MUAR 16 April - Seorang pemandu treler maut selepas kepalanya tersepit antara kenderaannya itu dan sebuah lori tanah yang baru dinaikkan di sebuah tapak pembinaan berhampiran Laluan Pintas Muar, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, mangsa, Yeo Chuan Kuan, 32, sedang bekerja seorang diri bagi menaikkan lori tanah di atas treler berkenaan.
Namun difahamkan semasa Chuan Kuan berada di belakang lori tanah tersebut, kenderaan itu tiba-tiba berundur lalu menghimpit kepalanya.
Berikutan itu, kepala mangsa hancur dan mayatnya hanya disedari oleh seorang pekerja jengkaut di tapak pembinaan berkenaan yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Muar.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang diketuai Pegawai Operasi Kanannya, Ismail Mahmud dikejarkan ke tempat kejadian tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia semasa pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi tersebut.
Mayat Chuan Kuan dikeluarkan oleh pasukan itu pukul 7.20 petang dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk dibedah siasat.