Sunday, April 17, 2011

Kontroversi video cara bunuh diri


LONDON 16 April - Satu dokumentari tentang cara untuk membunuh diri atau eutanasia oleh seorang doktor yang menggelarkan dirinya sebagai 'Doktor Kematian' dilapor telah dipertontonkan kepada pelajar-pelajar sekolah di United Kingdom (UK).
Dalam dokumentari berdurasi 20 minit yang ditonton pelajar seawal umur 14 hingga 18 tahun itu, Dr. Philip Nitschke turut menunjukkan bagaimana dia melakukan suntikan maut ke atas pesakit-pesakit yang tidak mampu lagi menanggung penderitaan mereka.
Dalam dokumentari itu, seorang bekas doktor yang menyokong eutanasia, Michael Irwin turut menjelaskan mengapa dia 'berbesar hati' untuk membantu sekurang-kurangnya sembilan pesakit menamatkan riwayat mereka di klinik Digitas, Switzerland.
Video itu dihasilkan oleh syarikat yang menerbitkan dokumentari pembelajaran ke seluruh UK, Classroom Video yang beribu pejabat di Bristol.
Penerbitan dokumentari tersebut bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk ketua gereja yang menyifatkan ia sebagai 'galakan untuk membunuh diri'.
Phyllis Bowman yang menyertai kempen Hak untuk Hidup berkata, video ekstrem tersebut boleh mempengaruhi golongan muda untuk membunuh diri.
"Tiada salahnya untuk membincangkan isu eutanasia namun menghasilkan video tersebut adalah tidak wajar," katanya.
Kumpulan Dignity in Dying juga mengecam penampilan Dr. Nitschke dalam video tersebut.
Menurut jurucakap kumpulan itu, mereka menggalakkan perbincangan mengenai eutanasia namun tidak mempengaruhi sesiapa untuk menamatkan riwayat hidup mereka. - Agensi