseluruhannya berwarna kusam merah jambu dan di beberapa tiang pemisah
di antara premis pula disuntik sedikit warna garang bagi menampakkan jurang dan pembahagian ruang.
Unik
Namun, serakan warna pada rumah teres setingkatnya mengekalkan warna krim dan pada bingkai kayu yang melapik atap genting pula dilawan dengan paduan warna gelap seakan-akan hitam.
Ruang meletak kenderaan di setiap rumah yang dibina sejak tahun 1933 di kawasan ini ditambah untuk memudahkan penduduk meletakkan kenderaan seiring dengan peredaran masa.
Mengelilingi setiap premis, pagar dan pintu pagar besi dikekalkan mungkin untuk mencetuskan elemen nostalgia seperti berada di kawasan kampung di samping mengelakkan kecurian memandangkan lokasinya yang amat dekat dengan jalan utama.
Kebanyakan lantai rumah pula menggunakan material simen lama yang utuh struktur dan campurannya.

KEBANYAKAN rumah tidak lagi berpenghuni menjelang tarikh akhir mereka perlu berpindah hari ini.


Bagaimanapun bahagian atas rumah dua tingkat di sini menggunakan material kayu, yang dipilih sejajar dengan kekuatan dan jisimnya yang ringan berbanding simen.
Menjengah ke ruang dalaman setiap rumah, perbezaan akan dapat dilihat dari segi rekaan dan susunan bilik berdasarkan ciri rumah itu sendiri.
Jika rumah setingkat di Jalan Cochrane menempatkan tiga buah bilik, unit dua tingkatnya juga menerapkan bilangan bilik yang sama.
Cuma yang membezakan kedua-dua premis ini adalah saiznya yang disesuaikan mengikut bilangan ahli keluarga yang mendiami.
Reka bentuk dalaman pula ada keunikan tersendiri. Berhampiran ketiga-tiga bilik dalam susunan sederet rumah setingkat, terdapat bongkah simen yang didirikan semeter tingginya.
Ruang tandas dan bilik mandi pula dipisahkan oleh dua pintu berasingan namun dalam jarak bersebelahan.
Bagi rumah dua tingkat pula, ruang bawah hanya menempatkan ruang utama dan dapur manakala ketiga-tiga biliknya terletak di ruang sebelah atas.
Menariknya, bilik pertama dibina pada pertengahan struktur dua tingkat ini dan untuk pergi ke dua bilik seterusnya perlu menggunakan tangga lain.
Lubang angin
Salah satu bilik di bahagian atas disediakan almari pakaian tetap. Walau kecil namun mencirikan variasi fungsi.
Dinding yang memisahkan kedua-dua bilik utama tingkat atas pula mempunyai ruang pengudaraan yang mencukupi bukan sahaja atas tetapi juga di bahagian bawah dinding.
Tinjauan kru Jurnal ke kawasan terbabit mendapati kebanyakan penghuni telah meninggalkan kuarters untuk meneruskan kelangsungan hidup di kawasan baru di Putrajaya, Petaling Jaya, Jalan Duta, Jalan U-Thant serta beberapa kawasan lain di sekitar Kuala Lumpur.

AURA tahun 1933 iaitu semasa kuarters ini mula dibina terpancar pada bangunan ini.


Menurut Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad, penduduk juga boleh memohon rumah sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kampung Muhibah di Jalan Puchong.
Bilik Gerakan Penyelarasan Perpindahan Penghuni Kuarters Jalan Cochrane turut disediakan pihaknya bagi memudahkan urusan penghuni di kira-kira 538 unit kediaman kuarters kerajaan itu.
“Tapak kuarters kerajaan Jalan Cochrane akan dibangunkan semula untuk pembinaan kuarters kerajaan jenis apartmen setinggi antara 15 hingga 20 tingkat,” katanya.
Ujarnya, projek itu melibatkan kos RM220 juta dan akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Ia dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
Tambahnya lagi, pembinaan kuarters baru di Jalan Cochrane itu perlu dilaksanakan bertujuan menampung lebih ramai kakitangan awam di sekitar ibu negara.
“Apabila siap kelak, kuarters baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan juga stesen sistem transit aliran massa (MRT) yang dicadangkan dibina di kawasan tersebut,” jelasnya.
Pengarah Bahagian Warisan Seni Budaya, Jabatan Warisan Negara, Siri Neng Buah pula tidak memandang penggantian kawasan kediaman ini sebagai pemusnahan khazanah dan warisan kebangsaan.
“Usia belum cukup untuk membuktikan kuarters ini adalah warisan kebangsaan berdasarkan ciri-ciri utama seperti nilai estetika yang mempunyai kepentingan dan hubungan dengan sejarah Malaysia.
“Selain itu, kuarters ini juga tidak mempunyai hubungan sosial atau kebudayaan masyarakat setempat,” katanya.
Tambahnya, yang berpandukan Akta Warisan Kebangsaan 2005, sesebuah bangunan atau premis yang ingin layak diiktiraf sebagai warisan kebangsaan perlu berpotensi mendidik masyarakat.
“Bangunan warisan kebangsaan harus mempunyai kepentingan dalam mempamerkan kekayaan, kepelbagaian atau integrasi bentuk yang luar biasa,” ujarnya sambil memberikan contoh bangunan ibadat Jalan Harmoni, Melaka.