![]() |
KERAJAAN Solo menguniakan gelaran Datuk Paduka kepada Anna. |
DATUK Paduka Dr. Anna Tee Achui, 74, terkenal dengan sikap pemurah dan baik hati. Beliau telah menghabiskan sebahagian besar usianya untuk kerja-kerja kebajikan termasuk menubuhkan National Caring Society Kuala Lumpur, 20 tahun lalu.
Persatuan itu menaungi beberapa buah rumah kebajikan. Pada musim perayaan, ahli persatuan itu akan mengunjungi rumah-rumah kebajikan berkenaan untuk mengagihkan makanan dan wang angpau.
Ia juga memberikan derma kepada pesakit buah pinggang, ibu tunggal, sekolah daif bahkan pesakit mental dan HIV.
Anna dilahirkan di Muar, Johor pada 10 November 1937. Bapanya membuka sebuah kedai ubat Cina di bandar Muar manakala ibunya seorang suri rumah.
Beliau mempunyai 13 adik-beradik, tujuh lelaki dan enam perempuan. Anna ialah anak yang kesembilan.
Menurut Anna, ibunya mahu beliau menjadi seorang rahib tetapi beliau sebaliknya memilih menjadi seorang jururawat.
Seawal usia 17 tahun khidmatnya ditagih di Hospital Johor Bahru, Hospital Muar dan Hospital Assunta Johor Bahru.
Senyuman
“Melihat senyuman yang terukir pada wajah orang di sekeliling sudah cukup untuk membuatkan hati saya tenang sepanjang hari.
“Kepuasan yang diperoleh tidak tergambar oleh kata-kata,” ceritanya yang berkahwin dengan seorang usahawan, Lim Heng Yee, pada umur 20 tahun.
Pada masa lapang, Anna akan pergi ke hospital-hospital untuk melawat orang sakit atau orang tua. Beliau biasanya akan membawa bersama kek dan makanan, kemudian makan bersama pesakit berkenaan supaya mereka tidak berasa keseorangan.
Sepanjang hidupnya, Anna berpegang pada satu motto - ‘Sayangi orang lain dan jangan pentingkan diri sendiri, serta berilah seberapa banyak yang anda boleh’.
Kesusahan membantu golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim dilempar jauh daripada mindanya.
Ibu kepada tujuh orang anak ini pernah mengeluarkan wang simpanannya semata-mata untuk menolong individu dalam kesusahan yang datang berjumpanya.
Namun, ada juga insan yang suka mengambil kesempatan atas sikap baik hati Anna.
Tetapi kata Anna, beliau telah lama memaafkan perbuatan mereka yang menipunya dengan cara mereka-reka cerita kesusahan hidup yang mereka alami.
“Itu soal mereka dengan Tuhan,” ujarnya.
Bebola matanya kian berkaca-kaca tatkala ditebak kisah beliau melalui zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
“Pada waktu itu saya berusia 12 tahun dan melihat sendiri askar Jepun menganiaya orang kita.
![]() |
“Ibu dan bapa saya cuba sedaya upaya menyelamatkan kami 14 beradik dengan menyembunyikan kami di ceruk-ceruk rumah yang sempit,” singkapnya yang mengakui cetusan jiwa kebajikannya berdenting daripada peristiwa itu.
Anna membuka farmasi pertama di daerah kelahirannya di Muar, Johor. Diberi nama Malaysia Medical Store, farmasi itu banyak memberi harapan kepada orang ramai.
Ia bagaimanapun terpaksa ditutup selepas Anna mengikuti keluarga berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970-an.
Kenangan bersama mendiang suaminya hanya mampu terisi dalam ruang 39 tahun hidupnya berikutan lelaki itu meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
“Anak-anak menjadi permata hati dan kenangan abadi bersama suami saya. Saya gembira dengan anugerah kebahagiaan yang saya miliki sekarang.
“Kesemua tujuh orang anak saya juga berjaya memperoleh kehidupan yang selesa, itu hadiah bermakna bagi seorang ibu,” getusnya yang tidak mengehadkan batasan komunikasi walau empat daripada anaknya kini berada di luar negara.
Walau berlatarbelakangkan pendidikan ampuh, kata Anna, kekentalan jiwa merupakan motivasi utamanya.
Amalan kebajikan yang dilakukannya sejak kecil sementelah memasuki gerbang kerjaya melayakkan Anna dianugerahkan pingat Datuk Paduka oleh kerajaan Solo, Indonesia pada tahun 2007.
Gelaran doktor falsafah (Ph.D) pula dianugerahkan oleh Universiti Camdaen, Amerika Syarikat.
Kaya
Malah, Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Syed Putra Jamalullail menganugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada Anna atas jasa dan baktinya kepada masyarakat setempat.
Melabelkan dirinya sebagai wanita biasa dan fleksibel, Anna tidak gentar menubuhkan National Caring Society Kuala Lumpur.
Selain bertindak sebagai pengerusi sejak badan tersebut ditubuhkan, Anna sendiri yang memilih ahli yang benar-benar ikhlas menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Bantuan yang kami berikan bukan tertumpu pada keperluan semasa namun meliputi keperluan persekolahan dan bantuan perubatan.
“Sebab itulah ahli pertubuhan ini perlu benar-benar serius,” ujarnya yang turut menguruskan pengkebumian jenazah golongan kurang mampu termasuk penghidap HIV dan AIDS.
Tambahnya, orang di sekeliling sering menganggap beliau melakukan amalan kebajikan menggunakan harta kekayaan keluarga.
“Hakikatnya, saya juga ada pekerjaan sendiri dan hasil titik peluh itu saya sumbangkan untuk aktiviti amal,” katanya yang mempunyai sebuah syarikat hartanah, LandPro.
Hembusan kebimbangan Anna dapat dirasa saat pertemuan hampir tiba ke penghujungnya, namun semangat adi wira wanita ini akan meneruskan baktinya selagi kudrat masih terisi upaya.
“Saya akan teruskan aktiviti kebajikan ini selagi hayat dikandung badan. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan ada barisan pelapis yang akan meneruskan perjuangan saya,” tuturnya yang kini turut mendapat sokongan daripada anak-anaknya.
Anna turut menyertai parti MCA sejak lebih 40 tahun lalu. Kini beliau merupakan Pengerusi MCA cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.